Total Pageviews

Thursday, September 29, 2011

Cincin emas batu delima


merah merah si batu delima, indah indah di kalbu cinta...


Cuti baru-baru ini saya tiba-tiba diingatkan emak tentang sesuatu.

"Yang masih ingat cincin batu delima masa kecik dulu?"

Saya mengangguk. Kata orang, saya memakai cincin itu sejak masih bayi. Seingat saya, cincin sebentuk itu memang cantik, batunya merah delima.

Ceritanya aneh, kata emak. Tapi, jangan percaya sampai macam-macam, bimbang jadi khurafat, emak mengingatkan. Semua itu kerja Allah, pesan emak berkali-kali.

Cerita emak begini...

Beberapa bulan kemudian, emak menemui sebutir batu berwarna merah di dalam bedungan saya. Emak memberitahu kepada ayah dan mereka membawa batu itu ke kedai emas. Menurut tukang emas, batu itu adalah batu delima.

"Entah siapa pula yang bermurah hati meletakkan batu itu dalam bedungan..." kata emak.

Oleh sebab batu itu ditemui dalam bedungan saya, maka emak menghantarnya ke kedai untuk dijadikan cincin yang sangat comel. Cincin itu saya memakainya sejak bayi. Semakin membesar jari saya, emak akan menghantar semula ke kedai emas untuk dibesarkan saiznya. Begitulah yang berlaku bertahun-tahun.

Waktu itu saya fikir emak lebih sayangkan saya kerana saya anak perempuannya yang bongsu, sebab itulah hanya saya seorang yang memakai cincin emas berbatu delima. Perasan rupanya saya! Itu belum masuk bab mengapa nama saya yang sebenar (sebelum dipinda oleh saya sendiri, turun naik pejabat pendaftaran di Ipoh, pada tahun 1984), begitu berbeza dengan Fudziah dan Faridah, kakak-kakak saya!

Waktu saya berusia delapan tahun begitu, berlaku banjir di kampung kami. Setelah agak surut, sebagai anak kampung itu adalah masa keemasan. Kami berlompatan ke dalam air, terjun dari tebingnya dan mandi dengan penuh gembira. Rupa-rupanya keriangan itu membawa padah. Cincin emas batu delima saya terlurut dari jari dan hilang!

Muram saya berminggu-minggu. Memanglah emak tidak marah tapi ayah menegur sikap saya yang cuai. Sudahlah dimarahi ayah, saya berasa begitu sedih apabila melihat jari sudah kosong.

Setahun kemudian, waktu kami bermandian di sungai, kakak sulung saya menemui cincin saya itu di bawah pasir! Di tempat yang sama, di bawah jambatan tempat saya menghilangkannya setahun yang lalu. Alangkah seronoknya saya ketika itu. Tetapi keseronokan itu hanya bertahan beberapa tahun, kerana cincin itu hilang sekali lagi di sungai yang sama. Puncanya, saya memakai cincin itu di jari kelingking kerana tidak muat lagi memakainya di jari manis. Keluarga dihimpit kesusahan waktu itu dan emak tidak mampu lagi menghantarnya ke kedai emas untuk dibesarkan saiz.

Hilang lenyap cincin itu, meninggalkan kenangan manis kepada saya. Cincin batu delima yang dipinjamkan Allah sekejap untuk meriangkan hati kanak-kanak saya.

***********************************************************************************

Di rumah, saya membelek-belek jari suami. Dia memakai tiga bentuk cincin suasa. Mata saya tertarik kepada sebentuk cincin berbatu merah.

"Ini batu delima, " kata suami saya.

"Ceritanya memang pelik tapi benar..."

Saya memandang mukanya tepat-tepat. Maklumlah dia suka mengenakan orang.

Tetapi melihatkan mata sepetnya yang bersinar-sinar, saya tahu dia memang bercakap benar. Itu bermakna dia sangat teruja untuk menceritakan sesuatu.

Katanya, waktu dia masih bujang (mungkin saat itu saya masih bersekolah), dia pergi ke satu tempat di pinggir hutan. Dia duduk termenung di bawah sebatang pokok. Hanya duduk termenung selama tiga hari ("Frust menonggeng ke? mesti awek lari"...saya sempat bercanda). Pada hari yang ketiga, hatinya berkata-kata bahawa di penghujung hari ini dia pasti bertemu dengan satu barang di bawah pokok tersebut.

Entah bagaimana di penghujung hari yang ketiga itu dia mengorek-ngorek tanah di tempat dia duduk termenung. Dia terperanjat kerana menemui seketul batu berwarna merah. Dia memikirkan mungkin batu itu hanya batu biasa dan mahu meninggalkannya di situ. Namun dia berpatah balik dan membawa batu tersebut menemui bapanya.

Bapa segera mengenali bahawa batu tersebut adalah batu delima.

Dia menceritakan hal bagaimana dia menemui batu tersebut. Menurut bapa, sudah takdir bahawa batu itu memang menjadi rezeki suami. Bapa meminta dia menemui tukang cincin untuk dibuat batu cincin.

Setelah siap dibuat cincin, suami membawa cincin suasa batu delima itu kepada bapanya. Melihatkan cincin yang sudah cantik itu, bapa berasa ingin memiliki cincin tersebut.

"Cantik pulak. Bagilah je lah kat bapak!" kata suami meniru-niru percakapan bapanya.

Mujurlah, jari bapa tidak muat, ada juga yang longgar!

"Jadi, sampai sekaranglah abang pakai cincin ini. Cantikkan?"

Saya membelek-belek cincin batu delima itu. Merahnya mengingatkan saya kepada batu delima kesayangan saya dahulu. Cuma batu yang ada pada suami saya saiznya lebih besar.

Saya tidak menceritakan hal cincin emas batu delima saya kepada suami.

Tetapi jika dia pulang dari kerja, mata saya akan segera tertancap ke jarinya. Terasa ingin meminta, tetapi pasti dia sangat menyayangi cincinnya itu.

Allah meminjamkan cincin berbatu delima itu kepadanya, tapi dalam tempoh yang lebih lama berbanding tempoh Allah meminjamkannya kepada saya!

No comments: