Total Pageviews

Thursday, July 28, 2011

Budak2 Tak Pandai Berlakon...



Hari ini jam 9.45 pagi ke sebuah sekolah di Daerah Rantau.

Seorang guru pelatih KPLI yang di bawah seliaan saya akan mempraktikkan teori dari bilik kuliah ke kelas dan dalam situasi sebenar.

Awal-awal lagi dia sudah bimbang. Berkali-kali dia beritahu saya, "Puan, saya nak cakap awal-awal. Budak-budak kelas saya sangat hyper. Mungkin akan ada masalah kawalan kelas nanti..."

Saya senyum-senyum saja. Kesian lihat muka dia yang risau. Saya beritahu dia jangan tertekan sangat. Buat macam biasa. Saya bukan mahu cari salah. Saya hanya mahu membimbing.

Saya pun masuk ke kelas tersebut. Makmal ICT sebenarnya. Dingin dan santai. Pelajar duduk di lantai menghadap papan putih. Guru menggunakan teknologi ICT untuk memaparkan set induksi. Menarik. Murid sangat teruja, menyanyi bersama-sama.

Tapi memang betul kata dia. Budak-budak Tahun 4 itu memang jenis hyper. Langsung tidak boleh diam. Ada yang sampai meniarap-niarap. Ada dua tiga orang menangis-nangis. Puncanya pun hanya kerana berebut helaian edaran. Tapi guru itu pandai juga mengawal kelas.

Mungkin kerana suaranya yang kuat. Atau kerana dia lelaki.

Selesai kelas, dia memang agak susah hati. Terlebih masa lima belas minit. Saya tahu sebabnya. Dia terpaksa mengambil masa untuk mengawal kelas yang budak-budaknya macam ulat beluncas, atau melompat-lompat macam ulat nangka.

Sebenarnya itulah realiti di kelas yang betul. Saya memang tiada pengalaman langsung mengajar sekolah rendah. Tapi mengajar di tingkatan satu, saya pernah. Setahun saya mengajar tingkatan satu. Perangai budak-budak masih terbawa-bawa dari sekolah rendah.

Kelas yang saya pernah ajar itu lagi teruk daripada kelas yang guru pelatih itu ajar. Sekurang-kurangnya kelasnya ada pelajar perempuan. Tidak ramai bilangan pelajarnya.

Kelas tingkatan satu yang saya ajar? Empat puluh enam orang pelajar lelaki! Kaki gaduh pulak tu. Bertumbuk perkara biasa.Malahan, adakalanya guru terpaksa mengejar pelajar yang keluar masuk sesuka hati ke dalam kelas. Ada peristiwa seorang pelajar, kencing dalam botol air mineral semasa guru sedang mengajar. Pelajar tingkatan satu, bukan tahun satu!

Itu sebabnya saya hanya senyum-senyum tatkala dia asyik risaukan hal pelajarnya yang hyper. Bagi saya, itu normal. Itu dunia realiti di sekolah. Teori-teori kadang-kadang hanya untuk menjawab peperiksaan atau mengisi kerja kursus sahaja. Praktiknya belum tentu dapat dibuat persis teori.

Apabila kita menyelia di sekolah menengah, pelajarnya pandai berlakon. Macam tertib sahaja. Semuanya ikut aturan. Tapi di sekolah rendah, budak tak pandai berlakon. Tak pandai menipu juga. Kalau dia rasa mahu meniarap, dia meniarap sahaja; tak kira gurunya sedang dicerap atau tidak. Kalau mahu menangis pun, dia menangis saja. Peduli apa dia dengan pensyarah yang tertonggok di belakang kelas!

"Jangan susah hati..." kata saya. "Ini hal biasa di kelas. Tapi kena rancang strategi supaya mereka dapat dikawal. Jangan bagi banyak sangat aktiviti yang boleh menyebabkan mereka hilang fokus"

Tapi saya tahu dia penat. Satu jam menangani sekumpulan pelajar yang seperti ulat nangka. Sama sahaja seperti yang saya rasa dahulu. Tapi kerisauannya ialah kerana dia diperhatikan.

Satu perkara yang saya juga belajar. Budak-budak hatinya bersih. Mereka langsung tak pandai berlakon.

Wednesday, July 27, 2011

Rupa-rupanya begitu...




Selalunya memandu ke tempat kerja adalah sesuatu yang menyeksakan.

Semua mahu cepat. Lori menunda-nunda di belakang, menimbulkan sedikit stres. Maklumlah, badannya besar, bila-bila sahaja boleh menyondol  belakang kereta. Kereta saya pula berjenama nasional, kata orang dulu-dulu, kereta "tin milo". Jahat betul orang yang cakap macam itu.

Kereta jenama apa pun, janji sampai ke destinasi dengan selamat. Itu lebih penting, bukan?

Sebenarnya itu kata-kata mendinginkan jiwa. Kata-kata pujukan untuk saya yang belum mampu memakai kereta jenama luar negara, apatah lagi kereta jenama mewah!

Motosikal pula, disebabkan saiz yang kecil, penunggangnya mencelah-celah ke sana sini. Itu pun boleh mengakibatkan stres juga. Maklumlah, terkena sedikit pun boleh menyebabkan penunggangnya tertungging di tepi jalan.

Jadi, pemandu kereta seperti saya kenalah extra berhati-hati. Awas selalu. Belum lagi dengan pemandu-pemandu kereta yang lain. Yang semuanya mahu menjadi Schumacher!

Urat leher dan bahu saya sengal-sengal. Sebab asyik cemas memandang sana sini, menghadapi kenderaan-kenderaan lain yang buru-buru mahu cepat. Kaki pun jadi lenguh. Mata pun sakit jadinya sebab asyik sangat melihat cermin.

Saya memikir-mikir. Tidak boleh jadi betul jika membiarkan diri saya stres setiap pagi. Lama-lama nanti saya boleh kena darah tinggi, atau serangan jantung. Kemudian, kerja jadi tidak ketahuan. Muka pun masam saja. Lama-lama jadi tua sebelum waktu.

Tidak! Saya tak mahu jadi begitu. Biarlah wajah saya tua kerana memang sepatutnya saya tua. Bukan berwajah tua dalam usia yang muda!

Saya pun merangka sesuatu. Saya awalkan kebiasaan saya bertolak ke tempat kerja. Awal sedikit. Saya tidur awal supaya dapat bangun awal.Sebelum tidur, saya berdoa macam-macam. Doa untuk diri, untuk emak, ayah, anak, suami, kakak abang adik, guru-guru dan rakan-rakan saya. Juga doa supaya saya tidak stres esok pagi.

Kemudian saya sematkan azam!

Saya mahu bersantai memandu ke tempat kerja.

Memang menakjubkan!. Saya memandu dengan hati yang santai. Saya memandu dengan biasa, bukan lembab macam kura-kura atau laju seperti arnab. Saya biarkan sesiapa yang mahu memotong. Silakan mana-mana pemandu yang mahu cepat.

Barulah saya tahu rupa-rupanya ada sebuah kediaman cantik yang terletak di tepi jalan menuju ke tempat kerja. Kediaman yang seperti rumah gaya tudor. Rupa-rupanya juga ada pokok-pokok rimbun berjajar di tepian jalan. Cantik juga kawasan sawah yang sudah pun dituai padinya, kemas dan bersih. Pelajar-pelajar riang berjalan menuju ke sekolah. Ada pula rupa-rupanya pokok bunga berwarna merah terang di tepi jalan.

Tapi saya juga sempat melihat bukit yang telah diperkosa. Sudah gondol dan licin seperti kepala profesor!

Pengajarannya, banyak yang gagal kita nikmati kerana kita terlalu terburu-buru. Kerana mahu cepat, kerana tuntutan kerja, kerana stres; kita langsung tidak melihat keindahan waktu pagi. Pagi yang cerah, tanda bermulanya hari siang, langsung kita mulakan dengan keadaan serba tertekan.

Oleh sebab kita memulakan dengan stres, maka sepanjang hari kita akan stres.

Buah yang manis pun akan jadi masam kerana stres.

Jadi, buatlah apa sahaja kerja dengan santai; untuk hal-hal yang tidak mendesak. Tapi janganlah mahu buang air pun kita bersantai-santai juga.

Takut lain pula jadinya...

Sayang emak sayang saja...




"Sayang emak sayang saja, sayang ayah menurut kata..."

Sudah banyak kali saya mendengar ungkapan itu. Banyak kali. 

Itu yang selalu diungkapkan gemulah bapanya, guru sejati lulusan SITC. Saya selalu mengabaikan ungkapan itu, tetapi pagi tadi saya terkesan juga dengan kalimah tersebut.

"Kenapa sayang emak sayang saja?" Tanya saya mohon penjelasan.

Dengan penuh perasaan, dia menjelaskan. "Biarpun anak itu buruk, jahat, sudah menjadi sampah masyarakat, tetapi bagi seorang emak, anaknya tetap baik. Walaupun seluruh masyarakat membuang anaknya, tapi emak tetap akan menerima si anak dalam keadaan apa pun. Emak menyayangi anak sahaja, tanpa syarat!"

"Ooooo..." mulut saya membulat. Dalam minda saya, mengiyakan kebenaran ungkapan itu.

"Jadi, " sambung saya, "bagi ayah pula, kalau anak itu menurut saja kata si ayah, ayah sayanglah ya? Kalau tak ikut?" Saya menanya.

"Itulah beza emak dengan ayah" katanya, membangkitkan rasa sayu dan bangga di hati saya kerana Allah memberikan peluang kepada saya untuk menjadi seorang emak.

Betullah tu. Kadang-kadang orang lelaki ini, diminta menjaga anak sekejap pun sudah merungut-rungut. Anak degillah, anak keras kepalalah; dengan senarai aduan yang panjang. Anak memang macam itulah, ikut perangai siapa? Bukankah kita juga dahulunya ada sedikit-sedikit keras kepala? Ada sedikit-sedikit degil?

Kadang-kadang bukan sedikit, tapi banyak! Saya dalam kategori itulah.

Itu sebabnya jadi emak dan ayah kena pakai pakaian sabar. Sebab emak dan ayah kita dahulu pun sanggup bersabar dengan karenah kita. Orang sekarang, bukan ramai anak pun. Bayangkan ayah dan emak kita yang terpaksa menghadapi anak yang ramai dengan pelbagai karenah pula.

Kadang-kadang kita selalu lupa bahawa anak kita berbeza, individu yang sangat berbeza meskipun lahir dari perut yang sama.

Kita selalu menyirami pokok-pokok dengan jumlah siraman dan baja dalam kuantiti yang sama. Tetapi adakalanya, ada jenis pokok yang hidup subur dengan jumlah siraman yang sedikit, juga dengan baja yang sedikit.

Begitu juga dengan kita sebagai ibu bapa. Kononnya kita sudah berlaku adil sebagai ibu bapa dengan memberikan segala-galanya yang sama kepada anak-anak kita. Sedangkan mereka adalah individu yang sangat berbeza!

Saya pun mengakui kesilapan itu. Sebab saya selalu ingat semua tanaman bunga saya memerlukan air yang banyak dan boleh disiram tidak mengira masa. Walhal, ada antara pokok-pokok itu yang hanya boleh disiram sekali sehari sahaja! Hanya sebelah pagi, bukan pagi dan petang!

Maka, ungkapan gemulah itu saya renung-renungkan. Sayang emak sayang saja. Sayang tanpa mengira apa pun. Sayang yang melimpah-limpah, sedangkan ada dalam kalangan anak yang berasa rimas dengan sayang yang melimpah-limpah itu.

Kadang-kadang dek terlampau sayang, semuanya emak yang buatkan. Kesannya anak tak pandai menghadapi dunia realiti. Nak naik bas pun macam nak pergi berperang!

Peringatan kepada saya dan emak-emak lain; berpada-padalah sayangkan anak. Sebab anak itu hanya pinjaman Allah kepada kita. Pinjam saja, bukan milik abadi.

Tapi masalahnya, bolehkah emak sayang anak gitu-gitu saja? Boleh emak tengok saja kalau anak hidup susah?

Bolehkah?

Saya rasa macam...

...tak boleh...

Saturday, July 23, 2011

Menyantuni Emak



Petang yang dingin di kampung.

Duduk-duduk di luar, menghirup udara petang yang redup. Sekarang musim buah-buahan. Ada seekor kambing emak yang cantik, sedang enak-enak makan rambutan.

Melihatkan itu, saya teringatkan Beckham...

Pokok rambutan tempat Beckham selalu mencari ulat, sudah tiada. Emak menebangnya dan melebarkan lagi ruang depan. Kata emak, supaya mereka yang bermain hadrah dapat duduk dengan selesa, berasingan lelaki dan perempuan.

Emak macam selalu. Bercerita tanpa henti daripada satu topik ke topik lain. Selalunya cerita emak memang penuh dengan metafora. Kadang-kadang ada makna implisit, penuh falsafah dan pastinya ada unsur lucu.

Jika di rumah, saya ada "radio"; di kampung pun saya ada "radio" juga. Sama sahaja, mesti ketawa dahulu sebelum bercerita. Itulah ciri-ciri "radio" saya. Jadi, dengar sahajalah cerita yang bersiri-siri itu.

"Nak tahu cerita mak rebus telur itik asin yang Yang bawa tu..." kata emak.

Pasti panjang ceritanya. Jadi kata saya cepat, " Kejap mak. Nak ke bilik air dahulu. Boleh? Dah lama tahan ni..."

Saya buru-buru ke bilik air. Cepat-cepat pula menghadap emak.

Kata emak, dia merebus telor itik asin empat biji. Kemudian dia pergi mandi, pergi ke sana sini sehingga terbau benda terbakar. Fikirnya, barangkali kakak ipar saya membakar ikan. Lama selepas itu, ada orang kampung yang mahu menumpang mandi kerana air paip di rumah mereka tiada.

Air di rumah emak ada dua punca. Satu daripada paip, yang kata emak "air bayar" membawa maksud tiap bulan emak akan membayar bilnya di pejabat pos. Satu lagi yang disalurkan terus daripada lata di hujung kampung. Air dingin, air dari gunung yang percuma!

Orang itu terperanjat melihat api sudah masuk ke dalam periuk. Periuk sudah hangus, telor di dalamnya juga sudah hitam legam terbakar!

Emak lupa!

Saya terdiam mendengar cerita emak. Teringat kata-kata gemulah ayah dahulu tentang apa yang barangkali berlaku jika dia tiada. Jika dahulu, ayah yang selalu awas dengan perkara-perkara seperti itu. Kata ayah, dia bimbang sekali jika emak terlupa dan tidak sempat berkongsi masa tua mereka bersama-sama.

Kelupaan emak itu membimbangkan saya. Jauh di lantai hati, saya gusar. Emak sudah tua! Sudah mula jadi pelupa. Jika dulu, emak ke sana sini, mindanya cerdas. Sejak awal tahun ini, emak nekad mahu menetap di kampung, enggan ikut ke mana-mana seperti dahulu. Barangkali itulah sebabnya emak jadi cuai!

Semasa emak terbaring lena malam itu, saya menatap lama wajah emak. Wajah yang dulunya cantik, sudah dipenuhi kedutan-kedutan yang menggambarkan ketuaan hidup emak. Wajah yang sarat dengan pengalaman dan ujian. Hidup yang dipenuhi kerikil-kerikil tajam, gunungan cabaran yang bukan sedikit.

Saya yang jauh gagal menyantuni emak. Sesekali sahaja saya muncul di hadapan mata emak, itu pun sekejap-sekejap. Pernah sekali, emak menunggu panggilan saya. Saya berasakan baru saja menelefon emak, rupa-rupanya sudah seminggu saya tidak bertanyakan khabar emak. Saya terlalu sibuk dengan kehidupan dunia saya. Emak merungut kepada kakak, emak bimbangkan saya kerana sudah lama tidak menelefon. Rupa-rupanya seharian itu emak enggan ke mana-mana, mengunci pintu rumah dan duduk diam menanti panggilan saya!

Ya Allah, saat itu saya jenuh mengutuk diri. Anak apa saya ini! Punya segala kemudahan teknologi, tetapi terlupa menyantuni emak. Bukan sehari dua, tapi sudah seminggu! Sibuk sangatkah saya dengan tuntutan dunia yang tiada penghujung. Penat sangatkah saya dengan desakan kerja yang entah apa-apa!


Melihatkan kedutan di wajah emak, saya menyentuhnya perlahan-lahan. Kasihan emak. Hidup sendirian setelah ayah pergi, merindukan anak-anak yang sibuk dengan dunia masing-masing. Kedutan emak yang lembik itu, memberikan saya isyarat.

Satu hari nanti jika Allah memanjangkan usia saya, seusia emak sekarang; begitulah rupa wajah saya kelak. Wajah ceria yang menyembunyikan sepi hati.

Santunilah emak semasa emak masih ada. Saya mencatatkannya di diari. Juga mencatatnya di hati.

Hujan di Tebing Sungai Perak



22 Julai. Jumaat. Sebelah pagi, dari rumah terus saja ke Seremban Jaya. Hari ini sekali lagi saya mengikut pensyarah kanan menyelia dua orang guru pelatih di Rembau. Jam 12.30 baru semuanya selesai.

Saya pulang sebentar ke rumah untuk mengambil anak dan barang-barang untuk dibawa pulang ke Perak.

Jam 5 petang sebaik selesai sahaja waktu pejabat, kami bergerak pulang dalam kantuk dan letih yang amat. Berhenti lama untuk mencari tenaga dan menghilangkan kantuk yang mengganggu.

Jam 12 tengah malam, kami sampai di rumah emak yang sudah besar ruang depannya yang tak berdinding dan sudah bertukar juga cat rumahnya. Masih ramai orang di ruang itu, sedang bermain hadrah.

Keesokannya ada tugas berat. Saya tidak menerima sebarang atur cara, tapi saya diminta mengacara majlis. Pembentangan dua kertas kerja, satu bicara buku dan satu rumusan keseluruhan.

Oleh sebab itu, saya merangka-rangka atur cara dalam agakan sahaja. Akhirnya saya siap menulis teks "agakan" dalam jam satu lebih.

Jam delapan, 23 Julai, saya bergegas ke KK. Mencari Riverside Resort yang saya sudah keliru lokasinya. Saat itu jugalah terkial-kial saya menulis teks sebenar, sambil menanyakan atur cara majlis.

Mujur Dato' Ketua 1 memahami kekangan saya. Mujur saya dapat mengacara majlis sambutan jubli intan LEPAS dan 40 tahun Gapena dengan sukses. Alhamdulillah.

Tetapi ada satu pengajaran, bahawa apa pun kena yakin dan siap siaga menghadapi sebarang perkara luar duga.

Nasib baik semuanya Allah permudahkan. Dan hujan pada jam 2 petang itu mencantikkan suasana. Titik-titik air yang jatuh di muka sungai memutar kenangan nostalgik.

Tebing Sungai Perak...meskipun kepenatan, saya gembira di situ.

Saturday, July 16, 2011

Blackout....




Selepas maghrib, blackout. Lama. Agaknya sepanjang malam.

Terdengar suara anak-anak jiran yang gembira bermain di halaman. Ada delapan buah rumah di jalan ini. Empat empat saling berhadap-hadapan. Hanya lima yang betul-betul berpenghuni. Satu tidak menginap tetapi setiap hari mesti menjenguk rumah. Dua lagi kosong.

Tapi ini kawasan kejiranan yang selamat. Peronda polis kerap meronda. Kebetulan kawasannya tidak jauh dari IPD. Tembok rumah tinggi dan teguh.

Kalau lampu terpadam pun, boleh buka pintu gelongsor luas-luas untuk izin angin masuk. Boleh main-main di halaman atau keliling rumah dengan lampu picit atau lilin, seperti anak-anak jiran itu. Seronok betul mereka bermain dalam gelap.

Anak saya sudah besar. Tapi anak-anak sekarang, takutkan gelap. Solat pun depan mata saya.

Kalau saya dulu, di zaman kanak-kanak saya, kegelapan adalah biasa. Mana ada elektrik zaman itu. Semuanya bergantung pada pelita ayan, atau sesekali lampu gasolin jika ada majlis.

Seronok lihat ayah mengepam lampu gasolin. Terang benderang rumah, atau halaman. Gembiranya bukan main. Melihat serangga kecil yang berhimpun menghurungi lampu gasolin juga sangat mengujakan.

Sekarang ini kalau elektrik padam seperti ini, semuanya macam mati kutu. Duduk diam saja. Tak boleh buat apa dalam gelap, macamlah dunia sudah kiamat.

Kecuali anak-anak jiran saya yang gembira kala lampu tiada. Sempat lagi main sorok-sorok dalam gelap malam.

Nampaknya seperti sampai pagi elektrik tidak ada. Ada jiran yang sudah keluar ke pekan, barangkali mencari lilin atau bateri lampu picit.

Sunyi jadinya. Anak-anak jiran itu pun sudah masuk tidur. Kepenatan agaknya.

Kegelapan memang mengingatkan kita kepada kehidupan ini pada sisi lain.

Friday, July 15, 2011

Jangan Bertengkar Semasa memandu




Saya sedang berada di tengah pekan. Duduk memerhati gelagat orang.

Memang saya tidak gemar bercakap-cakap. Saya bukan peramah, kecuali dengan mereka yang saya akrab dan selesa. Saya lebih gemar diam dan memerhati.

Kereta yang berbarisan panjang di hadapan saya, penuh dengan wajah-wajah tertekan. Kasihan kita. Punya segala meskipun bukan mewah tetapi selalu menghadapi tekanan hidup. Maka wajah-wajah pun jadi masam. Kelat dan hilang seri. Sirna entah ke mana.

Hidup macam itulah. Sebelum kita dipanggil kembali kepada pemilik abadi.

Ada yang sedang bertengkar dengan pasangannya. Bahaya betul. Memandu sambil bertengkar. Dua dalam satu. Kalau dapat mengawal amarah, tidak mengapa. Tapi ada orang yang kalau marah, syaitan pun menumpang masuk ke otak, lain pula jadinya. Kereta dipandu laju, selaju amarah. Dan impaknya?

Kalau tidak beristirahat di katil hospital, nampaknya beristirahatlah di dalam kubur. Itu pun kalau dapat beristirahat dengan aman.

Jadi, kita jangan bertengkar semasa memandu. Kalau ada bibit-bibit ke arah itu, cepat-cepat berlucu. Atau arahkan perbualan kepada benda lain. Atau buka CD zikir yang mampu menyejukkan amarah.

Mudah sahaja kalau kita mahu. Kami selalu buat begitu (sebenarnya bertengkar yang entah apa-apa, saya tidak pandai bertengkar pun). Sebab bertengkar semasa memandu memang bahaya. Kalau mahu teruskan juga agenda itu, berhenti di tepi jalan dan teruskan bertengkar. Tapi bukan semasa memandu.

Kalau jadi apa-apa, dan tak sempat saling memaafi, bukankah ia berakhir dengan sesuatu yang tidak baik?

Jadi, duduk diam memerhati ini pun saya kira bermanfaat juga. Untuk sedarkan diri saya, diri anak-anak saya, diri orang lain juga.

Adik balik...Yahuuu




Jam 5.30 petang, saya masih dalam kesesakan lalu lintas berhampiran Seremban Parade. Hujan menyebabkan pemandu sentiasa awas. Sms pendek "dah sampai" menyebabkan saya tidak sabar ke stesen KTM.

Saya berhenti di tepi jalan, meninjau-ninjau dalam hujan.

Kereta api laju dari stesen Batu Gajah jam 2.15 petang, bermakna perjalanan hanya tiga jam suku.

Saya sangat penat Jumaat itu. Berulang alik membawa pelajar ke Taman Budaya untuk saringan dan kemudiannya latihan untuk pertandingan akhir. Tetapi saya gembira kerana anak bongsu saya cuti seminggu.

Dulu-dulu masa saya bertugas di kolej, anak-anak hidup berdikari. Masa saya banyak di kolej, terbang ke sana sini untuk mesyuarat atau kursus; membantu acara-acara di kolej sehingga tengah malam, Sabtu atau Ahad.

Apabila saya pindah sekejap ke sekolah, anak inilah yang paling gembira. Meskipun sibuk juga tetapi sekurang-kurangnya Sabtu dan Ahad, saya ada di rumah. Atau kalau ada program pun, hanya sebelah pagi. Waktu itu pula, dia mahu SPM. Memang Allah itu sangat adil sifatnya. Saya punya masa untuk memastikan kebajikan dia. Sekolah itu pula pengurusannya sangat hebat. Tidak terlalu mengongkong guru-guru. Allah memudahkan saya; anak mahu SPM, sekolah tempat saya bertugas itu pula bagus; perjalanan hidup kami jadi teratur. Sangat teratur.

Dan sekarang, adik terpaksa melaluinya sekali lagi. Bercuti tetapi terpaksa duduk sendirian sehingga jam 6 petang, baru saya pulang. Dengan penat.

Dia saya bawa ke auditorium. Singgah solat dan sempat menumpang mandi. Kami kepenatan sepanjang malam, membawa ke pagi. 

Selepas menghantar pelajar pulang, kami meredah malam balik ke rumah. Masih gerimis sepanjang perjalanan. Saya memang sangat kantuk. Melayang-layang rasanya. Nasib baik adik ada. Dia berbual-bual walaupun suaranya sekejap ada sekejap hilang dalam minda penat saya. Jam 12 tengah malam, kami tiba di rumah. Kejiranan sudah sunyi. Nasib baik banglo depan rumah saya, peniaga Cina kaya yang sederhana dan tidak berlagak itu; lorinya ada di depan rumah. Ruang depan cerah lampunya. Bermakna dia baru sampai dari rumahnya yang satu lagi.

Tidaklah saya takut sangat walaupun sunyi.

Adik sudah balik, walaupun seminggu; saya sangat gembira. Ada kawan bersembang dan bergurau. Ada kawan membeli-belah. Juga saya dapat mendengar cerita-cerita remaja di kampus. Membaca komik dan mendengar lagu K-Pop bersama-sama.

Paling penting, ada orang yang akan buatkan milo panas saya setiap pagi.

Sajak mengalir dari auditorium



Saya menulis ini di dalam auditorium Jabatan kebudayaan. Sepatutnya sekarang, jam 3.30 petang sudah berlangsung acara latihan untuk persediaan peringkat akhir Sayembara Deklamasi Puisi peringkat negeri.

Pagi tadi saringan. empat peserta saya bawa dari institut. Tiga daripadanya ke peringkat akhir. Malam ini jam delapan setengah, acara akhir.

Daripada 58 peserta yang disaring, hanya sepuluh yang layak ke peringkat akhir.

Saya paling tidak suka dengan jadual masa yang gagal diikut. Sudah jam empat tetapi masih tiada apa-apa. Menunggu apa? Saya pun tidak tahu.

Tahun ini puisi saya Taman Merdeka tidak dipilih untuk bahan deklamasi. Seorang peserta yang pernah membawakan puisi itu tahun lepas, merungut. Katanya, dia fikir tahun ini Taman Merdeka akan ada lagi kerana dia bercadang mahu membawa puisi itu sekali lagi.

"Saya cukup menjiwainya, puan. Tahun ini puisi-puisi pilihannya kurang dapat dihayati..."

Itu kata dia. Saya lupa namanya walaupun sudah diperkenalkan. Tapi dengarnya, dia menang juga tahun lepas, barangkali tempat ketiga begitu.

"Tidak mengapalah, " kata saya. "takkan saban tahun Taman Merdeka sahaja. Mereka perlu beri laluan kepada puisi-puisi lain dalam antologi..."

Dia gagal ke peringkat akhir. Dia memang tidak dapat menghayati. Tentu dia kecewa. Tapi saya dengar suaranya bagus. Suara dari perut.

Saya masih menunggu. Acara latihan yang tidak mengikut jadual...

Kak Ros cantik telah bersara


Saya diminta baca puisi untuk dia di majlis makan tengah hari sempena persaraannya. Majlis santai itu berlangsung di Hotel Royale Bintang.

Saya pun baca puisi pendek, sependek perkenalan saya dengan Kak Ros (Puan Rosaini). Puisi yang saya tulis dari hati.

Orangnya cantik, berkulit putih. Dia seperti emak, selalu mengingatkan saya kepada emak kerana sukakan warna merah. Warna yang melambangkan keberaniannya mendepani hidup yang sarat ujian. Oleh kerana dia dan emak berkulit putih, sedikit raut kecinaan; warna itu memang sangat serasi.

Saya baru sangat kenal dia. Tapi saya tahu seperti sebahagian besar senior-senior yang lain, jelas tampak sifat keibuannya. Dia mengingatkan saya berkali-kali, "dapatkan rawatan ya..." bukan sahaja melalui ujaran, tapi melalui pesanan ringkas. Hati saya berdetik, kakak ini baik hatinya.

Pengalaman hidup menguatkan dia. Saya tidak tahu kisah hidupnya. Tapi saya tahu setiap manusia pasti ada diterpa ombak masalah. Dia pasti tidak berkecuali. Dengan tongkatnya dia bangun. Tetap melangkah, meskipun khabarnya dia diserang stroke yang membataskan pergerakan.

Majlis persaraan, sudah tentu penuh dengan hiba-hibaan. Hidung masing-masing merah, mata pun merah. Saya yang baharu dalam keluarga jabatan pun turut berjangkit pilunya. Orang yang mahu bersara, lagilah sedih. Lima puluh delapan tahun berkhidmat, tiba-tiba tidak bekerja lagi. Pagi-pagi mesti kekok. Biasanya bangun dan tergesa-gesa bersiap untuk ke pejabat, tiba-tiba sahaja rutin berubah.

Tapi apa pun saya tahu ini masa terbaik untuk beristirahat. Saya belikan dia tiga koleksi Lat. Sebab saya mahu dia gembira dengan nostalgia yang dilakar Lat.

Kak Ros yang cantik telah bersara. Saya doakan dia terus diberi kekuatan, dari silara ke akarnya...

Thursday, July 14, 2011

Muchisimas gracias...




"Yo hablo (ablo) espanol (espanyol) un poco"

Saya bertatih-tatih belajar bahasa. Dalam kelas bahasa Sepanyol di Pusat Bahasa UM itu hanya saya berketurunan Melayu.

Di UM, pelajar-pelajar baru akan diwajibkan mengambil ujian bahasa Inggeris sebanyak dua kali. Jika lulus dan dikecualikan, kami kena mengambil bahasa lain.

Saya antara pelajar yang mendapat pengecualian tersebut. Barangkali kerana pengajaran guru-guru dan persekitaran di sekolah saya (MGS dan Clifford) yang banyak membantu penguasaan bahasa Inggeris saya, menyebabkan Allah memberikan saya laluan mudah menghadapi ujian tersebut.

Dalam kelas Penulisan Kreatif dan Deskriptif itu, hanya saya, pelajar Melayu yang dikecualikan. Oleh yang demikian, saya kena mencari kelas bahasa lain. Saya bersendirian mencari kelas-kelas tersebut. Kursus Bahasa Arab penuh. Bahasa Perancis dan Mandarin juga penuh. Bahasa Jepun, lagilah penuh. Waktu itu Dasar Pandang Ke Timur sedang berjalan, jadi bahasa Jepun menjadi kegilaan pelajar untuk ikut belajar.

Akhirnya saya memilih bahasa Sepanyol. Saya bukan tidak mahu mencuba bahasa Rusia atau Itali, tetapi saya kira bahasa Sepanyol lebih mudah. Kebetulan, di TV sedang menayangkan telenovela Sepanyol yang adakalanya dialihbahasa dan adakalanya dibiarkan berbahasa asli dengan bantuan sarikata di bawahnya.

Maka merangkak-rangkaklah saya belajar bersendirian. Pensyarah untuk tahun pertama ialah seorang pensyarah wanita dari Amerika. Comel cantik berusia dalam lingkungan hujung 40-an. Kemudian tahun-tahun seterusnya pensyarah dari Filifina, lelaki.Namanya saya abadikan dalam tesis saya sebuah novel yang mengkaji kehidupan pelarian Vietnam. Señor Atilio Vega Alicio!

Pensyarah lelaki ini pun bagus, cuma loghat Tagalognya sangat kuat. Jadi, saya perlu mendengar bahasa Inggerisnya dengan betul, supaya saya dapat memahami apa yang diajar. Sudah tentu kami belajar bahasa Sepanyol dengan bahasa penghantarnya bahasa Inggeris. Maestro tidak tahu berbahasa Melayu.

Selain peperiksaan bertulis, kena menulis esei dan soalan struktur dalam bahasa itu; kami juga ada ujian lisan. Saya masih ingat, soalan yang saya dapat ialah mengenai kereta. Tunggang terbaliklah saya bersoal jawab sampai tergulung-gulung lidah dibuatnya.

Maestro banyak mengajar menggunakan lagu Julio (Hulio) Iglesias. Sampai saya boleh hafal lagu-lagunya waktu itu.

Dalam bahasa Sepanyol, huruf J dan H itu ada, tetapi untuk menyebutnya, kedua-dua fonem itu disenyapkan. Contohnya ejaan "Hola" akan diujar sebagai "Ola". Bagi "Julio", fonem J disenyapkan dan sebutannya menjadi "Hulio".

"Mi nombre es señorita (senyorita) xxxxxx. Yo estudiante en el universidad de malaya" Saya belajar ayat yang pertama. Kena hafal sebab itu yang akan ditanya oleh maestro setiap kali kuliah bermula.

Seronok belajar bahasa. Cuma saya sukar untuk berbincang kerana rakan-rakan yang lebih kurang sepuluh orang itu, semuanya daripada fakulti berlainan. Ada yang sedang mengambil sarjana. Yang bakinya seperti saya, sedang bertungkus-lumus mengejar sarjana muda.

Tetapi tiga tahun itu benar-benar menggembirakan saya sebab maestro sangat mengambil berat. Setelah dia balik ke Manila pun, kami masih berutus surat. Sudah tentu isi suratnya bercampur-campur, bahasa Sepanyol dan Inggeris.

Keputusan peperiksaan kertas bahasa Sepanyol saya mendapat A. Alhamdulillah. Saya dengar ada kawan-kawan yang meneruskan pengajian ke Barcelona. Tapi saya belajar hanya setakat itu. Sekarang kalau mendengar orang berbahasa Sepanyol, bolehlah saya faham sedikit-sedikit. Tapi untuk bertutur, saya sudah lupa.

Itulah kata orang, kalau kita tidak sentiasa bercakap, penguasaan bahasa kita akan hilang. Sekarang, saya mengajar Pengajian Melayu, kalau bercakap Inggeris pun sudah gagap-gagap sedikit. Nasib baik kedua-dua anak saya memang menguasai bahasa itu dengan baik. Ini kerana sejak kecil, mereka sudah terdedah dengan bahan bacaan dan bahan-bahan audio dalam bahasa Inggeris.

Tetapi saya selalu ingatkan, bahasa jiwa bangsa. Belajarlah dan kuasailah bahasa apa pun tetapi mesti selalu bangga dengan bahasa kita. Bahasa kita mudah lentur, sama seperti resam bangsanya juga. Mudah menerima pengaruh dan unsur asing. Mudah dilentur-lenturkan!

Masih ingat lagu La isla bonita? The beautiful island. Pulau sifatnya perempuan, maka dia menjadi La isla bonita.

Buenas dias!

Wednesday, July 13, 2011

Tugasan yang gagal & cerita telefon bimbit



Sehabis belajar di UM pada Mac 1989, saya ditawarkan kerja sebagai wartawan di Amir Enterprise. Saya bertugas di bahagian majalah, khususnya unit penerbitan majalah Sarina. Waktu itu wartawan Sarina terdiri daripada wartawan senior Kak Webah, Adam Salleh, dan beberapa orang lagi.

Tugas saya selain daripada mencari dan menulis berita; juga menterjemah. Terjemahan artikel daripada bahasa Inggeris itu lebih banyak tertumpu kepada isu kesihatan wanita.

Suatu hari ketua editor memberikan saya keratan akhbar The Star mengenai kisah seorang wanita warga emas berketurunan Tionghua yang tinggal bersendirian di sebuah perkampungan setinggan di Setapak. Wanita tersebut sudah uzur dan dilaporkan tidak pernah mandi selama bertahun-tahun.

Saya ditugaskan mencari dan mendapatkan berita lanjutan mengenai wanita tersebut.

Masalahnya, saya hanya diberikan sebuah keratan akhbar.

Saya cuba menelefon The Star. Tetapi jawapannya mengecewakan. Saya ditugaskan bersama dengan jurukamera, Allahyarham Izi Yahya (yang kemudiannya menjadi pelakon)untuk ke perkampungan tersebut.

Izi memberitahu saya, "kita kena naik motosikal. Laluan ke perkampungan tu sempit, van syarikat tak boleh masuk..."

Saya diam sahaja. Bersetuju pun tidak, tidak bersetuju pun tidak. Naik motor dengan lelaki? Saya teringat ayah. Sebab? Ayah agak islami. Meskipun ayah tidak banyak cakap, tapi saya masih ingat teguran-teguran ayah.

"Tak apalah," kata saya. "Izi bawa motor pelan-pelan. Saya ikut belakang"

Saya pun berjalan, dengan beg sandang yang berisi nota, pen, alat perakam, juga telefon bimbit yang saiznya hampir memenuhkan beg. Telefon bimbit itu akhirnya saya pegang di tangan, sebab fungsinya waktu itu memang untuk dibimbit. Kalau bawa beg tangan yang kecil, jangan haraplah sebab tak muat.

Jenamanya Sony Ericson, berwarna hitam. Berat dan besar. Ada seconet areal seperti walkie-talkie. Kalau ada yang menelefon, hanya keluar perkataan "calling", tiada nombornya pun. Bunyinya juga masih tradisional. Tapi ia dianggap barangan mewah. Wah, kalau naik bas mini, bukan main riak lagi dengan telefon bimbit di tangan. Apalagi jika ia berbunyi. Semua akan memandang kagum.

Jalan ke perkampungan setinggan Cina itu memang sempit dan penuh lalang di kiri kanan. Saya kira van boleh masuk memang muat-muat sahaja. Izi membawa motor perlahan, menunggu saya yang menyeka peluh sambil laju berjalan.

Tiba-tiba sekumpulan anjing berada di belakang. Entah dari mana datangnya saya pun tidak tahu. Tapi salakannya sangat menakutkan. Agaknya anjing-anjing itu dapat mengesan bau asing yang sebelum ini tidak ada.

Melihat anjing-anjing ini mendekat, mencemaskan betul. Saya menggenggam telefon. Rasa-rasanya kalau saya membaling objek itu kepada anjing-anjing tersebut, mahu koma dalam dua tiga hari. Dengan saiz dan beratnya itu, pasti akan berbenjol-benjol kepala anjing itu dibuatnya.

Masalahnya, telefon itu berharga seribu lebih!

Kumpulan itu semakin mendekat, sedikit meluru dengan salakan yang kian menjadi-jadi. Saya tiada pilihan lain. Saya terus melompat ke belakang motosikal dan menggesa Izi lekas memecut. Nasib baik berat badan saya pada masa itu barangkali separuh daripada berat saya sekarang. Badan saya kurus waktu itu.Kurus pendek.Nasib baik betul...

Kalau tidak, mahu terangkat motosikal kapcai si Izi!

Terlupa sekejap pesanan-pesanan ayah. Tapi saya pasti jika ayah tahu pun, tentu ayah tidak marah kerana situasi saat itu memang sangat bahaya.

Memang kami terjumpa pondok usang tempat berteduh wanita malang itu. Tapi sebuah pertubuhan telah membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan, susulan daripada laporan akhbar The Star.

Tugasan yang gagal. Nasib baik tidak kena marah dengan ketua editor. Tapi sepanjang hari kami diketawakan. Cerita saya yang seperti "superwoman" melompat naik ke atas motor itu, menjadi bahan lelucon para wartawan.

Tahun-tahun itu telefon bimbit baharu sahaja diperkenalkan. Fungsinya bukan sahaja sebagai alat komunikasi (yang liputannya terbatas!) bahkan juga sebagai senjata terbaik untuk menjaga keselamatan pemiliknya!

Tuesday, July 12, 2011

Hujan pagi di Philahdelphia




Pagi-pagi lagi aspal sudah basah. Mula-mula gerimis, kemudian hujan melebat. Semua kenderaan dipandu tertib.

Jam 7 pagi, saya dikira lewat. Musim hujan, perjalanan 45 minit, akan memanjang lebih sepuluh minit menjadikannya 55 minit. Di hadapan saya, beberapa buah motosikal dengan penunggangnya tetap redho membelah gerimis, menunduk meredah angin pagi. Tuntutan kad perakam waktu, barangkali memaksa mereka tetap tega meskipun kebasahan.

Musim basah begini mengingatkan saya kepada lelucon setahun lepas. Perbualan di maya, dengan seorang kawan yang lurus.

"Di mana sekarang?" tanyanya.

"Philahdelphia..." Saya bertujuan bercanda. Main-main saja.

"Huh...sampai hati. Ke luar negara langsung tidak beritahu." Dia separuh merajuk.

"Di sana bermusim?"

"Ya. Tapi hanya dua. Musim panas dan hujan..."

Teringat komen pelajar-pelajar kolej saat saya memberi kuliah komunikasi. Kata mereka, saya suka berjenaka dengan wajah yang kontras. Muka serius tapi buat lawak, dan komen itu disampaikan kepada anak angkat saya yang juga pensyarah di sana.

"Buat apa di sana? Phd?" Kawan selurus dia masih gagal meneka candaan saya.

Lama-lama saya diterpa rasa bersalah. Mulanya hanya mahu bercanda, tetapi dia pula percaya saya memang ke luar negara.

"Maaf, saya main-main saja. Saya di Pilah. Pilah di Malaysia, nama komersilnya Philahdelphia...." Saya menerangkan.

Kasihan dia. Saya berkali-kali memohon maaf. Selepas itu, saya enggan berjenaka seperti itu lagi.Nasib baik kawan saya itu hatinya putih. Dia tidak marah tetapi ketawa berdekah-dekah.

Hujan pagi ini menjadikan saya rindu...

Sunday, July 10, 2011

Setulus hati Kogulan




Dulu saya ada seorang pelajar, namanya Kogulan.

Dia pelajar kelas tercorot yang didominasi seratus peratusnya lelaki.

Tahun pertama saya ditugaskan ke sekolah itu, saya mengajar Pendidikan Seni Visual kepada pelajar-pelajar kelas tersebut.

Untuk memberi arahan sahaja, memerlukan kudrat yang bukan sedikit. Jumlah mereka barangkali dalam 43-45 orang, seingat saya itulah lebih kurang jumlahnya. Selesai memberi ucap selamat, saya biasanya akan menyuruh mereka berdiri untuk memberi arahan.

Kalau tidak, jangan haraplah mereka akan mendengar. Riuh rendah dan hiruk pikuk kelas itu. Oleh yang demikian, saya suka membawa mereka melukis di tepi padang. Kadangkala tidak mampu mengikut sukatan pun, kerana jika di kelas lain, saya berani menyuruh pelajar membawa gunting atau gam; di kelas itu saya tidak mahu mengambil risiko.

Kogulan antara pelajar yang buta huruf. Tapi dia suka bercerita, dalam loghat Negeri Sembilan bercampur aduk dengan bahasa Melayu yang agak tunggang terbalik.

Kawan-kawannya yang berketurunan India suka juga menyakatnya. Kata mereka, "Cikgu, itu hari, tahun lepas, Kogulan buat sambut hari lahir. Tiba-tiba lampu padam. Nampak gigi je cikgu. Golap tak nampak dia. Tapi nampak gigi dia..."

Semua pun ketawa berdekah-dekah, termasuk Kogulan. Tiada yang mengambil hati dengan usikan sedemikian. Nampak sensitif, tapi mereka menerimanya dengan hati luhur. Walhal yang menyakatnya pun lagi gelap kulitnya daripada si Kogulan.

Kemudian, tahun selepas itu, Kogulan kematian ibu. Dia tiga beradik. Kogulan anak kedua. Kakaknya masih bersekolah di sekolah berdekatan. Ayahnya buruh. Saya mahu bertanya khabar Kogulan. Bagaimana dia menguruskan diri tanpa kehadiran ibu.

"Mak saya dah mati, cikgu. Masuk hospital..." selamba sahaja dia bercerita. Katanya, ayahnya yang akan memasak untuk dia bertiga beradik. Riangnya masih seperti itu. Barangkali dia sedih tapi pelajar bertubuh kecil itu cepat sahaja melupakan kesedihannya ketika di sekolah.

Saya pernah ditugaskan mengajar pelajar-pelajar yang buta huruf ini. Sistem pendidikan gagal mencelikkan pelajar ini sehinggalah mereka ke sekolah menengah. Bagaimana mereka mahu belajar Sejarah, Sains dan sebagainya jika mereka tidak tahu membaca?

Dua waktu untuk mengajar kadangkala membosankan mereka. Saya ke kedai-kedai buku mencari buku untuk pelajar tadika yang penuh dengan gambar-gambar. Saya juga membuat kad-kad daripada kad manila dan menulis perkataan-perkataan di situ. Saya tidak pernah langsung ada pengalaman mengajar sekolah rendah, jadi agak sukar untuk saya mempraktikkan kaedah 3M ini kepada mereka.

Kadangkala saya membawa kuih-muih, buat kudapan mereka kerana saya tahu ada di antaranya yang tidak mampu dari segi kewangan. Yang seronoknya ialah ketika saya memberikan mereka rehat sebentar, untuk mengelakkan kebosanan.

Mereka akan bercerita, sekali lagi dengan ayat dalam bahasa Melayu yang tunggang-langgang tapi berloghat Negeri Sembilan.

"Bapak saya mati gantung diri, cikgu. Dio mabuk, minum-minum, lopeh tu gantung diri..." kata kawan si Kogulan.

"Macam mana ibu kamu cari wang?" tanya saya.

"Saya jual kuih. Semua tempat saya pergi, jalan kaki"

Saya teringat tiba-tiba. Rupa-rupanya pelajar inilah yang pernah saya temui menjaja kuih dalam bakul masuk ke kedai-kedai Cina, waktu itu saya berada di salah sebuah kedai. Tauke kedai tersebut sempat bercerita mengenai pelajar ini. Kata tauke, pelajar itu sangat berkeinginan memiliki peti TV, sebab itulah dia menjual kuih untuk mengumpul wang membeli TV. "Bapanya mati gantung diri..." kata tauke itu.

Hati saya disuntik rasa belas. Menjadi guru, menyebabkan kita menganggap semua pelajar tidak kira siapa pun dia, sebagai anak-anak kita.

Sama ada dia berketurunan Tionghua, India atau bangsa-bangsa lain; dia dilayan sama rata.

Sehinggalah saat saya mahu meninggalkan sekolah, saya terjumpa Kogulan.

"Dah pandai baca?"

"Dah cikgu!" Dia menjawab penuh yakin.

"Cuba tulis..." Duga saya.

Memang dia sudah pandai mengeja. Saya berpesan, mesti pandai membaca dan menulis. Kalau tidak, nanti awak jadi macam orang buta. Tak tahu baca papan tanda, tak dapat kerja kerana tak tahu membaca.

Tapi Kogulan sangat yakin dengan keupayaannya membaca.

Mungkin tahun ini Kogulan tidak dapat menyambut hari lahirnya. Ibunya sudah tiada. Tapi cerita lucu kawannya itu sentiasa menjentik ingatan saya kepada pelajar saya itu.

Mereka bukan pelajar pintar. Kelas tercorot yang selalu menjadi igauan ngeri guru-guru perempuan. Kebisingannya mengalahkan suasana pasar pagi. Aktifnya juga melampau-lampau. Itu sebabnya juga saya melarang mereka makan gula-gula, minum pun air kosong sahaja. Supaya keaktifan mereka berkurang sedikit.

Entah bila saya akan jumpa Kogulan lagi. Tapi saya mendoakan pelajar kecil ini dapat menguruskan hidupnya sendiri, menghabiskan sekolah, dapat mencari kerja untuk menyara kehidupan.

Gaji kecil pun tidak mengapa, bersesuaian dengan keadaan dirinya. Asalkan jangan merompak, jangan menipu dan berbuat onar.

Aku sepasang kasut...




"Aku adalah sepasang kasut. Tuan aku bernama Ali. Ali membeliku dari sebuah kedai. Jenamaku ialah BATA..."

Dulu-dulu, semasa di sekolah rendah sekitar tahun 1973-1978, Cikgu Tajudin meminta kami menulis karangan bertajuk "Aku sepasang kasut".

Saya memang suka menulis karangan. Selalunya kalau memberi contoh, nama Ali, Abu, Muthusamy, Letchumi, Ah Seng dan Ah Moi yang akan diberikan cikgu.Saya pun biasanya akan mengikut sahaja nama cadangan cikgu.

Karangan saya selalu berakhir dengan tragedi. "Aku" akan dilupakan oleh tuannya setelah bertukar menjadi kasut buruk."Aku" melihat dengan sedih ketika kasut baru tersenyum megah berkhidmat untuk tuannya. "Aku" yang telah koyak rabak dicampakkan sahaja ke dalam tong sampah bersama sampah-sampah lain yang berbau hanyir.

Apabila siap menulis penamatnya, saya selalu jadi sedih.Perasaan sedih itu terbawa-bawa pula sampai ke rumah. Seharianlah pula saya murung, mengenangkan nasib "aku" yang sudah dilupakan tuannya!

Mengenangkan itu sekarang, rasa lucu pula.

Tapi jika diikutkan, memang sepatutnya pun kita berasa sedih. Saban hari kita dihidangkan cerita yang menyamai karangan kasut buruk yang dilupakan itu.

Di halaman akhbar hari ini pun ada ceritanya. Suami yang meninggalkan isteri dan anak seperti mencampakkan kasut buruk ke tong sampah. Mula-mula sayang bagaikan tak ingin berpisah meski sesaat. Bulan dan bintang pun kalau boleh mahu dicapai untuk dijadikan kerongsang yang indah. Lautan api sanggup direnangi, inikan pula kalau sekadar Selat Melaka!

Kacang bro....kata orang sekarang!

Begitu juga ada ibu bapa yang sanggup ditinggalkan di jalanan. Waktu ibu bapa itu masih sihat, masih kuat; tangan itulah yang menyuap nasi ke mulut. Tangan itulah juga yang membesar dan mendidik. Sanggup memohon doa agar Allah menggantikan nyawanya dengan nyawa si anak, supaya anak itu sembuh daripada penyakit.Tapi itulah; saat si anak sudah cantik dan kacak, sihat dan punya segala, ibu bapa yang sudah uzur dan "buruk" itu diabaikan. Dilupakan. Ditinggalkan di jalanan!

Bukankah ceritanya sama dengan kasut buruk yang dicampak ke dalam tong sampah?

Hilang semua rasa belas kasihan atas pengorbanan orang tua. Lupa bagaimana orang tua bertungkus-lumus mencari rezeki. Seolah-olah ibu bapa tidak melakukan apa-apa, dan anak-anak itu membesar dengan sendirinya.

Itu adalah realiti.

Seperti kesedihan sepasang kasut yang dihina, terdampar lesu di sisi sampah dan kotoran yang berbau hanyir...

Tugasan yang diberikan Cikgu Tajudin memberikan makna mendalam dalam hidup kita sebagai manusia...

Supaya kita sentiasa beringat-ingat!

Saturday, July 9, 2011

Masih ada ruang damai...




"Peserta perhimpunan haram, dianggarkan hanya lima ribu..." lapor Ketua Polis Negara. Usai menonton drama Korea, saya langsung menonton Berita Mandarin di TV8. Sengaja memilih Berita Mandarin...

Lima ribu sahaja?

Mustahil!

Saya baru sahaja melihat di TV8, lautan manusia yang duduk beramai-ramai dan kemudian dalam jarak yang begitu dekat, dilontarkan bom-bom asap yang begitu banyak di tengah-tengah mereka yang sedang duduk itu.

Bekas pelajar saya berketurunan India, sekarang bertugas sebagai jurutera di California, menulis "Ibu, update cerita suasana di KL ya..."

Saya hanya mampu melihat di internet, itu pun dengan talian yang lemah dan lambat. Saya mencadangkan dia melihat sahaja gambarannya di internet. Manalah saya tahu perkembangan sebenar di tengah ibu kota. Jika ada pun, pagi-pagi lagi, penulis dan budayawan negara,Pak Dinsman melayangkan sms memberitahu, "KL seperti dilanggar geruda..."

Juga ada sederetan sms pendek melaporkan perkembangan di sana daripada adik saya yang berada di Kuala Lumpur.

Saya tertawa geli hati melihat gambar seorang kartunis (Rosanina?) sedang berbaring santai di tengah jalan raya kota Kuala Lumpur dalam laman sosial Penyajak Pyan Habib Rahman. Memang benarlah kata Pak Dinsman, pagi 9 Julai, Kuala Lumpur sunyi senyap seperti dilanggar burung geruda...

Ketawa saya bertali temali ketika mendengar cerita lucu kawan baik saya, kereta rakannya yang berjenama nasional ditahan anggota keselamatan kerana kereta itu berwarna kuning!

Ketawa sampai tergolek-golek saya di lantai tika membaca sms anak saya yang lurus bertanya, "meow warna kuning camana?"

Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya ada juga cerita-cerita lucu yang boleh menghilangkan sedikit tekanan.

Melihat di TV gambaran kurang tepat. Tidak boleh menyalahkan petugas di agensi penyiaran. Mereka perlu mematuhi peraturan. Tidak boleh juga menyalahkan polis, mereka juga menerima arahan. Mereka pun ada tanggung jawab masing-masing yang mesti dilaksanakan. Bukan kerja mudah untuk menjaga keamanan. Kadang-kadang kasihan melihat anggota keselamatan bertugas dengan dedikasi di tengah hujan dan panas.

Tapi yang dikatakan lima ribu itu memang tidak begitu logik. Barangkali hanya satu kelompok. Ada beberapa kelompok lain di beberapa tempat. Begitu saya melihat di kaca TV dan juga di internet.

Saya hanya mampu mendoakan semuanya selamat. Para petugas media, polis juga para demonstran; semuanya dapat kembali ke rumah dengan selamat. Jika ada yang ditangkap, bebaskanlah seperti yang disyorkan oleh para sasterawan negara. Jangan tutup pintu rundingan, apalagi menguncinya dengan mangga yang begitu besar dan berat. Jika ada yang cedera, sama ada terkena belantan atau bom asap; lupakan sahaja dengan saling memberi maaf. Patuhilah nasihat DYMM Sultan Mizan yang dikasihi dan sentiasa berakal panjang.

Para demonstran, jangan membenci anggota polis. Mereka hanya menjalankan tugasan yang diarahkan. Mereka pun punya hati dan rasa belas kasihan.

Jangan mainkan isu perkauman. Tuntutan tidak berkaitan dengan hal-hal sedemikian. Kita sudah lama hidup bersama. Kita selesa berjiran, selesa berkawan meskipun berbeza rupa. Islam tidak mengajar kita membenci orang lain yang bukan seagama dan sebangsa dengan kita.

Kita mencintai keamanan. Demikian tuntutan Islam.

Catatan: saya mendapat berita, seorang lelaki berusia 58 tahun meninggal dunia dan akan dikebumikan hari ini, rebah selepas terkena tembakan air kimia. Al-fatehah.

Ya Allah...

Cikgu nampak kurus?




Sepanjang hari yang basah.

"Cikgu nampak kurus..." Takkan baru tiga minggu, saya sudah nampak kurus?

Kawan-kawan saya pun kata begitu saat saya jumpa mereka di bilik guru.

Saya hanya ketawa. "Banyak benda cikgu tak boleh makan", kata saya.

"Cikgu tak seronok?" Ketawa saya terhenti.

"Kalau tak seronok, balik sini Cikgu...Balik sini!"

Kalaulah...kalaulah saya mampu berbuat demikian, saya tidak kisah berpatah balik. Kalaulah suami saya bertugas di kawasan-kawasan berdekatan, kalaulah kampung saya tidak berjarak sebegini jauh...saya tidak kisah. Sehingga pencen pun, saya sanggup!

Saya sempat berjumpa beberapa orang kawan, makan-makan bersama mereka. Saya kembali menjadi ceria dan rasa "muda". Riang benar hati saya sepagi ini. Terasa enggan berhenti mendengar mereka bercerita, kadang-kadang seperti mendengar senarai laporan yang panjang.

Sekumpulan anak-anak menerpa dan bersalaman. Ada yang sudah pulang awal, jadi rakan-rakan menelefon mereka, memberitahu saya datang ke sekolah. Sempat bersembang pendek, bertanya persediaan mereka untuk menghadapi peperiksaan awam PMR, SPM dan STPM yang bakal datang.

Saya begitu rindukan anak-anak ini. Mendengar cerita mereka daripada rakan-rakan saya, membuatkan hati saya terhibur.

"Lama-lama nanti cikgu seronoklah..."

Saya berbohong sebenarnya. Selesa dan seronok, dua perkara yang berbeza.

Seronok itu datang dari hati, jauh dari dalam hati...

Friday, July 8, 2011

Hujan Panas Sabtu




Saya sedang bersiap-siap untuk keluar. Tetapi saya seperti mendengar bunyi aliran air di luar.

Hari panas, berbahang rasanya! Tapi...

Rupa-rupanya hujan mencurah di tengah panas matahari. Hujan panas...

Sabtu 9 Julai, dan hujan panas.

Saya mencapai payung dan keluar juga. Rindu mahu ketemu rakan-rakan dan bekas pelajar. Sebenarnya lebih untuk mengembalikan keceriaan hati saya. Mereka bersekolah Sabtu, ada senam robik begitu.

Kalau orang dulu-dulu, hujan panas dikatakan membawa alamat kurang baik. Tapi bagi saya, itu tanda kekuasaan Allah. Di tengah terik matahari, tiba-tiba hujan mencurah. Bukan gerimis tapi curahan air yang banyak dari langit.

Hujan rahmat? Ya, hujan rahmat. Rahmat untuk membuka lembaran hari baru. Rahmat untuk kita yang selalu kepanasan. Rahmat yang membawa dingin.

Di tengah-tengah udara hangat, memang hujan itu menyejukkan suasana.

Natijahnya, Allah minta kita berfikir dan berfikir. Jika ada yang kurang, tambahkan. Jika ada yang terlebih pula, kurangkan. Jika ada yang tercicir, pungutlah semula. Baiki mana yang rosak. Tidak salah berpatah semula ke pangkal jalan jika kita tersalah arah.

Daripada hujan panas itu, kita bedah maknanya yang implisit.

Supaya yang hangat tidak menjadi semakin hangat. Yang rosak, makin pula dirosakkan. Akhirnya semua kita yang rugi.

Itu baru hujan panas. Bukan tsunami, bukan ribut yang murka.

Hujan panas hari Sabtu itu membuatkan saya berada di depan skrin komputer riba. Untuk melihat lautan manusia, yang hanya lautan kecil jika dibandingkan dengan gambaran Mahsyar. Di tengah-tengah mereka, barangkali ada bekas pelajar saya, ada rakan taulan saya, ada orang-orang yang saya kagumi seperti para sasterawan negara.

Ya Tuhan, hati saya berdoa. Jangan diapa-apakan mereka, sama ada yang berkuasa atau rakyat biasa. Bukakan hati mereka dengan bunga-bunga tenang. Moga tangan masing-masing terhulur, mendakap ikhlas perdamaian.

Berbincanglah dari hati, pasti yang hangat akan jadi dingin.

Seperti hujan yang tiba-tiba mencurah dalam panas mentari hari Sabtu.

Ditiup semangat emak




"Pergilah. Insya Allah..."

Ada cahaya di sepanjang lorong jika emak sudah mengatakan begitu kerana restu Tuhan bermula daripada restu emak.

Emak memang lain macam semangatnya. Susah mahu jumpa emak yang seperti emak. Anak miskin yang tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah kerana tradisi kekampungan orang dulu-dulu. Tapi semangat dan falsafahnya memang mengalahkan orang bersekolah.

Jika saya terlibat dengan aktiviti apa pun, emak akan menyokong.

"Asalkan jangan bermain sepak bola!" Itu syarat emak untuk anak-anak gadisnya.

Yang lelaki?

"Pergi buat apa sahaja asalkan solat!" Emak lebih terbuka, tanpa banyak syarat.

Tapi emak bukan sekadar cakap-cakap saja. Emak adalah bukti! Emak tidak takut dengan apa sahaja cabaran. Saya pernah membawa emak ke tempat-tempat yang permainannya boleh saja membuatkan darah tinggi mencanak naik. Tetapi emak selamba sahaja, sehinggakan orang yang mengendalikan permainan menggeleng kepala tidak percaya. Bayangkan saja seorang opah setua emak boleh selamba menaiki kereta yang paling laju dan tunggang terbalik di taman tema.

Di luar negara juga khabarnya emak mencuba pula di udara. Dengan bot laju yang meluncur di air, emak selamba sahaja mencabar diri, juga mengecutkan perut anggota rombongan yang emak sertai.

Apabila ditanya, kenapa emak tidak kecut perut, jawapannya buat kami diam. Diam yang lama. Diam dengan rasa sedikit malu.

"Di dunia sana, selepas kita mati, itu lebih menakutkan daripada apa yang ada di dunia sini. Orang-orang yang mengendalikan semua itu, pasti saja sudah memastikan keselamatan kita. Jika katakan terjadi apa-apa; itu namanya takdir..."

Semangat emak selalu menguatkan hati kami.

"Emak sudah lama berjuang. Sekarang..." emak selalu diam sekejap, barangkali mahu menggamit nostalgia, "anak-anak yang kena teruskan perjuangan emak dan ayah..."

Saya paling faham maksud emak. Perjuangan yang pelbagai rencam, bukan hal politik semata-mata. Dalam keluarga, hanya dua yang masih berkhidmat dengan kerajaan. Dua yang lain sudah menamatkan perkhidmatan, seorang swasta dan seorang hanya menjadi suri.

Saya dan adik bongsu memang selalu bersemangat, tapi dalam diam. Saya tidak mahir berdebat, jadi saya hanya menjadi ramah dalam wacana. Saya berjuang dengan cara saya, meminjam semangat emak.

Adik berjuang dengan cara dia. Dia anak muda yang di alur darahnya penuh dengan semangat yang diwarisi daripada emak dan ayah.Dan dia lelaki. Langkahnya lebih panjang. Bekas komando sepertinya boleh hidup dalam dunia survival dengan hanya roti secebis. Cuma sekarang dia lebih islami. Hidupnya lebih tenang meskipun wang serba kurang.

Perjuangan apa pun, akan lebih terarah apabila emak berkata, "pergilah...Insya Allah".

Serta-merta lorong akan bercahaya. Dan di sepanjang jalan itu, seperti nampak jajaran panjang bunga-bunga matahari yang berona emas.

Restu emak menjadi seperti lembaran awan yang melindungi daripada pekikan panas matahari. Doa emak yang penuh keberkatan, menjadi penenang hati.

Saya pun meniru, mengulang kata-kata emak, "pergilah...Insya Allah..." tatkala adik bongsu yang dikasihi melayangkan khabar dia mahu berpergian.

Dia pasti selamat dalam perjalanan dan perjuangan.

Dengan doa emak yang kusyuk dan penuh semangat!

Thursday, July 7, 2011

Ketemu Badai Semalam...




Mata tertancap pada sebuah buku...

Sebenarnya sudah berbeza kulit hadapannya daripada naskah teks sastera karya Khadijah Hashim (gambar di atas) yang saya tekuni pada tahun-tahun 1982-1983.

Memang ada jodoh...

Saya baru sahaja menulis tentang Badai Semalam. Rasanya baru semalam. Petang ini saya menemui naskah itu di rak bawah sebuah toko buku.

Sebetulnya saya menunggu suami. Waktu menelefon, dia baru sahaja keluar pejabat. Saya mencongak-congak. Barangkali lewat petang, baru dia tiba ke lokasi yang dijanjikan. Oleh yang demikian, saya mengambil peluang mengisi waktu dengan melepak di toko buku.

Di situ sahaja saya mampu bertahan lama. Menatap buku-buku, pasti melekakan saya merentasi masa tanpa sedar.

Saya buru-buru membeli. Lekas-lekas pula mencari tempat untuk membaca. Bukan tebal sangat pun. Sekejap sahaja pasti saya dapat menghabiskannya.

Mengulang semula buku itu, benar-benar mengembalikan saya ke Tanjung Puteri. Saat sedih Mazni yang kematian suami, mengucapkan kata-kata "selamat tinggal Tanjung Puteri, kalau ada jodoh bertemu lagi..." kembali memedihkan hati. Zaki yang sudah bergelar doktor tetap menanti. Dulu-dulu, saya dan kawan-kawan selalu berbahas, apakah yang akan terjadi kepada Mazni dan Zaki. Adakah mereka akan berkahwin atau mereka memang sudah takdirnya tiada jodoh...

Walhal, kesudahannya hanya Khadijah Hashim yang tahu!

"Melihat" Mazni, sejujurnya seperti melihat diri saya. Dia anak miskin yang terpaksa mendepani seranjau masalah hidup. Nampak lembik-lembik begitu, tetapi "degilnya" Mazni untuk memburu cita-cita, mengejutkan semua orang termasuk bekas kekasihnya, Zaki.

Kesukaran makin menjadikan dia kuat!

Entah mengapa penemuan buku itu menggembirakan saya. Pelik betul.

Wednesday, July 6, 2011

Degil yang baik...






Semasa di sekolah menengah, khususnya di menengah rendah, saya bukan dalam kategori budak pandai. Jika bagus pun, hanyalah dalam subjek bahasa, agama, dan sejarah. Saya cuma menonjol semasa di menengah atas kerana saya belajar di aliran sastera.

Budak-budak sastera dulu memang berkualiti. Sistem SRP menyaring pelajar-pelajar untuk naik ke tingkatan 4. Subjek sastera tidak dimasukkan dalam jadual biasa. Guru sastera akan mengajar pada waktu petang selama dua waktu. Teks yang digunakan antaranya ialah karya Khadijah Hashim, Badai Semalam. Ingat lagi watak Mazni dan Zaki, kisah cinta tak kesampaian, kisah kekuatan semangat untuk belajar mencari ilmu.

Oleh kerana saya bersekolah di sekolah perempuan yang berprestij di bandar Ipoh, aliran sastera biasanya dianggap aliran kelas dua. Sekarang pun barangkali masih begitu. Saya anak kampung yang miskin. Dalam kalangan rakan-rakan seasrama, ada yang datang daripada keluarga berada. Kadang-kadang(selalu sebenarnya), saya tidak dapat lari daripada rasa rendah diri. Mereka bijak matematik, lancar berbicara dalam bahasa Inggeris. Saya pula hanya dikenali kerana bakat penulisan yang Allah berikan kepada saya. Itu sahaja.

Tapi saya enggan mengalah kerana kekurangan-kekurangan itu. Selalu saya katakan kepada anak-anak. Saya asalnya bukan pelajar bijak. Tetapi saya sangat degil. Mujurlah kedegilan itu untuk hal-hal yang positif. Saya keraskan hati untuk tinggal di asrama. Saya menangis merindukan emak, saya selalu kekeringan wang dan hanya mengharapkan wang biasiswa. Tetapi saya tetap degil!

Kawan-kawan saya ada cabut balik kerana tidak tahan.

Kemudian saya menyambung pengajian ke tingkatan enam, juga di sekolah berprestij. Saya menekuni Keluarga Gerilya, buah tangan almarhum Pramoedya Ananta Toer. Saya hafal ayat-ayat revolusiner Bapak Pram.Dalam kesedihan melihat ayah yang sakit teruk dan emak yang kurus kering mencari nafkah, saya terus dengan kedegilan saya mahu mendaki puncak menara gading.

Di universiti juga saya berdegil. Saya mahu mengikuti Kursus Penulisan Kreatif dan Deskriptif, walaupun asalnya saya mendapat tawaran Kursus Sejarah. Berulang alik saya ke kolej kediaman dalam terik matahari kerana mahu mengambil keratan akhbar dan majalah yang pernah menyiarkan tulisan saya. Kedegilan saya itu akhirnya memberi makna. Saya berjaya.

Begitu juga ketika mahu mengikuti pengajian sarjana. Anak-anak masih kecil. Gaji saat itu juga tidak banyak, cukup makan sahaja.Saya pula ada masalah peribadi yang kritikal. Tapi degilnya saya, mengangkut anak ke sana sini demi menggapai ilmu. Tujuannya supaya anak-anak dan ibu bapa saya berbangga. Menjadi teladan kepada anak-anak dan memberi tanda terima kasih saya kepada orang tua sementara mereka masih hidup. Syukurlah arwah ayah masih ada saat saya menggenggam sarjana.

Sekilas difikirkan, untuk apa saya lakukan semua itu. Hal-hal kemegahan dunia yang semakin dikejar semakin jauh larinya?

Tetapi Allah menuntut kita mengimbangi dunia sini dan sana. Jika saya melebihkan dunia sini, ampunilah saya ya Allah. Segala apa yang kita kejar di sini, seharusnya menjurus pula ke arah kebaikan di dunia sana.

Apa yang saya mahu tekankan ialah faktor kedegilan. Jika degil itu bertempat, maka ada sesuatu yang baik sedang menanti kita.

Pernah juga saya berdegil untuk perkara yang tidak sepatutnya dan saya telah mendapat akibat daripada kedegilan saya itu.

Ketika tukang gunting rambut menggunting rambut saya, dia selalu menegur pusar yang ada di kepala saya. Katanya, "u ni degil ya?". Saya angguk. Habis, apa daya saya jika telah ditakdirkan pusar itu demikian sifatnya wujud di kepala saya. Bagaimana mungkin saya berkuasa menentukan kewujudan benda-benda seperti itu?

Itu kepercayaan orang-orang Melayu, yang sesetengahnya selalu bersifat perasan hebat walhal "habuk pun tarak"....(tiba-tiba saya teringat raja katak yang perkasa...hahaha...)

Pokoknya, degil biarlah bertempat. Kalau suka memanjat pokok, pastikan pokok yang dipanjat itu ada buahnya. Supaya emak yang melarang kita memanjat pokok, sejuk hatinya tatkala kita menghulurkan buah. Jangan memanjat pokok kelapa yang bekerengga. Silap haribulan, dua tiga harilah kita berkampung di hospital.

Degil tidak mengapa. Tapi jangan biadap...

Sunday, July 3, 2011

Mengebumikan Sedih


Anak angkat saya yang sudah bergelar ibu itu menghantar sms.

"Masih sedih lagikah?"

Hahaha...sedang dalam proses mengebumikan rasa sedih. SMS itu menyebabkan saya bangun dan memandang ke luar. Saya berdiri di sisi pintu yang terbuka luas.

Rupa-rupanya hari yang cerah dan indah sedang menanti saya. Saya menatap ilustrusi alam itu. Angin petang yang agak kuat, menyelak-nyelak langsir pintu yang sudah agak kusam kerana setiap hari menadah panas matahari.

Pokok-pokok ubi yang saya tanam tanpa aturan, terbuai-buai lembut. Biasanya anak angkat itu yang selalu mahu mengutip pucuk-pucuk ubi untuk dimasak, tapi dia sudah lama tidak datang. Barangkali enggan mengangganggu saya yang kepenatan. Cucu angkat saya, anaknya itu; entah sudah boleh meniarap agaknya...

Kemudian, dering telefon dari teman "muda" saya, teman sekerja di tempat lama, menggembirakan hati. Dia bertanya khabar. Bagus juga dia menelefon. Dapat juga saya bercakap setelah diam seharian menekuni kerja.

Di sekolah, dia suka menyanyi lagu-lagu 70-an sebab pengaruh kakaknya yang lebih kurang sebaya saya. Saya pun memang suka benar lagu-lagu zaman Uji Rashid dan Hail Amir.Mudah untuk diingat.

Sekali lagi saya berdiri di sisi pintu. Matahari masih menyimbah garang. Tapi desir angin menyejukkan udara di luar. Bunyi enjin motosikal yang meletup-letup, barangkali sedang dibaiki anak jiran, menghidupkan sedikit kawasan kejiranan yang sunyi ini.

Kemudian saya mengelilingi persekitaran kediaman yang disewa dengan tuan rumah yang baik hati ini. Rumput-rumput ada yang sudah menjenguk dari tanah, tapi masih nampak kemas dan bersih. Pokok-pokok mangga, jambu batu, jambu air, pokok kari, serai, tebu, mas cotek, pokok bunga (yang tambah subur di tapak kolam kecil buatan suami yang telah saya timbus)yang ditanam suami, menyejukkan sedikit bahang panas. Saya paling menyayangi pokok janggut hantu yang berjuraian di dawai yang diregang suami.

Bunyi air yang menerjuni kolam buatan di banglo jiran, mendamaikan suasana.

Sayang betul mahu meninggalkan suasana yang aman begini. Jiran sebelah baru sahaja berpindah. Malam tadi, saya terkejut mendengar bunyi barang-barang diangkut lori. Terganggu sekejap mimpi saya yang baru hendak bermula.

Bunyi burung yang sedang bernyanyi saya dengar dalam diam. Dulu, ada seekor yang sedang mengeram telor di dahan pokok mangga renek yang ditanam suami.

"Jangan ganggu atau tengok anaknya..." suami memberi amaran. Tapi kemudian, kami dapati sarangnya sudah jatuh ke tanah. Kawasan bukit seperti ini, anginnya sangat kuat. Tak sempat bayinya menetas.

Bunyi geseran daun-daun tebu di tembok pagar rumah, mengilukan gigi. Angin yang kuat, bawakan sekali sakit kepala saya ini. Biar kepala saya ringan, hati pun riang!

Esnaliza, Lell, Shima-chan: terima kasih atas SMS dan panggilan telefon.

Hari ini saya mahu kembali mendaki bukit riang...dan mengebumikan rasa sedih perlahan-lahan!

Dari Salina ke Daerah Zeni...






Cuti Ahad pun tiada masa untuk saya menonton TV atau membaca akhbar dengan tekun.

Sebabnya ada nota yang perlu saya buat dan fahami. Saya pun masih kurang faham prosedur di tempat baru. Jika dulu, saya mesti menyiapkan rekod mengajar, kemudian jurnal pensyarah, kemudian kembali kepada rekod mengajar, sekarang istilahnya sudah jadi lain...

Saya tekun di meja, membaca, memaham, menaip dan mencetak. Kepala pun jadi pusing. Sesekali saya mendengar IKIM, buat penenang jiwa.

Kemudian, mata tersangkut kepada satu berita.

Masa untuk berehat, membuang pening dan sakit kepala.Lalu akhbar yang terdampar sepi di lantai sejak awal pagi itu saya ambil dan baca.

Saya minati karya dan pemikiran sasterawan ini. Dulu-dulu, semasa di UM, saya memang selalu ikut jika sasterawan ini ada acara baca puisi. Sebahagian besar karyanya daripada Salina sehinggalah Daerah Zeni, ada dalam koleksi saya.

"Suara tanpa tindak itu bukan suara..." dia dipetik berkata.

Dia sudah amat berusia. Dengan janggut dan rambut memutih,dan beg sandang, dulu-dulu kelibatnya selalu ada di pasar seni dan sesekali terserempak dalam bas mini di jantung KL sebab dia tidak pernah memandu kereta...

Dulu saya pernah katakan kepada dia, "Bapak begitu tajam sekali bermain dengan bahasa... saya seperti nampak Hilmy sedang bercerita dengan Salina di Kampung Kambing. Dan saya sangat marah dengan Abdul Fakar dan benci dengan setianya Salina..."

Dia disiasat polis baru-baru ini kerana membacakan puisi bertajuk "Unggun Bersih". Saat disiasat, dia ditanya berapa bayaran yang diterima kerana membacakan puisi tersebut!

Ya Tuhan...hanya kerana baca puisi?

Setahu saya dia sangat berprinsip. Dia pernah mogok seni kerana rajuknya kepada sebuah institusi penerbitan terbesar negara (pada masa itu). Dia bukan gila wang. Peristiwa siasatan terhadapnya itu mengingatkan saya kepada peristiwa yang berlaku kepada Almarhum Pak Samad Ismail, Pak Said Zahari, juga Almarhum Pramoedya Ananta Toer yang pernah diistilahkan "sasterawan dari penjara".

Saya mendoakan kebaikan untuk Pak Samad Said. Mudah-mudahan dia tidak ditimpa bencana apa-apa pun kerana orang seperti dia sangat diperlukan oleh dunia sastera. Saya suka mendengar jika dia berbicara. Penuh dengan bahasa manis, cantik dan berisi. Dia sangat kuat membaca. Saya selalu terpengaruh dengan cara dia berkarya saat mula-mula saya belajar menulis dahulu.

Jika saya membaca tanpa mengetahui nama penulisnya pun, saya tetap tahu lenggok bahasa Pak Samad. Sangat mengesankan!

Satu yang saya perasan, Pak Samad suka menamakan watak dalam novelnya dengan nama yang aneh, kadang-kadang nama yang bukan lazimnya dipakai oleh masyarakat Melayu negara ini!

Tapi itulah Pak Samad!

Saturday, July 2, 2011

Perjalanan Akhir Seorang Adibah




Kehilangan yang tidak dijangka dan secara tiba-tiba sangat sukar untuk diterima.

Ia mengambil masa berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan, malahan bertahun-tahun untuk cuba melupai.

Jam 3 pagi, saya mendapat dua mesej hampir serentak di dua telefon bimbit yang saya letakkan di sisi katil. Membaca mesej itu, saya tidak mampu melelapkan mata lagi sehingga ke subuh.

Dia telah dijemput pergi. Allah telah mengambil hak-Nya kembali. Semuanya adalah pinjaman untuk kita saling berkasih sayang, maka kita kena redho bahawa selaku pemilik, Dia berhak untuk mengambil semula hak-Nya.

Kebetulan Sabtu ada acara serentak di seluruh negara iaitu larian 1 Malaysia untuk jabatan di bawah KPM. Saya turut mengikut rakan-rakan menziarahi almarhumah di rumah ibunya di Taman Guru. Ramai sekali yang datang berziarah. Dia punya dua anak perempuan yang berusia enam belas dan delapan tahun.

Luluh hati melihat anak-anak yang kehilangan kasih ibu pada saat-saat mereka memerlukan.

Tangisan di mana-mana, barangkali menyelit antara rasa tidak percaya. Semalam, dia gembira sahaja, bergurau dan lincah bekerja. Tiada perubahan. Jika ada pun saya mendengar dia memesan kain batik ala India daripada seorang rakan yang berwarna putih. Dia tidak berkenan dengan warna-warna kain yang dijual oleh rakan itu.

Memang saya tidak rapat dengan almarhumah. Berbual pun hanya begitu-begitu sahaja. Tetapi kehilangannya menimbulkan rasa. Melihatkan keadaan belakang kereta Myvy miliknya, rasanya mengikut akal, tidak mungkin boleh mengakibatkan dia koma serta mengalami pendarahan dalaman yang teruk.

Katanya dia pulang jam 4.40 itu, singgah membeli kek hari lahir anak di kedai. Dia lupa tarikh hari lahir anaknya sehinggalah si anak memberitahu. Dia kemudian memakir kereta di parkir rumah, lalu keluar ke bahagian belakang kereta untuk mengambil sesuatu. Keadaan rumah agak curam, serentak kereta itu mengundur kerana brek tidak ditarik habis.

Kata jiran, mereka terdengar dentuman kereta yang melanggar tembok. Saat meninjau, almarhumah sudah terbaring di tengah jalan. Barangkali kereta tersebut telah melenyek tubuhnya saat dia jatuh kerana asakan kuat kenderaan tersebut. Dia koma, tidak sempat pun menemui suami (yang sedang dalam perjalanan via komuter) dalam keadaan sedar.

Jam 3 pagi, saat diangkat untuk dibawa ke Kuala Lumpur, darah keluar dengan banyak daripada mulutnya, dan beliau pun pergi...

Saya mendengar cerita-cerita itu. Kami menunggu sehingga perjalanan akhirnya ke pusara.

Memikirkan kesemua itu, memberikan kita amaran. Bersedialah untuk diambil, atau orang-orang kesayangan kita diambil.

Seperti barang-barang yang memang milik kita, kita pinjamkan kepada orang,satu hari kita mesti mahu mengambil semua barang-barang tersebut. Begitu juga dengan apa yang dipinjam Allah kepada kita. Kita sendiri memang milik Dia.

Apapun yang berlaku, kita perlu mendidik diri untuk redho.

Kematian adalah "nasihat" yang paling baik untuk kita yang ditinggalkan. Supaya kita selalu siap siaga untuk sebuah perjalanan.

Perjalanan menuju Allah...satu perjalanan abadi.

Seperti perjalanan terakhir seorang Adibah...

Friday, July 1, 2011

Jika benar kasih, lepaskanlah...




Jam delapan malam, ada mesej yang tertera...

seorang rakan sejabatan dilanda musibah.

"Salam. Dimaklumkan Puan xxx telah mengalami kemalangan semasa pulang dari pejabat. Beliau koma dan mengalami pendarahan otak. Sedang berada dalam zon merah di ICU hospital xxx"

Saya terkedu.

Kemudian tidak beberapa lama, sekali lagi mesej bertamu.

"Beliau akan dibedah malam ini dan akan dibawa ke Kuala Lumpur. Pendarahan otak teruk. Barangkali beliau dilanggar oleh keretanya sendiri, mungkin kerana brek yang tidak ditarik habis. Dalam keretanya ada kek hari jadi anak beliau..."

Ya Allah...hanya itu yang mampu saya ungkapkan.

Memang saya kurang mengenalinya. Sifat saya yang tidak banyak cakap terutama dalam proses penyesuaian diri, membuatkan saya kurang mengenali siapa Puan xxx ini. Tetapi saya tahu, dia seumur saya. Bertubuh kecil, lincah dan rajin. Sepatutnya pagi ini saya mengikut dia dan seorang rakan lain untuk ke sebuah sekolah rendah meninjau guru pelatih. Saya diajak oleh seorang rakan untuk "mengenali" tugasan yang bakal diberikan kepada saya semester depan. Tetapi saya berasa kurang sihat seawal pagi.

Semalaman ini saya mendoakan dia. Mudah-mudahan Allah meringankan beban kesakitannya. Tidak ada yang mustahil jika Dia mengkehendaki. Mudah-mudahan Allah juga memberikan kekuatan kepada suami, anak-anak dan keluarganya menghadapi musibah yang tidak dijangka.

Jika sudah tertulis takdirnya, benda-benda seperti tidak menarik brek dengan sempurna pun boleh membawa kecederaan teruk. Berlaku pula di hadapan rumahnya sendiri. Bagaimanakah keadaan anak-anaknya yang teruja untuk menyambut ulangtahun kelahiran. Ya Tuhan...

Allah telah menyedarkan saya.

Lihatlah rakan saya itu. Begitu sihat sekali dia petang tadi. Kemudian keadaan menjadi berubah. Dia sedang terbaring, berjuang untuk hidup, menanti rahmat Allah dan doa keluarga, rakan taulan serta kepakaran pakar perubatan.

Allah menyedarkan saya supaya mensyukuri nikmat-Nya dan berhenti mengeluh. Saya yang selalu mahu orang gembira, sejak beberapa minggu ini langsung tidak gembira. Allah mahu mengembalikan saya kepada saya yang asal. Yang hidup gembira dan mahu orang lain juga gembira!

Benar, senyuman sudah hilang sejak beberapa minggu ini. Wajah saya dipenuhi tanda stres. Saya tidak gembira ke tempat kerja seperti selalu. Rasa tidak gembira itu pula memberi tekanan kepada suami, yang sentiasa sabar meladeni karenah saya yang selalu stres.

Kenapa saya tidak gembira?

Barangkali kerana saya masih enggan dan keberatan "melepaskan" kasih sayang saya terhadap mereka di tempat kerja lama. Barangkali mereka juga enggan "melepaskan" saya dalam makna kata yang sebenar-benarnya.

Musibah yang menimpa rakan saya itu benar-benar menyedihkan hati saya. Juga memberi tanda peringatan kepada saya.

Telah saya katakan, hidup kita ada hujan dan panas, kadangkala petir dan kilat sabung menyabung. Kita kena selalu bersedia. Mampu atau tidak, berupaya atau tidak; itulah hakikat yang terpaksa kita hadapi sehinggalah kita tiba ke garisan penamat.

Menulis itu lebih mudah daripada mendepaninya secara realistik. Namun sekurang-kurangnya ia menjadi terapi untuk manusia yang sentiasa turun naik paras motivasinya seperti saya.

Ya Allah, ampunilah saya yang selalu lupa bahawa Engkau selalu dekat.

Ya Rabb, kasihanilah juga rakan saya itu...

Saya mendoakan agar subuh esok saya bangun dengan hati baru, yang riang gembira seperti dahulu. Penuh dengan bunga-bunga matahari. Saya merindui rakan-rakan dan pelajar saya, tetapi saya mahu "melepaskan" mereka...

Supaya hati saya tidak dilatari kesedihan, dan mata menjadi kabur kerana tangisan!

Sebab saya mengasihi mereka, menyintai kebaikan mereka.

Atas kasih sayang itu, saya mahu "melepaskan" mereka...

Doa hati...




Saya kelelahan setiap hari.

Saya selalu juga memujuk hati, ada manusia lain yang lebih sukar hidupnya daripada saya.

Tetapi mereka terus tabah mendepani hidup. Mereka tidak menyalahkan takdir, apalagi memarahi Tuhan.

Ada isteri yang berusia muda terpaksa meledani sang suami yang tiba-tiba lumpuh. Anak-anak pula semuanya orang kurang upaya. Sumber pendapatan tidak ada, atau jika ada pun hanya setakat di paras buku lali.

Sukar sekali menerima kenyataan untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas dihujani ujian demi ujian yang seperti itu.

Saya memujuk hati. Tidak jemu memujuk hati. Bersyukurlah kerana Allah mengasihi. Allah tidak menguji jika Dia tahu kita tak mampu mendepani.

Sudah tentu saya masih mampu. Mampu bangun awal pagi, mampu memandu, masih mampu mengisi minyak kereta, mampu menghadapi secebis kesakitan, mampu bertahan dengan karenah birokrasi, mampu menghadapi segala kesibukan ini.

Alhamdulillah...

Jadi, jika sudah mampu, kenapa mesti mengeluh, mengapa selalu mempamerkan wajah tertekan, mengapa tebing kolam mata selalu pecah, mengapa hati selalu bersedih?

Sedangkan Allah telah memberikan kita kehidupan yang baik. Suami dan anak yang baik. Kawan-kawan yang baik. Allah hanya menguji sedikit daripada nikmatnya yang sekian banyak. Allah hanya mengambil secubit daripada hidangan yang melimpah...

Manusia yang lemah memang seperti itu. Seperti saya. Selalu mengeluh, selalu berasa susah.

Hati, tenanglah. Ketenangan itu anugerah terindah. Tenanglah menghadapi kesakitan yang hanya sedikit. Tenanglah menghadapi kesibukan kerana semua itu adalah tanggungjawab.Hiasi peribadi dengan senyum, dengan akhlak mulia. Moga semuanya menjadi ibadah.

Doa daripada hati sedang menerawang di angkasa. Mudah-mudahan pintu langit akan terbuka dan menerima doa daripada hati.

Saya menyintai Dia. Sangat menyintai Dia...