Total Pageviews

Friday, December 30, 2011

Meninggalkan Emak...




Kami tiba di Seremban jam 6.30 pagi 30 Disember. Menelefon emak, mandi dan solat, lalu tidur.

Tapi jam sembilan, saya sudah terjaga.  Hari ini Jumaat, dan hari akhir untuk menandatangani borang opsyen SBPA. 

Saya rasa lain macam tanpa emak. Termenung lama sambil terus baring memandang siling, saya menangis. 9 hari dijaga emak di Seremban, 16 hari di kampung; saya tidak dibenarkan langsung mengangkat barang. Emak patuh pesanan doktor, kerana garisan luka pembedahan saya panjang, membentuk huruf Ro.

Rupa-rupanya emak juga rasa lain macam tanpa saya. Kata kakak, emak masih terasa saya ada di bilik dan masuk untuk mengingatkan saya supaya makan ubat.

Emak mahu saya menyambung cuti sebab saya masih belum pulih. Jika duduk lama, ada rasa seperti dihiris pisau razor blade. Halus dan pedih. Tapi saya terus minum pati haruan dan ginseng, juga suplimen lain. Saya beritahu emak, saya kena bekerja sebab situasinya sudah lain. Saya perlu belajar banyak perkara baru.

Memang rasa betul-betul sedih apabila teringat emak. Jadi, saya tidak berani menelefon lagi, bimbang saya tersedu. Apabila sudah reda, tengah hari baru saya mendail.

Anak sulung saya masih di kampung membantu opah mengemas selepas kenduri. Dia bersama sepupu lelakinya bertungkus lumus membantu opah. Dia menjadi peneman opah supaya terubat kesedihan emak tatkala mengenangkan saya.

Si adik yang ikut balik. Itu pun 2 Januari, dia akan balik ke kampus. Nasib baik ada dia.  Saat senang dan payah, anak ini tidak pernah sekali pun meninggalkan kami. Oleh sebab itu, hanya dia yang lebih mengenali realiti sebenar sedih gembira hidup kami.

Duduk-duduk mengenang emak dan layanan kelas pertamanya; membuatkan air mata bercucuran. Saya makin memahami ungkapan allahyarham  Cikgu Kasim...sayang emak sayang saja...tanpa syarat dan tiada penamatnya...

Thursday, December 29, 2011

Saya Pasti Rindui Emak


Hari ini emak buat kenduri kesyukuran untuk saya, juga tahlil ayah dan doa selamat ulangtahun puteri sulung saya.

Semua adik beradik saya yang dekat balik sehari sebelum dan awal subuh.

Khemah pun sudah dipasang sejak petang semalam. Ramai anak-anak dan cucu-cucu angkat emak datang membantu. "Emak" di sana dan "emak" di sini.

Oleh sebab itu kerja emak menjadi lebih ringan dan cepat.

Saya hanya mampu duduk diam di kerusi dan melihat.

Malam ini, barangkali jam dua belas tengah malam, saya pulang ke Seremban. Hati saya sudah mula berasa tidak seronok. 

Anak-anak saya hanya cuti seminggu. Mereka juga belajar masak dengan opah. Si kakak masak lempeng yang cantik dan sedap. Si adik belajar masak bubur som. Kalau lama lagi di kampung, barangkali sudah boleh buka restoran.

Apa pun, lebih dua minggu di kampung dan dijaga emak, saya memang tidak dibenarkan mengangkat barang. Saya sangat berterima kasih kepada emak. Memang saya belum pulih, tetapi saya perlu pergi bekerja. Cuti sudah habis.

Payahnya saya mahu berpisah dengan emak dan udara sesegar ini...

Monday, December 26, 2011

Tetamu Dari IPG Tuanku Bainun


Pagi ini Kak Tumerah dan Encik Lan mengunjungi saya di kampung.

Seronok betul saya tatkala melihat Kak Tumerah turun dari kereta. Saya sendirian di rumah. Emak ke pasar dengan motor basikalnya. Anak-anak saya dan sepupu-sepupu kecil mereka menaiki bas ke pasar. Emak memerlukan khidmat mereka untuk membawa barang-barang kering kenduri yang akan diadakan pada hari Khamis malam Jumaat nanti. Kenduri doa selamat, tahlil dan kesyukuran ulangtahun puteri sulung saya.

Yang ada hanya buah rambutan dan durian. Harap-harap janganlah Kak Tumerah batuk-batuk selepas makan buah-buahan itu. Saya tahu benar siksanya kalau dia sudah mula semput.

Kak Tumerah memang asalnya dari kampung. Kembali berada di kampung, menghirup udara segar desa sudah pasti memberikan nostalgia manis buatnya. Meskipun sudah menjawat jawatan pengarah, dia masih kakak saya yang dahulu. Dalam lembut memahami, dia tegas.

Kami bercerita banyak perkara. Ketawa apabila bercerita hal-hal lucu semasa belajar di UUM dan bekerja di IPG Raja Melewar. Bersedih ketika bercerita hal-hal yang mendukakan hati.

Encik Lan pergi mengambil anak-anak saya di pekan. Si adik hanya mengenali Auntie Tumerah, bukan suaminya. Tetapi sangat mudah mengenali adik. Wajahnya persis saya. Encik Lan berjaya membawa pulang anak-anak dan sepupu-sepupu balik ke rumah.

Ada memori manis Kak Tumerah dan adik semasa adik mengikut saya belajar di UUM. Dia "sahabat" baik anak saya itu. Malahan ada "sesuatu" persamaan yang menyebabkan mereka amat serasi.

Kak Tumerah dan suaminya yang baik dan lucu akan selalu saya ingati. Sangat ramai orang-orang baik di sekeliling saya. Mudah2an Allah akan selalu melebarkan rahmat-Nya kepada mereka.

Friday, December 23, 2011

Cikgu Opah




Musim cuti sekolah, barangkali semua opah dan tokwan di Malaysia ini menjadi manusia paling sibuk di seantero dunia.

Tak kiralah apa panggilan cucu sama ada nenek, tuk, wan, oma, opah, granny...merekalah yg paling sibuk menggantikan tugas guru semasa musim cuti sekolah.

Di rumah emak musim cuti ini ada beberapa org cucu yang buat2 muka kasihan bila ibu bapa mereka mahu mengambil mereka pulang ke rumah. anak kakak sulung ada seorang, anak abang ada dua, anak adik ada seorang. Oleh sebab saya perlu jagaan emak, ada cucu-cucu emak yg agak nakal tidak dibenarkan pulang bercuti di kampung oleh ibu bapa mereka. bimbang juga kalau-kalau asyik hilang ke sungai atau membuli kambing-kambing yang ada di belakang rumah.

Emak sudah ada dua puluh dua cucu dan lima cicit. sebahagiannya sudah dewasa dan dua daripadanya sudah berkahwin. ada yang sudah bekerja dan berada di menara gading. selebihnya berada di sekolah menengah, sekolah rendah dan tadika.ada juga yang masih bayi. cicit emak pun ada yang sudah bersekolah rendah.

Saya selalu kagum dengan cara emak mendidik cucu-cucu. saya teringat dulu-dulu, betapa bangganya anak-anak saya melaporkan pencapaian mereka semasa "kursus dalam cuti" di rumah opah.

Berjaya melipat kain dengan betul pun merupakan satu kejayaan hebat bagi anak-anak kecil itu. mereka juga begitu seronok bercerita bagaimana mereka membantu opah memasak di dapur sambil opah memberi petua-petua dan bacaan doa sebelum dan semasa proses memasak.

Cucu-cucu emak yang sedang duduk bercuti di kampung sekarang ini pun begitu. sambil menolong opah memasak, atau opah mengajar mereka memasak secara total; sambil mereka mendengar opah bercerita.

Cara opah menegur juga berseni. "sedapnya masakan adik ni,sesuai untuk opah yang ada sikit darah tinggi", kata opah. "tapi kalau mahu hidang kepada tetamu, elok adik tambah sedikit garam. wah, mesti terangkat punya! org yg makan tu mesti hairan sapa yg pandai sangat masak lauk macam ni..." maka cucu yg dipuji itu pun kembang-kembang hidungnya, tersenyum2. pujian opah menaikkan semangat cucu yang lain. mereka pun membuat giliran memasak mengikut "kepakaran" masing-masing untuk mendapat pengikhtirafan daripada master chef opah!

Mereka mahu makan laksa semalam. opah meminta mereka menaiki bas ke pasar. opah memberikan mereka wang dan meminta mereka bertanya kepada penjual ikan, jenis ikan yg biasa digunakan sebagai bahan masakan laksa. walaupun takut-takut pada mulanya, opah memberikan kata-kata semangat. akhirnya mereka berjaya pergi ke pasar dan berjaya juga menaiki bas. berjaya juga membeli ikan dan ayam, walaupun yg lucunya mereka gagal mencari sawi bunga yang dipesan emak. saya berada di bilik waktu mereka pulang tetapi dapat mendengar dengan jelas riuh rendah suara anak-anak kecil itu meraikan "kejayaan hebat" mereka.

Opah memuji-muji keberanian mereka, malahan memuji juga kebagusan sepupu-sepupu yang "lebih tua" kerana menjaga adik-adik yang lebih muda.

Cuma ada seorang yang merungut, dia kena membayar tambang untuk kadar orang dewasa, sedangkan sepupu yang sebaya dengannya membayar tambang dgn harga kanak-kanak. habis mahu buat macam mana? saiznya lebih besar daripada sepupunya, malahan kalau dilihat daripada fizikalnya, dia seperti pelajar sekolah menengah!

Opah memesan, lain kali beritahu pakcik "kolek"(collect tambang=konduktor) itu bahawa adik masih kanak-kanak sekolah rendah!

Subuh selepas solat, mereka akan keluar berjoging. kemudian salah seorang akan memasak nasi goreng untuk sarapan pagi. selepas itu, mereka akan buat macam-macam aktiviti. cuma ada satu masalah besar, mesin basuh opah nampaknya ada kecenderungan untuk rosak. sebabnya mereka selalu lupa pesan opah. kalau ke sungai atau lata, pastikan poket seluar dan baju mereka sudah dibuang pasirnya. jadi, belum sampai sebulan pada musim cuti ini, mesin basuh opah sudah berbunyi2 mengisar pasir sungai!

Opah juga mahu mereka ada ketahanan dan tahu akar diri. kebetulan rambutan sedang berbuah. opah mahu mereka pandai memanjat pokok; sama seperti kemahiran anak2 kampung seperti kami dahulu. cuma kali ini opah akan memeriksa dahulu sama ada pokok dan persekitarannya ada atau tidak tanda2 bahaya. pasti opah mahu cucunya merasakan "sesuatu" tatkala berada di puncak!

Pagi ini selepas solat, joging dan sarapan; mereka bersemangat mahu ke pasar lagi. siap dengan buku nota dan pen. itu juga satu aspek pengurusan kendiri yang diajar opah. self-management. kali ini tugasan agak mencabar. mereka mesti ke farmasi untuk membeli ubat saya, pati ikan haruan amerika dengan ginseng jenama polleney sebanyak 5 botol. kemudian ajax fabuloso, ikan hidup, ikan pekasam, sayur dan beberapa barangan lain.

Saya sedang menunggu berita kejayaan mereka kali ini.

Hasil ajaran Cikgu Opah.

Cikgu yang paling awal bangun dan paling lewat tidur. cikgu yang paling letih dalam sebulan cuti sekolah ini!

Wednesday, December 21, 2011

Dunia Ini Hanya Rumah Sementara


Ada tetamu datang ziarah. Kami memanggilnya Pak Tam. Nama sebenarnya Haji Nazam. Usianya barangkali sebaya usia bekas pelajar-pelajar saya. Baru 33 tahun, dia sudah berkali-kali ke Mekah. Kerjanya pun memang membawa jemaah menunaikan umrah ke Mekah dan juga mengendalikan pelancongan di sekitar Asia. Dulu emak bekerja dengannya dan sebab itulah emak berpeluang melancong ke luar negara.

Beberapa tahun lepas, saya menghantar emak untuk umrah sepanjang Ramadan, dan sejak itu emak akrab dengan keluarga Pak Tam. Apalagi setelah diketahui mereka mempunyai pertalian darah dengan gemulah ayah.

Dia membawa air yang dibacakan doa-doa untuk saya. 

Pak Tam tidak seperti beberapa penziarah lain yang selalu pula mengaitkan penyakit saya dengan kematian. Saya sudah lali dengan cerita si anu dan si anu telah meninggal sebab penyakit macam sayalah! Saya tidak salahkan mereka sebab mereka orang kampung. Orang-orang yang konon intelek pun macam itulah juga perangainya. Inikan pula orang-orang kampung yang tidak belajar ilmu komunikasi.

Jenuhlah emak menepis cerita mereka dengan kisah yang lebih positif. Melihat emak begitu, saya langsung teringat isi kuliah communication skills yang selalu saya kuliahkan kepada pelajar-pelajar jurusan Sains Hayat di matrix dahulu. Komunikasi yang baik merupakan antibiotik terawal untuk pesakit sembuh.

Sebenarnya saya tidak kisah pun mereka bercakap hal-hal sedemikian. Tapi saya simpati dengan emak. Hati seorang ibu, tuhan sahaja yang mengerti.

Pak Tam menanyakan beberapa soalan. Dia hairan mengapa saya menganggap penyakit yang sedang saya hidapi ini hanya biasa-biasa, ujian kecil Allah, hanya usikan kecil untuk saya.

Melihat dia bersungguh-sungguh, saya pun memberitahu rahsianya!

Saya bercerita, lebih dua puluh tahun lalu saya mengalami kesakitan yang jauh lebih teruk. Fizikal dan mental saya diuji.

Saya bersendirian di tengah kota metropolitan, insan yang berkongsi hidup dengan saya sudah berpergian dengan kekasih genit menawan (junior kami di universiti), gaji saya kecil, tiada kenderaan, tempat kerja yang sangat jauh, punya anak seorang sedang belajar berdiri dan sering sakit-sakitan,dan seorang masih bergelar janin dalam kandungan.

Saya mengalami alahan yang sangat teruk. Dengan tubuh yang lemah itu saya berjalan kaki menghantar anak sulung ke rumah pengasuh dalam dingin dan gelap subuh, terpaksa turun naik tiga buah bas untuk ke tempat kerja. Sedangkan saya melihat dengan penuh luka, si dia mengambil dan menghantar kekasih hati pergi dan pulang ke pejabat setiap hari. Ada satu ketika, selepas musim hujan, mereka bergurauan sehingga tidak menyedari kereta melanggar lopak dan air kotor menyimbah pakaian saya!

Alahan yang teruk itu menyebabkan di tempat kerja, saya memerlukan dinding untuk membantu saya bergerak. Di rumah, saya terpaksa merangkak untuk ke bilik air. Apa sahaja yang masuk ke mulut, akan dimuntahkan semula. Saya sepatutnya perlu dimasukkan ke wad tetapi saya enggan. Persoalannya, jika saya di wad, bagaimana dengan anak sulung saya?

Saya berjuang untuk kelangsungan hidup sehingga bayi saya lahir dengan sihat dan comel. Kewangan yang terhad menyebabkan saya berpindah dari flat tiga bilik ke kawasan setinggan. Malam-malam saya tidak mampu tidur. Orang berhati jahat kadangkala menolak-nolak pintu dan jendela dinding yang reput. Di sisi saya parang dan lampu picit. Saya sentiasa siap siaga mahu menakik kepala sesiapa sahaja yang berniat jahat, meskipun saya tahu kudrat saya tidak akan mampu melawan sekuat itu. Tikus-tikus besar dan serangga merayap di pondok yang usang berlubang itu bila-bila masa boleh mencederakan bayi-bayi saya.

Waktu terluang, saya akan membawa anak-anak kecil saya menaiki teksi atau bas mini ke Masjid Negara, Taman Tasik Perdana atau Balai Seni Lukis Negara. Fizikal saya kurus kering, mental saya kacau. Tapi saya tidak meninggalkan Tuhan.

Sekarang, saya hanya diuji dengan kesakitan fizikal.

Sangat kecil ujian itu berbanding kesakitan masa lalu.

Kemudian saya mengumpul wang membeli kereta kecil buruk Honda Civic first generation yang selalu pula berasap atau mati enjinnya di tengah kesesakan jalan raya di jantung Kuala Lumpur. Kadang-kadang melucukan juga apabila vipernya tercabut dalam hujan lebat. Keadaan ini menyebabkan saya hanya mengikut cahaya lampu kereta depan. Saya kuat mempercayai bahawa Dia yang banyak membantu saya apabila tiba saat-saat sukar seperti itu,menyebabkan saya zero kemalangan.

Kereta kecil itu tiada pendingin hawa, menyebabkan jendela dibuka sedikit mengundang air hujan menyerbu masuk. Anak-anak kecil saya saling berpelukan di tempat duduk belakang. Si kakak memujuk si adik, memeluk kemas dan melindungi si adik dengan kain yang memang sentiasa ada di dalam kereta.

Imej comel bayi-bayi saya berpelukan kerana kedinginan tempias hujan selalu tergambar di mata saya sehingga saat ini. Seorang kecil kurus, wajah bujur, tabah dan bermata sepet; dan seorang lagi berwajah bulat, bertubuh montel dan ceria. Meskipun masa, jarak dan kemelut hidup pernah memisahkan mereka sekejap; saya yakin hati mereka saling berdakapan. Mereka hanya berdua beradik. Walau memiliki personaliti berbeza, mereka sangat akrab.

"Seperti kisah dalam filem, kan?" kata saya ketawa.

Dia tunduk menyembunyi mata yang menakung air. "Patutlah makyang masih boleh ketawa setenang ini..." dia berkata.

Saya katakan, ini realiti hidup. Saya tidak malu berkongsi cerita hidup. Saya kuat kerana Allah telah memberikan saya benteng yang begitu kukuh.

Bukankah Allah tidak akan mengambil tanpa menggantikannya dengan yang lebih baik?

Allah telah menunaikan janji-Nya kepada saya. Dia memberikan saya kekuatan, memberikan saya peluang memperbaiki kesilapan dan menebus dosa-dosa saya. Dia menggantikan apa yang telah hilang dengan nikmat peningkatan pendidikan dan anak-anak baik.

Kerja menghukum bukan tugas kita. 

Allah juga telah menginsafkan saya dengan "usikan-Nya". Kemarahan dan kebencian adalah api dan api itu sifatnya syaitan. Kebencian dan kemarahan yang membekam puluhan tahun seperti gunung berapi pendam itu akhirnya memberikan saya penyakit. Penyudahnya saya sedar, kesilapan saya ialah menyimpan segala rasa sedih, terluka, benci dan marah sendirian, yang setelah dua puluh tahun ini, sifat buruk itu akhirnya memakan diri.

Silapnya saya sebab fasa hidup yang saya lalui itu telah menghilangkan seluruh kepercayaan saya kepada orang lain. Saya mengunci segala kelukaan itu seorang diri. Saya menjadi hipokrit, riang ria di hadapan orang sedangkan hati menangis. Saya berpura-pura menjadi kuat sedangkan di tengah malam, saya berteriak mengadu kepada-Nya. Meskipun masih berbaik-baik, saya mula berharap sesuatu yang buruk akan berlaku kepada mereka sebagai lampiasan dendam. Bukankah dendam itu sifat syaitan?

Allah telah menyedarkan saya! Betapa lamanya saya menghabiskan masa dengan merintih, membenci dan penuh amarah. Alangkah ruginya masa yang lama itu. 

Alhamdulillah. Saya sebetulnya sangat beruntung diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman yg orang lain hanya mampu membaca ceritanya di dalam novel atau menontonnya di kaca TV. Saya gembira kerana Allah memilih dan menyedarkan saya sebelum terlambat.

Saya mesti belajar perlahan-lahan untuk memaafkan. Sebab dunia ini hanya rumah sementara.

Hanya sebuah rumah sementara. Kita hanya singgah sekejap di sini.

Pak Tam masih menggeleng-geleng kepala, enggan percaya!

Dan saat mahu pulang, mata lelakinya masih berkaca...

Sunday, December 18, 2011

Dan Dia Telah Dipanggil...



Tengah hari itu, anak saudara saya masuk ke rumah. Dia memberitahu saya perlahan, "Mak Yang, Pak Lang Leman meninggal. Tadi kena langgar treler di dataran. Jenazahnya masih ada di situ..."

Saya bertanya semula, bimbang tersalah dengar. Emak ada di dapur,saya dan anak saudara agak serba salah. Bagaimana cara mahu memberitahu emak.

"Mak, ni mahu beritahu. Leman kita, anak Pak Deris kemalangan. Dia baru meninggal tadi..." akhirnya saya yang membuka mulut.

Wajah emak bingung. Kemudian emak bertanya dan bertanya. Emak memaut tangan anak saudara saya. Kemudian emak ke serambi dan bercakap-cakap dengan adik lelaki saya yang baru tiba dari Kuantan dan tertidur kepenatan. Ahli keluarga yang lain sedang berkelah di air terjun hujung kampung.

Pagi tadi, saat sarapan; saya terdengar bualan emak dan anak saudara saya yang berusia 30 tahun.

"Malam tadi Epul mimpi Tokwan balik. Tokwan berikan Epul bungkusan. Kemudian Tokwan senyum dan pergi. Bila Epul buka, ada kupiah putih bersih yang berlipat kemas di dalamnya," saya dengar Saiful bercerita. Saya tidak dengar jawapan opahnya sebab mata saya sangat kantuk, semalaman saya tidak lena.

Mungkin itulah tanda...

Sulaiman, atau Leman seperti yang biasa dipanggil orang adalah sepupu saya. Dia tua beberapa tahun daripada saya. Masa mudanya dihabiskan untuk ke serata dunia sebagai kelasi kapal. Waktu masih sekolah, dia memang dikenali sebagai orang yang kuat semangat Melayunya.

Leman sepupu yang kuat pertalian darah dengan kami. Sebab, ibunya adalah sepupu ayah.Juga sekaligus pernah menjadi adik ipar ayah (arwah kakak ibunya pernah dikahwinkan dengan ayah; selepas meninggal barulah dijodohkan pula dengan emak). Bapanya pula abang kandung emak.

Sehabis merantau, dia pulang ke kampung. Dia berkahwin dan punya anak seorang. Perkahwinannya gagal. Dia beralih kepada agama. Waktu ayah saya masih hidup, dia berguru dengan ayah. Belajar agama dan tajwid.

Sejak ayah tiada, dia akrab dengan abang sulung saya. Dia bercita-cita mahu menjadi imam masjid. Dia menjadi ahli surau. Selesai berniaga roti canai di pekan, dia tekun belajar agama. Pengalamannya hidup di rantau, menjadi guru paling berkesan. Dia ikut serta dalam gerakan Islam di daerah kelahiran kami.

Semalam, ada kenduri sepupu saya yang berjiran pula dengan rumah arwah Leman. Oleh sebab itu, Leman belum berkesempatan menjenguk saya. Dia mahu menziarahi saya hari ini sepulangnya dari pekan untuk belajar agama.

Rupa-rupanya saya yang akan dibawa menziarahi jenazahnya kerana dia yang terlebih dahulu dipanggil pulang.

Di raga motosikal yang ditungganginya ada dijumpai senaskah al-Quran. Subuh sebelum kemalangan, dia mengimami solat dan mengajar kesemua anak-anak saudaranya mengaji.Kata orang, dia meninggal di tempat kejadian sebelum dibawa ambulans ke Hospital Gerik. Jubah yang dipakainya berlumuran darah.

Rezekinya baik. Proses pengebumiannya lancar dan cepat.

Jenazahnya tidak menunggu lama. Sebelum Asar kemalangan, dibedah siasat di hospital yang agak jauh dan usai Maghrib, sudah disimpan. Ramai sekali orang yang menyembahyangi jenazahnya. Jemaah dari Markas PAS Banggol Belimbing memenuhi ruang solat. Majlis tahlilnya juga begitu, jemaah melimpah hingga ke luar rumah.

Kebetulan pula, abang sulung dan adik lelaki saya ada di kampung. Abang menggali kubur dan adik menguruskan hal-hal lain. Allah memberi peluang kepada dua orang yang akrab dengan allahyarham berbakti pada saat-saat dia paling memerlukan.

Malam ini Leman sendirian di liang lahadnya. Meninggalkan kenangan dan kejutan. Tapi dia pergi dengan kisah-kisah baik, yang sedikit sebanyak mampu mengubati pilu sedih hati kami yang ditinggalkan.

Begitulah kehidupan. Giliran kita entah bila. Kita warga akhirat. Dunia ini hanyalah rumah sementara.

Kejutan dan kesedihan itu memang menyebabkan luka saya kembali pedih.

Saturday, December 17, 2011

Catatan Dari Sebuah Bilik



Ada kenduri sepupu di kampung.

Sanak saudara semuanya pulang.

Adik-adik gemulah ayah, yang lelakinya memang ada iras wajah ayah, cuma barangkali tidak setinggi dan segelap kulit ayah. Misai mereka juga tidak serapi misai ayah. Saya menekuni wajah mereka, mencari-cari suara seakan-akan suara ayah yang gemersik dan perlahan.

Hilang rindu saya terhadap lelaki perkasa saya itu. Ayah! Air mata selalu titik tatkala rindukan ayah!

Saya cuma di bilik. Tiada rezeki saya untuk ke kenduri sepupu saya itu. Hanya mereka yang berjanji akan menunjukkan gambar-gambar perkahwinan. Tiada pelaminan pun, hanya gambar makan beradab sahaja.

Dalam riuh-rendah, saya sunyi. Dunia sebenar saya bukan duduk-duduk diam di bilik. Tetapi itulah dunia yang terpaksa saya hadapi dalam beberapa minggu ini. Saya mesti menulis walaupun dengan tangan sebelah. Kalau tidak, saya boleh jadi penasaran!

Maka dengan tangan sebelah, saya mematuk-matuk huruf-huruf di laptop. Makan ubat, baring sekejap, menjamah sesuap nasi dengan haruan bakar, menaip, baring semula...dan berulanglah rutin yang membosankan itu.

Mahu angkat air sebotol pun, dengan tangan sebelah. Aduhai, nasib baik sekolah cuti. Ada misi-misi kecil yang boleh membantu sekaligus menjadi bibik saya!

Ada pertemuan sastera. Kawan bertanya, "tidak ke Pangkor?". Bagaimana mahu ke Pangkor, kalau duduk di kerusi pun tidak boleh lama.

Tuesday, December 6, 2011

Terima kasih Pengalaman Itu




Jam tujuh setengah, selesai pembayaran deposit di Admission Counter, terus dibawa naik ke Day Ward.

Jam tujuh, saya sudah mula berpuasa.

Soalan pertama, "boleh sebut nombor kad pengenalan puan?".

Untuk pengesahan barangkali.

Tiada pesakit lain, saya diberi kebebasan memilih katil.

Selesai menyalin pakaian hospital, pergelangan tangan kiri disarungkan tag nama.

Kemudian, datang seorang doktor. Namanya Dr Helmi.

"Saya doktor bius..." dia memperkenalkan diri dan menerangkan prosedur yang akan saya hadapi di dewan bedah (OT)

Saya akan "ditidurkan" selama tiga jam.

Selepas diperiksa tekanan darah, saya dibawa ke bilik x-ray di tingkat bawah.

Jam 10.30 pagi, Dr Shah menjenguk. Dia menunjukkan kawasan yang akan dibedah menggunakan pen marker.

Jam 10.45 pagi, ada pemeriksaan jantung oleh jururawat Norafida. Ada alat seperti penyepit diletakkan di kedua-dua belah pergelangan kaki dan tangan. Ada enam bebola kecil dilekap di bahagian dada.

Semuanya normal. Sempat lagi menemuramah jururawat yang lembut dan sopan itu.

Jam sebelas, saya sudah disorong ke dewan bedah di tingkat dua. Pemeriksaan teliti dilakukan berkali-kali.

Kemudian, sekali lagi saya dibawa ke dalam bilik yang penuh dengan peralatan dan lampu besar bercahaya seperti yang biasa saya lihat di kaca TV.

Saya disuntik ubat bius dan diletakkan alatan penyekup di hidung dan mulut.

"Baca Bismillah ya puan," saya terdengar suara doktor mengingatkan. Saya sudah lama mengucap, Doc. manalah tahu...

Kemudian, saya dapat merasakan aliran hangat, pedih dan menyakitkan di tangan kanan yang telah disuntik tadi.

Dalam khayal...tidak lama.

Saya sudah tidak sedarkan diri.

Saya tersedar apabila sayup-sayup saya dengar nama saya dipanggil.

"Jam berapa sekarang?" tanya saya lemah. Rupa-rupanya sudah jam dua sepuluh minit petang.

Sakit menyucuk di dada kiri. Di tangan kanan masih ada jarum tercacak di situ. Paha dan kaki saya menggeletar. Saya kesejukan, lapar dan lemah kehilangan banyak darah.

Waktu disorong semula ke wad, saya menggigil. Saya boleh menahan sakit, tetapi gigilan di kaki memang tidak tertahan.

Saya sempat menelefon kakak di Ipoh. Sempat juga menaip mesej kepada anak-anak saya.
Mesej saya bernada gembira, sebab saya takut mereka bimbang. Sebagai seorang ibu yang membesarkan mereka dengan gagah, saya enggan membenarkan mereka melihat saya dalam keadaan selemah itu. Itu sebabnya juga saya tidak membenarkan puteri sulung mengambil cuti untuk menjaga saya.

Saya mahu mereka sentiasa melihat saya sebagai saya yang dahulu. Yang cergas dan tabah mengharung kepayahan hidup, membesarkan mereka sendirian selama belasan tahun.

Jururawat juga membawa bersama-sama "buangan" yang dikeluarkan daripada tubuh saya. 

"Buangan" yang mengganggu hidup saya itu dihantar ke makmal. Minggu depan semasa pemeriksaan susulan, keputusan uji kaji makmal akan diketahui.

Kembali ke wad, hanya bubur nasi yang disyorkan untuk mengisi perut kosong. Saya menahan sakit di kerongkong. 

Kesan bius menyebabkan saya dipapah untuk ke tandas. Pergerakan menjadi tidak stabil.

Kemudian sekali lagi saya disuntik ubat penahan sakit melalui jarum yang masih tertanam di belakang tapak tangan kanan.

Jam delapan setengah malam, saya disorong dengan kerusi roda ke lobi. Saya dipapah masuk ke kereta. Memang saya sangat lemah. Tapi saya mahu pulang ke rumah. Kami tidak boleh membelanjakan wang dalam situasi anak-anak masih perlukan belanja yang banyak untuk pengajian mereka.

"Tahanlah," pujuk dia. "Dulu kan dah pernah bersalin, macam itulah sakitnya..."

Saya ketawa. Macamlah dia ada pengalaman bersalin!

Pengalaman bersalin memang menyakitkan, tetapi kesakitan itu ada habuannya. Kesakitan hilang apabila melihat wajah comel bayi. Sakit pun tidak apa sebab mendapat bayi.

Tapi yang ini lain. Faktor usia juga penyebab badan menjadi lemah.

Apapun, saya bersyukur kerana diberikan pengalaman ini.

Saya gembira diberi peluang merasai kesakitan, salah satu siri ujian yang diberikan Allah kepada saya.

Biarlah saya sakit, asalkan orang-orang yang saya kasihi sentiasa sihat.

Tapi melihat emak, saya terkilan.

Sepatutnya saya yang menjaga emak, bukan sebaliknya.

Cuma satu hal yang saya tidak berapa gemar, dari malam ke pagi terpaksa makan bubur nasi!

Sunday, December 4, 2011

Dr. K: Sah!


Ada SMS yang baru saya terima. Mohon pengesahan. Di kedua-dua talian maxis dan celcom. Hampir serentak. Isinya sama. Macam nak tanya sah atau tidak akad nikah je bunyinya.

SMS daripada Ketua Unit saya, Doktor K.

Saya pun membalas, "Sah!".

Segan juga, sebab bukannya saya terlantar sakit pun.

"Tahniahlah sebab Allah pilih Ratna, bukan saya, bukan Pak Tam atau Abang Muk..." Kali ini dia mahu kenakan saya.

Jawapan saya, "Memanglah. Semua yang disebut tu tak ada tuuuuut..."

Saya selalu berazam tidak mahu nakal-nakal lagi mengusik orang. Tetapi diam-diam saya pun, ada saja keinginan untuk menakali orang. Lazimnya kalau saya pulang awal, saya selalu mahu mengunci kawan-kawan di jabatan.

Dr. K akan menunjukkan rotannya yang terselit di tepi meja. Pura-pura mahu merotan.

Suasana kerja yang sebegitu meredakan sedikit tekanan. Maklumlah bidang itu sangat "jauh" daripada saya. Bukan mudah untuk menghayati sesuatu yang "jauh" seperti itu.

Apa pun, terima kasih rakan-rakan sejabatan. Budi kalian di album kenang.

CATATAN:
apo sodih bona muko ketuo den ni...dio slalu tanyo den, "kau anak sapo? donga radio apo, beghapo frekuensi?" Ponek den nak nyawab eh! Tapi kono jawab. Sobab kok tak jawab, den tak leh balik walopun jam dah kul limo potang!

Saturday, December 3, 2011

Dahsyatnya Doa Ibu


Sebagai ibu, kita kena selalu sebut, anak kita anak yang baik.

Kata-kata ibu adalah doa yang akan terus diangkat naik ke langit.

Saya selalu memohon agar Allah ampuni dosa anak-anak. Kalau mereka silap, itu bermakna kesalahan itu datang daripada didikan saya. Jika mereka lalai, puncanya kerana kelemahan asuhan saya.

Alangkah terharunya jika kemudian kita mendengar anak kita berkata, "jikalaulah saya boleh menggantikan nyawa saya dengan nyawa ibu...saya akan lakukan itu!"

Dahulu-dahulu, saat mereka sakit, bukankah kita yang selalu menyebut begitu?

Masih dalam ingatan, puteri sulung saya bertarung nyawa di katil hospital. Demam panasnya sudah naik ke darjah bahaya. Matanya terpejam, bibir kering. Badannya sesekali menggigil kuat sehingga mampu menggoncang katil. Dia masih kecil waktu itu.

Sekejap-sekejap saya akan ambil sesudu air dan meletakkan di bibirnya.

Dia kecil kurus. Muka pucat. Saya begitu takut hadiah Allah itu akan diambil daripada saya. Saya sangat takut, sehingga saat ini pun, saya masih ngeri mengenangkan kesakitan yang terpaksa ditempuh anak sekecil itu.

Entah bagaimana, saya mengapung doa. Dengan air mata saya memohon, "Tuhan...jika Kau dapat menggantikan nyawa saya dengan nyawa anak ini...saya redho"

Itu jalan terakhir saya selaku ibu. Saya tidak tahu salah atau tidak berdoa seperti itu. Tapi saya seorang ibu...dan kasih seorang ibu tiada ternilai harganya, lebih berbilion ganda mahalnya daripada sebentuk cincin 24 juta!

Saya mohon keampunan Allah jika saya silap berdoa semacam itu.

Allah memberikan saya anak-anak baik. Bunga melor dan bunga matahari saya, yang selalu mewangi dan memeriahkan kehidupan ibunya.

Sehingga saya kadang-kadang melupai sisi derita dan payahnya hidup masa lampau.

Maha Suci Allah, hari ini kita mungkin kembali mendengar kata-kata yang pernah kita ucapkan kepada Allah satu saat dahulu.

"Jikalaulah saya boleh menggantikan nyawa saya dengan nyawa ibu..."

Sesungguhnya, semua anak adalah anak yang baik!

Asalkan Emak Ada Di Sisi


Awal pagi, ada panggilan. Di skrin, ada nama emak.

Cepat saya menjawab, sebab kalau tidak penting biasanya emak tidak menelefon. Saya sudah dapat mengagak sesuatu.

Bukankah saya juga seorang ibu?

Emak masih bertelekung, barangkali dari Subuh mahu terus ke Dhuha.

Memang sudah resamnya seorang ibu, sedikit pun enggan melepaskan hatinya daripada memikirkan persoalan anak.

"Sikit saja mak.  Atika ada. Esna pun ada..." bantai saja saya menjawab. Entah betul atau tidak, mereka akan hadir. Bukan mudah dapat cuti. Lagipun masing-masing jauh. Atika Laila ada kekangan lagi. Dia tiada kenderaan buat masa ini. Esnaliza pasti ada kuliah. 

Memang sikit saja pun. Lagipun hospital swasta. Mereka akan jaga betul-betul.

Saya fikirkan emak puas hati dengan penerangan dan jaminan saya. Rupa-rupanya tidak.

Selang beberapa minit, kakak menelefon. "Emak semalaman solat dan berdoa. Emak sudah siapkan beg mahu pergi juga. Boleh mak naik bas?"

"Jangan!" cepat saya memintas. Nanti susah hati saya memikirkan keselamatan emak.

Yang penting doa emak. Itu keberkatan hidup saya...doa emak!

Doa ibu tiada hijab. Terus saja langsung ke sisi Allah.

Memang saya takut. Itu hakikat. Sedikit atau banyak, besar atau kecil; saya memang takut. Apalagi setelah mendengar penerangan doktor yang terlalu berterus terang itu. Kalau emak ada, dia sumber kekuatan saya.

Emak akan selalu kata, "tabahkan hati". Selalu dia akan kata begitu sebab saya antara anaknya yang paling banyak diuji.

Sebenarnya saya tidak gentar diuji, asalkan emak ada di sisi.

Kakak berusaha habis-habisan agar emak dapat datang juga menemani saya. Tersentuh hati saya mengenangkan sikap kakak yang selalu mahu memastikan satu-satunya adik perempuannya berasa selamat.

Jam sebelas setengah, ada panggilan daripada adik sepupu yang tinggal di Kuala Lumpur.

Dia memberi jaminan akan membawa emak sehingga ke Seremban dan akan bertolak selepas Zohor. Mereka di kampung dan entah bagaimana tiba-tiba tergerak hati mahu menjenguk emak yang juga ibu susunya. Dia dan adiknya adalah anak susuan emak.

Bukan main riang suara emak, jelas terdengar sewaktu adik sepupu itu menghubungi saya.

Kakak pula menelefon. "Tahu apa emak buat setelah berputus asa tiada yang boleh hantar emak?" tanya kakak.

Rupa-rupanya dalam kecewa dan mati selera, emak mengikis-ngikis kerak nasi sambil makan dan berdoa agar Allah lorongkan jalan supaya dapat juga emak datang ke sisi saya.

Allah mendengar doa emak.

Terima Kasih Atas Peringatan-Mu




Selalunya kita akan mengeluh kerana dilanda musibah. Kita selalu bertanya "mengapa kita"?

Sedar atau tidak, pertanyaan seperti itu sebenarnya seperti mempersoalkan ketentuan Allah dan mencabar kuasa-Nya.

Ada hikmah di sebalik musibah.

Saya sangat yakin dengan itu.

Allah itu terlalu adil. Dia tidak akan mengambil kalau Dia juga tidak memberi.

Kadang-kadang kita lalai. Kita tinggalkan solat kerana mengejar dunia. Kita berpuasa tetapi mata melihat maksiat. Kita bercakap lurus tapi hati kita bengkang-bengkok.

Tapi apa yang Allah bagi kepada kita? Macam-macam. Dia bagi kita rezeki melimpah, beri udara untuk disedut, beri air untuk diminum. Sampaikan kadang-kadang kita terus alpa untuk mengucap syukur.

Kalau kita sakit, itu musibah. Tetapi ada hikmahnya. Kita mula menghargai masa sihat. Kita mula mendekatkan diri kepada-Nya. Kita hafal doa-doa penenang hati. Anak-anak mula bersikap prihatin. Ahli keluarga mula bertanya khabar. Kita sudah mula mengingati mati.

Bukankah itu hikmah yang tidak terhingga baiknya?

Melihat kehidupan bukan hanya dengan mata kasar. Kita perlu melihatnya dari hati.

Terima kasih Ya Allah kerana memberi peringatan. Mudah-mudahan sakit ini adalah jalan penghapus dosa-dosa silam. Mudah-mudahan ringanlah bebanan dosa saya dalam perjalanan menuju Tuhan.

Thursday, December 1, 2011

Mendongak muka langit




Baiknya hati kakak itu.

Berbual-bual dengannya waktu rehat untuk minum pagi jam sepuluh, dia bercerita tentang pembedahan fibroid yang dilakukannya beberapa tahun lalu. Rahimnya dibuang dan akibat daripada itu, dia monopouse.

Saya pernah dengar mengenai wanita itu. Kepayahan hidup membesarkan anak-anak sendirian, kemudian dikhianati suami, barangkali menyebabkan dia menjadi begitu kuat.

Dia memberikan kata-kata semangat kepada saya. Malahan meminta nombor telefon agar mudah untuk dia memberikan salinan panduan dan doa untuk diamalkan.

Orang baik seperti itu, kenapa selalu dikhianati?

Insan terpilih sahaja akan diberikan ujian. Setelah diberikan ujian kesenangan, kita diuji dengan payah.

Mudah-mudahan Allah terus merahmati kakak itu. Baginya masa menangis sudah lama berlalu.

Menangis untuk ujian dunia tidak seberat mana. Jangan nanti kita meraung-raung di dunia sana akibat gunungan dosa yang kita lakukan secara berterusan dan tanpa taubat.

Mendongak muka langit pada musim-musim suram begini, masih ada gumpalan awan cantik yang meredupkan hati.