Total Pageviews

Monday, October 31, 2011

Lelaki Berusia Bagaikan Permata!


"Kami ni macam permata. Sangat berharga!" dakwa Pak Tam sambil ketawa.

Betullah tu. Zaman ini lelaki berusia 40-an ke atas memang bagaikan permata. Gadis memburu lelaki berusia sudah jadi fenomena.

Jika dahulu, ibu-ibu selalu mengingatkan, "jangan menyanyi di dapur, nanti kawin dengan orang tua!". Amaran dan peringatan yang cukup mengecutkan perut anak gadis.

Itu dahulu. 

Tetapi sekarang, kelihatannya gadis-gadis memang dengan sengaja melalak-lalak di dapur! Barangkali dengan harapan dapat mengahwini lelaki berusia, yang berpoket berat tentunya!

Terlalu sarkastik?

Kita kena terima sesuatu yang benar meskipun pahit untuk ditelan.

Memang masyarakat kini lebih berfikiran terbuka. Berusia atau tidak, lazimnya ibu bapa akan menerima asalkan anak gadisnya berada dalam zon selamat.

Kenapa lelaki berusia jadi buruan?

Yang pastinya kedudukan kewangan sudah stabil, malahan kadang-kadang terlebih stabil. Keduanya, sikap penyayang dan kesabaran lelaki berusia sudah pasti memikat hati para gadis.

Cuma yang kurang sedap didengar ialah apabila dalam "pemburuan" itu, kadang-kadang harga diri dan maruah peribadi diletak ke tepi.

Saya masih tradisional kerana lebih setuju dengan kenyataan bahawa perempuan diburu, bukan memburu!

Saya juga agak terkilan jika ada orang sibuk bertanya mengapa perempuan berusia belum berkahwin. Pada perkiraan saya, persoalan itu mesti ditanyakan kepada lelaki bujang yang belum berkahwin, bukannya perempuan!

Jika masih gemar "berburu", berpada-padalah. Jika sudah takdirnya, pandai-pandailah membawa diri. Jangan merampas segala-galanya, sehingga meruntuhkan apa yang sedia ada!

Sunday, October 30, 2011

Roti Tahi Kucing

Biskut ais jem

 Dulu-dulu waktu zaman kanak-kanak, ada biskut yang diberi nama "roti tahi kucing" dan "roti tahi tikus".

Saya lebih gemar makan roti tahi kucing kerana biskut itu bersalut gula. Bentuknya lebih besar, bergulung-gulung, berwarna-warni.

Roti tahi tikus pula berwarna putih, tidak bergulung-gulung, bersaiz lebih kecil dan rasanya tidak manis.

Enaknya kalau dapat beli dengan harga lima sen, mengunyah-ngunyah di atas dahan pokok yang berjuntai di tebing sungai atau sambil mendengar lagu rancak "Speedy Gonzales" nyanyian Pat Boone dari radio transistor buruk.

Saya memberitahu nama biskut atau "roti" tersebut seperti yang lazim disebut orang-orang kampung kepada anak.

Dia memberi reaksi kurang senang. "Kenapa bagi nama macam itu?".

Mana saya tahu kenapa nama najis binatang itu diberikan kepada biskut tersebut. Barangkali kerana biskut itu menyamai bentuk tahi kucing dan tahi tikus!

Saya berazam akan mencari biskut tersebut jika sekali lagi saya pulang ke kampung. Tidak tahu sama ada masih wujud atau tidak biskut-biskut itu.

Ada sejenis biskut lagi yang kalau dilihat namanya disebut "ais jem". Biskut itu bulat dan di atasnya ada diletakkan gula berbentuk aiskrim.

Kata anak saya, "itu biskut mayat!"

Waktu mereka kecil dahulu, mereka selalu dihadiahkan sebiji gelas dengan beberapa biji biskut tersebut di dalamnya. Gelas itu pula dibalut dengan sapu tangan. Benda-benda itu diberikan jika ada kenduri kematian.

"Masa tu adik suka kalau ada orang mati." Ya Allah! Sabar sajalah.

Zaman saya kecil dahulu juga, ada ais kepal. Ais itu disiram dengan air gula pelbagai warna. Kadang-kadang untuk mengelakkan sejuk, penjual mengambil daun keladi atau daun bersaiz besar berhampiran gerai sebagai tempat meletakkan ais kepal.

Kalau sudah habis air gulanya disedut, baki ais yang tinggal itu adalah senjata paling bagus untuk menyerang lawan. Apabila saya melihat komik LAT, memang betul-betul begitulah gambaran medan peperangan ais kepal di kampung saya.

Meskipun tinggal di kampung yang langsung buta kemajuan, saya tetap suka mendengar lagu-lagu Inggeris.

Lagu-lagu rancak seperti Itsy Bitsy Teenie Weenie Yellow Polka Dot Bikini" dendangan Bryan Hyland, Rock Around The Clock nyanyian Bill Haley atau lagu jiwang seperti Tell Laura I Love Her oleh Ray Peterson, dan sudah semestinya lagu Only You nyanyian The Platters menjadi kegemaran saya. Saya akan menyanyikannya perlahan-lahan supaya tidak didengari ayah. Kadang-kadang memikirkan ayah masih di bendang atau di surau, saya menyanyi kuat. Tetapi dehem ayah dengan cepat pula menutup "suis" suara saya.

Itu peraturan. Tidak boleh menyanyi kuat, perlahankan radio atau TV sebagai tanda menyantuni ayah atau orang yang lebih tua.

Meskipun ayah seorang yang tradisonal dan agak tertutup berbanding emak, jiwanya tetap jiwa seni. Ayah mencipta seni kata lagu ketuhanan untuk kumpulan hadrah yang dimilikinya.

Jadi, kalau sudah gian mahu menyanyi, saya akan menyanyi kuat semasa menepuk hadrah.

Cuma ada satu masalah besar, saya tidak boleh menyanyi dengan betul jika dalam masa yang sama saya bermain hadrah!

Oleh sebab itu, kalau saya menyanyi saya tidak akan menepuk hadrah. Kalau saya menepuk hadrah, saya hanya akan diam sambil mengunyah roti tahi kucing kegemaran saya!

Saturday, October 29, 2011

Semuanya Kerana Emak!

Himawari no okasan!
Ada yang memanggil di telefon. Nada dering lagu "Ice Ice Baby" yang popular pada zaman remaja saya membingitkan telinga.

"Sedang bahagia ya?" Suara di talian mengusik pula dengan tawa. Segera saya mengenal siapa yang menelefon kerana loghat utaranya yang pekat. Waktu menyambut panggilan, saya tak sempat melihat siapa yang memanggil.

"Kenapa kak cakap begitu?" tanya saya, sengaja.

"Dah lama tak nampak karya di akhbar, di majalah. Tu penyakit lama dah mai. Kita ni sama. Kalu tengah berbahagia, memang lagu tu. Idea duk pi mana pun tak tau..." merungut-rungut dia di telefon.

Saya ketawa. Ingat lagi dia dengan rungutan saya lama dahulu. Kalau tanpa kesedihan, payah betul mahu menulis.

Kawan saya itu senior setahun di UM, bidang yang sama. Bapa saudaranya seorang penulis yang hebat dan punya nama. Kami pernah bertugas sebagai editor di Fajar Bakti Petaling Jaya selama beberapa bulan. Beliau juga menulis. Sekarang bertugas sebagai pensyarah di matrix Perlis. Juga mengajar subjek yang sama waktu saya mengajar di kolej matrix dahulu.

Seperti yang pernah saya katakan dalam bengkel penulisan, kadang-kadang kita boleh hadir beratus bengkel tetapi biasanya kita akan menulis mengikut gaya kita sendiri. Setiap kita ada cara tertentu untuk mendapatkan idea.  Saya sendiri, tahun-tahun 1990-an, adalah tempoh paling aktif berkarya. Tahun penuh ujian dan kepayahan. Begitu juga pada tahun 2000 saat ayah pergi meninggalkan dunia yang fana. Allah menggantikan kesedihan dengan kemenangan demi kemenangan, sehinggakan ada pengkritik yang memasukkan nama saya dalam senarai "penulis sayembara".

Apa pun, jangan menulis hanya kerana mahukan wang yang banyak sehingga mengetepikan nilai-nilai baik. Wang itu satu keperluan. Tetapi menggadaikan nilai-nilai baik hanya untuk memburu wang akan merosakkan kerjaya kita sebagai penulis. Nanti bagaimana mahu menjawab soalan-soalan Allah di akhirat kelak?

Ada orang menulis untuk kepuasan. Dia gembira dan puas melihat karyanya di dada akhbar atau majalah. Atau melihat karyanya dinaskahkan. Atau sajaknya dideklamasikan di radio. Atau juga gembira mendengar sajaknya dideklamasikan saban tahun menjelang sambutan merdeka.

Saya dalam kategori itulah. Sebab saya akan segera menunjukkan kepada emak. Saya mahu emak berasa gembira dan bangga. Jika dahulu, saya selalu mengirimkan salinannya kepada ayah dan emak. Sekarang ayah sudah tidak ada lagi untuk membacakan hasil tulisan saya kepada emak. Tetapi emak akan berusaha membaca sehingga habis.

Pernah juga emak tidak tidur semalaman kerana mahu mendengar sajak yang saya tulis khas untuknya dideklamasikan di kaca TV. Tajuknya "Kerana Namanya Mariam" dideklamasikan oleh orang lain (kerana saya tidak sihat untuk hadir) dalam majlis dua puluh empat jam tanpa henti untuk mendapatkan pengikhtirafan Rekod Guiness Malaysia.

Saya hanya mahu emak gembira. Emak bukan jenis menceceh berita kejayaan anaknya kepada masyarakat kampung. Itu yang saya suka dengan sikap emak. Meskipun emak sangat peramah dan sporting, hal-hal sedemikian bukan menjadi topik bualannya.

Buat apa pun kena betul tujuannya. Menulis bukan sebab mahu popular seperti artis.

Untuk saya, semuanya kerana emak! Allah telah memberikan saya seorang emak yang hebat!

Friday, October 28, 2011

Suami Pekak Dua Kali

Cerita ini saya ambil daripada majalah Variasi terbitan Oktober 1996.

Damien Havik telah diserang sejenis virus empat puluh tahun lalu sehingga pendengarannya terjejas. Pada tahun 1967, dia bertemu Amanda dan mengahwini wanita itu. Oleh sebab Damien daripada keluarga kaya, dia melakukan pembedahan mengembalikan deria dengarnya dengan belanja  US 50,000.

Damien ingin mendengar muzik, menonton filem, mendengar suara burung dan sebagainya sebelum dia meninggal dunia.

Tetapi baru 17 bulan pendengarannya pulih, dia kembali menemui doktor bedah dan meminta dia ditulikan semula kerana tidak tahan mendengar bebelan isterinya setiap hari.

Sekali lagi dia terpaksa mengeluarkan jumlah belanja yang sama untuk kembali tuli.

"Kalau saya biarkan pendengaran saya terus berfungsi, saya boleh jadi gila!" demikian dia berkata.

Jika dia menutup telinga, isterinya akan menguatkan suara untuk berleter atau menceritakan sesuatu yang membosankannya. Memikirkan dengan cara menutup telinga tidak menyelesaikan masalah, dia mahu kembali tuli.

"Sekarang saya kembali ke dunia yang sunyi dan tenang tanpa suara-suara meninggi dan menengking. Saya dapat hidup normal semula," kata Damien.

Hidup normal bagi Damien ialah hidup dalam dunia tanpa bebelan si isteri. Pelik bukan? Tetapi selagi kita bernama manusia kita tidak akan puas dengan apa yang kita ada.

Cerita ini saya kira sangat menarik untuk dijadikan iktibar. 

Bagaimana kita melihat dunia dengan persepsi berbeza, adalah keistimewaan kita sebagai manusia.

Menyelak Nostalgia

Andainya aku pergi dulu sebelummu...
Balik ke kampung, menyelongkar almari berisi buku dan bahan bacaan.

Saya terjumpa semula majalah sekolah saya (MGS dan Clifford School), menyelak halaman yang sudah kusam, tergelak-gelak melihat gambar lama zaman sekolah. Juga karya-karya saya di dalamnya.

Terjumpa juga dengan tugasan subjek Penulisan Cereka dan Puisi, juga untuk subjek Penulisan Rencana waktu menuntut di UM tahun 1986.

Juga majalah SARINA dengan tulisan saya sebagai wartawannya!

"Ambillah. Takut banjir lagi, nanti habis buku-buku tu," kata emak.

Kebetulan saat menonton berita televisyen, telah disebut ramalan banjir akan melanda enam negeri menjelang November depan. Perak antara yang bakal terlibat akibat hujan berterusan disebabkan fenomena el-nino (sebutannya el-ninyo, makna dalam bahasa Sepanyol ialah "anak lelaki").

Wah, gembiranya hati saya seperti mendapat emas! Dengan cepat pula saya mengumpul, termasuklah bahan-bahan bacaan milik kakak dan adik; langsung meminta anak memasukkan semuanya ke dalam kereta.

Melihat semua itu seperti menyelak semula kenangan lama. Zaman rambut ala afro dan cermin mata besar yang menguasai hampir seluruh muka! Tudung pun berupa skaf sahaja yang diikat ke belakang. Kadang-kadang di hujung dahi ada jambul pula yang tersembul di situ!

Muka pun nampak kelakar.

Apabila meminta anak meneka, tergelak besar dia melihat ibunya pada zaman remaja.

Meskipun sekadar memakai skaf berjambul, tetapi kalau ada perjumpaan atau ceramah yang dianjurkan persatuan agama; dewan pasti penuh. Kesedaran untuk menampakkan kesatuan ummah begitu kuat. Apalagi kerana kami menuntut di sekolah kristian!

Cuma zaman itu dakwah berkaitan aurat tidak begitu meluas. Kalau orang itu hanya sekadar memakai skaf pun, sudah dianggap alim. Pakai "dakwah", begitu istilah masyarakat pada zaman itu jika melihat orang bertudung.

Berbanding sekarang, sekolah mewajibkan pelajar memakai tudung tapi tanpa jiwa. Selesai sekolah, tudung akan dicampak ke tepi. Di sebalik tudung itu apa? Macam-macam ada!

Menyelak nostalgia, membangkitkan rasa rindu untuk ketemu. Ada yang kembali bertemu di maya, ada yang sudah kembali bertemu Allah, ada yang masih meriah dengan pelbagai cerita.

Wednesday, October 26, 2011

Jika Asyik Disuap

Seorang anak kecil, barangkali masih tadika atau tahun satu sekolah rendah cepat mendatangi saya.

"Mahu ambil gambar? Boleh letak di cawan, di baju. Macam ini, macam itu..." Fasih dia menerang dan menunjukkan contoh barangan yang ada di situ, lincah pula segera berlari ke arah ayahnya yang sedang menghadap komputer,

"Pandainya..." saya memuji. Ikhlas. Budak comel yang mahu membantu ayahnya berniaga.

"Fasih berbahasa Melayu ya. English boleh?"

"Memang dia suka tengok kartun bahasa Melayu. Kapten apa itu? Saya pun sudah lupa. English tak berapa pandai sangat," ayahnya menerangkan.

Kecil-kecil sudah diajar berniaga. Itu mentaliti kaum Tionghua yang saya kagumi. Jika didapati anak itu tidak cemerlang dalam akademik, ibu bapa tidak memaksa. Anak-anak akan segera dialih minatnya kepada berniaga atau dalam kemahiran-kemahiran lain,hatta bertani secara komersil.

Anak-anak kita?

Ini pendapat saya. Pendapat peribadi. Mana-mana orang pun, jika sudah terlalu lama disuap, mereka tidak akan pandai untuk makan sendiri. Jika diberi pancing pun, pancing itu akan dijadikan perhiasan di sudut rumah.

Saya ambil contoh lain, bukan berasaskan kaum. Nanti sensitif pula.

Saya ambil contoh jantina.

Kaum perempuan sejak dahulu, khususnya dalam masyarakat kita; sudah biasa hidup dalam serba "jangan" dan "sedia berkhidmat".

Dahulu, lelaki akan dikahwinkan kerana "sekurang-kurangnya ada orang yang akan jaga makan pakai" mereka.

Demikian, tanggapan biasa golongan ibu bapa yang mahu segera mengahwinkan anak lelaki mereka.

Jadi, perempuan atau isteri yang dikahwini itu sebagai apa? Babu?

Kemudian kita juga selalu dengar dialog begini, "jangan malas ke dapur, awak tu perempuan. Abang/adik tu tak apa. Mereka lelaki..."

Berdosa besarkah jika lelaki diajar memotong bawang di dapur?

Nampak? Dari awal-awal lagi sudah ditanamkan dalam minda bahawa slogan "jangan" dan "sedia berkhidmat" itu memang milik perempuan yang abadi.

Sedangkan Allah telah meletakkan wanita itu untuk disayangi dan dihargai.

Lama-kelamaan golongan yang selalu "ditindas" ini berusaha sedaya upaya untuk bangun. Akhirnya berlakulah fenomena lambakan graduan wanita di institusi pengajian tinggi, dan lelaki yang dimanjakan memenuhi pusat serenti!

Di sekolah-sekolah, kelas yang berstatus cemerlang, dipenuhi pelajar perempuan. Sementara kelas-kelas corot, dipenuhi pelajar lelaki.

Terpaksalah dikenakan kuota agar ada juga pelajar lelaki yang dapat memasuki sekolah berasrama penuh atau bidang-bidang tertentu di universiti.


Tetapi lelaki memang tetap punya tempat di mana-mana, kerana kekuatan fizikal mereka. Meskipun bilangan "yang cerdik" itu sedikit, tetapi mereka tetap diberi tempat sebagai ketua.

Sesiapa pun yang diberikan sekatan, sedikit ditindas; akan bangun perlahan-lahan memperjuangkan nasibnya.

Saya tidak mahu mengulas dari sudut kaum, tetapi fikir-fikirkanlah!

Jika kita masih leka disuap, sampai bila-bila pun kita tidak mahu bangun mencuci tangan dan belajar makan sendiri!

Terima kasih kepada masa lalu


Ada orang yang merosakkan kegembiraan hidup kerana mengenang masa lalu.

Masa silam yang penuh dengan kepahitan memang sukar untuk dipadam. Apabila sesuatu itu telah menjadi sejarah, payah sekali mahu melupakan, apatah lagi jika sejarah kemudiannya bertukar menjadi dendam.

Sesiapa pun tidak akan mengerti makna pahit jika kita tidak pernah mencicipnya. Jadi, berhentilah daripada mengatakan bahawa kita memahami kerana hakikatnya kita tidak mungkin dapat memahami.

Namun, kita harus selalu memberitahu diri bahawa masa lalu adalah masa lalu. Apa yang terjadi pada masa lalu tidak mungkin dapat diubah lagi. Segalanya telah muktamad. Titik.

Kesilapan masa lalu itulah yang seharusnya diperbaiki pada masa kini. Kelukaan masa lalu itulah yang sewajarnya diubati dengan warna hidup yang baharu.

Perjuangan menentang kepahitan dan penderitaan adalah jihad.

Bersyukurlah kerana kita pernah dilahirkan miskin kerana kepayahan itulah yang telah memberikan kita kebijaksanaan untuk mengatur percaturan hidup.

Berterima kasihlah jika kita pernah dilukai, ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi pada saat kita paling memerlukan; kerana kedukaan dan kesukaran itu telah menjadikan kita manusia yang kuat dan berani mendepani ujian hidup.

Apa pun, hidup mesti diteruskan. Selalu menoleh ke belakang akan menutup peluang kita untuk melangkah ke hadapan dengan lancar.

Jadi, terima kasih kepada masa lalu yang mengajar kita hidup dengan makna!

Kecederaan Kereta Di Tanah Tinggi

Opah kebayan...

Bangunan usang gereja yang mengerikan...
Perjalanan pagi ke Tanah Tinggi Cameron berjalan lancar.

Kelmarin suami sudah menempah bilik penginapan di sebuah hotel baharu. Walaupun tanpa dia, keinginan anak yang mahu menjamah strawberi segar dari ladang tetap dipenuhi. Saya memandu perlahan-lahan mendaki bukit.

Sementara menanti jam dua petang untuk check-in, kami merayau mencari strawberi, menempah hadiah hari lahir suami dan memborong hiasan bunga matahari.

Dua kali turun ke Tanah Rata, mencari ladang strawberi milik orang Melayu. Akhirnya kami sampai ke ladang Al-Mashor dan menjamu selera dengan strawberi bersalut coklat, kek dan minuman berasaskan buah cantik meranum itu.

Malang tidak berbau. Saat mahu pusing semula ke jalan menuju Brinchang, bunyi kuat mengejutkan saya dan orang sekitar. Saya sudah melanggar tembok di kawasan tanah perkuburan yang ada di situ. Dada kiri berdenyut. Saya tidak turun melihat kecederaan kereta. Hanya diam menahan denyutan akibat terkejut.

"Kena tarik tu. Kalau tak, nanti kena tayar!" jerit seorang lelaki dari dalam keretanya. Tapi tidak turun pun untuk membantu. Saya memandu perlahan hingga ke ruang parkir berhadapan gereja tua.Memang agak teruk juga. Sementara menunggu pomen, saya mundar-mandir, bergaya di hadapan kereta yang cedera, mengambil gambar gereja tua yang unik bangunannya. Pelancong yang lalu-lalang menyapa.

Nasib baik tidak teruk, walaupun nampak teruk.

Percutian yang dirancang sedikit terusik dengan kecederaan kereta.

"Jangan bimbang. Nanti abang balik Malaysia, abang hantar bengkel!" Suara suami di hujung talian melegakan hati. Kasihan dia, saya asyik melanggar tembok, kadang-kadang orang pula melanggar kereta saya. Akhirnya dia yang kena baiki.

"Janji Yang dan anak ok" Dia menambah lagi rasa lega saya.

Aduhai, memandang strawberi yang merah ranum itu langsung tidak menggembirakan.Itulah akibatnya jika tidak hati-hati.

Pekerja hotel menelefon sebab sudah hampir jam empat tetapi kami belum check-in.

"Bayaran sudah dibuat. Kami bimbang sebab puan belum tiba," kata pekerja yang baik itu.

Nasib baik bilik sangat ok. Layanan pun bagus, penuh santun dan prihatin.

Itulah yang sepatutnya ada kepada semua bisnes berasaskan perkhidmatan. Mesti ada rasa ambil berat dan mahu membantu. Apabila begitu, hilang sedikit rasa terkilan akibat kecederaan kereta di tanah tinggi.

Apabila Allah mengatakan "kun fa ya kun", tiada kudrat lain yang boleh menahan. Kita perlu memujuk hati untuk redha.

Tuesday, October 25, 2011

Mengingati Mati

 
Lelaki tua itu sudah biasa digelar Bung Hamka. Barangkali kerana raut wajahnya menyamai tokoh negara seberang itu. Semua orang, kecil besar, muda tua, semua memanggilnya begitu.

Usianya delapan puluh tepat. Dia amat menyantuni wanita, juga anak-anak kecil. Rambut dan kumis yang memutih menggambarkan ketuaan pengalaman. Jalannya perlahan tetapi masih tegap.

Apabila bercakap, dia gemar berhenti sekejap tatkala menghampiri hujung ayat, seolah-olah meminta orang yang dilawan bercakap menyambung suku kata akhir. Sifat lazim seorang guru yang biasa mengajar di kelas.

Dia bencikan perang. Kerana perang telah mengambil Siti Mariyam Jamela.

*Catatan pada 16 Oktober 2011*

 Kita  akan menjadi tua jika Allah memanjangkan usia.

Kadangkala kita selalu terjaga di tengah malam, mengingati bahawa mati itu adalah pasti. Saat itu tubuh rasa gementar kerana bakal melalui pengalaman yang pernah dilalui orang yang pergi lebih dahulu daripada kita.

Saat itu juga kita seperti mahu melemparkan dunia jauh-jauh.

Tubuh kita yang masih tegap sekarang, satu hari nanti bakal menjadi lemah. Kulit akan berkedut seribu, ingatan datang dan pergi, jalan pun tidak secergas dahulu; segalanya akan kita lalui jika Dia memanjangkan usia kita.

Tuhan, kehidupan ini seluruhnya adalah milik-Mu.

Segala keseronokan apa pun akan menjadi tidak bermakna jika saat itu datang.

Mudah-mudahan kita sentiasa berada di jalan yang lurus menuju cahaya. Mudah-mudahan di sisi kita adalah mereka yang sentiasa mengingatkan kita kepada kekuasaan-Nya. Mudah-mudahan juga insaf itu bukan sekadar kata-kata, tetapi terus kepada amal.

Allah, berikan kami peluang untuk menyintai-Mu, bukakan hati kami untuk sentiasa mencari redha-Mu.

Kau yang selalu dekat, ampunilah kami yang sering menjauh. Berikan kami generasi soleh dan solehah, yang sentiasa mahu mencari nur kasih-Mu!

Hujan petang di Ipoh


Sungai di sisi rumah emak

Hujan petang di Ipoh.

Sudah dua hari berada di ibu negeri Perak ini. Petang-petang buminya disiram hujan lebat.

Memang bulan-bulan di hujung tahun, musim hujan. Penoreh pasti kosong saku. Barangkali musim-musim seperti ini, mereka perlu memikirkan sumber lain untuk mencari sesuap rezeki.

Jika dahulu, musim hujan begini, emak dan ayah akan melupakan kebun dan membenamkan kaki ke selut sawah. Sawah kecil yang membekalkan beras kepada kami sekeluarga. Gambaran kawasan bendang yang luas mata memandang, bersambung petak dengan bendang milik keluarga lain begitu jelas mengheret rindu.

Lumpurnya pekat. Sekali dibasuh dengan air sungai, kesannya masih ada jika kaki tangan sudah kering. Jadi, perlu ditonyoh dengan sabun, kadang-kadang hanya dengan sabun cap kapak yang dibeli di kedai runcit kampung kami. Ditonyoh pula dengan sabut kelapa. Pedih tapi mampu menghilangkan daki.

Kadang-kadang dalam hujan kami masih di dada sungai. Sejak dahulu saya gemarkan hujan. Melihat titiknya yang jatuh jauh dari langit sangat menggembirakan hati. Apalagi melihat titik itu berjatuhan ke air. Cantik sekali. Ajaibnya kuasa Allah yang memberikan perjalanan sebegitu jauh kepada titik air itu.

Ingin sekali saya membawa anak meninjau sekolah lama saya di tengah bandar Ipoh. Juga Asrama Kinta tempat saya tinggal selama lima tahun. Tetapi hujan lebat mengurung keinginan itu. Satu hari nanti, saya mahu anak melihat bangunan sekolah lama kebanggaan saya, Methodist Girls School.

Hujan yang melebat saya kira datang bersama angin sebab saya mendengar derunya yang lain macam di atap. Jika dahulu, pasti kami adik beradik berkumpul di sudut rumah. Emak akan minta kami bacakan ayat Quran sementara ayah akan azan dengan suara yang gemersik dan sayu. Rumah kampung beratap zink memang mengundang kebisingan tatkala hujan. Kadangkala angin kuat akan menolak-nolak zink yang tertanggal menimbulkan bunyi bising yang menakutkan.

Hujan-hujan begini, saya rindukan emak. Kopi panas dengan "tempek" (lempeng) tawar yang dicicah bersama gula, menjadi ubat kesejukan dalam hujan lebat.

Saya juga rindukan "radio" saya yang selalu akan cepat memberitahu jika hari sudah hujan. Lelaki itu tahu isterinya sangat suka melihat hujan, suatu keanehan seorang perempuan yang sudah difahami benar olehnya!

Di negara kecil kaya minyak itu, hujan jugakah? Jika sedang hujan, pasti dia sedang mengenang saya!

Saturday, October 22, 2011

Apabila Ibu Tak Pandai Berleter

Ada sungutan yang pelik minggu lepas.

"Kawan-kawan adik tak mahu datang rumah kita sebab sunyi sangat"

Sunyi sangat?  Saya dan suami saling bertembung pandang.
Memanglah! Rumah ini tiada bayi, tiada binatang peliharaan, tiada penghuni yang ramai!

Saya balik pejabat jam 5.30 petang baru tiba di rumah. Suami keluar jam 6 pagi, pulang paling awal 7.30 atau jam delapan lebih sedikit.

 Memanglah sunyi. Sunyi gila!

"Jadi, kita bela kucinglah!" cadang saya.

Suami dan anak serentak menggeleng. Suami menggeleng kerana masalah hygiene tentunya. Di luar pagar rumah, selalu binatang itu jadikannya tandas. Sakit kepala menahan bau najis kucing. Si anak menggeleng kerana dia alahan kucing.

"Kura-kura?" usul saya lagi.

"Kura-kura tak ada suara, ibu!"

Oh, ya juga kan?

"Pagi-pagi kita buka IKIM fm, boleh?"

Tapi mana nak sama kan? Mesin yang bercakap!

Wah, masalah besar ini! Bagaimana mahu jadikan rumah bising!

Kawan-kawan anak keluarganya besar. Emaknya juga peramah dan pandai berleter. Duduk pula di kampung, banyak orang yang punya masa senggang untuk dilawan bercakap.

Kalau begitu, saya kena belajar berleter juga.

Payah rupa-rupanya kalau tidak ada kemahiran berleter.

Manusia memang banyak permintaan yang pelik. Ada yang cukup benci dengan kebisingan, apatah lagi jika mendengar leteran. Ada yang sukakan hiruk pikuk orang bercerita.

Kepelikan itulah yang menjadikan hidup kita meriah.

Apa pun, kita kena belajar bersyukur dengan apa yang kita ada. Takdir telah memberikan kita ahli keluarga yang sedikit. Kita tak boleh merungut kerana terlalu sunyi. Begitu juga jika Allah memberikan kita bilangan ahli keluarga yang ramai, kita juga kena bersyukur!

Itu leteran saya yang pertama. Nampaknya sukses juga! Sebab si adik macam setuju saja!

"Ibu bela anak auntie Esna sajalah..." akhirnya si adik mencadangkan. Esna yang dipanggil auntie itu anak angkat saya, pensyarah di matrix. Sudah ada anak seorang, lelaki.

Masalahnya, saya dah tak boleh mengangkat "benda" berat. Nanti dua tiga hari menangggung sakit.

Solusinya...bagaimana ya?

Supaya rumah jadi bising dan kawan-kawan adik mahu datang bertandang!

Apabila Allah Menunjukkan Kuasa-Nya

Semalam heboh di media, diktator paling lama berkuasa di Libya akhirnya terbunuh!

Selama 42 tahun memerintah dengan gaya pemerintahan kuku besi, Ghadaffi telah menemui Allah dengan cara yang sangat memilukan.

Bagi muslim, menghormati jenazah itu satu kemestian, tidak kira semasa hidupnya dia super zalim atau tidak.

Menyeret tubuh orang yang sedang nazak dengan trak dan mempamerkan jenazah tanpa pakaian bukanlah satu tindakan baik. Jika orang itu sememangnya jahat, mengapa kita juga mesti menjadi sejahat dia?

Libya negara kaya. Apa yang dibimbangkan ialah jika negara "bapa segala kejahatan" iaitu Amerika turut mahu menumpang kekayaan Libya selepas kejatuhan Ghadaffi dengan cara mewujudkan seorang lagi boneka baharu.

Kehidupan bekas pemerintah Libya itu pun bukanlah mempamerkan budaya hidup Islam yang murni. Anak-anaknya terlibat dengan gaya hidup kebarat-baratan, begitu juga dirinya.

Tetapi cara Barat memotretkan pemimpin-pemimpin "Islam" seolah-olah mereka itu lebih jahat daripada pemimpin Zionis Yahudi!

Maknanya, Barat memejamkan sebelah mata mereka terhadap kebejatan yang dilakukan pemimpin Zionis Yahudi dan membukakan mata yang sebelah lagi dengan seluas-luasnya, untuk mencari salah para pemimpin "Islam"!

Sudah dapat mencari salah, mereka punya alasan untuk menyerang!

Mana-mana orang pun jika sudah begitu lama di tampuk kuasa, akan cenderung untuk menindas orang lain khususnya kumpulan atau individu yang tidak sehaluan. Waktu itulah, maharaja iblis akan mengambil tempat di sudut hati, langsung membuat perancangan yang mampu mengukuhkan lagi kedudukan dan menghapuskan individu atau golongan yang mungkin mengancam.

Tetapi kita jangan lupa, saat "Yang Paling Berkuasa" mahu menunjukkan kehebatan-Nya!

Sesiapa pun boleh merancang, tetapi Dia yang berkuasa berhak melulus atau membatalkannya!

Mengambil pengajaran daripada kematian Ghadaffi atau pemerintah-pemerintah sebelum ini, jangan bersikap sombong dan angkuh kerana diri kita ini Allah yang punya.

Para pemimpin pun apabila telah diberikan kepercayaan untuk memerintah, janganlah menunjukkan contoh yang tidak baik kepada rakyat.

Rakyat adalah raja kerana mereka yang memberi undi bagi membolehkan seseorang itu berkuasa. Bukan jadi sebaliknya apabila rakyat pula menjadi seperti abdi.

Kehidupan kita ini bukan berakhir di sini, tetapi ada lagi sambungannya di dunia sana. Setinggi mana pun kuasa kita, di sisi-Nya kita adalah manusia yang sama seperti orang lain juga.

Maka, berbuat apa pun berpada-padalah. Tidak ada meja dan kerusi khas di alam sana. Tidak ada setiausaha khas yang akan menjawab bagi pihak kita. Tidak ada juru audit yang akan menipu untuk kita.

Di sisi-Nya, baik dibalas baik dan jahat dibalas jahat.

Apabila Allah menunjukkan kuasa-Nya, tiada guna lagi pistol bersadur emas. Nyawa itu milik Dia. Dia sudah memberikan peluang yang begitu lama untuk mereka yang terlanjur berpatah balik. Sudah diberikan peringatan demi peringatan, tetapi keangkuhan tetap meraja.

Sesungguhnya ini peringatan untuk semua. Untuk diri juga!

Friday, October 21, 2011

Fuh...cuti seminggu! Leganya...

Hurmm...enaknya!
Akhirnya cuti!

Lega sungguh.

Sepanjang waktu dalam kepala hanya kerja dan kerja. Selepas mati-matian bekerja, akhirnya dapat juga berehat seminggu. Harap-harap seminggu ini tiada yang menganggu!

Tapi yang tak gembiranya ialah, suami terpaksa ke Brunei selama empat hari. Pada tarikh dan tempoh yang sama, anak yang sedang bercuti akan pergi ke rumah kawan akrabnya di Kuala Pilah atas permintaan keluarga rakannya itu disebabkan ada kenduri. Tinggallah saya sendiri.

Mungkin saya akan menuju kampung di utara untuk berehat di sana!

Sambil itu barangkali boleh cuba mengedit semula karya. Kelmarin ada seorang kenalan lama menelefon bertanya ada karya baharu atau tidak kerana bapa saudaranya, seorang penerbit, sedang mencari bahan!

Sebelum ini pun ada yang meminta bahan, tapi saya seperti tidak mampu untuk memenuhi kerana kekangan waktu. Kerja terlalu banyak dan mendesak. Terpaksalah mendahulukan keperluan kerja daripada hal-hal sedemikian sebab kita digajikan untuk itu.

Cuti memang satu keperluan. Ubat yang baik untuk stres.

Otak pun boleh jem kalau tidak berhenti bekerja. Kalau otak sudah jem, banyak masalah akan menyusul. Kalau setakat kesannya kepada diri sendiri tidak mengapa. Kadangkala habis melibatkan ahli keluarga dan jiran tetangga.

Mudah-mudahan cuti ini dapat kita manfaatkan untuk berehat dan melakukan kerja-kerja yang kita suka.

Atau mengunyah-ngunyah strawberi segar terus dari ladang!

Thursday, October 20, 2011

Hingar Makna

Dalam ilmu komunikasi, sebarang gangguan sama ada dalam bentuk yang boleh dilihat, disentuh atau rasa disebut noise atau hingar.

Proses komunikasi yang berlangsung pasti ada hingar.

Dulu waktu memberikan kuliah kemahiran komunikasi, saya selalu mengambil contoh hingar makna iaitu hingar yang berkaitan dengan semantik dan terjadi disebabkan pemisahan kawasan geografi dan loghat.

Sebagai contoh, Zul berasal dari Melaka dan Hayat dari Kelantan. Cuti seminggu, Hayat mengikut Zul pulang ke Melaka. Mereka berpeluh-peluh kerana terpaksa berjalan jauh menuju rumah Zul dalam terik matahari.

Mereka masuk ke bilik air dan mandi bersama-sama. Sudah pasti mandi dengan menutup aurat. Bilik mandi rumah Zul mempunyai kolah yang luas dan airnya juga dingin.

Kemudian, Hayat yang tidak sabar mahu mandi itu menyebut dalam loghat Kelantan, "Zul, bagi aku cebokmu!" 

Zul memandang muka Hayat tepat-tepat. Dia berasa sangat marah. Dalam hatinya terfikir sesuatu, "tidak normalkah kawanku ini?" tapi sungutan itu hanya di dalam hati.

"Bagi aku cebokmu! Cepat la..." Hayat merayu.

"Huh, kau gila ke?" Zul melampiaskan kemarahannya. Baginya Hayat sudah melampau. Memang sahlah kawannya itu ada memiliki perangai pelik dan di luar tabie.

"Bakpo mu tengok aku lagu tu. Bagi aku cebok yang mu pege tuh!" Hayat merampas gayung yang dipegang oleh Zul.

Zul terpinga-pinga.

Bagi masyarakat negeri-negeri bahagian selatan tanah air, "cebok" bermaksud beristinjak atau mencuci buntut selepas buang air besar.

Bagi masyarakat di negeri utara dan timur tanah air, "cebok" ialah gayung.

Jadi, kenapa Zul marah?

Sebab difikirkannya, Hayat mahu "mencebok" dia!

Itulah contoh hingar makna. Dahulu, saya gemar memberikan banyak contoh agar pelajar dapat memahami. Saya banyak melakukan pembacaan dan kajian berkaitan hingar, khususnya hingar makna.

Semalam, suami juga telah melakukan hingar makna dengan menaip teks khidmat pesanan ringkas yang menimbulkan kegusaran orang!

"Cuba baca!" dia menghulurkan telefon bimbitnya.

"Beruk bawa buku dan pakaian lengkap!" Saya membaca teks tersebut.

"Abang hantar pada seorang pemandu yang agak hardcore orangnya. Tapi abang tak maksudkan begitu!"

"Yang betulnya?" tanya saya.

"Besuk (sepatutnya dieja besok) bawa buku dan pakaian lengkap!"

Jadi?

Mengamuklah pemandu yang merasakan dirinya digelar "beruk" oleh suami saya.

"Esok dia nak jumpa abang, marah betul dia"

Itulah akibatnya kalau tidak menyemak terlebih dahulu sebelum menghantar!

Suami sudah memohon maaf dan membetulkan mesejnya tetapi kalau pemandu itu jenis baran, mahu lebam muka suami saya itu!

Lain kali, semak dahulu sebelum menekan sebarang butang...

Wednesday, October 19, 2011

Sudah Tua Tapi Berfikiran Kanak-kanak

Ikan haruan berasal daripada...tuuuttt....hehehe
Batuk yang menyerang saya seperti enggan berhenti. Sudah begitu lama tetapi masih belum mahu minggir.

Memang biasanya begitu sejak dahulu. Itu sebabnya saya begitu awas jika ada kenalan yang diserang batuk. Orang yang "menjangkitkan" batuk itu kepada saya pun sudah lama sembuh!

Di kelas, payah betul saya mahu bercakap. Kena ada bantuan Dequaddin yang sentiasa ada di mulut. Bimbang juga kalau batuk tak hilang tapi gigi saya pula yang hilang!

Nasib baik minggu ini minggu belajar. Tetapi saya tetap masuk ke kelas untuk mengganti waktu yang tertinggal. Jadi, interaksi banyak berlaku di papan putih.

Ya Tuhan, seksanya diuji dengan karenah batuk ini. Gatal di tekak itu paling saya tidak tahan. Walhal saya bukan peminum ais. Malah hati-hati sekali jika disuakan goreng-gorengan!

Itulah perangai manusia. Diuji sedikit pun sudah seperti dunia mahu kiamat.

Setiap hari minum air limau suam. Suami memerah lemon yang dicampur dengan teh jasmin. Kalau kata orang minum kicap dengan limau boleh menghilangkan batuk, pun telah dicuba. Tapi batuk tetap batuk.

Asam jawa sudah begitu banyak masuk ke perut saya.

Minum ubat batuk? Oh,katakan tidak untuk cecair yang sangat manis itu! Saya rela menelan ubat batuk pil daripada memaksa tekak saya menjamah cecair semanis itu. Kalau pahit atau masam, saya sanggup, tapi bukan cairan yang mengerikan itu!

Waktu kecil, kalau mahu memberi saya minum, ayah akan mengepit hidung dan tangan saya, sementara emak cepat-cepat menuang ke dalam mulut saya yang terbuka!

Itu pun sepanjang hari saya akan merajuk di balik pintu, bermain dengan semut!

Marah dan berkecil hati kerana dipaksa meminum cairan manis dan menakutkan!

Akibatnya sekarang, kerana enggan meminum ubat batuk cecair, tanggunglah sendiri didera batuk yang membencikan!

Takkanlah sekarang suami terpaksa mengepit hidung dan tangan saya, anak saya pula menuang ubat ke dalam mulut saya seperti zaman kanak-kanak saya dahulu?

Kadang-kadang sudah tua pun masih berfikiran seperti kanak-kanak.

Samalah dengan alasan mengapa saya tidak pernah makan ikan keli, haruan, sembilang atau seumpama dengan bentuknya!

Dahulu sebelum tidur, emak selalu bercerita tentang asal usul ikan haruan yang berasal daripada ular!

Bukan salah emak! Itu cerita rakyat. Bila sudah dewasa, sendiri fikirlah logiknya.

Tapi itulah saya yang masih dipengaruhi imaginasi zaman kanak-kanak.

Kakak dan abang saya yang turut mendengar cerita emak, tidak ada masalah pun makan ikan-ikan yang disebutkan itu.

Hanya saya yang selalu terbayang benda lain tatkala melihat kepala ikan yang menyerupai...

Menyantuni Tulisan Peserta

Bengkel Penulisan Cerpen sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan IPGKRM 19 Oktober 2011.

Peserta: guru-guru sekolah Daerah Seremban dan guru pelatih yang mengambil Pengajian Melayu.

Tempat: Balai Ilmu.

Jam 2.30 sore, merupakan waktu paling enak untuk tidur.

Doa saya waktu usai solat Zohor, mudah-mudahan Allah menahan batuk saya daripada menggila saat memberi ceramah. Alhamdulillah Allah sangat mendengar. Dengan bantuan gula-gula kenyal Dequaddin, saya dapat bertahan.

Doa saya juga, jangan tidurkan peserta disebabkan waktu petang yang kritikal kepada mata. Walaupun ada satu dua yang sudah mahu lena, tetapi sesi latihan menulis menyelamatkan keadaan.

Selesai acara, ada guru yang menanyakan jika saya boleh datang ke sekolah dan memberikan bengkel yang sama pada tahun hadapan. Dengan izin Allah, jika diberi kesihatan baik, saya yang masih kurang ilmu ini boleh membantu.

Ada dua tugasan ringkas yang dibuat peserta.

1] Saya memberikan ayat penyata biasa untuk diolah menjadi "bahasa cerpen"

AHMAD SAMPAI KE RUMAH PADA JAM 6 PETANG

Tulisan peserta:
a) Ahmad telah pulang ke rumah. Tahulah isterinya yang buta bahawa jam pukul 6 petang (Izzah Masnizah Md Zin)

Komen saya: Nasib baik Ahmad bukan suami penipu. Dia boleh balik jam 12 malam, tapi isterinya yang buta masih menganggap dia balik jam 6 petang. Tapi sekurang-kurangnya dia kreatif kerana sempat memikirkan keadaan isteri Ahmad yang buta dan kebiasaan Ahmad yang MESTI pulang tepat jam 6 petang.

b) Matahari sudah menyembunyikan dirinya. Seorang ibu tua menjenguk-jenguk melalui jendela teratak usangnya. Kedengaran derapan kaki Zuai (beliau menukar nama watak) melangkah laju kerana hari sudah semakin senja.

Komen saya: Saya gemar ayat yang pertama. Peserta ini tidak menyatakan secara terus bahawa hari sudah lewat petang. Peserta ini seorang guru berketurunan Tionghua. Tahniah kepadanya!

2] Saya menayangkan 4 keping gambar iaitu: (dua ekor burung, seekor hidup, seekor telah mati), (seorang lelaki sedang berdiri mendepani laut dan senja merah), (suasana banjir yang menenggelamkan kereta di bandar) dan (seekor ibu gajah membawa dua anaknya menyeberangi jalan raya)

Berikut merupakan antara hasil penulisan intro/catatan peserta: saya menyalin tanpa proses editing.

a) "Tolong! Tolong!" tiba-tiba terdengaran teriakan wanita memecah kebisingan di ceruk kota. Keadaan menjadi senyap seketika. Deras laju larian seorang lelaki membuatkan diriku terposok duduk di tanah. Aduh! sakit sungguh punggungku. Orang ramai mula mengelilingi wanita itu. Ada juga yang hanya melirik dari jauh dan ada segelintir yang tidak mengendahkan teriakan itu. Aku masih lagi terduduk kaku. Terperanjat. (Zulhelmi)

Komen saya: saya rasa "aku" akhirnya menjadi hero, mengejar peragut dan kemudian bercinta dengan wanita itu. Cuma harap-harap wanita itu bukanlah wanita tua. Isunya bagus iaitu mengenai kejadian ragut yang semakin kerap menghiasi dada akhbar. Kritikan terhadap sikap segelintir masyarakat kota juga ada. Cuma jenuh saya mencari di kamus perkataan yang saya gariskan itu! Hanya Zulhelmi yang boleh menjawab!

b) "Angah, along...cepat," kata mak gajah.
"Tunggulah mak. Kaki along sakit ni. Tak tahan rasanya nak melangkah. Bisa di kaki menyucuk-nyucuk, berdenyut-denyut. Sakitnya kaki along ni makkk..."

Komen saya: Kesian along, agaknya mak nak bawa along mendapatkan rawatan daripada doktor rimba. Intro ini sesuai untuk cerita kanak-kanak.

c) Mentari hampir membenamkan diri dan membawa pergi kilauan cahaya kuning bersamanya. Angin bayu membisik. Seolah-olah ingin menyampaikan pesan kepadaku. Kupandang lautan luas di depanku. Tenang. Merenung diri. Apakah salahku? Sehingga aku dibuang oleh ibu bapaku tanpa sedikit harapan dan cahaya. Semuanya dibawa pergi, seperti perginya cahaya mentari. Yang tinggal hanyalah kesuraman malam. Seperti suramnya jiwaku tanpa kasih ayah dan ibu.

Aku seorang anak yatim piatu. Dibesarkan di rumah kebajikan tanpa aku pernah rasai apa erti kasih ayah dan ibu. Aku dahagakan kasih mereka. Kalau kasih itu digantikan dengan air di lautan ini belum tentu dapat menghilangkan dahaganya kasih itu. (Nooramiza Zainol Abidin)

Komen saya: ada diksi yang menepati kehendak bahasa cerpen. Tetapi ini mungkin catatan awal, bukan intro. Kalau intro, ceritanya sudah dijangka dan pembaca akan berhenti membaca. Sepatutnya jangan memberitahu bahawa "aku" dibuang dahulu. Biarkan pembaca meneka celaru masalah "aku" itu puncanya apa? Teknik imbas kembali, stigma masyarakat terhadap anak buangan, adalah merupakan isu yang baik jika diolah dengan baik pula. 

d) Tanganku terketar-ketar, manik-manik kaca mula membasahi pipiku. Aku pasrah. Mungkin itu sudah takdirku. "Ya Allah!!!"terketar-ketar kata-kata azimat itu meniti di bibirku. "Huh..." keluhan panjang tidak semena-mena kuhelakan. Aku menyandar badanku tepat pada dinding usang rumah peninggalan arwah bondaku. Hanya itu yang aku ada sekarang. Satu persatu urat-urat di tangan kubilang...menghitung saat berakhirnya noktahku.  (Alif Iqbal)

Komen saya: "Aku" sakit apa agaknya ya? Kena Aids? Barangkali. Intro yang baik tetapi pemilihan diksi mesti "menangkap".

Pastinya ada perbezaan antara tulisan guru dan guru pelatih yang masih hijau. Tulisan guru selalu dimatangkan dengan pengalaman yang rencam dan kadang-kadang oleh faktor pembacaan.

Saya masih menyimpan helaian-helaian tulisan mereka itu. Jika ada waktu saya akan menyalinnya sebagai menyantuni kesediaan mereka untuk menulis dalam keadaan petang yang kantuk dan memenatkan.

Guru pelatih yang hadir sebenarnya mempunyai bakat, cuma perlukan sedikit kerajinan, disiplin dan banyakkan membaca pelbagai genre hatta komik Gempak Starz sekali pun! Cuma jangan terpengaruh dengan gaya bahasanya.

Pastikan juga WAJIB ada buku nota yang saya katakan sebagai inkubator yang boleh kita guna catatannya satu hari nanti tatkala menghasilkan cerpen.

Maafkan saya kerana contoh-contoh petikan cerpen saya bernada ala "bibik" kerana saya sangat terpengaruh dengan sastera Indonesia khususnya karya-karya Almarhum Buya Hamka, Almarhum Pramoedya Ananta Toer dan Almarhum WS Rendra. Juga Bapak A. Samad Said dari Malaysia yang sentiasa berbahasa baku!