gambar hiasan sahaja |
Tajuknya mudah: SYUKUR.
Tetapi ustaz memang kelakar. Walaupun tajuknya nampak serius, tetapi ustaz tetap mahu berlawak.
"Baru-baru ini, saya baru tahu bagaimana mahu mengenal pasti madu asli..." Semua pun memasang telinga, mahu tahu perbezaan madu asli dan tiruan yang bakal dinyatakan ustaz.
"Mudah saja mahu kenal madu asli. Kalau kita bawa balik ke rumah, isteri kita marah. Itulah madu asli..."
Sudah kena! Betul-betul melucukan.
Kemudian kebetulan, ustaz yang sama ditugaskan mengaudit fail-fail jabatan saya, sebagai persediaan untuk menghadapi audit ISO minggu hadapan. Tetapi saya mengesan satu perbezaan mengenai audit ISO ini. Di institusi lama saya dahulu, musim audit adalah musim bertegang urat. Ada sebahagian kecil auditor dalaman yang dilantik, bukan mahu membetulkan tetapi sengaja mahu "mengenakan" individu-individu yang mereka tidak suka. Mana-mana jabatan atau unit yang memperoleh NCR seakan "dihukum", seolah-olah tiada ampun. Barangkali sekarang, suasananya lebih ok.
Di sini, nampak juga situasi stres.
Berbalik kepada ustaz itu. Sambil mengaudit, sempat lagi dia buat lawak.
"Saya nak tanya puan. Antara suami dengan anak, puan lebih sayang siapa?" Wah, susah mahu menjawab ini! Yang bertanya pula, ustaz. Kalau saya menjawab anak, nanti kena tazkirah pula. Akhirnya saya kata, dua-dua pun sayang. Tapi masalahnya, ustaz mahu satu jawapan sahaja!
"Sebenarnya puan lebih sayang suami. Kenapa saya kata begitu? Katakan puan, suami dan anak pergi ke Jusco. Ada orang perempuan datang dan mencubit pipi anak puan, sambil memuji kecomelan anak puan. Tentu puan suka, bukan?"
Hahaha...saya sudah dapat mengesan motif lawak jenaka ustaz ini!
"Tapi kalau perempuan itu mencubit pipi suami puan dan memujinya, puan mesti marah. Kalau anak, puan tak marah tapi kalau suami, puan marah. Maknanya puan lebih sayangkan suami..."
Memang betullah ustaz ini.