Jika kita tidak mampu menghentikan terjahan hujan, bergembiralah dengan mandi-manda di dalam lebatnya...bukan bahagia yang menjadikan kita bersyukur tetapi dengan bersyukur menjadikan kita bahagia.
Total Pageviews
Tuesday, November 29, 2011
Si Ibu yang mahukan syurga!
Melihat puteri-puteri yang ketinggiannya melebihi saya, kadang-kadang boleh meluruhkan air mata.
Begitu derasnya masa berlalu.
Sudah besar anak-anak, bermakna sudah berusia rupa-rupanya siibu!
Sekarang tibalah giliran kita menggantikan tempat emak-emak kita dahulu.
Anak-anak, meskipun lahir daripada rahim yang sama, adalah manusia-manusia berbeza. Malahan didikan yang sama tidak mampu melahirkan sikap yang serupa.
Sesuatu yang mesti diakui, manusia kembar seiras pun adalah dua individu dengan personaliti bukan serupa.
Seperti yang didialogkan ibu bapa dalam sebuah episod teledrama Nur Kasih, "kita selalu lupa bahawa bukan semua tanaman perlukan jumlah air yang sama. Ada tanaman akan hidup subur dengan jumlah air yang banyak dan ada yang akan mati jika terlebih air..."
Saya ingat betul dengan dialog itu. Sangat mengesankan apabila Adam dan Aidil yang dibesarkan dengan cara didikan yang sama, tidak menjadikan mereka serupa dalam menanggapi hidup dan hala tuju.
Apabila ada lebih daripada seorang anak, daripada jantina yang sama pula; kita dapat melihat beza dengan jelas.
Ada anak yang nampak lembut tetapi keras dan tabah hatinya. Ada yang nampak keras tetapi hatinya penuh belas.
Sama ada beza atau tidak, cinta ibu tetap sama paras. Dalam kapasiti yang tidak berubah. Seperti teguhnya gunung yang tidak mungkin runtuh oleh sejuta puting beliung. Tidak ada turun naiknya seperti graf niaga di bursa saham!
Anak adalah ujian Allah kepada kita. Ujian yang dipinjamkan kerana mereka dan kita adalah milik Allah.
Sesiapa yang bersabar dengan ujian-Nya akan dijanjikan syurga.
Saya mahukan syurga. Maka saya mahu menjadi seorang ibu paling sabar di dunia...
Lelaki: Katakan X Kepada Payung?
Ada satu peraturan baharu yang berjaya mengerutkan dahi saya dengan begitu lama.
Mahasiswa lelaki yang membawa payung akan disaman oleh pengawal keselamatan!
Sekarang musim hujan. Hujannya pula lebat. Kalau payung sudah menjadi "haram" bagi pelajar lelaki, habis mahu pakai apa untuk berlindung daripada hujan?
Daun pisang?
"Peraturan zaman paleolitik atau apa?" Rungut saya.
Tapi itulah yang berlaku di sebuah IPTA yang jauh di sebuah negeri. IPTA yang pernah dianggap universiti sampah kerana kecenderungan mengambil pelajar dengan kelulusan minima.
Ada juga peraturan lain yang agak pelik tetapi masih saya anggap ok.
Contoh: tidak boleh memakai sandal, kasut mesti bertutup. Tidak boleh memakai jeans, apalagi jika jeans itu nampak lusuh. Tidak boleh makan di kantin lelaki dan perempuan.
Kalau universiti pengurusan seperti UUM, memang logik benar peraturan semacam itu. Orang pengurusan mesti dibiasakan kemas.
Di IPTA yang mengharamkan payung bagi lelaki itu, ada sesetengah kursusnya tidak boleh diketatkan dengan peraturan. Mereka bermain dengan cat, dengan benda-benda yang kotor. Orang seni biasanya cepat rimas dengan segala macam aturan melampau. Kreativiti bakal tumpul. Idea pupus jika hati memberontak.
Saya teringat cerita zaman saya di kampus untuk ijazah pertama saya dahulu.
"Ada antara kami yang pakai selipar tandas pergi kuliah. Jeans koyak, ada lelaki berambut panjang, ada yang hanya pakai baju-T lusuh..."
Ya, mungkin itu dahulu. Tidak sesuai lagi dengan era kini.
Tapi lelaki diharamkan bawa payung itu memang peraturan yang sangat lucu.
Kata orang, mungkin pihak universiti mahu menyekat fenomena "pondan" yang semakin leluasa di kampus. Ramai mahasiswa lembut telah dikenakan saman.
Tapi apa kaitan payung dengan fenomena itu?
Lelaki perkasa akan jadi pondankah dengan membawa payung?
Hilangkah kelelakian jika membawa payung?
Kasihan kepada lelaki perkasa yang hanya mahu mengelak kebasahan akibat hujan dengan berpayung.
Satu lagi peraturan sengal yang menyekat minda mahasiswa.
"Barangkali kerana pengarah baharu ini perempuan!" Saya dengar ada siswa yang mengucapkan begitu.
Kan? Saya sudah beritahu dahulu. Perempuan, kalau sudah berada di "makam" tinggi, memang suka macam-macam!
Itu sebab Allah kata, lelaki adalah pemimpin.
Masalahnya, di mana lelaki?
Ekonomi dan Teori...
Saya tidak suka membuang masa dengan pergi ke sesuatu tempat yang jauh hanya untuk acara makan-makan.
Meskipun ia baik untuk proses sosialisasi, namun saya masih menganggapnya tidak praktikal.
Pernah bekerja dengan sektor "business-oriented", saya selalu sinikal dengan acara-acara semacam ini.
Sebenarnya apabila ada pihak tertentu yang mahu mengurangkan jumlah petugas di sesuatu sektor, jauh di dalam hati saya amat setuju. Wang rakyat yang telah dilaburkan bersungguh-sungguh oleh kerajaan sehingga menghasilkan pendapatan, bukan untuk dibazirkan sewenang-wenang.
Teori ekonomi yang diajar di kuliah-kuliah sebenarnya adalah idea yang diambil daripada kisah nabi Yusuf a.s.
Jika kita tidak berjimat sekarang, kita tidak akan mampu menempuh zaman susah yang berada dalam kitaran teori ekonomi.
Saya masih ingat kemewahan melampau sewaktu sepuluh tahun saya masih menjadi tenaga pensyarah di sebuah kolej. Ke sana sini dengan pesawat, mesyuarat yang boleh dibuat di dewan dan bilik yang mewah di kolej, dibawa jauh hingga ada kalanya ke Sarawak.
Kami cukup mewah dengan baju-T, dan segala macam peralatan yang diberikan percuma. Baguslah kebajikan dijaga. Tetapi wang yang mengalir seperti air banjir itu, akan terserap ke bumi juga kala musim kemarau.
Bukan salah pengurusan organisasi. Peruntukan yang diberi wajib dihabiskan. Oleh sebab itu hujung tahun penuh dengan acara-acara bermewah-mewah. Kalau tidak dihabiskan, nanti pihak pengurusan dikatakan tidak bijak mengurus kewangan.
Akibatnya, tibalah zaman meleset persis teori daripada cerita Nabi Yusuf a.s. Dua tahun sebelum saya tamat perkhidmatan di situ, semuanya disekat. Wang sudah tidak ada. Tidak boleh buat itu dan ini. Semua orang yang sudah biasa dimanjakan dengan kemewahan, terkejut dan merungut.
Saya dan geng memang suka. Terlalu suka. Sebab ini bermakna kami tidak perlu keluar selalu dan meninggalkan anak sampai berminggu-minggu. Kalau mesyuarat pun, hanya di tempat yang dekat sahaja. Mudah untuk berulang jika enggan bermalam di hotel.Kuliah tidak perlu diganti sampai berjam-jam. Anak pun gembira ria. Tidak perlu naik kereta sapu ke sekolah dan balik ke rumah tanpa ibu.
Itulah hikmahnya kemelesetan ekonomi. Sesuatu yang pada sangkaan kita buruk, belum tentu buruk semuanya.
Terlalu banyak sistem dan peraturan akan menyebabkan minda beku. Perubahan dasar yang kerap juga salah satu penyebab tenaga kerja menjadi lesu. Anjakan paradigma sewajarnya bukan sekadar ucap-ucap di seminar.
Kita perlu berubah menjadi lebih praktikal. Protokol masih perlu, tapi bukan prioriti.
Keluar makan-makan juga perlu, tapi bukan sekadar untuk mengenyangkan perut!
Monday, November 28, 2011
Tetamu malam dan cebisan cerita
Ahad 27 November, sudah maghrib saya sampai di halaman emak.
Ada beberapa tetamu lelaki dan abang sulung saya di anjung simen hadapan rumah emak sudah beransur-ansur mahu pulang.
Tetapi emak tidak kelihatan.
Bau cat tatkala masuk ke dalam rumah adalah jawapannya. Rupa-rupanya emak baru selesai mengecat dinding salah sebuah bilik air.
Memang mengantuk dan sangat letih tapi saya tetap menunggu emak selesai solat dan mengaji.
Lama berbual dengan emak sambil mengurut kakinya yang katanya kerap kejang sebelum masuk waktu subuh.
"Tapi tak apa sakit pun. Senang untuk bangun solat..." kata emak masih positif, seiring dengan tawanya yang biasa.
Jam sebelas, tiba-tiba telefon emak berbunyi. Emak bercakap-cakap.
"Siapa?" tanya saya.
"Abangcho. Mahu tumpangkan orang tidur..." jawab emak, langsung masuk ke bilik mengusung tilam besar dan alasnya.
Panggilan daripada abang sulung (abang beso = cho)saya rupa-rupanya. Abang setelah pencen sebagai pegawai perisikan tentera, melakukan tugas menyelia pengawal keselamatan di sekolah-sekolah sekitar.
Tidak berapa lama kemudian, abang pun sampai. Saya menjenguk. Ada perempuan dan bayi lelaki.
Kami menyambut tetamu malam. Bayi comel yang baru pandai merangkak sedikit-sedikit. Deman tetapi baik-baik sahaja, tidak menangis atau meragam. Bayi itu antara beberapa bayi "terpilih" yang tidak menangis waktu melihat saya!
Emak menghidangkan makan malam ala kadar. Sementara ibunya makan, keluarga abang dan saya melayani si bayi.
Seorang pun tidak bertanya apa masalahnya sehingga kedua-duanya mahu menumpang tidur di rumah emak.
Sebenarnya kami sudah biasa dengan kehadiran tetamu yang sedang ditimpa susah. Sejak kecil memang begitu. Meskipun hidup bukan sesenang mana, tetapi rumah emak dan ayah sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja menumpang asalkan tidak mengambil kesempatan.
Emak pun tidak bertanya. Cuma adalah sedikit sesi "ice breaking", menanya nama si ibu dan bayi. Kemudian emak yang peramah bercerita seolah-olah sudah lama mengenali tetamu muda itu. Agakan saya, supaya si tetamu tidak berasa kekok berada di rumah dan keluarga yang begitu asing.
Esoknya, suaminya datang. Saya dengar dia memohon maaf sebab terpaksa menyusahkan emak.
Mereka bertiga kemudiannya menaiki bas ke kampung si suami di Baling.
Saya pun bertanya sekadar mahu tahu kepada kakak ipar.
Jawapannya pun sedikit. Tapi cukuplah untuk saya tahu.
Mereka dihalau oleh ibu mertua kerana bergaduh dengan anaknya (adik kepada perempuan muda, yakni ibu si bayi). Suami perempuan itu enggan lagi memberikan wang kepada adik iparnya yang menagih dadah.
Bayi itu demam. Ketiga-tiganya menumpang tidur di pos pengawal (Suaminya seorang pengawal keselamatan). Nyamuk banyak dan bayi itu asyik menangis kerana digigit nyamuk.
Abang berasa sangat belas melihat keadaan si bayi.
Itulah cebisan cerita yang saya dapat. Macam filem P.Ramlee saja, fikir saya.
Ada juga ibu mertua spesis Mak Dara zaman-zaman facebook ini!
Majlis Graduasi Puteri Sulung...
Jam lima setengah pagi saya terjaga. Malam memang kurang lena. Anak dan kakak sepupunya membuat kerja seni mereka hingga lewat malam.
Kepenatan memandu dan keghairahan menunggu esok, membuatkan mata enggan lena.
Tiba di kampus memang lewat sepuluh minit daripada masa jangkaan. Puteri sulung saya melambai daripada kumpulan graduan yang ramai.
Dia di barisan English Language Studies. Memang majoriti perempuan. Ada beberapa rakannya yang mengenali saya, melambai-lambai ceria.
Oleh sebab institusinya Islamik, pengurusan masa memang benar-benar tepat.
Masuk ke dewan, sebahagian besar kerusi sudah penuh.
Majlis dimulakan dengan perarakan masuk para graduan. Diikuti barisan tenaga akademik dan kemudiannya pengurusan utama institusi. Salawat atas Rasullallah mengiringi perarakan masuk ke dewan.
Tidak seperti majlis konvokesyen yang pernah saya hadir, sama ada sebagai graduan atau tetamu; ia dimulakan dengan acara penuh keberkatan.
Surah Luqman dialunkan oleh seorang pensyarah hafiz, namanya Don Daniel Don Biajid. Beliau mengalunkan bacaannya dengan penuh perasaan sehinggakan saya dapat membayangkan seorang bapa sedang memberi pesan demi pesan kepada anaknya dengan penuh kasih sayang.
Saya tersedu sedikit, tetapi cepat menyeka air mata dengan sapu tangan yang dibawa.
Selesai mengaji, beliau terus membacakan doa. Doanya juga sangat menyentuh hati. Sebak hati saya apabila ada ayat dalam doanya menyebut, "kami pasti ya Allah, anak-anak yang hadir dalam majlis ini adalah anak-anak yang soleh dan solehah, Ya Allah. Berkatilah kehidupan mereka Ya Allah..." Beliau mengulang tiga kali, syahdu dan meruntun jiwa.
Selesai majlis konvo, hujan di luar menggantikan panas hangat siang. Saya sangat lapar tetapi melihat kegembiraan anak-anak mengambil gambar di tepian tasik yang sarat bunga kiambang mekar, saya hanya diam menahan.
Rupa-rupanya selama empat hari ini saya asyik berulang alik dari Perak ke Negeri Sembilan. Jumaat ke Perak. Sabtu ke Negeri Sembilan, Ahad kembali ke Perak dan Isnin bertolak semula ke Negeri Sembilan. Hujan lebat, jalan jem, dan saya juga tersesat di bandar Shah Alam kerana mata saya yang kurang mahir mengenal jalan pada waktu malam.
Saya abaikan sakit, penat dan kantuk.
Menepati seperti yang disebut acap kali oleh almarhum bapa mentua; "sayang emak sayang saja..."
Friday, November 25, 2011
Di Luar Duga...
Jam 2.15 petang, telefon berbunyi.
"Tren batal. Bukan delay, tapi batal terus." Suara anak di hujung talian bernada kecewa, cemas dan sedih.
Sepatutnya jam 2.15 bertolak dari Stesen Batu Gajah dan jam 5.15 petang tiba di Stesen Seremban. Ini bukan tren biasa tapi ETS, yang kononnya lebih laju dan moden.
Mutakhir ini memang KTM bermasalah. Daripada kerosakan koc, kebakaran, pembatalan perjalanan sampailah kepada kelewatan melampau.
Kasihan betul anak saya. Dia hampir menangis kalau saya lama bercakap dengannya di telefon.
Ikut perancangan, petang Jumaat selesai kuliah dia pulang ke Seremban. Sabtu pagi ke Shah Alam menjemput kakak sepupunya di sana. Ahad pagi ke majlis konvo kakaknya. Ahad petang ikut saya pulang menjenguk emak di kampung kerana Isnin cuti, cuti Awal Muharam yang jatuh Sabtu dan dibawa ke Isnin.
Anak kemudian membeli tiket tren biasa jam 6 petang. Agak mahal sebab sekali dengan tempat tidur. Cuma masalahnya lewat malam tren akan tiba di KL Sentral. Siapa yang akan menjemput?
Saya memintanya jualkan semula. Dapatlah wangnya kembali tetapi separuh sahaja daripada harga tiket. Dia mahu pula mengikut penumpang-penumpang yang kecewa menaiki bas ke Ipoh, mahu mencari tiket bas ke Seremban. Saya melarang.
"Kalau keluar jam 3, paling lewat jam delapan sampai ke tempat adik," saya mencadangkan sesuatu.
Kalau hujan lebat, memang saya bermasalah besar. Mata saya paling kalah dengan malam dan hujan lebat.
Sekali lagi saya beri jaminan, "saya bawa perlahan..."
Tetapi sebenarnya tidak!
Tiap setengah jam suami menelefon dari luar bilik mesyuarat. Saya hanya kata jalan ok, padahal lori sangat banyak. Hujan sangat lebat saat saya masuk ke sempadan Perak.
Jam 6.10, lampu jalan sudah terpasang. Musim hujan dan mendung, lampu yang diset auto seakan tertipu dengan cuaca.
Langit gelap zulmat seperti perempuan Negro yang berselubung kain hitam. Saya memang langsung tidak nampak jalan. Hanya mengikut garisan putih yang kabur dan berpandukan lampu kereta hadapan.
Jam 6.45 saya tiba. Awal satu jam daripada jangkaan. Memang saya memandu laju dan non-stop. Hujan masih meriah di Seri Iskandar. Nampak anak sedang berbual dengan mak cik dan pak cik tuan rumah di restoran.
Penat dan lapar. Mak cik tuan rumah belanja saya makan nasi goreng pattaya. Sudahlah dia menjaga anak saya, dia belanja saya lagi. Baiknya hati orang ini.
"Sebab ayahnya sudah pesan minta jaga dia. Jadi kami memang ambil tahu ke mana dia pergi..." begitu mereka memberitahu saya.
Dengan muka berminyak saya menunaikan maghrib yang sudah mahu pamit.
KTM, patutlah di media penumpang asyik merungut mengenai perkhidmatannya yang merudum sejak akhir-akhir ini.
Malam, anak angkat menghantar mesej. "Ada berita ETS tergendala. Gangguan elektrik katanya..."
Kalau belum boleh berlari, jangan paksa diri untuk berlari. Bukan sekali dua ada masalah elektrik. Anak pernah mengalami masalah terperangkap dalam ETS selama hampir tiga jam.
Itulah dia perkhidmatan kereta api kita!
Kereta api Tanah Melayu!
Thursday, November 24, 2011
Moh Ngunyah Sirih
Sirih...
Sirih atau nama saintifiknya "Piper Betle" sering digunakan dalam perubatan tradisional masyarakat Melayu.
Sirih boleh menjadikan pemakannya awet muda kerana ia mengandungi bahan aktif seperti flavornoid dan polyphenol yang boleh menegangkan kulit.
Jadi, apa tunggu lagi...Moh kita ngunyah sirih! Tak payah beli krim mahal-mahal dan berbotox-botox.
Ia juga mempunyai sifat antiseptik yang berperanan dalam merawat kanser.
Bau mulut dan badan juga boleh diatasi dengan amalam memakan sirih.
Biasanya, Sirih digemari sebagai kudapan dalam kalangan orang-orang tua. Daun sirih dimakan bersama-sama gambir dan kapur sebagai makanan harian pada waktu lapang. Kadang-kala ia dijadikan hidangan kepada tetamu.Walaupun begitu, dewasa ini bilangan penggemar sirih semakin berkurangan.
Sirih mempunyai nama yang berbeza-beza, antaranya sirih carang, camai, kerekap, serasa, cabe, kengyek atau kerak. Kebiasaannya, pokok sirih ditanam di kampung-kampung. Namun begitu terdapat juga pokok sirih yang tumbuh meliar di kawasan semak-samun. Daun sirih berwarna hijau gelap dan bersaiz kira-kira 15 cm panjang dan 10 cm lebar. Ia juga boleh didapati dengan mudah di pasar, terutamanya di kawasan pedalaman.
Dalam rawatan tradisional, sirih dimakan bersama gambir untuk mengatasi cirit-birit. Daun sirih juga berkesan untuk meredakan sakit gigi. Malah ia juga berkesan untuk melegakan demam panas.
Alahan terhadap udara panas atau makanan-makanan tertentu boleh menyebabkan seluruh badan terasa gatal dan miang serta ditumbuhi bintil-bintil merah dikenali sebagai gelegata. Penyakit ini boleh diatasi dengan menggunakan daun sirih yang dilayur di atas api kemudian disapu pada kulit ketika daun masih panas.
Daun sirih juga boleh menghilangkan masalah gatal-gatal di bahagian kemaluan, di mana air rebusannya digunakan untuk mencuci di bahagian sulit yang gatal.
Bagi mengubati pendarahan pada hidung , daun sirih digulung dan disumbat ke dalam lubang hidung untuk menghentikan pengaliran darah dari dalam hidung.
Ia juga dijadikan hantaran dalam istiadat perkahwinan orang Melayu.
Sirih juga digunakan dalam upacara menjampi seseorang dalam proses mengubati pesakit. Tapi tak lalu le nak makan sirih tu kalau ada air liur bomoh tu terkena kat sirih,kan? Hehehehe...
Bola Sepak & Sepak Bola
Di sana sini, kemarahan dan kebencian sedang menerawang di angkasa Nusantara.
Aura negatif di mana-mana. Hujan lebat musim tengkujuh pun tidak mampu menghakis debu-debu amarah dan benci yang melekat kuat, mengcengkam hingga ada kalanya jadi luka.
Di laman sosial, penuh caci maki. Komen-komen di blog, penuh muatan provokasi.
Sukan sudah jadi penambah perisa untuk meledakkan merapi!
Kita yang asalnya serumpun, sudah jadi berumpun-rumpun. Yang tidak tahu pun, ikut caci mencaci. Kadang-kadang dengan bahasa yang bukan diajar ibunda, apalagi agama.
Sebetulnya teori fizik mudah menyebut, bola yang kita lantun ke dinding akan melantun semula ke arah si pelontar. Ada timbal baliknya di sini. Majikan rakyat kita ada yang mendera dan membunuh orang mereka. Rakyat mereka yang banyak berdagang di sini, menyamun langsung menyembelih warga kita.
Nampak?
Harus juga diingat, rakyat negara jiran itu memiliki jati diri yang sangat kuat berbanding kita. Sejarah negara mereka yang panjang dan berliku serta dasar pemerintah membentuk keperibadian bangsa. Mereka adalah satu berbanding dengan kita yang masih rencam (meskipun penuh dengan slogan segala macam "satu").
Seperti yang saya sebut, mana-mana bangsa pun ada sisi hitam dan putih. Tidak ada bangsa yang mutlak jahat mahu pun mutlak baik.
Kebencian bukan penyelesaian. Jika kita bermula dengan benci, maka kita akan berakhir juga dengan benci.
Bola sepak atau "sepak bola" bukan arena perang. Sukan tetap sukan dan perlu dilihat dengan minda yang matang. Istilah-istilah seperti "ganyang" sebetulnya membawa pengertian perilaku samseng. Kita mahu "ganyang" sesama sendiri. Tanpa kita sedari, ada sekumpulan orang yang sedang memerhati. Dan yang memerhati itu pula sedang merangka strategi yang bakal menghapuskan kedaulatan kedua-dua negara yang berpaksikan "Islam".
Mengapa kita masih terlalu bodoh dengan terus menuang minyak ke dalam api?
Kita saling bergantungan antara satu sama lain. Rakyat kita memerlukan tenaga buruh daripada negara jiran untuk ikut membangun negara, di samping memberi peluang ekonomi kepada mereka.
Rakyat mereka juga menjadikan bumi emas ini sebagai sumber mencari rezeki, menyuap mulut anak isteri atau anak suami di kampung halaman.
Majoriti leluhur kita berasal dari kepulauan Sumatera atau Jawa. Itu adalah hakikat yang wajib kita akui.
Berhentilah memprovokasi. Ilmu komunikasi ada menyebut, sikap agresif harus ditangani dengan sikap pasif. Lebih baik diam daripada ikut menyerang. Lama-lama nanti, jika tiada yang melawan, mereka akan akur sendiri.
Apabila masing-masing sudah tenang, maka di situlah nanti ada penyelesaian.
Wednesday, November 23, 2011
Kak Mon: Diari Derita Saya
Ramai yang berjasa dalam hidup saya, khususnya saat saya dan anak-anak hidup susah di Kuala Lumpur dua puluh tahun yang lalu.
Antaranya Puan Hajah Maimon Mat Nor dan suaminya.
Kak Mon, demikian panggilan saya kepadanya merupakan kerani di Jabatan Penulisan Kreatif dan Deskriptif Universiti Malaya tahun-tahun 1980-an dahulu. Dia yang menaip tesis saya (waktu itu hanya memakai mesin taip elektronik) sebuah novel kajian mengenai nasib pelarian Vietnam ke Malaysia.
Suami isteri ini iras wajah kecinaan. Bermata sepet, berkulit putih, berbadan agam. Kak Mon memang bising mulutnya, tetapi hatinya ultra baik. Dia paling diingati oleh budak kreatif (panggilan untuk mahasiswa Jabatan Penulisan) sebab sangat suka membantu tidak mengira waktu.
Siang malam, cuti atau tidak; Kak Mon orang yang akan dicari!
Saya barangkali paling banyak kenangan pahit manis dengan Kak Mon. Demi Allah, sampai mati saya tidak akan lupakan budi baik mereka sekeluarga terhadap saya dan anak-anak.
Saya kerap menghubungi beliau, bertanyakan khabar kesihatannya yang pernah terganggu disebabkan serangan kanser tulang. Alhamdulillah, kesihatannya baik dan dia masih aktif mengendalikan aktiviti GAPENA bersama suaminya selepas lama pencen dari UM.
Moga Allah melapangkan hidup Puan Hajah Maimon dan keluarganya.
Di genggaman tangannya penuh dengan cerita hidup saya. Dia adalah diari saya. Saat saya masih bergelar mahasiswa, saat berkahwin, saat diterajang kemelut, saat dikhianati, saat berjuang mencari nafas di tengah kota raya, saat jatuh dan bangun saya dalam kehidupan ini.
Ibu bapa saya sendiri pun tidak mengetahui sedalam-dalamnya derita saya kerana mereka jauh di kampung. Dan saya bijak menyembunyikan kisah duka kami.
Tapi untuk Kak Mon, dia adalah saksi segala kepayahan itu. Air matanya mengalir bersama-sama air mata saya. Air matanya masih mengalir saat saya sudah kering tangisan. Saya masih ingat, kedua-dua bayi saya Kak Mon dan suaminya yang membawa balik ke rumah dari wad Hospital Universiti. Dia jauh di Ampang tetapi selalu dekat untuk menyokong tiang tempat saya bersandar tatkala saya hampir rebah.
Jika dikata orang, kita dapat mengenal sahabat sejati ialah tatkala kita ditimpa susah. Ya, saya punya ramai sahabat yang sanggup mengongsi tetapi Kak Mon menduduki tempat teratas.
Saat melihat saya bahagia delapan tahun yang lalu, matanya berkaca. Pun saya masih diuji dan dialah tempat saya mencurah rasa biarpun melalui telefon. Dan kini, ujian itu seakan berlalu; saya segera memberi laporan kepadanya. Jika saat susah, dia tahu; maka saat gembira juga dia wajib tahu.
Persis yang saya katakan; sampai mati budinya terus dilipat dalam ingatan. Saya tak akan lupakan kebaikannya.
Dia adalah diari derita saya...Puan Hajah Maimon!
Tuesday, November 22, 2011
Menjadi Nakhoda
Ada beberapa kerja yang mesti dibereskan sepanjang minggu ini.
Di pejabat, sunyi. Suasana paling baik untuk melaksanakan kerja berdikit-dikit.
Kak Tumerah menelefon dari lapangan terbang. Dia menunggu pesawat untuk ke Miri. Ada beberapa hal peribadi yang sempat kami kongsi. Maklumlah saya jenis yang sangat sukar untuk mempercayai orang sekitar, setelah melalui pengalaman agak pahit lama dahulu.
Ya, ada kalanya penghijrahan ke tempat baharu begitu mengujakan. Ada kala ia tidak sebagus yang disangka.
Kak Tumerah berbicara tentang bagaimana pentingnya sokongan emosi antara satu sama lain dalam organisasi. Bukan setakat mengatakan "Ya, kami memahami" tetapi turut meminjamkan telinga dan hati.
Dia tahu bagaimana ada sesetengah orang yang sangat fobia dengan bos perempuan (mujur saya ada bos yang ok). Pastinya disebabkan sikap teliti yang akhirnya menjadi "cerewet" bercampur baur pula dengan ketidakstabilan emosi.
Cerewet itu tidak mengapa. Tetapi yang tidak tahan ialah apabila melihat "jelingan tajam" meskipun dari jauh (Kak Tumerah pernah menyebut tentang perihal jelingan itu kepada saya).
Tetapi lama mengenali Kak Tumerah, saya sangat pasti mereka yang menjadi kakitangan di bawahnya cukup bertuah.
Dia lembut dan sangat memahami. Jika boleh, dia akan melaksanakan sesuatu tetapi jika tidak, dia berani untuk menyebut tidak. Dia tidak suka menyusahkan orang bawah apalagi melakukan sesuatu untuk sekadar gahnya nama. Tidak juga mengadu-ngadu perihal orang bawahan kepada orang bawahan yang lain.
Mudah-mudahan Kak Tumerah a.k.a ex-Chef Kohort 7 kami itu terus sukses menjadi nakhoda institusi yang dipimpinnya.
Menjadi nakhoda bukan main payah. Bukan setakat wajib lulus ilmu maritim, bahkan juga tahu "membeli" hati anak kapal. Hati yang mahu dibeli pula bermacam jenis dan kategori. Silap-silap beli, nakhoda pula yang terpaksa makan hati.
Kasihan orang yang terpilih menjadi pemimpin. Berat tanggungjawab seperti sebeban batu besar yang diletakkan di pundak. Salah pimpin, bagaimana mahu menjawab kepada Allah.
Seperti kata Kak Tumerah, "silap penilaian sedikit pun, hidup kita akan hilang berkatnya..."
Sunday, November 20, 2011
Dia bulan dan matahari saya
Pagi ini asyik teringatkan emak.
Selalunya kalau menghantar anak balik ke kampus, langsung menjenguk emak sekejap di kampung. Tapi kali ini tidak sempat sebab ada keperluan anak yang mendesak dan perlukan masa.
Sempat menelefon emak, anak saudara yang menjawab.
"Nanti kejap. Opah ada dalam semak..." kata anak saudara berusia sebelas tahun itu dengan nafas seakan orang berlari.
"Emak buat apa?" tanya saya setelah mendengar suara emak di hujung talian.
"Sedang menebas semak di belakang rumah..." jawapan emak mengharukan saya.
Usia tujuh puluh tiga, dengan tubuhnya yang kecil; semangat emak tidak pernah sekecil itu.
Seorang lagi manusia penuh energi yang pernah saya jumpa selain suami.
Emak bukan tidak pernah sakit tetapi semangatnya tidak pernah mahu mengalah dengan penyakit. Akhirnya penyakit apa pun angkat tangan dan berlalu pergi.
Cuma entah mengapa, emak begitu awas dengan ujian yang saya hadapi sekarang ini. Kebimbangan emak selalu ditutup dengan tawa. Saya tahu emak tidak mahu saya pergi dahulu sebelumnya. Tetapi saya juga tahu, kekuatan hati emak mampu mengatasi apa pun yang bakal datang.
Jika boleh, saya mahu pulang ke sisi emak sekerap mungkin. Meskipun jauh, saya tetap mahu pulang. Melihat emak memberikan saya kekuatan. Melihat emak seperti melihat tayangan kehidupan penuh berliku. Sekarang, emak terlalu menjaga hati saya. Makanya saya juga wajib menjaga hati emak.
Saya tahu doa emak khusus untuk saya sentiasa menerawang di angkasa lewat dhuha atau di sepertiga malam. Seperti doa emak untuk kekasihnya yang telah menemui Tuhan sebelas tahun lalu.
Minggu hadapan, usai konvokesyen puteri sulung saya, dengan izin Allah saya pasti pulang ke sisi emak. Meskipun sebentar, saya tetap mahu pulang.
Sebab emak adalah matahari dan bulan saya.
Di mana-mana pun dia ada.
Dalam raut wajah, juga di hati saya.
Anak...berlarilah!
Sabtu 19 November.
Ada kursus yang wajib dihadiri bermula jam delapan setengah pagi hingga jam empat petang.
Tapi kami perlu tiba ke kampus Seri Iskandar sebelum pejabat tutup.
Bermakna cantiknya, jam sebelas setengah pagi mesti bergerak dari Seremban.
Bermakna juga saya hanya dapat mendengar taklimat yang sangat informatif itu sehingga jam sebelas. Rugi rasanya sebab maklumat yang diberi memang sangat berguna.
Tetapi anak lebih penting.
Hari ini anak perlu pulang ke kampus untuk kes rayuan penginapan. Dia gagal mendapat tempat di kolej kediaman. Stickernya cukup, pointernya melepasi syarat. Tiada masalah.
Jam empat dua puluh minit kami sampai. Anak mengisi borang rayuan, beratur paling akhir.
Dua puluh minit kemudian dia keluar. Wajahnya tampak kecewa.
"Pak cik tu kata gaji macam ni pun mahu minta duduk dalam..." Dia mengadu.
"Tak apalah. Jangan susah hati, kita cari rumah sewa. Minta kawan adik yang tak dapat rumah, menyewa bersama adik. Lagipun tinggal dua semester saja lagi."
Anak merungut.
" Dulu ada dengar cerita, ada orang tak layak dapat asrama tapi guna orang dalam..." dia melampiaskan rasa.
Saya memujuk.
"Biarkan kalau mereka mahu guna siapa pun. Kalau kita cantas hak orang lain yang kurang bernasib baik daripada kita, keberkatannya akan jadi kurang. Ibu dulu dari sekolah sampai universiti, sampailah bekerja; tidak pernah sekali pun guna orang dalam untuk capai impian. Kita usaha sendiri. Gagal atau tidak, ada sesuatu yang Allah mahu beritahu kepada kita," demikian saya berkata.
Kami mencari ke sana sini. Akhirnya berjaya mendapat tempat untuk adik. Tuan rumah memiliki restoran di tingkat bawah. Tingkat atas megikut cadangannya mahu menempatkan pelajar-pelajar wanita menjelang Januari 2012. Ada enam bilik dengan kapasiti dua orang sebilik, RM100 sekepala.
Masalahnya rumah atas restoran itu belum siap sepenuhnya. Lantainya penuh debu, tiada sebarang kelengkapan apa pun. Kipas siling pun belum berpasang.
Tetapi dek kasihankan adik, mereka mengizinkan adik menyewa bilik paling hadapan. Kami mula mencari tikar dan peralatan lain. Tuan rumah mencuci bilik, meminjamkan kipas meja dan toto. Suami mencuci tandas, menyapu sawang dan debu.
Kata tuan rumah, mereka akan melengkapkan bilik itu secara beransur-ansur.
Oleh kerana adik bersendirian, sewaan mula RM200. Ada juga seorang bibik, pekerja restoran yang duduk di bilik belakang. Jadilah untuk meneman adik.
Maka beribu-ribulah pesanan saya. Sampaikan ke perkara melintas jalan, menyendal pintu, hal-hal keselamatan dan makan.
Saya beritahu anak, jangan bimbang mengenai apa pun. Tugas mereka hanya belajar. Biar kami berkereta buruk dan kecil atau langsung tidak berpeluang berdarmawisata, biar tidak berganti baju baharu. Kami akan berusaha menambah rezeki asalkan dapat membiayai pengajian mereka sepenuhnya.
"Kalau ibu tidak sempat menikmati kesenangan macam orang lain sebab asyik membiayai anak?"
Pada saya, itu pun tidak mengapa. Melunaskan tanggungjawab itu prioriti. Nanti akan ditanya oleh Allah. Kalau sempat, sempatlah. Kalau tidak pun, penting sangatkah kesenangan dunia itu jika kita sudah berada di barzakh?
"Harap-harap ibu sempat menikmati kesenangan macam orang lain juga, kan ibu?"
Itu namanya takdir. Itu juga namanya rezeki. Jangan terlalu mengejar dunia yang makin dikejar makin kuat dia berlari. Kalau kita sudah tiada di dunia, hanya doa anak yang kita damba. Ladang itik, duit banyak, rumah besar atau kemegahan apa pun bukan dambaan kita lagi.
Pejuang-pejuang agama, para pendakwah yang bertebaran mengajak manusia ke jalan Allah; rugikah mereka?
Di mata manusia, mungkin kita melihat mereka dengan penuh rasa rugi. Tapi di mata-Nya, mereka sangat beruntung.
Samalah saat saya berada di restoran milik tuan rumah adik. Saya melihat dengan mata berkaca, sebuah keluarga yang punya anak istimewa. Barangkali anak itu menghidap autisme atau spastik. Sudah remaja anak itu.
Saya katakan kepada anak saya.
"Mahu lihat siapa penghuni syurga? Itu penghuni syurga. Berbahagialah ibu bapa kepada penghuni syurga itu jika mereka redho..."
Sabar sekali si bapa menyantuni si anak, menyuap makanan ke mulut si anak yang barangkali sudah berusia belasan tahun.
Allah memilih ibu bapa itu dengan ujian seorang anak istimewa. Kalau kita berasa bahawa betapa ruginya menjadi ibu bapa kepada seorang anak istimewa; maka kitalah orang yang rugi itu.
Bersedia berlapang dada dengan kehidupan kita adalah ubat paling baik.
Adik belajar banyak perkara dua hari ini. Dia juga akan mula berdikari.
Saya pun kena berlapang dada. Menyerahkan adik di bawah lindungan Allah.
Lewat petang Ahad, kami pulang ke Seremban dalam hujan yang lebat, di luar dan di hati.
Di Seri Iskandar, hujan juga lebat. Adik terkurung di kamar barunya.
Thursday, November 17, 2011
Air dan botolnya
Ada satu tabiat yang membezakan pelajar Melayu, India dan Cina.
Lama dahulu saya sudah perasan. Di kolej, di sekolah dan rupa-rupanya di IPG juga.
Waktu mengawas peperiksaan paling mudah untuk melihat perbezaan ini.
Jika unit yang berada di kelas itu semuanya berketurunan Cina, kita akan lihat botol-botol air berada di sisi meja. Semua membawa botol air. Perhatikan pula saiz botol-botol itu. Saiznya besar-besar, malahan ada yang sudah usang tetapi mereka tidak malu untuk membawanya.
Jika mengawas pelajar dari unit yang majoritinya Melayu dan India, atau secara totalnya daripada Melayu dan India; perhatikan di sisi meja. Hanya sebilangan kecil yang membawa botol air. Saiz botol juga kecil sekitar muatan 500ml.
Struktur molekul air terdiri daripada dua bahagian iaitu Hidrogen dan Oksigen. Minda yang cerdas sangat bergantung kepada tidak atau cukupnya bekalan kedua-dua unsur ini di dalam tubuh kita.
70 peratus kandungan badan kita terdiri daripada air.
Apabila kita mengalami dehidrasi, badan dan minda kita juga turut stres.
Ramai yang tidak tahu bahawa ubat segala penyakit sebenarnya bermula daripada air. Semua masalah akan selesai jika sejak awal kita minum air secukupnya.
Saya pernah bertanya kepada pelajar, mengapa tidak gemar membawa air ke kelas. Jawapannya kadangkala tidak logik iaitu lupa! Atau ada juga yang menjawab, malas! Dan sebilangan kecil mendakwa, beg sudah tidak ada ruang untuk meletakkan botol air.
Saya juga meminta pendapat anak. Oleh sebab mereka juga memiliki sikap yang sama dengan saya, saya cepat memahami mengapa mereka enggan membawa botol air yang besar semasa kuliah.
Anak membawa dua botol air muatan 500ml. Satu diletakkan dalam beg dan satu lagi di tangan. Rakan-rakan sekuliah tidak membawa bekalan air. Apabila haus, mereka akan meminta daripada anak.
Ada satu masalah besar! Mereka minum dengan mulut di muncung botol!
Saya dan anak-anak memang ada satu perangai yang sama. Kami"geli" untuk minum lagi di botol yang sama! Kesimpulannya, saya dan anak memang sangat keberatan untuk berkongsi "bekas mulut" dengan sesiapa sahaja kecuali jika bekas itu bekas emak.
Biasanya anak akan berkata, "tak apalah, ambil terus...", dengan harapan satu lagi botol yang dsimpannya di dalam beg tidak diminta oleh sesiapa.
Walau bagaimanapun, jika mereka minum tanpa "kena" muncung botol; masih tidak mengapa.
Begitu juga jika minum di straw yang sama atau berkongsi sudu!
Sekali lagi, tidak mengapa jika saya minum bekas emak dan anak saya juga tidak kisah jika minum bekas saya!
Perangai yang pelik, bukan? Susah jadinya kalau tiba-tiba terdapat situasi mendesak yang perlukan keterbukaan untuk berkongsi...
Benda-benda seperti itu nampak kecil tetapi penting.
Tidak tahulah macam mana saya dan anak boleh jadi seperti itu...
Monday, November 14, 2011
Hidayah: Kompas Dalam Belantara Kehidupan
"Apa kabar? Ratna sihat?" Tanya Ketua Jabatan saya.
"Ya, Alhamdulillah" Jawab saya diiring senyum terima kasih.
Pasti yang ditanya itu kesihatan tubuh badan saya, bukan yang lagi satu.
Apakah itu?
Kita selalu ditanya tentang kesihatan tubuh badan kita, tetapi amat jarang kita ditanya dan bertanyakan kepada diri kita sendiri tentang kesihatan iman.
Mudah-mudahan Allah menganugerahi kita kedua-dua kesihatan itu.
Jam lima lima belas minit, saya sudah ada di kereta. Menekuni bait-bait ceramah ustaz di IKIM.fm. Saya berhenti di bahu jalan mencatat isi yang menarik.
Ustaz menyebut tentang sesuatu yang pernah saya ajar saat memberi kuliah tentang komunikasi satu ketika dahulu. Ia berkaitan dengan fasa kehidupan manusia iaitu dari alam roh, rahim, dunia, barzakh/sempadan,dan akhirat.
Dunia merupakan fasa paling kritikal. Di fasa ini juga penentu kepada kehidupan kita di fasa seterusnya. Dunia umpama belantara dan kita adalah warga akhirat yang sedang kembara di dunia. Saat kembara pasti kita memerlukan kompas. Jika bekalan makanan banyak sekali pun tetapi tiada kompas, tiada gunanya juga.
Apakah "kompas" kita itu?
Kompas kita itu ialah hidayah. Hidayah juga disebut sebagai hadiah daripada Allah. Sekurang-kurangnya tujuh belas kali dalam sehari kita meminta hidayah melalui bacaan dalam surah Al-Fatihah.
Amat berdosa jika kita tidak meminta hidayah daripada-Nya kerana bukankah berdosa jika kita meninggalkan al-Fatihah dalam solat?
Ustaz menyebut bahawa ada lima jenis atau peringkat hidayah iaitu hidayah tabiee, pancaindera (qawas), akal, agama/Islam dan hidayah taufiq.
Hidayah tabiee ini merupakan sesuatu yang natural dan tiada campur tangan manusia. Contohnya bayi yang lahir tidak perlu diajar untuk mencari susu ibu. Anak penyu yang menetas, secara semula jadi segera menuju ke laut, benih yang tumbuh, pucuknya akan segera mencari cahaya. Akar pokok pula menuju ke punca air.
Saya tertarik dengan ulasan ustaz berkaitan hidayah akal dan agama. Akal diumpamakan seperti kipas yang ligat berpusing tetapi mesti melekat di dinding atau siling. Dinding dan siling itu ialah agama. Akal tidak boleh diberi autoriti untuk menentukan hukum halal haram.
Sama-samalah kita berdoa agar iman kita tidak tercabut saat sakaratul maut.
Jika lori itu membawa muatan pasir, tatkala bertembung/ berlanggar dengan sesuatu yang lain, yang keluar daripadanya adalah pasir.
Begitu juga jika lori yang membawa sayur. Jika berlaku perlanggaran pasti yang keluar bertebaran ialah sayur juga.
Samalah halnya dengan kita. Jika setiap hari kita memenuhi hati dengan iman, maka saat bertembung dengan malaikat maut dan bertempur pula dengan hasutan iblis; yang keluar daripada kita ialah iman melalui syahadah.
Muda Selalu
Hari ketiga saya mengawas peperiksaan.
Jam delapan pagi saya mesti berada di bilik peperiksaan. Jam delapan setengah peperiksaan bermula. Buru-buru saya mendaki tangga ke tingkat tiga bangunan usang itu.
Aduhai, saya sepatutnya berada di bilik itu tepat jam delapan. Saya sudah terlewat dua minit, sebabnya saya masih terpinga-pinga mencari ketua saya di unit peperiksaan.
Sudah ada seorang pensyarah senior yang akan bersama saya mengawas peperiksaan di bilik itu.
Dalam keseganan kerana lewat, saya menyapa, "Morning, Puan. Sorry I'm late"
Dia senyum manis dan lembut.
"Please wait outside..." katanya, masih bernada lembut.
Saya menyangkakan dia mengarahkan pelajar lain supaya menunggu di luar. Saya pun memasang tag nama dan mohon untuk membantu, "Give me that papers..."
"I call you before 8.30. But now, please wait outside..." masih lembut dan manis.
Baru saya perasankan sesuatu!
"Puan, I'm also an invigilator..."
Dia terkejut langsung mohon maaf.
"I think you are the KPLI candidate...I'm so sorry. How come you look so young?"
Kembang sekejap hidung saya yang sudah sedia berkembang!
"My family and friend called me Young (Yang). That's why I'm always look young!" Gurau saya. Mujur dia memahami gurauan bodoh saya itu.
"From which department?" Soalnya.
"Malay Studies..."
Dia lagi terkejut apabila saya maklumkan bahawa saya sudah menghampiri empat puluh enam dan punya anak gadis berusia dua puluh satu tahun.
Sebenarnya tidak perlu terkejut. Saya berkahwin di usia hujung dua puluh tiga, dan di hujung dua puluh empat saya sudah punya anak seorang.
Ada seorang kawan sekelas saya, berkahwin saat menuntut di luar negara, punya anak berderet tahun dan yang paling tua sudah dua puluh empat.
Cuma barangkali trend zaman moden ini yang serasi dengan perkahwinan lewat, maka ada wanita seusia saya masih punya anak-anak kecil berusia setahun.
Cerita saya disangkakan "kakak" anak memang sudah biasa. Apalagi jika saya hanya memakai seluar trek dan bersandal, juga tanpa sebarang solekan.
Ada seorang tauke kedai gambar di Kuala Pilah menanya anak bongsu saya, "yang tadi tu kakak awak ke? Muka sama, senyum pun sama. Selalu gaduh tak masa kecik-kecik?"
Bengang betul anak saya. Lalu cerita tersebut dijadikannya komik dengan garapan yang sangat lucu. Saya tak henti ketawa membaca komik yang dilukis anak.
Sejak kerap benar disangkakan "kakak" anak, saya akan memakai jubah, bertumit tinggi dan membawa tas tangan jika melepak bersama anak dan kawan-kawannya. Elemen-elemen itu akan menjadikan saya nampak sedikit matang dan ketua-tuaan.
Seorang kawan juga pernah mengirim sms, "suami akak ingat Yang student KPLI..." Saya menumpang kereta kawan saya dan suaminya untuk pergi ke kereta saya. Saya memarkir agak jauh. Saya fikirkan suaminya tahu bahawa saya adalah kawan muda isterinya itu.
Apa pun, terima kasih kepada emak yang menurunkan gen awet muda kepada anak-anaknya. Tiada bahan kosmetik apa pun, tiada juga sebarang amalan.
Kalau betul saya nampak muda tidak sepadan usia, hanya ucap terima kasih kepada Allah.
Memanglah hati berbunga gembira jika dikatakan nampak muda. Tetapi kekurangannya ialah kita selalu kurang dihormati kerana dianggap "muda" ilmu dan pengalaman.
Kawan-kawan muda saya saat di kolej dan sekolah juga barangkali memberikan aura muda mereka kepada saya. Begitu juga dengan anak-anak saya dan kawan-kawan mereka yang selalu berbicara tentang apa sahaja topik dunia remaja mereka dengan "mak cik pendek sporting" ini.
Sebenarnya jika diteliti betul-betul, muka saya bukanlah muda. Sudah ada kedutan di dahi. Pipi pun tidak tegang lagi.
Sebetulnya saya tidak bersolek atau berfesyen. Itu sebabnya saya tidak nampak tua sangat.
Saya sukakan komik, juga filem korea. Saya juga suka menyanyi lagu-lagu kontemporari.
Tetapi saya tidak gemar langsung mendengar Hot.fm atau Fly.fm. Saya memilih Ikim.fm dan Sinar.fm. Ertinya saya bukan berjiwa muda secara total.
Mudah-mudahan Allah memberikan kehidupan yang baik kepada kita tidak kira kita berwajah muda atau tua. Wajah muda atau tua bukan ukuran untuk ke syurga.
Saturday, November 12, 2011
Cerita Hujung Minggu
Dalam hujan nipis, saya memandu ke terminal.
Puteri sulung saya pulang ke rumah usai tugasnya di ibu kota.
Nampaknya dia mahu berhujung minggu bersama si adik sebelum adik mula kuliah minggu hadapan. Dan nampaknya juga saya kembali jadi ibu yang paling sibuk di dapur.
Sempat menyelak akhbar dalam hujan nipis itu.
Melihat halaman akhbar, ada ibu seusia saya sedang gembira menunggu kelahiran anak yang kedua puluh. Ibu itu juga sudah punya dua cucu.
Gembiranya wajah dia. Allah memberikan rezeki dalam kepayahan mendidik anak seramai itu.
Di pusat beli belah, anak-anak menonton wayang berjudul "In Time". Saya menekuni buku di toko. Berulang alik dari surau ke toko buku. Banyak sekali buku baru yang menarik.
Saya membeli dua naskah. Sebuah karya Khaleed Hosseini berjudul "The Kite Runner" setebal 340 halaman dan senaskah lagi bertajuk "9 July 2011 What Really Happened".
Naskah pertama karya doktor kelahiran Afghanistan tetapi menetap di California itu saya belum baca. Hanya meninjau sepintas lalu.
Naskah yang kedua itu untuk informasi sahaja. Sensitif, tapi saya hanya mahu tahu. Sebahagiannya sudah tersiar di maya. Tetapi membaca coretan di dalamnya, bulu roma saya berdiri dan sesekali saya menyeka air mata.
Ada beberapa buku karya Salman Rushdie. Saya hampir membelinya tetapi mengenangkan kebiadapan penulis itu terhadap Islam via "The Satanic Verses", saya mengintainya penuh benci.
Ada juga buku tentang Allahyarham Laksamana Cheng Ho. Saya menyimpan hasrat mahu mengenali laksamana Islam yang hebat ini melalui buku tulisan sarjana tempatan.
Sabtu yang ramai, sudah hampir sukses dalam satu perkara. Membudayakan hari tanpa beg plastik. Jadi, saya menggonggong buku-buku, beberapa naskah akhbar dan barangan lain yang dibeli tanpa beg plastik.
Hujung minggu yang penat, tapi hati saya berbunga gembira. Semeriah bunga-bunga matahari.
Friday, November 11, 2011
Sebatang Pokok Roselle dan Kenangan
Ada sebatang pokok roselle yang sudah berbuah di pinggir jalan rumah sewaan saya.
Sebatang pokok dengan bunga dan buah yang berwarna cantik itu selalu mengingatkan saya kepada tanaman roselle yang emak dan ayah tanam di halaman rumah menuju ke anak sungai, tahun-tahun saat saya masih sekolah rendah dahulu.
Rimbunan tanaman dengan buah yang berwarna cantik itu menghiasi sudut halaman rumah memanjang pula ke tebing sungai, hidup dengan subur dan meriah.
Seringkali pula minda kreatif seorang anak kampung membayangkan sedang berada di negara luar yang dilatari rimbunan bunga roselle yang cantik.
Kebetulan pula saat itu kampung masih sesuci gadis pingitan. Udaranya nyaman. Kabus selalu enggan pergi pada waktu pagi. Kabus mengaburkan pandangan, tetapi amat cantik, apalagi kalau saat padi menguning.
Dingin kampung yang masih gadis itu memang amat serasi dengan tanaman roselle.
Emak akan memetik buah roselle itu dan menjerang untuk dijadikan jus. Jus itu pula dimasukkan ke dalam botol-botol dan ditenggelamkan ke dalam kolah.
Kenapa begitu?
Sebabnya zaman itu elektrik belum menjengah kampung kami. Maknanya tiada lampu elektrik, tiada TV dan tiada peti ais.
Enak dan dingin sekali jus yang ditenggelamkan ke dasar kolah. Air dari kolah itu pula air gunung. Sungguh alami. Tiada apa yang tercemar, tiada campuran bahan yang boleh merosakkan sistem tubuh.
Manis masam rasa jus daripada kuntuman bunga roselle adalah manis masam kehidupan.
Biarpun telah lama berlalu, tebing sungai pun sudah ditambak tinggi demi mengelakkan limpahan banjir; saat pulang ke desa, saya masih terbayangkan rimbunan roselle.
Roselle yang memerah selalu menceriakan kami dalam payahnya kehidupan.
Siapa bilang, orang susah tidak pernah hidup gembira?
Sekuntum bunga roselle yang cantik dan jus hasil air tangan emak mampu menjadikan hati kami juga berbunga-bunga.
Sedangkan untuk seorang kaya, rimbunan bunga pelbagai spesis di taman banglo mewah belum tentu mampu menceriakan hati.
Sebatang roselle di pinggir jalan berdepan dengan rumah kecil sewaan saya, setiap pagi sentiasa menerima ucap terima kasih daripada ibu bunga matahari.
Anak melihat saya dengan mata hairan.
Saya beritahu anak, "ini bunga hati, bunga kenangan..."
Wednesday, November 9, 2011
Clifford School KK (84-85): Tingkatan 6 Yang Hebat...
Selepas mendapat keputusan gred satu SPM di MGS Ipoh, saya ditawarkan ke Anglo Chinese School untuk menyambung pengajian tingkatan enam. Tetapi saya memikirkan lebih baik saya ke Clifford School Kuala Kangsar kerana lebih dekat dengan kampung saya.
Tetapi entah bagaimana surat pertukaran saya itu tidak sampai-sampai ke tangan saya.
Selepas minggu orientasi, baru saya mendapat surat. Itu pun selepas saya pergi ke Jabatan Pelajaran Ipoh. Saya ditempatkan di L6A1. Di Tingkatan enam, keputusan saya ok. Saya muncul pelajar terbaik untuk aliran sastera. Masih saya ingat MB Perak pada masa itu, Datuk Ramli Ngah Talib menghadiahkan sebuah tafsir Al-Quran, piala dan sijil (yang diambil oleh ibu saya kerana saya di UM pada masa itu), sementara TPM iaitu Tun Ghafar Baba menghadiahkan beberapa naskah buku dan juga wang tunai.
Di tingkatan enam, sekali lagi saya menginap di asrama. Di MGS, lima tahun dan di Clifford School dua tahun. Tingkatan enam ketika itu sangat hebat. Guru-guru memberi kepercayaan kepada pelajar-pelajar.
Pada mulanya saya ketakutan kerana dikelilingi pelajar lelaki. Clifford adalah sekolah lelaki, pelajar perempuan hanya wujud di tingakatan enam. Dan saya bekas pelajar sekolah perempuan.
Beberapa minggu saya menangis setiap pagi kerana ketakutan. Apa tidaknya, sepanjang koridor menuju ke kelas enam rendah, senior lelaki enam atas akan berbaris untuk menyakat!
Menjadi pelajar tingkatan enam, hubungan antara rakan sangat baik. Ada seorang kawan sekelas yang meninggal kerana kemalangan jalan raya. Kami beramai-ramai ke rumah arwah. Sedihnya tidak terkata. Guru-guru yang masuk ke kelas memahami kesedihan kami. Beberapa minggu kelas jadi suram.
Sesungguhnya kehilangan apa pun sangat menyakitkan.
Pengetua pada masa itu ialah Cikgu Azidin, yang kemudiannya pernah memimpin persatuan penulis yang saya anggotai (Lembaga Pembangun Sastera Perak) yang berpusat di Kuala Kangsar. Ada satu ketika saya terjumpa dengannya di pekan kecil daerah kelahiran saya. Beliau sangat teruja, tak henti-henti bercakap dan meminta saya mendaftar untuk menyertai alumni Clifford.
Bertemu semula rakan-rakan lama di FB, saya terkejut-terkejut. Barangkali mereka pun terkejut juga melihat saya. Jika dulu kurus kering, sekarang masing-masing sudah gempal. Jika dulu licin mukanya, sudah ada kedut di sana sini. Paling menyedihkan apabila dikabarkan sudah ada rakan-rakan yang meninggal dunia.
Begitu cepat masa berlalu. Begitu deras juga masa mendewasakan kita.
Apa pun, saya gembira bertemu rakan-rakan lama meskipun hanya di maya. Kenangan masa lalu adalah harta ingatan kita...
Kelebihan Wanita: Leterannya...
Dalam komunikasi, biasanya komunikator bagi kedua-dua pihak mahu mewujudkan suasana win-win (menang-menang).
Komunikator yang berada dalam keadaan sebegini menghormati lawannya. Tidak berlaku situasi menang-kalah, atau kalah-kalah.
Pergaduhan yang selalu berlaku, dan kadangkala bertukar tragis disebabkan sikap mahu menang inilah. Kedua-dua pihak hanya memikirkan tentang kemenangan dalam berhujah, atau mempertahankan pendirian masing-masing tanpa mahu menjalankan sesi rundingan.
Saya ingin mengaitkan hal menang-menang ini dengan hobi yang sudah sinonim dengan wanita.
Kajian menunjukkan bahawa otak wanita berkeupayaan menjalankan peranan multitasking, yakni boleh melakukan beberapa kerja dalam waktu yang sama.
Apakah kerja-kerja tersebut?
Contohnya sambil berleter, wanita boleh melakukan kerja-kerja fizikal yang lain seperti mengemas, memasak atau mencuci pakaian.
Lelaki atau suami memang tidak menggemari tabiat pasangannya yang suka berleter. Telinga lelaki telah dicipta oleh Allah untuk memfokuskan pendengaran kepada bunyi dari hutan atau di lapangan, juga selesa dengan bunyi alam dan mesin.
Secara automatik, telinganya akan “tertutup” apabila mendengar suara perempuan berleter.
Kelebihan yang diberikan kepada perempuan ini kadangkala disalahgunakan dengan berleter secara melampau-lampau.
Sehinggakan jika ada semut melintas pun, akan menjadi mangsa leteran!
Apalah dosa sang semut sehingga diperlakukan sedemikian rupa?
Suami pula seharusnya menanggapi leteran si isteri sebagai satu cara untuk memuhasabah diri, memberi peringatan dalam melangsungkan tanggungjawab.
Berleter adalah satu kemahiran, seperti yang saya selalu sebut dalam kuliah saya dahulu. Ia merupakan kemahiran yang diwarisi turun-temurun.
Maka bergembiralah kerana dikurniakan kemahiran itu. Jangan sesekali menyalahgunakan sehingga merimaskan orang lain, khususnya si suami yang kepenatan pulang bekerja.
Berleter akan menggerakkan otot-otot di muka, lantas menjadikan wajah kita awet muda.
Tapi awas! Wajah peleter yang awet muda. Wajah orang yang kena leter akan bertambah tua!
Berleter juga dapat menghilangkan tekanan. Itu sebabnya dikatakan perempuan lebih panjang usianya daripada lelaki.
Boleh berleter tetapi jangan sampai berlaku pergaduhan yang tidak diingini. Lelaki pula kenalah membuka telinganya dan juga hati.
Sayidina Umar Al-Khattab r.a sendiri sabar mendengar isterinya berleter.
Apabila ditanya, baginda menyebut, “ tidak patut kalau aku tidak sabar dengan karenahnya. Bukankah dia telah memasakkan makanan untukku, membasuh pakaianku, bersabung nyawa melahirkan zuriat untukku, dan dia tempat aku mendapat hajatku? Sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama. Nanti akan baik dengan sendiri...”
See?
Lelaki, buka-bukakanlah hati untuk menerima leteran isteri.
Dan perempuan, berleterlah dengan topik-topik yang munasabah.
Supaya proses komunikasi itu akan menjadi menang-menang, bukan menang-kalah atau kalah-kalah.
Sesetengah lelaki pula, janganlah berasa kecewa jika isteri anda tidak pandai atau kurang mahir berleter!
Saturday, November 5, 2011
Tentang Cinta
Anak-anak dengan sepupu-sepupu tahun 1996 & 2011 |
Seorang ibu selalu tidak sedar. Kadang-kadang langsung terlupa.
Apabila anak-anak sudah ketemu pasangannya, bermakna dalam hatinya sudah punya taman.
Kenapa mesti kita marah-marah?
Sebaiknya kita berikan panduan. Apa yang boleh dan apa yang tidak. Barangkali jangan ulangi kesilapan yang pernah kita lakukan, jika ada. Bukankah itu lebih baik daripada terus-terusan membangkang?
Anak-anak sekarang, barangkali kita dulu pun; lagi dibangkang lagi kita cenderung melawan. Bukankah begitu?
Jika usia sudah lepas dua puluh, bermakna anak itu sudah menjenguk usia dewasa. Kita letakkan pagar berduri pun, jika ada kemahuan mahu melepaskan diri, di situ tetap ada jalannya.
Seperti yang saya katakan, kalau kita dahulu boleh bercinta dalam usia dua puluh satu, maka mengapa kita mati-matian melarang tanpa memberikan panduan?
Nah, cinta itu tidak jijik. Allah memberikan rasa cinta dalam hati kita, maka peliharakanlah agar cinta tidak berubah kepada nafsu semata-mata.
Yang menjadi rosak itu kerana cinta tidak dipelihara. Cinta yang berpaksikan iblis, bukan cinta kerana-Nya.
Kita dilahirkan kerana cinta, maka mengapa kita jadikan dunia ini penuh dengan rasa benci-bencian?
Tuhan, saya bersyukur kerana anak-anak tidak bercinta saat masih sekolah. Saat sekolah, mereka selalu dekat dengan saya. Mengekori ke mana sahaja saya pergi, seorang memegang tangan kanan dan seorang memaut lengan kiri.
Saya tidak dirasuk bimbang seperti mana rakan-rakan saya yang selalu kelam-kabut dan menderita diuji dengan karenah anak-anak mereka yang sudah mula bercinta sejak masih sekolah.
Thursday, November 3, 2011
Setelah Hujan
Musim ini musim basah.
Hujung 2011 dan barangkali awal 2012, beberapa buah negeri di utara, timur dan selatan akan mengalami lebihan hujan. Banjir besar dijangka berlaku. Ada ramalan menyebut bahawa kali ini lebih besar banjirnya daripada yang dahulu.
Negara jiran di hujung kepala kita pun sudah lama banjir. Harga beras dunia dijangka meningkat kerana penanaman padi di Thailand yang terganggu akibat banjir.
Musim basah seperti ini bersamaan pula dengan cuti sekolah yang panjang. Ibu bapa memang perlu awas khususnya jika kediaman mereka berdekatan dengan sungai, parit atau pun longkang besar.
Kita tidak mahu musim cuti menjadi musim tragedi.
Sejak kecil, air selalu naik di kampung kami jika musim itu musim hujan. Rumah di sisi sungai menyebabkan air teh susu dari hulu menerjah masuk ke rumah. Seperti kanak-kanak lain, musim banjir paling seronok. Waktu itu, kami tidak perasan langsung perit dan gusar di wajah kedua-dua orang tua.
Banjir menghanyutkan barangan yang tidak sempat dilarikan ke tempat tinggi. Kampung yang terletak di lembah, dikepung pula dengan aliran air terjun di atas dan sungai kecil di bawah. Kata emak, jika kedua-duanya mengganas, kami akan terkepung di tengah-tengah.
Jika air surut, banyak ikan akan berlompatan di lopak kecil di halaman.
Cuma sekarang, kasihan emak. Emak bersendirian, dengan kudrat usia tujuh puluh tiga, bagaimana emak mahu menentang serangan alam itu?
Selepas hujan, cuaca alam akan berubah. Akan berubah jugakah cuaca hati?
Hujung 2011 dan barangkali awal 2012, beberapa buah negeri di utara, timur dan selatan akan mengalami lebihan hujan. Banjir besar dijangka berlaku. Ada ramalan menyebut bahawa kali ini lebih besar banjirnya daripada yang dahulu.
Negara jiran di hujung kepala kita pun sudah lama banjir. Harga beras dunia dijangka meningkat kerana penanaman padi di Thailand yang terganggu akibat banjir.
Musim basah seperti ini bersamaan pula dengan cuti sekolah yang panjang. Ibu bapa memang perlu awas khususnya jika kediaman mereka berdekatan dengan sungai, parit atau pun longkang besar.
Kita tidak mahu musim cuti menjadi musim tragedi.
Sejak kecil, air selalu naik di kampung kami jika musim itu musim hujan. Rumah di sisi sungai menyebabkan air teh susu dari hulu menerjah masuk ke rumah. Seperti kanak-kanak lain, musim banjir paling seronok. Waktu itu, kami tidak perasan langsung perit dan gusar di wajah kedua-dua orang tua.
Banjir menghanyutkan barangan yang tidak sempat dilarikan ke tempat tinggi. Kampung yang terletak di lembah, dikepung pula dengan aliran air terjun di atas dan sungai kecil di bawah. Kata emak, jika kedua-duanya mengganas, kami akan terkepung di tengah-tengah.
Jika air surut, banyak ikan akan berlompatan di lopak kecil di halaman.
Cuma sekarang, kasihan emak. Emak bersendirian, dengan kudrat usia tujuh puluh tiga, bagaimana emak mahu menentang serangan alam itu?
Selepas hujan, cuaca alam akan berubah. Akan berubah jugakah cuaca hati?
Tuesday, November 1, 2011
Kesusasteraan Inggeris Dalam Sukatan Pelajaran?
Hamlet |
Ke Makam Bonda |
Wira Bukit |
Membuka sekejap laman sosial FB, saya terpandang satu status mengenai cadangan MCA yang mendesak supaya dimasukkan subjek Kesusasteraan Inggeris dalam sukatan pelajaran.
Banyaklah komen yang diberi.
Hampir kesemuanya bernada tidak puas hati, bimbang, malahan marah-marah!
Pada perkiraan saya, dengan sistem naik kelas PMR yang sangat longgar (automatik) berbanding SRP atau LCE, sedar atau tidak bahawa hakikatnya ada ramai pelajar sekolah yang masih tidak tahu membaca berada di kelas -kelas menengah atas?
Dan yang menyedihkan, pelajar-pelajar ini terpaksa mengambil subjek Kesusasteraan Melayu yang salah satu daripada tuntutannya ialah mereka mesti celik huruf dan celik sastera.
Mana mungkin mereka celik sastera kalau mereka buta huruf? Akarnya sudah lemah, bagaimana mahu menumbuhkan pucuk di silara?
Kalau Kesusasteraan Melayu sendiri pun mereka "buta", mahu lagi dipaksa mempelajari drama-drama William Shakespeare?
Mungkinkah subjek tersebut elektif untuk anak-anak golongan elit atau mereka yang memang menguasai Bahasa Inggeris dengan baik?
Seperti English 33319 (english tripple one nine) yang menjadi subjek elektif SPM untuk mereka yang memang bagus dalam Bahasa Inggeris pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an.
Saya bukan chauvanist.
Saya menyintai bahasa ibu kandung, tetapi saya juga mempelajari bahasa-bahasa lain. Malahan, ada rakan yang sudah lama tidak bertemu terperanjat kerana saya mengajar subjek Pengajian Melayu.
Mereka fikirkan selama ini saya mengajar Bahasa Inggeris! Mereka berfikiran begitu barangkali disebabkan latar pendidikan dan tugas menterjemah yang pernah saya lakukan.
Menyintai dan menguasai bahasa ibu kandung bagi saya adalah wajib. Mandatori!
Saya tidak pernah melarang anak-anak yang lebih selesa menulis dalam Bahasa Inggeris, atau mempelajari Phantomn Of The Opera. Malahan saya tidak kisah kesemua novel buah tangan JK Rowling, Susan Conley, George Orwell atau Nora Roberts memenuhi rak buku di rumah.
Namun saya selalu mengingatkan bahawa BAHASA MENUNJUKKAN BANGSA!
Mereka mesti mengenali sekurang-kurangnya lima daripada sebelas Sasterawan Negara. Mesti juga membaca Ke Makam Bonda atau mendengar lagunya yang telah dinasyidkan. Sejak kecil, mereka juga selalu ikut saya ke festival sastera kebangsaan, acara baca puisi atau teater.
Selalu saya mengambil contoh Tuan Guru Nik Aziz yang fasih berbahasa Urdu dan Arab, selain memahami Bahasa Inggeris. Bapak A.Samad Said sendiri sangat mahir berbahasa Inggeris, malahan cekap juga menulis dalam bahasa itu.
Tidak salah mahir dalam pelbagai bahasa kerana semua itu akan mengayakan kita.
Hakikatnya, secara peribadi saya tidak menyetujui pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Jika mahu memantapkan bahasa apa pun selain daripada bahasa ibu kandung, bukan dengan "memaksa" guru dan pelajar mempraktikkannya dalam dua subjek itu. Kita mahu mempelajari bahasa, bukan mempelajari terma-terma saintifik.
Banyak alternatif lain yang boleh kita buat.
Kita bukan menidakkan kepentingan Bahasa Inggeris yang sudah diangkat darjatnya sebegitu tinggi. Kita akui bahasa itu sudah bertaraf kasta paling tinggi di dunia, malahan dianggap bahasa elit bagi masyarakat yang longgar jati diri.
Allah menggalakkan kita menuntut ilmu. Tetapi memasukkan elemen lain pada saat yang tidak berapa kena, memang sedikit menyakitkan hati.
Boleh jika subjek itu dijadikan elektif, tapi sekurang-kurangnya baiki dahulu apa yang sudah rosak. Kemudian angkat Sastera Melayu untuk dikenali, jika pun bukan untuk dicintai.
Sekurang-kurangnya tidaklah kita berasa sedih apabila ada dalam kalangan mahasiswa kita yang tidak tahu siapa itu Usman Awang. Atau menganggap Tongkat Warrant dan Usman Awang itu individu berbeza. Atau ada yang memikirkan Kemala itu nama seorang perempuan ayu jelita!
Juga tidaklah kita begitu sedih apabila ada yang ternganga tidak pernah pun membaca Salina, Ranjau Sepanjang Jalan atau sajak Ke Makam Bonda!
Subscribe to:
Posts (Atom)