Total Pageviews

Monday, August 29, 2011

Gulai Buntut Si Beckham

AbangCho sedang membakar lemang

Jam 3 pagi 29 Ramadan dalam hujan lebat, kami memulakan perjalanan panjang menuju ke kampung di utara tanah air. Jalan lengang.

Sepanjang jalan kami ditemani hujan. Dingin dan nyaman.

Sampai di kampung, terkenang saat yang sama tahun lepas.

Beckam...

Saat itu Beckham masih bayi. Tidak mahu berenggang dengan si kakak, Boy. Ketika saat mahu berbuka, kedua-dua ekor monyet itu diikat dan diletakkan dalam bilik emak agar tidak mengganggu orang mahu berbuka.

Sedang enak berbuka beramai-ramai, tiba-tiba pintu bilik emak terbuka. Si Beckham lolos. Dia kebingungan melihat begitu ramai orang sedang menghadap hidangan. Dalam kekecohan, kedua-dua ekor monyet cuba melarikan diri, melintasi hidangan. Si Beckham kepanikan, duduk diam tercatuk di dalam piring gulai, menghadap muka abang sulung saya.

Masalahnya dia tidak memakai pampers!

Barangkali Boy yang membukakan pampers yang dipakai Beckham, malahan juga membukakan tali ikatan si bayi kecil itu.

Semua orang ternganga. Diam tak mampu berkata apa-apa. Semua hidangan kucar-kacir. Masalahnya lagi, bagaimana mahu makan dengan bekas kaki dan buntut si monyet?

Asalnya mahu marah, akhirnya penuh dengan gelak ketawa geli hati. Peristiwa Si Beckham dan Boy yang bertempiran lari di atas hidangan berbuka meninggalkan nostalgia kepada kami.

Hujung Ramadan yang sama, kami bercerita semula kisah itu. Cuma bezanya Beckham dan Boy sudah tiada. Cuma nanti jika ada kesempatan, mahu juga saya bertemu Beckham yang sudah dewasa.

Masih ingatkah dia pada saya?

Saturday, August 27, 2011

Munajat di Hujung Ramadan

       

Hujung-hujung Ramadan, kadang-kadang dada jadi sebak. Sakit dada menahan sebak. Mengaji pun boleh terhenti-henti.

"Saya akan doakan kak. Kakak mesti kuatkan diri ya. Saya akan berdoa untuk kesejahteraan kawan-kawan yang baik dengan saya..." Begitu SMS yang saya terima maghrib itu, selesai iftar. SMS daripada seorang adik (atau anak) yang kemudiannya diakhiri dengan ayat..."akak baliklah semula ke TMS..."

Ayat yang menambah rasa sebak saya.

Dia yang pernah saya ceritakan dalam entry yang dulu. Seorang guru yang pelbagai kebolehan. Allah mengurniakannya kelebihan, jadi guru sains pun boleh, jadi ustaz pun boleh, mengaji boleh, bernasyid pun boleh. Bersukan apatah lagi. Dia muda tetapi sangat menghormati kakak abang yang lebih tua.

Katanya, dia akan beriktikad di masjid negeri malam 28 Ramadan. Mudah-mudahan Allah merahmati insan yang baik ini.

Memang Allah sentiasa mengasihi saya. Di keliling saya ada rakan-rakan yang baik, terlalu baik. Meskipun dulu ada yang pernah merosakkan karier saya, tetapi ada hikmah Allah yang tidak terjangkau oleh akal manusia.

Semestinya saya perlu mensyukuri nikmat yang tidak terhingga ini. Keluarga yang baik, suami dan anak yang baik. Meskipun Allah menguji saya dengan masalah kesihatan yang sangat menakutkan, tetapi saya redho jika tiba masanya Dia mahu mengambil hak-Nya.

Sebab saya yakin ada insan-insan baik yang akan selalu mendoakan saya.

Hujung-hujung Ramadan, saat kebanyakan orang sudah mula memenuhi lebuh raya; saya masih di sini. Dengan izin-Nya saya akan pulang, menjenguk emak dan keluarga di desa. Saya mahu gembirakan emak. Menghilangkan kebimbangan emak terhadap ujian yang Allah berikan kepada saya.

Mudah-mudahan Ramadan ini memberikan seribu rahmat kepada semua...

Wednesday, August 24, 2011

Selamat Hari Lebaran



Lagu raya di mana-mana.

Ada lagu lama dan ada juga yang baru. Tetapi kalau ditanya, hampir semua orang memilih untuk mendengar lagu lama. Lagu retro!

Berhiba-hibaanlah sekalian orang apabila mendengar lagu-lagu sedemikian, terutama mereka yang sudah tidak punya ibu bapa atau mereka yang terpaksa menyambut lebaran di perantauan.

Tetapi saya pernah terbaca, mengapakah disambut lebaran itu dengan berhiba-hibaan? Bukankah lebaran itu membawa maksud kemenangan melawan segala nafsu yang tidak diikat?

Kata penulisnya, kita sepatutnya berhiba-hibaan kerana saat meninggalkan madrasah Ramadan sudah begitu hampir. Bulan yang menghamparkan gandaan nikmat yang tiada pada bulan-bulan lain. Bulan yang "pengacau sejak azali" diikat dan hanya berputih mata melihat manusia melakukan kebaikan.

Apapun, berdoalah agar kita menemui Ramadan tahun hadapan. Lebaran yang sudah mahu menjenguk itu kita raikan seadanya. Gembirakan hati orang tua kita jika mereka masih ada. Ini ruang untuk ketemu sanak saudara yang jauh terpisah.

Kalau mahu memohon kemaafan, setiap hari pun kita memang diseru agar sentiasa mohon keampunan khususnya terhadap kedua-dua ibu bapa kita. Jangan tunggu sehingga lebaran.

Selamat lebaran buat semua. Hati-hati memandu, sentiasa awas dan bersabar kerana kita mahu orang tua kita tersenyum tatkala menyambut ketibaan kita di halaman.

Panitia Kesusasteraan Melayu SMK Jelai (F): Sajak Keberangkatan Ayah



Panitia Kesusasteraan Melayu SMK Jelai (F): Sajak Keberangkatan Ayah: Sajak karya Ratna Laila Shahidin ini memang menarik kerana ia mendapat hadiah utama sayembara dan panel sayembara menganggap sajak ini sama ...

Saturday, August 20, 2011

Perginya "Seorang Tua Di Kaki Gunung" (1942-2011)

Wajahnya menyamai wajah almarhum ayah

Pagi ini saya terkedu.

"Saya dan kawan-kawan dalam perjalanan ke rumah Azizi" begitu SMS ringkas daripada Budayawan Negara Pak Dinsman kepada saya. Maknanya mereka dalam perjalanan ke Kulim.

Rupa-rupanya...

Anak kelahiran Kampung Bukit Meryam, Kota Kuala Muda itu telah pergi.

Saya tidak mampu menahan esakan. Sepanjang 21 Ramadan, mata saya bengkak. Rancangan mahu mencari juadah di bazar terpaksa dibatalkan, sebab muka sudah sembab. Saya hanya mampu mendoakan dari jauh agar almarhum ditempatkan bersama golongan yang beriman.

Pemergiannya di bulan seribu rahmat. Saya selalu menjenguk blog beliau yang tidak lagi di update sejak April iaitu sejak beliau dimasukkan ke hospital kerana sakit yang dideritainya.

Sejak di sekolah rendah, saya memang meminati cerpen beliau. Selalu saya dapat mengintai betapa prihatinnya beliau selaku guru dalam menyelami rasa hati pelajarnya yang miskin dan melarat lewat cerpen-cerpennya.

Kemudian sewaktu beliau bertugas di sebuah akhbar sebagai pengelola ruangan sastera/pembimbing, saya mengutus surat kepada beliau. Sangat gembira, kerana beliau membalas. Saya menghantar cerpen dan beliau akan memberi komen. Saya tinggal di asrama saat itu. Betapa bangganya saya menunjuk-nunjukkan kepada kawan, setiap kali mendapat balasan bersama komen beliau tentang kekuatan dan kelemahan karya saya.

Sejak itu saya adalah pengumpul novel beliau. Saya sangat sukakan gaya bahasanya. Saya tahu beliau sangat banyak menyelidik sebelum menulis novel. Novel terakhir almarhum yang saya beli di Kinokuniya KL pada tahun 2008 iaitu Harga Sebuah Maruah terbitan DBP  yang diterbitkan pada tahun 2007.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, saya bekerja di penerbitan Amir Enterprise, bahagian majalah SARINA. Di sinilah kami akhirnya bertemu kerana Ustaz Azizi menulis siri novelnya untuk majalah tersebut. Beliau selalu datang ke pejabat, tetapi oleh kerana didera perasaan rendah diri, saya tidak pernah memperkenalkan diri kepada beliau.  Beliau hanya mengenali saya sebagai wartawan sahaja.

Kali terakhir saya menerima komen beliau mengenai sebuah cerpen saya yang diterbitkan oleh sebuah media alternatif islami pada awal tahun ini sebelum beliau dirawat di hospital April lalu. Saya akan menyimpan SMS itu sebagai kenangan daripada seorang sasterawan hebat yang memperjuangkan agama dengan caranya yang tersendiri. Tetapi saya yakin, beliau tidak mengetahui dan tidak perasan bahawa sayalah budak sekolah yang pernah dibimbingnya puluhan tahun lalu.

Saya hanya memaklumkan kepada budayawan Dinsman bahawa Ustaz Azizi pernah menjadi "guru" saya menulis cerpen. Jadi, setiap pandangannya amat saya hargai meskipun agak negatif.

"Sampai akhir dia tidak tahu saya budak sekolah awal 80-an yang dia betulkan cerpen dengan pen merah tu...Saya sedih sangat, tuan, Macam hilang ayah!" Saya mengirim SMS kembali kepada Pak Dinsman.

"Tuk Ya", kami akan selalui merinduimu.

Saya capai novelnya di rak dan terbaca catatannya yang begitu dalam pengertian...

"Rakyat itu selalu diam
tapi ia pencatat tidak pernah lupa
rakyat itu seperti naga
melingkar dengan berat badan dan
diam dalam keheningan sendiri
pancainderanya tajam
kuat intuisinya dengan akal budi
lalu jangan sekali-kali melukainya
jangan melukakannya berkali-kali
kerana sekali ia bangkit
rosaklah segala apa-apa..."

Beliau, begitu dikatakan ramai orang barangkali layak menerima anugerah sasterawan negara. Tetapi kerana beliau memilih haluan perjuangan yang berbeza dengan pemerintah; namanya tiada dalam senarai. Namun di negara luar, beliau amat dihormati. Pada tahun 1986, beliau menerima anugerah S.E.A Write Award. Seorang Tua Di Kaki Gunung diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa Jepun.

Belasungkawa Ustaz Azizi. Selamat berangkat.

Mendung Ramadan ini mengiringi keberangkatanmu ke sisi-Nya.

Sibuk-sibuk Menjelang Lebaran

Jalan sesak dalam hujan Ramadan
Jam 3 dalam hujan lebat dan deru angin, saya meredahnya juga.

Jalan jem dan sebuah kereta mahu juga berasak masuk ke laluan saya. Dia melanggar cermin sisi kanan sampai tertutup cermin itu. Saya membunyikan hon tanda amarah dan amaran!

Tak reti makna sabar hari-hari akhir Ramadan ini. Mahu cepat sahaja sampaikan membahayakan diri dan orang lain.

Akhirnya setelah berpusing-pusing, saya melafaz doa. Ya Tuhan, berikan saya ruang parkir sekali ini, saya sudah penat tawaf beberapa kali. Dalam keadaan sesak seperti ini, mustahil untuk saya mendapat parkir. Tetapi Allah mendengar juga doa kecil daripada orang kecil yang banyak dosa. Doa kecil yang sangat diperlukan saat hujan lebat dan sesak iaitu memohon ruang parkir. Alhamdulillah.

Sebetulnya saya mahu mengambil kanta mata multifokal yang saya tempah seminggu lepas. Kena pakai jenis itu sebab saya sudah memiliki kedua-dua jenis kerabunan. Dekat dan jauh. Pakai kanta mata tapi ketika membaca, letak kanta mata di hujung hidung. Atau kadang-kadang membukanya terus. Bukankah kelihatan pelik?

Semua orang pun sibuk membeli belah untuk menyambut lebaran. Saya sekeluarga belum bersiap-siap apa pun. Saya hanya mahu gembirakan emak, dengan menyediakan keperluan yang emak perlukan. Itu pun bukan untuk dirinya tetapi untuk gembirakan anak cucunya juga.

Anak-anak sudah dewasa. Tiada keperluan apa-apa untuk lebaran. Cuti seminggu, mereka mahu gembira ria pun tidak boleh. Tugasan penuh dalam senarai. Menjadi mahasiswa menuntut seribu pengorbanan.

Saat menjelang lebaran itulah yang mengujakan, bukan hari lebaran itu sendiri. Saya hanya gemarkan nostalgia pulang kampung. Kereta yang membanjiri lebuh raya, bergerak seinci-seinci. Mengintai muka-muka ceria penumpang-penumpang kereta sebelah-menyebelah. Meskipun penat berpuasa tetapi tetap gembira mahu pulang.

Rumah emak, sejak gemulah ayah masih ada; memang sejak malam selepas Ramadan pamit, sudah mula didatangi tetamu. Kadang-kadang membawa ke pagi. Mereka gemar duduk-duduk menikmati lemang dan masakan istimewa keluarga iaitu ayam masak taucu. Sambil melihat cucu-cicit emak bermain bunga api.

Sejak ayah tiada, memang agak terasa. Selalunya ayah akan bertakbir dari dalam biliknya. Takbir kemenangan mengharungi Ramadan. Sambil berdoa agar sempat bertemu lagi dengan Ramadan seterusnya.

Akhir Ramadan, saya harap saya sempat menziarahi pusara ayah. Mahu melihat dahan santalia yang ditanam emak, masihkah tumbuh memanjang menaungi pusara ayah. Batu gunung yang menjadi nisan ayah memang diambil dari batu gunung, batu asli dari air terjun. Ayah yang mahukan begitu. Kata ayah dahulu, jangan tempahkan nisan daripada simen kalau dia dijemput pergi. Cukuplah hanya batu gunung. Saya mahu doakan ayah sebagai tanda kasih sayang saya.

Sedih Ramadan bakal berakhir. Ada rasa luka dan hiba yang entah bagaimana mahu dilakar. Mata bergenang air. Sunyi dan sayu. Seperti hujan di luar yang melebat, mendinginkan Ramadan tahun ini.

Thursday, August 18, 2011

Hati...tolonglah gembira!


Apabila berpindah dan menjadi "junior"semula, kerja-kerja luar kelas/kuliah yang biasa saya buat semasa di kolej matrix dan TMS berjaya saya lupakan buat sementara waktu.
Hati yang telah dijahit olehnya...
Hati yang telah diubati oleh waktu

Lepaskan belon hati yang pecah itu...
Dengan situasi diri yang berkali-kali diingatkan doktor, supaya jangan stres; saya berusaha untuk buat-buat bodoh.

Di tempat lama, semuanya sudah kenal amat dengan perangai saya. Dari bos besar, bos kecil sampailah ke pengawal keselamatan; semuanya sangat memahami. Sampaikan mereka juga tahu saya sukakan privasi dan tidak gemar dengan acara hari keluarga.

Mereka begitu menghormati dan menerima saya seadanya.

Apa sahaja tugas, saya akan terima kerana mereka pun sangat tahu apa jenis tugas yang saya mahir. Jadi, saya melaksanakan dengan gembira walaupun bermakna saya akan berada di rumah hanya beberapa jam. Anehnya, saya langsung tidak berasa kesakitan apa-apa waktu saya di sana.

Penat tetapi gembira!

Ironinya, di sini saya selalu rasa kurang sihat dan kurang gembira. Kadang-kadang saya menahan tangis kerana berasa lesu. Cuma saya benar-benar gembira apabila berada di kelas. Kelas adalah ubat paling mujarab. Apalagi jika mengajar subjek yang berkaitan komunikasi sebab di situlah jiwa saya. Berada dengan pelajar-pelajar sangat menenangkan.

Nasib baik juga ada teman-teman senior yang sudah lama mengenali saya sebelum saya datang ke sini. Kami selalu bernostalgia dengan kisah lalu. Itu pun boleh jadikan saya kembali ceria.

Saya masih belum menjiwai? Sebab kondisi saya yang kurang upayakah? Infrastruktur? Merindui rakan-rakan muda saya di TMS? Rumah yang sudah jadi kecil? Pintu pagar manual? Bilik air yang kecil-kecil?

Takkanlah begitu! Tidak bersyukurnya saya. Tapi saya amat rindui TMS dan rakan-rakan muda saya!

Ahhhhhhhhhhhhhhhhh.....

Wednesday, August 17, 2011

Cinta Di Awan

Jadi anak soleh/solehah, supaya dapat anak yang juga soleh/solehah

"Sudah jumpa?" Tanya saya via telefon.

"Sudah..." dia menjawab setelah agak lama berjeda.

"Tapi tanpa pengetahuan ibunya. Kalau ibunya tahu, matilah saya. Dia yang cari saya" Dia melanjutkan bicara. Itulah sekali agaknya mereka berjumpa.

Dia pernah menjadi anak unit saya semasa bertugas di matrix. Nama pun hampir serupa. Asalnya memang saya mahu menelefon dia, tetapi oleh kerana ada dua Laila di rekod telefon bimbit, saya terdail Laila yang lain.

Usianya muda lagi. Orangnya sangat patuh, juga rajin. Pandai juga memainkan peranan sebagai "kakak" kepada pensyarah-pensyarah unit selepas saya pamit. Banyak sekali pesanan saya tatkala mahu pergi meninggalkan mereka.

Dia akan menamatkan zaman gadisnya selepas lebaran. Tetapi uniknya, dia bertunangan atas pilihan orang tua, langsung tidak pernah berjumpa atau berhubungan dengan tunangannya. Sesuatu yang agak pelik dan janggal pada zaman global dan kaya teknologi. Gambar pun tidak ada. Tapi tunangannya itu berusaha mencarinya, dan mereka pun berjumpa. Hanya untuk mengenal muka.

Tapi dia yakin dengan pilihan orang tua. Sebabnya sebelum itu dia ke Mekah menunaikan umrah. Di sana dia telah panjatkan doa. Barangkali Allah cepat mendengar doanya. Sekembalinya ke Malaysia, dan di pejabat, dia dikhabarkan "balik segera. Hujung minggu ni ada orang mahu meminang..." demikian dia akur kepada perintah ibu bapanya.

Cepat dan percaturan hidup yang selamba. Bertunangan dan ditetapkan majlis nikahnya selepas lebaran. Dia pun semacam tidak percaya akan takdir yang begitu cepat menukarkan status dan gaya hidup. Begitulah kalau Allah mahu.

"Macam cinta di awan..." fikir saya. Cinta yang putih suci, tetapi masih berapungan ringan di laman langit. Mudah-mudahan cintanya dalam restu Tuhan. Tidak ada kepincangan besar yang boleh merona perbalahan.

 Menemukan dua alir sungai yang berbeza memang payah. Paling kurang lima tahun untuk benar-benar menerima seadanya, demikian kata para psikologis.

Wahai pemilik cinta di awan, terima kasih kerana memaklumkan berita pertunangan. Terima kasih kerana selalu menghargai saya sebagai seorang kakak, dan kadangkala seperti emak.

Saturday, August 13, 2011

Pak Jait, Si Pembuat Tali


Waktu saya masih kecil, ada seorang tua di kampung yang menghidap parkinson. Kami memanggilnya Pak Jait. Sampai sekarang saya tidak tahu namanya yang sebenar. Tapi bayangan Pak Jait yang sudah   kembali ke pangkuan Illahi itu selalu tergambar di minda saya jika saya pulang ke kampung.

Pak Jait menyara hidupnya dengan membuat tali daripada pokok pisang. Dia tinggal bersama adik tirinya yang mempunyai seorang isteri yang agak garang. Rumah mereka terletak di hujung kampung, betul-betul di tebing sungai tempat Pak Jait selalu mandi.

Oleh kerana penyakitnya, Pak Jait tidak boleh berjalan seperti orang biasa. Dia berjalan ke kiri dan ke kanan. Pergerakannya tidak stabil. Kata emak, dia dilahirkan normal tetapi dia mengalami demam panas yang teruk sehingga menyebabkan keadaannya begitu.

Saya masih ingat, jika orang-orang kampung menebang pokok pisang; sayalah orang pertama yang akan berlari mencari Pak Jait dan memaklumkan hal tersebut. Pak Jait akan membawa parang dan terhuyung-hayang "melapah" batang pisang, mengikatnya dan memikulnya pulang. Saya akan menunggu Pak Jait menyelesaikan tugasnya dan akan membantu dia membawa parang.

Saya bimbang jika Pak Jait terjatuh dan parang itu menikam perutnya. Tetapi Allah Maha Kuasa, sekali pun Pak Jait tidak terkena parangnya meskipun dia jatuh tunggang-langgang akibat pergerakannya yang sangat terbatas itu. Untuk membantunya memikul batang pisang, saya tidak mampu. Tubuh saya yang kecil kurus tidak memungkinkan saya membantunya.

Untuk menyeberangi barisan kayu-kayu yang merintangi parit kecil pun satu kesukaran yang amat besar kepada lelaki tua itu. Saya selalu memegang tangannya, menarik dan cuba menolak tubuhnya agar dia berjaya melepasi halangan itu.

Kasihan Pak Jait. Saya selalu menangis melihat dia jatuh. Kalau pulang ke rumah dengan mata merah, emak sudah tahu saya menangis kerana kasihankan Pak Jait.

Oleh kerana keadaannya itu, Pak Jait selalu mandi telanjang di sungai. Bagaimana dia mahu memakai kain basahan kalau terhuyung-hayang begitu. Budak-budak nakal selalu mengejek-ejeknya. Sudah tentu perbuatan itu menimbulkan kemarahan dan kekesalan yang amat sangat dalam diri saya. Selalulah juga saya memarahi kanak-kanak itu. Sudahnya, saya yang menangis!

Selesai menyiat batang-batang pisang itu, Pak Jait akan menjemurnya. Setelah kering, tali-tali itu diikat dan Pak Jait membawanya untuk dijual di pekan. Dia ke pekan menaiki bas. Bayangkan saja, bagaimana dia menaiki bas dengan membawa tali-tali yang diikat itu. Sangat menyiksakan. Bukan sekali dua, Pak Jait tersungkur.

Saya sudah bekerja di Kuala Lumpur ketika emak menelefon. "Pak Jait sudah meninggal," kata emak. Saya terdiam lama. Menahan sedih sebenarnya.

"Tapi, orang macam itu, tempatnya pasti di syurga," sambung emak seperti mahu menyejukkan hati saya.

Saya pun memang pasti orang tua itu sangat tenang di sana.

Hidupnya di dunia sangat derita. Dia mendapat wang bantuan kebajikan masyarakat. Tidak banyak tapi sebenarnya cukuplah untuk menampung hidup. Tetapi wang itu bukan menjadi miliknya. Dia menerima tetapi orang lain yang menggunakan wang tersebut. Dia pula terpaksa mencari rezeki dengan membuat tali daripada batang pokok pisang.

Kata emak, Pak Jait sakit sebelum meninggal. Mengingati saya yang sangat simpati dengan nasib lelaki tua itu, emak dan ayah menziarahinya hampir setiap hari. Kepada emaklah, dia mengadu meskipun pertuturannya kurang difahami. Emak membawa makanan dan menyuap ke mulutnya kerana Pak Jait benar-benar uzur. Dia diabaikan sama seperti waktu sihatnya oleh ahli keluarganya sendiri.

"Eloklah Allah ambil dia. Susah sangat hidupnya di dunia ini..." kata emak.

Sehingga kini pun, air mata saya masih bergenang jika mengingati Pak Jait. Kalau pulang ke kampung, saya akan selalu mengenangnya jika ternampak batang pokok pisang yang ditebang.

Tapi saya sangat yakin, Pak Jait insan terpilih. Pasti Allah telah menyediakan taman syurga terindah buat lelaki itu.

Friday, August 12, 2011

Puasa Zaman Kanak-kanak





Puasa dan hari raya pada zaman kanak-kanak memang menyeronokkan.

Walaupun hidup serba kurang tapi Ramadan memang dinanti-nanti. Emak berkali-kali mengajar kami berniat puasa, siap dengan pemberitahuan hal-hal yang boleh membatalkan puasa.

Waktu bersahur atau berbuka, kami makan dengan hidangan biasa-biasa. Emak akan meminta kakak ke kedai membelikan ketul ais batu dengan harga sepuluh sen. Kadang-kadang kalau lambat sedikit, ketul ais habis dijual. Jadi kakak selalu ke kedai awal pagi untuk menempah ketul ais.

Ketul ais itu akan digergaji mengikut saiz dah harganya. Kemudian akan dilumur dengan habuk kayu dan dibungkus dengan kertas suratkhabar. Kakak akan meletakkannya di tempat duduk basikal ayah. Oleh kerana basikal ayah basikal "jantan", kakak hanya menuntunnya. Basikal itu berpalang di tengah, kalau kakak menunggangnya pun, dia akan masukkan sebelah kakinya di bawah palang dan menunggang dalam keadaan senget.

Saya tukang ikut saja. Kalau kakak ke kedai, saya pun ke kedai. Kalau kakak mandi sungai, saya tak ketinggalan ikut berendam di sungai. Tapi kata emak, terlalu lama berendam pun boleh batalkan puasa. Bukan apa, sambil menyelam boleh saja sambil minum air!

Untuk menahan lapar, kami main masak-masak. Kami ambil tanah liat di tebing sungai, bentuk-bentukkan menjadi kuih. Beraneka jenis kuih dengan pelbagai bentuk. Kemudian pura-pura makan kuih tanah liat itu. Kononnya kalau pura-pura seperti itu, boleh menghilangkan kelaparan.

Menjelang petang, selalu juga duduk-duduk di tepi jalan raya, mengira kereta yang lalu. Kalau kakak pilih kereta warna merah, saya pilih yang warna putih. Siapa yang paling banyak kereta pilihan warnanya, dialah pemenang. Bukan ada hadiah apa pun, sekadar seronok-seronok untuk menghilangkan bosan. Selain itu, dapat memahirkan ilmu kira-kira atau ilmu hisab!

Waktu itu mana ada TV. Jadi, tidaklah kami melangut saja di depan TV macam budak-budak sekarang. Letrik pun tidak ada.

Kami juga suka menyimpan barang-barang makanan untuk dimakan selepas berbuka. Kadang-kadang putik jambu pun jadi. Makan dicicah dengan garam. Kelat-kelat rasanya.

Malam selepas berbuka, kami bebas bermain di halaman. Maklumlah kata emak, syaitan kena ikat.

"Agaknya, syaitan yang kena ikat tu tengok je kita main kan? Dia dah tak boleh kacau kita lagi..." kata saya.

Kami pun bebaslah berlarian ke sana sini bertemankan pelita ayan atau panjut daripada tempurung yang dibuat ayah. Ayah memacak besi atau batang buluh di tanah, mengetuk buntut tempurung sehingga berlubang dan menyusun tempurung-tempurung itu di batang kayu. Halaman akan jadi terang-benderang dengan panjut ciptaan ayah itu.

Lepas terawih, ada moreh. Ada juga bunyi dentuman meriam buluh yang bersahut-sahutan dari sebuah kampung ke sebuah kampung yang berjiran.

Kalau tiba hari raya, zaman dulu-dulu mesti pergi ke pekan untuk tengok wayang. Tapi kami tidak pergi ke pekan untuk menonton wayang, cuma sekadar untuk membeli jajan atau bunga api. Pakaian pun yang dijahit sendiri oleh emak. Baju kurung daripada kain termurah. Itu pun sudah cukup membuatkan kami gembira.

Kalau tak dapat duit raya pun tidak mengapa, janji dapat makan kuih yang sedap-sedap. Ada kuih yang namanya putu kacang, dbuat daripada kacang hijau, ditumbuk dan dijemur. Kalau makan, sampai bersembur-sembur di mulut. Memang makan kuih putu kacang, kena berhati-hati. Sekarang ini ada juga sesekali saya nampak kuih itu, tetapi sudah tidak seperti dulu. Tidak bersembur-sembur lagi kalau dimakan. Barangkali kuih itu sekarang dibuat dengan mesin dan tanpa kasih sayang!

Waktu itu kalau dapat lima sen duit raya pun sudah dikira bagus. Orang-orang kaya sahaja yang bagi lima puluh sen.

Duit raya yang dikumpul itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ayah dan emak. Selama beberapa minggu ayah tidak perlu memberikan wang saku untuk ke sekolah.

Keseronokan zaman kanak-kanak itu terlalu manis untuk dikenang. Dalam hidup serba susah dan tanpa kemudahan, kami tetap gembira menikmati apa sahaja yang diberikan Tuhan.

Saya pernah beritahu emak, terima kasih kepada kemiskinan dan kesukaran hidup zaman kanak-kanak saya. Sebabnya saya sangat bersyukur Allah memberikan saya merasai keperitan hidup itu. Sekurang-kurangnya apabila saya dewasa, saya sudah siap siaga dan mampu berdepan dengan kemelut apa pun.

Kita tak mampu untuk membeli nostalgia semanis itu meskipun kita punya wang berjuta sekarang ini!

Wajib Solat Juga...


"Tahu tak kalau kita tak berpakaian pun tetap kena solat?" Tanya Encik Rahim petang itu.

"Bolehlah agaknya. Takat yang boleh ditutuplah," kata saya.

Encik Rahim yang dipanggil Pak Tam itu menjatuhkan kanta matanya ke hidung. Dia merenung saya dari mejanya.

"Bukan itu maksud aku. Ni langsung tak berpakaian. Bogel. Hang tau dak, boleh solat jugak. Tapi adalah sebab dan syaratnya..." Pak Tam bangun dan menunjukkan ensaiklopedia tebal berkaitan solat.

"Hang baca!" Kata Pak Tam mahu berkongsi ilmu.

Betullah kata Pak Tam. Kalau tiba-tiba gempa bumi berlaku sampai semua pakaian kita tidak ada lagi, atau kita dikurung tanpa pakaian; sedangkan waktu solat sudah hampir habis...maka kita boleh bersolat dalam keadaan tersebut.

"Tapi kalau berjemaah, safnya sebaris dengan imam. Imam duk tengah-tengah. Kalau lebih daripada satu saf, orang-orang di saf belakang kena pejam mata untuk mengelakkan kita melihat aurat saudara kita di saf hadapan..." terang Pak Tam bersungguh-sungguh.

"Tapi tak mungkinlah kita jadi sampai macam tu..." sampuk kawan yang lain.

"Eh, jangan fikir lagu tu. Kita tak tahu apa akan jadi pada kita. Maknanya kita kena tahu juga kalau tiba-tiba berlaku benda-benda yang kita anggap mustahil" kata Pak Tam.

Saya pun sebenarnya tidak tahu hal-hal yang sebegini. Bermakna begitu besarnya tuntutan kewajipan solat itu kepada kita, sehinggakan dalam situasi segawat dan semustahil itu pun kita masih wajib bersolat.

Saya mengucapkan terima kasih atas info Pak Tam yang sangat bermanfaat untuk tambahan koleksi pengetahuan saya tentang hal solat itu.

Pak Tam yang selalu kelakar dan bersuara kuat itu telah berbuat jasa kepada saya hari ini.

Patutlah Allah kata solat itu tiang agama...


Sunday, August 7, 2011

Pesan Ibu Bunga Matahari...

Ini emak saya, wanita gagah yang mengorbankan seluruh hidup untuk membesar dan mendidik anak-anaknya.

Saya tekun membaca cerita ini di maya. Bagaimana kisah seorang anak yang berbakti kepada ibunya sehingga diangkat darjatnya oleh Allah.

Uwais al-Qarni...

Nabi Muhammad  s.a.w. pernah meminta Saidina Umar dan Saidina Ali  r.a. agar berjumpa dengan Uwais al-Qarni di Yaman. Tujuannya hanya agar dua orang sahabat Baginda itu meminta kepada Uwais al-Qarni agar mendoakan mereka agar diampunkan dosa oleh Allah.  Apakah rahsia besar kelebihan Uwais al-Qarni hingga Rasulullah s.a.w. mengangkat namanya begitu tinggi dalam sejarah kemuliaan seorang insan?

Uwais al-Qarni ialah nama kecil di sebuah perkampungan di Yaman. Dia menghidapi penyakit kulit (sopak).  Suatu hari ibunya yang sudah tua berhasrat untuk menunaikan haji di Mekah. Sebagai keluarga yang miskin tentulah mustahil baginya untuk membeli atau menyewa unta untuk dijadikan pengangkutan bagi perjalanan yang amat jauh itu.

Namun sebagai anak yang meletakkan ibunya di singgahsana hatinya,  dia tidak sesekali berkata tidak. Dia berjanji kepada ibunya untuk memenuhi hajat ibunya yang sudah uzur itu. Walaupun, dia tidak mampu mencari kenderaan untuk perjalanan yang jauh itu, Uwais menggunakan sedikit wang yang dimilikinya untuk membeli seekor anak lembu.

Dibuatnya sebuah kandang di atas bukit. Pagi, dia akan mengendong anak lembu itu turun untuk diberi makan. Petang, dia akan mengendong anak lembu itu ke atas bukit untuk disimpan di kandang tersebut. Cukup 8 bulan, besarlah anak lembu itu.

Apabila tiba saat yang sesuai, Uwais berkata ibunya, “wahai ibu, bolehlah kita mula berangkat ke Mekah kerana musim haji tiba tidak berapa lama lagi.”

“Habis Uwais, di manakah kita akan mendapatkan kenderaan untuk ke sana?” tanya ibunya.

“Jangan bimbang wahai ibuku. Saya akan mengendong ibu di bahagian depan saya dan barang bekalan di belakang saya.”

Terkejut si ibu mendengarkan jawapan si anak. Demikianlah besarnya tekad Uwais demi ibunya. Rupa-rupanya dia membeli lembu dan mengendongnya naik dan turun bukit adalah sebagai latihan jasmani agar dia kuat mengendong ibunya yang sudah uzur.

Berangkatlah Uwais al-Qarni dengan mengendong ibunya dan bekalan. Akhirnya sampailah mereka di Mekah. Ketika mengerjakan tawaf dan sa’i, mulut Uwais tidak putus-putus membaca sesuatu. Lalu ibunya bertanya, “apa yang kau baca tidak putus-putus wahai anakku. Sila beritahu kepadaku.”

“Ibu, saya hanya membaca doa agar Allah mengampunkan dosa-dosa ibu.”

Demikian sikap terpuji seorang anak yang sukar ditemukan dalam hidup ini.
Lalu berkata ibunya lagi,” Kalau begitu, ibu mahu engkau berdoa agar Allah menyembuhkan penyakit sopakmu.”

“Ibu, masakan saya hendak menolak anugerah Allah kepada saya. Sopak ini adalah pemberian Allah kepada saya. Saya tak akan menolaknya, ibu.”

“Tidak. Sekali ini, ibu mahu engkau ikut cakap ibu.”

Maka tidaklah mampu lagi Uwais mengecewakan harapan ibu kesayangannya. Dengan hati yang amat berat, maka berdoalah Uwais dengan kata, “Ya Allah, kerana mentaati kemahuan ibuku, aku bermohon agar Engkau sembuhkanlah penyakit sopakku. Tetapi tinggalkan sedikit pada tubuhku agar aku tidak kufur akan nikmat-Mu.”

Apabila Saidina Umar dan Saidina Ali r.a. berjumpa dengan Uwais al-Qarni, benarlah ada tanda sebesar duit syiling di belakang tengkuknya. Itulah bekasan penyakit sopak yang masih terdapat pada tubuh Uwais. Lalu dua sahabat Rasulullah s.a.w. itu meminta Uwais berdoa kepada Allah agar dosa mereka diampunkan seperti yang diminta oleh Rasulullah s.a.w. itu.

Demikianlah kisah seorang insan kecil yang besar di sisi Allah. Beruntunglah sesiapa yang masih ada ibu bapa yang sudah tua. Mereka berpeluang berbakti kepada ibu bapa seperti yang telah dilakukan oleh Uwais al-Qarni ini. Di samping itu, jangan lupa untuk perbanyakkan istighfar. Sedangkan Saidina Umar dan Saidina Ali yang dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w. masih diminta memohon ampun, apa lagi kita yang belum tentu ke mana langkah penamat kita. 

Janganlah kerana satu kesilapan yang mereka lakukan, langsung kita melupakan segala pengorbanan. Kita sendiri bukan manusia suci. Siapa kita untuk menderhakai mereka sedangkan kita pernah bergantung hidup di dalam rahim wanita itu selama sembilan bulan sepuluh hari!

Berbaktilah kepada ibu selagi hayat mereka dikandung badan. Ibu yang dahulunya tidak pernah merungut tatkala terbangun di tengah malam untuk menyusui kita yang kelaparan. Ibu yang tidak pernah bising tatkala menyalin lampin kita waktu dinihari. Ibu yang sanggup berlapar supaya kita kenyang. Ibu yang bersengkang mata menemani kita tatkala kita menghadapi peperiksaan. 

Ibu yang sanggup berdoa agar ditukarkan nyawanya tatkala menghadapi kita yang terbaring sakit...

Hanya seorang ibu yang sanggup mati kerana anaknya!

Tetamu Agung...


Ramadan kali ini memang adventure. Hampir setiap kali kami berbuka dalam kereta dengan sebiji dua kurma yang memang sudah sedia ada di tempat duduk belakang kereta.

Selepas berhenti solat maghrib di mana-mana, kami akan ke warung untuk mengisi perut. Hidangan pun yang biasa-biasa saja. Tiada pembaziran. Betul-betul menyahut seruan Ramadan.

Nasib baik suami jenis tidak cerewet. Sahur dengan lauk yang dibeli pun ok. Kalau dulu-dulu, saat anak-anak masih ada di rumah, saya selalu mendahulukan selera anak.

Mereka pula makan bermusim. Jika sukakan nasi goreng kampung, maka tiap-tiap hari pun kena goreng nasi. Minggu depan tukar pula selera. Makan tomyam. Hari-harilah pula saya mereneh tomyam.

Bila sudah jemu, akhirnya mereka bersahur dengan cocoa crunch sahaja. Adik minum milo panas, kakak minum susu tepung panas.

Sekarang, bila tinggal berdua; berbuka dan bersahur ala-ala orang bujang. Janji ada kuah. Apa-apa pun jadi. Saya bersahur minum saja. Kalau makan pun, dua sudu nasi yang dipaksa makan oleh suami. Atau kadang-kadang makan sekeping biskut. Selebihnya kenyang makan ubat. Berbuka pun kenyang makan ubat, bersahur pun telan ubat juga.

Mudah-mudahan Ramadan kali ini menyihatkan saya. Memberikan saya lebihan kekuatan agar saya boleh terus gembira dan menggembirakan orang lain.

Entah bertemu atau tidak kita dengan Ramadan tahun hadapan. Tahun ini Ramadan dingin dan redup. Kadang-kadang menyayukan tatkala mengenang gemulah ayah dan mereka yang telah pergi. Kita? Entah bila.

Seperti terdengar-dengar suara ayah mengaji. Letih mengaji ayah bernasyid lagu kegemarannya "Selimut Putih". Akhirnya ayah telah merasai juga selimut putih itu. Mudah-mudahan dinginlah pusara ayah, menjadi taman-taman yang penuh bercahaya.

Memang ini bulan yang penuh berkat. Tidak tahu bagaimana mahu menafsirkannya. Tapi kita dapat merasai keberkatan itu. Rasa sayu, rasa gembira yang bercampur-baur.

 Entah apa hidangan berbuka anak-anak. Kenyangkah mereka dengan juadah yang dibeli?

"Mereka sudah besar. Sudah boleh jadi mak orang. Biarkan mereka berdikari..." tegur suami kalau terdengar saya bertanya-tanya sendiri.

Ibu kan? Selalu lupa anak sudah besar.

Apa pun Ramadan memang menggembirakan. Kedatangannya bagaikan tetamu agung. Lapar dan dahaga hanya sementara.

Mudah-mudahan Ramadan ini membawa berita gembira kepada kita semua.

Kepada seorang ibu yang sangat merindui anak-anaknya...

Wednesday, August 3, 2011

Mudah Ditipu atau Suka Menipu?




Ada satu cerita lucu. Tapi saya terfikir sesuatu selepas membacanya!

Seorang isteri merajuk kepada suaminya kerana tidak membelikan kereta sebagai hadiah harijadinya. Tetapi suaminya membelikan cincin berlian yang luar biasa indahnya. Kawan-kawan suaminya merasa hairan dengan pilihan tersebut.

Salah seorang rakan lelaki tersebut bertanya, "Mengapa kamu membelikan isterimu cincin berlian, bukannya kereta?"

Lelaki tersebut tersenyum dan berkata, "Susah mencari kereta palsu."


Walaupun lucu tetapi saya masih berfikir-fikir cerita di sebalik coretan lucu itu.

Adakah orang perempuan yang mudah ditipu atau orang lelaki memang spesis suka menipu?

Saya memang aneh sedikit. Saya memang suka baca cerita kelakar. Patutnya baca sajalah dan menikmati kelucuan itu. Tak payahlah fikir banyak-banyak.  Tapi entah mengapa, suka benar pula saya memikir-mikir makna tersiratnya.

Agaknya kalau ada kereta palsu, mahu agaknya lelaki belikan sebagai hadiah untuk isterinya. Nasib baik tidak ada...hahaha...

Dan perempuan pun, cubalah jadi bijak sedikit!

Bukan Jauh Bona...


Penuh sesak jalan di pekan. Ahad itu 30 Syaaban, esoknya cahaya Ramadan akan muncul. Sudah menjadi tradisi di daerah ini untuk membakar lemang dan memasak rendang demi meraikan Ramadan. Ada istilah-istilahnya yang saya pun kurang memahami.

Saya mendengar ada orang menyebut "mogang", ada yang menyebut "mantai".

Hampir dua belas tahun di sini, saya sudah hafal tarikh-tarikh bila jalan akan penuh sesak dengan kereta.

Saya kena keluar juga ke pekan walaupun saya tahu pekan penuh sesak. Ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan dengan kadar segera. Ini minggu terakhir saya berada di sini. Daerah Kuala Pilah akan saya tinggalkan dengan kenangan pahit manis dan akan selalu saya rindui.

Seawal pagi saya sudah menuju ke Kampung Ulu Gachong untuk ketemu Uwan Zaharah. Sudah pasti untuk urusan rutin bulanan saya iaitu berurut! Juga untuk memaklumkannya sesuatu.

Wanita berusia 74 tahun itu sudah menunggu saya. "Hati-hati, banyak kemuncup tu, jalan ikut sini..." Dia memberi arahan dan menunjuk ke arah jalan yang sudah beralur, barangkali kerana kerap dilalui.

Loghatnya pekat. Ada yang saya faham, ada yang tidak. Jadi, kalau saya tidak faham, saya akan mohon dia untuk mengulang, atau menterjemah. Saya beritahu dia, ini minggu akhir saya di daerah itu.

"Nanti saya datang-datang juga jenguk Uwan. Bukan jauh pun..." Ujar saya separuh memujuk. Melihat Uwan, saya teringat emak. Emak cergas cerdas dan bertubuh kecil persis nenek ini juga. Cuma Uwan setahun lebih tua daripada emak.

Menjelang Ramadan saban tahun, saya memang akan menjenguk Uwan. Barangkali sebagai ganti tradisi menjenguk emak yang jauh di kampung. Saya gembira mendengar cerita-cerita Uwan tentang kehidupan masa lalunya. Kesukaran hidupnya, perjuangan membesarkan anak-anak dan kemahirannya mengurut yang diwarisi daripada gemulah ibunya.

Selesai menjenguk Uwan, saya ke beberapa tempat yang biasa saya kunjungi. Saya mahu memberitahu mereka bahawa saya akan pergi. Tidak hanya setakat berpindah kerja, bahkan juga berpindah rumah. Bukannya apa, saya tidak mahu mereka tertanya-tanya ke mana saya menghilang. Saya juga tidak mahu mereka membuat kesimpulan bahawa saya sudah lupakan mereka.

Di kedai Ane, begitu panggilan saya kepada warga emas berketurunan India itu; saya memaklumkan akan perpindahan saya itu.

"Tak apalah adik manis. Bukan jauh pun. Sudah ada highway, banyak senang..." kata Ane. Saya memang gemar ke kedai runcit Ane. Walaupun saya tinggal jauh, saya tetap akan ke kedainya. Semua benda yang saya perlukan ada di situ. Lagipun awal-awal lagi Ane sudah beritahu, "Adik manis, ini ayam saya ambil daripada Encik xxx ...orang Islam, saya ambil di pasar, gerai nombor xxx, dijamin halal"

Pandai betul Ane meneka keraguan saya. Belum sempat bertanya apa-apa pun, dia sudah beritahu.

Kemudian saya ke kedai sebelah. Kedai jahit Kak Faridah. Saya lebih tua beberapa tahun daripadanya, tapi saya tetap memanggilnya "kakak" sebagai menghormati kemahiran menjahitnya. Kemahiran yang langsung tidak ada pada saya. Teringat usikan suami tentang status jahitan saya. "Macam alien jahit baju..." katanya setiap kali saya cuba menjahit kain yang koyak.

Kak Faridah juga saya maklumkan tentang perpindahan saya.

"Tapi saya tempah baju di sini juga, kak. Dah biasa. Nanti kalau pergi ke lain, takut tak serasi pula dengan saya..." Saya memberi jaminan.

"Tak apalah. Tak jauh kan...sambil-sambil berjalan, boleh datang tempah," kata wanita berkulit putih kuning itu sambil tangannya cekap menggunting.

Selesai ke kedai jahit, saya ke Kolej Matrikulasi. Mahu jumpa kakak yang paling "bising" di dunia. Dia mengusahakan salah sebuah kafeteria di kolej. Memang riuh-rendah suaranya menyambut saya. Walaupun dia bising, tapi hatinya sangat baik. Dia dan suaminya banyak membantu menjadi "dapur" saya jika saya terpaksa meninggalkan anak-anak berhari-hari untuk berkursus atau mesyuarat.

"Kakak dengan abang kau ada. Kau telefon saja, berdesup kami datang. Jangan bimbang, akak jaga kau. Selagi akak ada, akak akan jaga kau..." Saya masih teringat kata-katanya.

"Saya mahu pindah rumah ni. Nanti bila-bila ada masa, saya datang jumpa ya" kata saya.

Riak mukanya bukan main gembira. Dia suka saya melakukan peningkatan diri.

"Pergilah. Bukan jauh bona, dokek yo..." Dan seperti biasa, diikuti dengan seribu macam pesanan. Banyak sekali, ada yang saya lupa, ada yang masih saya ingat.

Sepanjang hari itu, saya berziarah ke sana sini.

Ada waktunya saya yang memujuk dengan ungkapan, "bukannya jauh pun" jika wajah orang yang diziarah kelihatan muram. Atau mereka yang akan memujuk saya, "tak jauh. Bila-bila pun boleh datang..." kalau giliran wajah saya pula yang muram.

Begitulah jika sudah lama berdagang di tempat orang. Adat orang berdagang, pesan emak; kena selalu berbaik-baik dengan masyarakat tempatan. Paling penting hormati golongan tua tidak kira bangsa apa pun, kata emak. Boleh bertanya mengenai kebiasaan dan adat mereka; tetapi jangan sampai kelihatan memperkecil-kecilkan kebiasaan mereka itu.

Ungkapan "bukan jauh bona" itu sebenarnya melegakan hati saya yang murung. Saya keberatan meninggalkan mereka yang sudah lama saya gauli. Barangkali nanti-nanti setahun sekali baru dapat jumpa mereka semula. Meskipun "bukan jauh bona" tetapi tuntutan kerja selalu memenjarakan keinginan bertemu.

Saya berharap mereka tak lupakan saya. Saya juga tidak akan melupakan memori yang mereka kongsikan dengan saya. Cerita-cerita mereka, kebaikan mereka, akan terus menghiasai hati saya!