Total Pageviews

Tuesday, June 28, 2011

"Mesti Kuat Untuk Tinggalkan Dunia Lembik"



Entah mengapa, saya kembali menjadi "lembik". Emosi bergetaran tatkala membaca luahan rakan-rakan baik di FB, juga cetus rasa anak-anak pelajar.

Barangkali mereka pun seperti saya, sedang berjuang untuk menstabilkan emosi.

Walhal, saya bukannya jauh. Cuma tidak dapat lagi bertemu seperti selalu.

Selalunya, tempoh seminggu berpisah sudah cukup untuk saya menjadi stabil. Tempoh itu selalunya mampu membuatkan saya tidak merindui orang-orang yang ditinggalkan secara keterlaluan sehingga mampu membengkak mata dan menyebakkan dada...seperti sekarang!

Kenapa untuk kali ini saya masih gagal?

Deringan telefon daripada bos (bekas bos?) malam itu makin menyedihkan saya. Saya tidak mampu mengiyakan pun kata-kata nasihatnya.

Kerana saya sedang menahan tangis!

Katanya, "You mesti kuat. Perkara biasa kalau kita pergi ke tempat baharu. Semua tu akan mengambil masa. Apabila you sudah dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, you akan ok. Pokoknya, you mesti kuatkan diri..."

Saya tidak menyahut pun kata-kata nasihatnya itu. Sebab tangis saya akan pecah jika saya bersuara. Saya hanya berdehem-dehem, membawa makna bahawa saya sedang mendengar.

Malu sungguh! Saya menangis kuat setelah talian terputus. Harap-harap beliau tidak sempat mendengar esakan kuat saya. Saya menghantar mesej, memohon maaf kerana tidak bercakap apa-apa.

Rupa-rupanya beliau lebih faham. Beliau sudah berusia, pengalamannya sudah cukup untuk menilai betapa "lembiknya" hati saya.

"Tidak mengapa. Saya faham sikap you. Itu sebab saya selalu kata, you mesti kuat..." mesejnya saya baca, masih dalam esakan kuat.

Memang berkali-kali nasihat beliau tentang perlunya saya menjadi "kuat", khususnya selepas peristiwa saya "dibuli" orang itu.

Saya sudah tidak ada ayah, jadi saya mendengar nasihat beliau persis saya sedang mendengar nasihat daripada seorang ayah.

Saya nampak cukup bagus untuk memujuk dan menasihati adik-adik junior atau anak-anak pelajar; tetapi hakikatnya apabila bersendirian, saya selalu kalah dan akur dengan kesedihan.

Sedangkan saya sudah "tua", bukan lagi anak manja ayah!

Saya sudah menjadi emak orang!Barangkali tidak lama lagi bakal bergelar opah!

Saya memang penangis, sejak kecil saya memang begitu. Meskipun suka berjenaka, saya tidak mampu lari daripada perangai penangis itu. Rasanya hanya saya seorang dalam adik beradik saya yang sebegitu.

Memang saya selalu berjuang untuk meninggalkan dunia "lembik" saya itu. Itu sebabnya juga saya tidak boleh menjadi jururawat atau wartawan lapangan yang bertugas untuk program-program seperti Jejak Kasih atau Bersamamu.

Bimbang nanti, jururawat atau wartawan itu yang berlebih-lebih meraung berbanding pesakit atau orang susah dalam rancangan-rancangan sedemikian!

Jika menonton Jejak Kasih atau Bersamamu, dada saya selalu sakit. Kadangkala saya langsung tidak dapat menonton disebabkan air mata yang tak henti-henti keluar...

Pernah suami saya menyebut, "jual kereta pun menangis, ikan mati pun menangis...itu kereta dan ikan, kalau abang yang pergi?"

Saya pernah mengalami kehilangan ayah. Bertahun-tahun saya menangisi pemergian ayah. Meskipun ayah sangat menjaga adab dengan anak-anak perempuan, tapi semua tahu saya memang anak kesayangan ayah. Semasa kecil, saya selalu ikut ayah ke hutan. Setelah dewasa, jika balik lewat pagi sekali pun kerana tugas dan perjalanan jauh, ayah akan menanti di perhentian bas dalam gelap dan kesejukan demi memastikan saya selamat tiba. Dalam tempoh berpantang, ayah gemar membakar daging untuk saya.

Sangat sakit di jiwa saya apabila ayah pergi.

Jadi, saya sudah ada jawapannya atas pertanyaan suami saya itu!

Nasihat bekas bos itu saya akan cuba ikuti. Saya pun memang berkeinginan menjadi "kuat".

Ingin sekali saya mengucapkan selamat tinggal kepada air mata dan dunia lembik saya itu!

Doakanlah agar Allah memberikan saya kekuatan...

Sunday, June 26, 2011

Ber"high-heel" dalam rumah...



Sewaktu ibu menulis ini, ibu berada di Seri Menanti Resort mengikuti kursus dua hari mengenai pengacaraan berdasarkan teromba dan perbilangan adat. Kalau diikutkan, ini kali ketiga ibu mengikuti kursus berkaitan pengacaraan beradat ini.Penceramahnya pun orang yang sama iaitu Profesor Madya Dato' Paduka Mohd Rosli Saludin. Tetapi ibu gagahkan diri meskipun sangat kepenatan. Kursus-kursus yang sedemikian pun memang ibu gemari.

Jumaat ibu ke DBP untuk seminar memperkasakan sastera kebangsaan. Pembentangnya bagus-bagus terutama Dato' Baha Zain yang berani mengemukakan pendapat beliau. Seronok berjumpa kawan-kawan penulis.

Kepenatan berulang-alik hampir 50 minit ke tempat kerja dari rumah berganda-ganda apabila terpaksa mengikuti kursus. Rumah hanya jadi tempat tidur semata-mata. Barang-barang untuk pindah rumah pun lebih kurang 40 peratus sahaja dimasukkan ke dalam kotak. Itu pun dengan bantuan suami (beliau mengambil masa dua jam setengah berulang alik dari rumah ke tempat kerjanya!)

Di dewan seminar resort, banyak ilmu yang dapat dikumpul. Meskipun penat, ibu tetap bersungguh-sungguh menimba ilmu, mendengar dan bertanya. Namun, apa yang ditakuti pun tiba...

Malam ada acara budaya!

Kumpulan ibu diminta mempersembahkan sesuatu yang mempunyai teromba atau kata-kata adat di dalamnya. Dalam enam orang itu, hanya seorang sahaja orang Negeri Sembilan. Dia pula tidak akan hadir pada sebelah malam atas alasan keluarga. Ibu pun tidak menginap kerana kasihankan rakan sebilik yang membawa anaknya yang sakit gigi. Dia menumpang bilik ibu sebenarnya tetapi melihatkan keadaan anaknya, ibu fikir lebih baik ibu pulang sehabis acara budaya dan datang semula keesokan harinya. Dia boleh tidur selesa dengan anak-anaknya.

Perbincangan pun berlangsung. Akhirnya persembahan dibuat dengan berlatarkan lagu "Apo Kono Eh Jang". Ada segmen-segmen tertentu berisi dialog teromba yang kami kena tuturkan apabila bahagian-bahagian lagu itu dihentikan. Ibu diminta menjadi emak si Ujang (mentang-mentanglah ibu yang paling tua dalam kumpulan itu). Masalahnya dialog mesti dituturkan dalam loghat nogori!

Ibu pulang sebentar petang itu untuk mengambil kain-kain pelekat dan batik, nanti akan digunakan oleh "emak si Ujang" melipat-lipat kain sambil meleterkan si anak yang gilakan si Milah.

Malam itu, ibu bawa kain-kain itu, wang sepuluh ringgit dan juga kad pengenalan ibu ke atas pentas. Apabila tiba dialog ibu, dialog awal tak ikut skrip pun sebab spontan saja keluar...

Kata ibu, "apola jang, omak tak peghasan ber"high-heel" dalam ghumah. Nanti kojap yo, omak bukakkan kasut. Omak dah tuo...lupo lak nak bukak kasut..." Hahaha...ibu memang bertumit tinggi pun di atas pentas yang kononnya ruang tamu rumah itu.

Kisah omak si Ujang ber"high-heel" dalam rumah itu menjadi bahan lelucon Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin, Ketua 1 Persatuan Penulis N9 dalam ucapan beliau pada perasmian penutup esoknya.

Balik ke rumah, hati rasa sayu. Sunyi sekali. Hampir dua belas tahun berada di Kuala Pilah, terasa lain macam pula apabila hampir waktu untuk pergi. Sudah tentu kerana kawan-kawan yang sangat budiman.

Itulah kata orang, kita biasanya akan menghargai sesuatu apabila kita kehilangan sesuatu itu...

Ibu kena berhenti menulis dahulu untuk mencari sapu tangan buat menyapu si air mata...

Monday, June 20, 2011

Hari Pertama ...



Jam 5.55 dering alarm mengejutkan saya yang memang tidak lena semalaman.

Bergegas bangun untuk segera solat dan bergerak seawal 6.40 pagi. Kantuk sekali. Jam 7.20 saya sudah ada di lobi.

Sama seperti waktu bekerja di kolej,tiada masalah.

Ketua Jabatan akan terbang ke Malaysia Timur sehingga Rabu. Ini bermakna sehingga Rabu, saya masih tiada jadual kuliah. Jadi, saya hanya duduk di meja, membaca, mengisi borang, meninjau-ninjau kawasan sekitar,malahan ikut kawan-kawan makan-makan, dan menemani salah seorangnya ke pusat bandar.

Ikut sahaja sampai lupa bertanya nama!

Menyiksakan duduk-duduk sahaja. Nasib baik ada kawan yang membawa saya berkenalan dengan pensyarah-pensyarah jabatan lain yang searas. Kata mereka, nama saya sudah ada pada awal tahun, "penulis dari Kuala Pilah," ujar salah seorang rakan baru.

Hahaha...agaknya kerana masa temu duga itu, saya satu-satunya yang mengangkut sebeban antologi kerana saya diberitahu, ada markah jika kita pernah menerbitkan buku.

"Sikit-sikit saja. Bukan pandai sangat pun..." saya merendah diri. Di tempat baharu, kita jangan tunjuk lagak. Jangan tujuk pandai. Kalau boleh pun, jangan cepat kata boleh. Bertanya kalau tidak tahu. Jangan malu untuk bertanya hal-hal yang dianggap bodoh.Merendah diri adalah jalan terbaik. Biar orang anggap kita tiada kebolehan apa-apa.

Itu yang saya amalkan apabila menjadi orang baru di mana-mana.

Oklah, kawan-kawan baru nampak ok. Ketua Jabatan dan ketua unit yang sudah bergelar doktor pun nampak ok. Memanglah jauh bezanya dari segi infrastruktur berbanding Kolej Matrikulasi, tetapi yang penting isi dalamannya. Dewan kuliah pun hanya satu, berbanding enam di kolej. Jumlah pelajar lagilah berganda kurangnya.

Tapi saya suka "kematangan" IPG, sesuatu yang sesuai dengan hati saya yang mahu bekerja dengan "tenang".

Seperti yang dijangka, semuanya sudah berusia. Adalah seorang dua yang lebih muda tetapi tidak "seremaja" rakan-rakan baik saya di sekolah. Namun mereka terperanjat apabila saya maklumkan anak-anak saya sudah berusia 21 dan 19 tahun! Mereka yang bertanya, jadi saya beritahu sajalah

Mudah-mudahan doa saya agar Allah mempermudahkan urusan saya dimakbulkan. Saya bakal berdepan pelajar-pelajar yang akan bergelar pendidik. Pastinya saya mahu melahirkan pendidik berkualiti. Yang mencintai profesion keguruan dengan hati.

Hari pertama, penat dan kantuk tapi penuh dengan debaran.

Sunday, June 19, 2011

Kebaikan yang mengikat



Hari Ahad. Berkemas-kemas dan bersedia untuk memulakan perjalanan panjang awal pagi dan mengisi Isnin di tempat baharu.

Seseorang menelefon. Saya menganggapnya anak. Ada keberkatan yang dibawanya dari umrah di Tanah Suci.

Saat saya berkata, "terima kasih sebab azmi selalu gembirakan hati ibu ini..." dia diam. Suaranya tersekat.

Dia menangis rupa-rupanya!

Dia baharu pulang ke tanah air dan berita perpindahan saya dan rakan mengejutkan dia.

Hati saya yang sayu sepanjang hari (teringatkan gemulah ayah sempena sambutan Hari Bapa)bertambah-tambah darjah kesayuannya. Saya mengerti mengapa dia sedih. Saya dan rakan yang juga turut berpindah itu memang agak akrab dengannya. Saya selalu geli hati melihat mereka berdua pura-pura berkelahi.Kadang-kadang riuh-rendah jadinya dengan gelagat mereka. Bila lihat dia, saya teringat adik bongsu saya yang barangkali tua beberapa tahun daripadanya.

Dia orangnya pelbagai kebolehan, multi-talented. Daripada badminton, bernasyid, mengajar kimia, bahasa Inggeris, mengajar tasawur Islam; apa sahaja boleh dilakukan olehnya. Dia agak islamik tetapi boleh diajak bergurau dan bersembang apa sahaja topik.

Teringat juga usikan kami kerana ada "seseorang" yang terlalu meminati dia. Dia jadi gusar kerana dia sudah pun punya isteri yang cantik dan berbudi!

Sepanjang minggu lepas, sudah jadi Minggu Menangis Sedunia!

Pelajar-pelajar yang asyik menangis, merintih-rintih di blog masing-masing, aura sedih rakan-rakan (Ema yang menangis...); memberatkan hati saya. Pelik! Saya memang tidak teruja untuk pergi walaupun sepanjang karier saya, tempat itulah yang saya idamkan sekian lama.

Kebaikan selalu mengikat hati kita. Memberatkan jiwa kita. Tapi seperti yang saya katakan, peluang hanya sekali. Perjuangan yang belum selesai mesti kita langsaikan. Hanya doa moga Allah mempermudahkan segala-galanya.

Ikhlaskan hati untuk terus berkhidmat. Terima kasih ya Allah atas segala kebaikan hati dan kasih sayang mereka terhadap insan lemah seperti saya...rahmatilah mereka ya Rabb!

Saturday, June 18, 2011

Jalan yang mana?



Yang paling ramai menghuni syurga itu ialah mereka yang baik akhlaknya kepada Allah dan sesama manusia.

Maksudnya?

Kita mestilah selalu berbaik sangka dengan Allah, sabar, sering berbuat baik dan menggembirakan hati manusia lain.

Jangan mempertikaikan peraturan Allah. Ada sesuatu yang kita sebagai manusia lemah, tidak nampak apakah maksud peraturan-peraturan itu.

Perhatikan lirik lagu ini:

...jalan yang sempit, membawa kepada kehidupan...
...jalan yang luas, membawa kepada kehancuran...

Jalan yang sempit bermaksud jalan itu dipagari dengan undang-undang, peringatan dan hukum-hakam.

Jalan yang luas bermakna jalan yang bebas, tidak terikat kepada peraturan, ikut nafsu dan menolak undang-undang.

Jalan mana yang mahu kita pilih?

Sebagai contoh, kita melalui jalan yang mempunyai lampu isyarat, tanda had laju hanyalah 40 km sejam, mempunyai bumper; sudah tentu agak sukar bagi kita memandu, terutama mereka yang menggunakan gear manual.

Tetapi, jalan ini biasanya selamat kerana kita lebih berhati-hati disebabkan beberapa peraturan yang perlu kita ikut.

Kemudian kita melalui pula lebuh raya yang mempunyai lapan lorong, tiada pembahagi jalan, tiada garisan putih, tiada peringatan had laju; sangat seronok untuk kita memandu.

Tapi awas, jangan terlena meskipun sesaat!

Begitulah hukum Allah, tidak bermaksud untuk menyekat kebebasan hamba-Nya. Sama ada halal, haram, sunat, makruh, sah dan batal; jika kita patuh, kita akan selamat.

Terpulanglah kepada diri kita dengan akal yang diberi; untuk memilih jalan yang mana satu...

Friday, June 17, 2011

Saat Itu Pun Tiba...



Akhirnya kolam air mata saya pecah juga.

Puas saya menahan. Sebenarnya dari rumah lagi saya sudah menanam tekad untuk "kering" hati. Hari ini rakan-rakan menyediakan jamuan perpisahan untuk saya dan seorang lagi rakan. Berbanding saya yang masih baru, dia sudah dua puluh tahun berkhidmat di situ. Sudah pasti dia amat sedih, tetapi kerana dia lelaki, sudah semestinya dia berjaya menyembunyikan kesedihan itu.

Terima kasih atas kasih sayang rakan-rakan. Sama ada yang junior, yang sebaya atau yang senior; mereka sentiasa ada di hati saya. Mereka amat baik, sukar untuk saya ungkapkan kebaikan mereka satu persatu.

Kemudiannya sekali lagi saya ke kelas. Kelas ini agak istimewa kepada saya kerana saya pernah menjadi guru kelas mereka pada tahun pertama saya berpindah ke situ. Pelajarnya pun baik-baik walaupun tidaklah terlalu cemerlang dalam akademik.

Puas bergambar, kami bersalaman. Saya masih mampu menahan tangis. Tetapi apabila seorang pelajar ini dalam tangisnya, membisikkan kepada saya, "saya dah tak ada emak, cikgu!", saya benar-benar kelelahan. Hati saya hancur luluh. Saya tak mampu bertahan lagi.

Dan bisikan itu saya balas dalam esakan, "cikgu tahu, cikgu tahu..."

Saya memang tahu pelajar ini kematian emaknya hujung tahun lepas. Dia selalu muram di kelas, dan selalu juga tidak hadir demi menguruskan hal keluarga. Saya selalu mengintai-intai mendung wajahnya semasa mengajar. Pernah saya nyatakan kepada suami tentang pelajar ini. Saya fikirkan sempat untuk saya mendekatinya, tetapi rupa-rupanya takdir telah membawa saya pergi jauh sebelum niat saya itu terlaksana.

Dalam hati saya terus mendokan agar pelajar ini terus tabah, dan diberi limpahan rezeki meskipun tanpa seorang emak di sisi.

Saya tinggalkan pelajar-pelajar itu dengan bengkak tangis di mata saya dan mereka. Sedihnya bukan kepalang. Saya tahu mereka pasti mengingati saya dan saya pun akan selalu mengenang mereka dalam doa yang tidak putus-putus.

Hujan air mata itu bersambungan di kereta. Guru ini muda, barangkali jauh lebih muda daripada pelajar sulung saya semasa saya mula-mula mengajar pada hujung 1990. Saya memang punya sikap yang ganjil. Saya gemar berkawan dengan junior di mana-mana sahaja saya berkhidmat. Barangkali kerana mereka lebih mudah dibawa bercerita, juga tidak sibuk memikirkan soal perebutan pangkat (kerana mereka juga tidak banyak tanggungan dan hutang!).

Dia menghulurkan hadiah comel untuk saya. Hadiah secomel patung beruang untuk kakak yang "perasan muda". Dia memeluk saya lama, dan menangis!

Saya seorang yang penangis...dan tangisan saya pasti sahaja lebih kuat dan lama berbanding dia!

Di tempat baru, entah bagaimana. Saya tahu tidak ada rakan-rakan "muda" yang akan saya dampingi kerana di institut itu memang tiada yang muda-muda!

Untuk rakan-rakan dan pelajar-pelajar; terima kasih atas kasih sayang kalian.

Saat sedih pasti akan tiba dalam hidup kita. Kehidupan memang ada hujan dan panas. Kita mesti selalu bersedia untuk menghadapinya...

Wednesday, June 15, 2011

Berat Di Kaki dan Hati...


Seperti ada tusukan tajam di jantung hati.

Membaca luahan hati mereka di blog masing-masing, di laman FB; hati saya luluh. Mereka anak-anak luhur, sesuatu yang istimewa apabila kita mengajar di sekolah. Saya tidak merasai kepedihan sebegini kala saban tahun berpisah dengan pelajar-pelajar di kolej selama hampir sepuluh tahun itu.

Berbanding mereka yang gagal menyembunyikan bengkak mata dan wajah murung, "ketuaan" saya mampu melindungi pedih hati saya.

Ketidakmampuan mereka untuk berpura-pura itulah yang saya hargai. Hati mereka tulus, air mata yang mengalir juga bukan lakonan. Luahan hati mereka juga sangat jujur dan mengharukan.

Hampir dua setengah tahun saya bersama mereka. Membetulkan apa yang salah, mengulang semua apa yang mereka lupa (sebenarnya kerap lupa, barangkali kerana faktor junk food yang menjadi santapan saban hari), mendenda mereka membuat pembetulan, mendengar masalah mereka, menyaksikan kenakalan remaja yang tidak pandai makna diam, menahan geli hati melihat mimik muka mereka yang memohon simpati, melihat kekreatifan mereka mencipta istilah, belajar memahami loghat mereka yang pekat; semua itu menjadikan mereka akrab di hati saya.

Jangan sesekali menyebut perkataan "tampal" di dalam kelas. Sebab nanti akan ada suara-suara nakal yang tiba-tiba ketawa dan mengaitkan perkataan tersebut dengan pelajar tertentu yang nama bapa atau atuknya ialah "Mustapa atau Zaimustafa". Terpaksalah saya mengubah perkataan tersebut kepada, "lekatkan keratan ini ke dalam buku" atau "lekatkan nota itu ke dinding".

Terpaksa menjadi kreatif, bukan?

Saya percaya, apabila mereka berada di tingkatan yang lebih tinggi, tabiat gelar-menggelar itu akan padam dengan sendirinya. Dan semua itu bakal menjadi nostalgia buat mereka. Meninggalkan kenangan manis dan melucukan.

Bagi pelajar-pelajar yang berusia 18 dan 19 tahun pula, mereka lebih matang dalam meluahkan rasa hati. Saya memang mengenali sebahagian daripada mereka kerana mereka adalah rakan-rakan anak saya. Menangani mereka tidak menjadi masalah buat saya kerana persis saya menangani karenah anak-anak saya juga.Mereka sebaya puteri bongsu saya. Sangat mudah kerana saya merupakan "kawan" kepada anak saya, meskipun saya selalu mengingatkan "pagar" yang membezakan kami. Begitu juga dengan anak-anak remaja itu, saya adalah "kawan" mereka dalam "pagar" masing-masing.

Seperti yang saya katakan, apa-apa yang baharu berlaku memang sukar diterima. Tetapi masa akan mengubati kita. Anak-anak itu pasti akan terbiasa dengan kehilangan secara perlahan-lahan. Masa akan mengubati kesedihan mereka.

Saya memang menantikan saat melihat mereka menjadi manusia dewasa.

Meskipun berat di kaki dan hati, hidup mesti diteruskan kerana perjuangan kita yang belum selesai...

Monday, June 13, 2011

Mereka yang ditinggalkan...


Memang sengaja saya diam.

Meskipun berita itu telah saya tahu pada petang Khamis, saya tidak begitu teruja. Sebabnya saya di hospital ketika itu, sedang menahan sakit yang amat sangat atas kecuaian doktor bertugas.

Kepada rakan-rakan baik pun saya diam.

Hanya ada seorang senior yang kebetulan ada di pejabat Jumaat itu yang menghantar tiga mesej yang sama kepada saya. "Tahniah, tapi akak sedih..." dia menulis. Saya membalas cepat, "Saya pun sedih. Saya sayang akak..."

Seperti diduga, pagi Isnin di perhimpunan, ada kocakan air di tasik tenang apabila bos membuat pengumuman. Bos minta saya berucap. Banyak yang mahu saya katakan tapi mengenangkan acara itu merupakan selitan sahaja, saya hanya mengutarakan beberapa perkara penting.

Kesian pelajar-pelajar saya. Saya pasti merindui mereka.

Ada yang menulis di blog mereka..."saya tak nak cikgu pindah". Sebak saya membacanya. Peristiwa yang selalu berulang setiap kali guru mahu berhijrah.
Ya, setiap pertemuan ada perpisahan. Itu lumrah hidup. Itu realiti hidup. Lama-lama nanti mereka akan terbiasa dengan ketiadaan saya. Saya pun akan terbiasa dengan kesibukan-kesibukan rutin.

Moga saya akan berjumpa lagi dengan mereka. Pasti seronok melihat mereka menjadi dewasa dan punya pandangan sendiri terhadap kehidupan. Melihat mereka matang, pada usia dan pemikiran.

Saya mendoakan kejayaan mereka di dunia dan akhirat. Menjadi anak baik kepada kedua-dua orang tua atau sesiapa sahaja yang memelihara mereka. Menjadi hamba-Nya yang kukuh akidah, ada maruah dan tinggi pekerti.

Mereka yang saya tinggalkan...tetap kekal di hati.

Sunday, June 12, 2011

Kakak itu payung...



Ada orang kata, seorang ibu terlalu bersifat pelindung sehinggakan anak-anak tidak mampu berdikari ketika berdepan dengan dunia luar. Itu juga sebabnya, kata orang, anak-anak yang tidak punya salah seorang ibu atau bapa, membesar sebagai individu yang tidak seimbang.

Tidak tahulah sama ada betul atau salah tanggapan orang itu.

Bersifat pelindung itu memang baik. Mana-mana ibu di dunia ini sama ada ibu manusia atau binatang memang demikianlah sifatnya. Naluri semula jadi untuk berusaha melindungi anak-anak yang membesar selama sembilan bulan dalam perutnya. Tapi kadang-kadang ibu-ibu tidak menyedari "payung" yang melindungi anaknya itu terlalu besar sampaikan si anak tidak boleh melihat realiti dunia luar dengan lebih jelas.

Saya merupakan salah seorang daripada ibu-ibu yang sedemikian. Saya mengakuinya...

Tapi saya pun "dilindungi" oleh seseorang dari saya kecil sehinggalah setua ini.

Bukan...bukan emak yang melindungi saya. Tapi kakak!

Dia tua tiga tahun daripada saya. Saya ada dua kakak, satu abang. Kakak saya yang ini iras-iras wajah saya. Pendek-pendek pun macam saya juga. Cuma yang agak membezakan ialah dia ada tahi lalat di dagu.

Oleh kerana iras wajah itu, bayi-bayi selalu keliru. Bukan bayi manusia sahaja, bayi monyet yang menumpang kasih emak (namanya Beckham) pun keliru. Bayi manusia tidak sukakan saya. Nampak muka saja, mereka akan menangis ketakutan. Tapi mereka sukakan kakak.

Jadi, apabila kedua-dua kami ada bersama, kami suka mengenakan bayi-bayi ini. Mereka tidak jadi menangis, sebab keliru. Pandang sana dan pandang sini. Agaknya, otak mereka yang seciput itu jenuh berfikir, yang mana satu mak cik best dan yang mana satu mak cik tak best!

Bagus juga! Taklah penat saya kena mendukung anak-anak saudara saya itu, bolehlah saya bersenang-lenang kalau balik ke kampung.

Kalau saya balik ke kampung, kakak sanggup berkejar selewat mana pun dari Ipoh sebaik sahaja waktu kerjanya tamat, meredah hujan lebat semata-mata mahu menyediakan kopi pekat untuk saya. Sebelum subuh keesokan harinya, kakak akan meredah pula kegelapan dan kesejukan untuk pulang semula ke Ipoh. Kopi bancuhannya memang sedap. Cuma sekarang saya hanya mampu merindui aroma kopi bancuhan kakak. Saya tidak boleh lagi menikmatinya disebabkan saya sedang mengamalkan ubat-ubatan homopati.

Kakak-kakak memang agak "memanjakan" saya. Ketika setua ini pun, kalau mereka ada, saya tidak pernah ke dapur. Kalau ada di dapur, saya hanya menyibuk-nyibuk sahaja. Potong-potong halia sedikit, berehat sahaja yang lebih. Memilih kerja pula tu, bawang memang awal-awal saya reject. Tetapi tukang rasa, memang tugas sayalah.

Sejak kecil, kakak memang sayangkan saya dan dua adik lelaki saya. Tapi dia juga sangat garang dan tegas. Dia betul-betul mengikut perangai ayah. Sangat pembersih dan kemas. Kalau dia menyapu sampah, adik-adik terpaksa duduk di luar rumah atau duduk diam di tepi dinding. Tidak boleh bergerak-gerak sehingga dia selesai menyapu. Kalau ada yang berdegil, dia menjegilkan matanya. Takut betul.

Kedua-dua kami miskin anak. Dia hanya ada satu dan saya dua.

Kegarangannya banyak menyelamatkan saya daripada dibuli. Bersekolah rendah di kampung, budak-budak suka membuli saya kerana saya agak lembik. Apabila kakak mendapat tahu, dia menunggu budak itu di luar kelas semasa rehat. Dia memberi amaran dan mengejar budak lelaki itu ke kawasan perkuburan di belakang sekolah. Seharian budak itu bersembunyi di kawasan perkuburan kerana takutkan kakak. Barangkali budak itu lebih rela diusik hantu di kuburan daripada menghadapi kegarangan kakak.

Dia juga selalu tidak sampai hati meninggalkan saya sendirian. Ada satu ketika musim hari raya, dia mahu ke pekan menaiki bas. Dalam poketnya ada wang yang barangkali tidak sampai pun seringgit. Tambang ke pekan pada tahun-tahun awal 1970-an hanyalah 5 sen pada waktu itu. Saya menangis mahu mengikut, sedangkan dia tidak berani membawa saya. Dia memujuk saya, memberikan saya wang 5 sen, tapi saya masih mahu mengikut. Kemudian beri lagi 5 sen, sehingga wangnya habis diberikan untuk memujuk saya! Terpaksalah dia membatalkan niatnya untuk ke pekan kerana tidak sampai hati meninggalkan saya.

Ketika dia bersekolah menengah, saya tidak pernah melupakan tabiat kakak yang satu ini. Dia berbasikal ke sekolah kerana ayah tidak mampu membiayai tambang bas. Sekolahnya di pekan. Awal pagi kakak sudah mengayuh basikal ke sekolah disebabkan jarak yang jauh. Wang saku yang diberikan ayah hanyalah 20 sen, tetapi kakak tidak pernah membeli makanan di kantin. Dia akan membeli jajan untuk dibawa pulang dan diberikan kepada saya dan adik-adik. Pada waktu itu, saya tidak terfikir langsung kelaparan yang terpaksa ditanggung kakak. Saya hanya menanti kepulangan kakak dari sekolah, sebab saya tahu kakak akan membawa pulang jajan untuk kami. Memikirkannya sekarang, saya jadi sedih. Kasihan kakak. Wang saku yang sedikit itu pun tidak digunakan untuk dirinya sendiri.

Kegarangannya memang ditakuti. Dia akan memburu siapa sahaja yang cuba membuli adik-adiknya, malahan jika ada yang memukul abang saya! Pernah sekali dia menumbuk budak lelaki yang membuli abang. Siap dengan amaran keras! Sejak itu, tiada siapa pun yang berani mengusik-usik kami jika kakak ada di situ. Seolah-olah ada label di wajahnya "Awas, budak garang!"

Dia memang tidak pernah meninggalkan saya, walaupun di saat ribut melanda. Kampung kami pada waktu itu dipenuhi sawah. Seingat saya, kerap benar ribut melanda. Petang itu, dengan memakai baju kurung emak (tanpa kain, kononnya sebagai baju tidur), kakak membawa saya berjalan-jalan menuju ke kawasan bukit. Jalan yang kami lalui itu merupakan batas sawah yang agak lebar. Tidak tahu mengapa, tiba-tiba angin kuat melanda. Tiada tempat untuk bersembunyi kerana di mana-mana pun hanyalah sawah. Pokok-pokok padi rebah menjadi rata. Pokok-pokok di kejauhan ada yang tumbang dek kuatnya angin. Kakak terpaksa membawa saya lari mencari perlindungan. Pontang-panting dia mengheret saya. Dengan saiz tubuhnya yang pendek gemuk, dia memegang erat tangan saya. Saya pula kurus kecil dan lembik, menyukarkan dia dan saya untuk berlari dengan laju melawan angin. Tapi dia enggan melepaskan saya.Barangkali kalau dia melepaskan saya, agaknya entah ke mana tubuh kecil saya dibawa angin. Dia menyelamatkan nyawa saya dengan mempertaruhkan nyawanya.

Dulu-dulu, orang-orang Cina selalu datang memasang perangkap di hutan belakang kampung. Kadang-kadang mereka mendapat beberapa ekor babi hutan. Mereka akan mengikat kaki babi hutan ini di batang kayu dan mengandarnya keluar melalui jalan kampung. Babi hutan itu masih hidup, matanya meliar dan mulutnya berbunyi-bunyi. Kakak selalu mengajak saya melihat Cina mengangkut babi. Kelakar betul jika dikenangkan. Buatnya babi-babi itu terlepas, habislah disondolnya kanak-kanak yang suka benar menyaksikan babi-babi itu diangkut ke dalam lori.

Meskipun kakak garang, dia penakut juga. Dia takutkan ulat. Saya pula suka bermain dengan ulat nangka. Ayah selalu membiarkan saya bermain dengan ulat nangka supaya saya lebih "berani". Comel sungguh melihat ulat-ulat itu melompat-lompat. Saya selalu mengejar kakak dengan ulat nangka di tangan. Dia tidak akan datang ke tempat saya sedang makan nangka bersama ayah jika masih ada ulat di situ.

Kakak juga takut hantu. Ada satu ketika, heboh orang bercerita tentang hantu kain batik yang selalu datang ke rumah orang pada waktu malam. Emak dan ayah memelihara seekor kucing yang pandai mengetuk pintu. Boleh saja kalau kucing itu mahu masuk ke rumah melalui tempat lain yang terbuka, tapi dia lebih gemar mengetuk pintu. Saya pula baru pulang dari rumah abang. Saya berkain batik waktu itu. Saya mengetuk pintu. Kakak fikirkan si Mone yang mengetuk pintu, dia pun segera membuka pintu dan memandang ke bawah. Dia tidak nampak Mone tetapi yang dilihatnya adalah kain batik. Melompat dia ke dalam rumah, menjerit sekuat-kuat hati, lari masuk ke dalam bilik membuatkan ahli keluarga lain terpinga-pinga di ruang tamu. Peristiwa itu menjadi bahan tawa emak dan ayah.

Kakak juga ada sedikit sifat pengecut. Berbanding saya, dia tidak ada keberanian untuk memandu ke mana-mana destinasi yang jauh.

Sehingga saya dewasa, kakak masih melindungi saya. Jika saya dikecewakan kerana cinta, kakak yang akan "menyerang" lelaki berkenaan. Dengan suami pun kakak memberi peringatan supaya menjaga saya dengan baik dan tidak sesekali melukai hati adiknya.

Dia yang lebih-lebih membela saya jika saya dimarahi emak.

Ada sekali itu, kami makan di pekan. Saya beritahu dia, ada ketua kampung (bekas Bregidier) dan seorang lelaki sedang memandang-mandang dan kemudian ketawa-ketawa sambil bercakap-cakap. Nada mereka seperti sedang mengejek dan mengumpat. Memang waktu itu saya ada masalah peribadi. Terkejut saya sebab kakak bingkas bangun dan menuju ke arah mereka. Dia memberitahu dengan suara yang kuat, supaya mereka tidak menghina saya. Semua orang memandang perlakuan kakak. Betul-betul selepas itu, kedua-dua orang ini meminta maaf dan begitu menghormati kakak jika terjumpa di mana-mana.

Kakak suka berterus-terang dalam apa jua keadaan. Dia berani berdepan dan tidak pernah melarikan diri daripada masalah.

Sekarang, dialah orang yang paling susah hati disebabkan saya yang kurang sihat. Sampaikan dia mahu berhenti kerja dan datang ke sini untuk menjaga saya. Anaknya sudah bekerja, suaminya pula sibuk dengan hal politik dan kampung kerana suaminya ketua kampung dan aktif politik.

Kemarahannya berganda apabila dia tahu saya mengalami kesakitan berhari-hari kerana kecuaian doktor. Pagi-pagi lagi dia akan bertanyakan kabar saya. Saya bimbangkan kesihatannya. Nanti saya tidak apa-apa, dia pula yang sakit.

Saya tidak tahu sampai bila kakak akan menjadi payung saya. Melindungi saya daripada jerkahan panas matahari dan amarah hujan. Setiap musim, payungnya ada bersama saya meskipun kami tinggal berjauhan.

Dia menyimpan banyak rahsia saya. Saya juga banyak menyimpan rahsianya.
Dia masih mampu ketawa meskipun latar hidupnya penuh cerita duka.

Seperti saya yang selalu lupa, anak-anak saya sudah dewasa; kakak juga pasti lupa bahawa saya bukan lagi adiknya yang kurus kecil dan lembik.

Perangai kakak dan saya seperti kutub utara dan selatan. Ketegasannya tak mampu saya ikut. Dia hanya menjadi garang jika saya diusik. Di sisi lain, dia seorang yang sangat penyayang dan disukai ramai orang.

Saya berjanji akan menjaga "payung" saya itu satu hari nanti, jika Allah memanjangkan umur saya.

Pernah saya memberitahunya lama dahulu, saya titipkan anak saya kepada dia jika terjadi apa-apa kepada diri saya. Saya percayakan dia. Saya yakin dia mampu menjadi payung kepada anak saya sebagaimana dia memayungi saya sejak sekian lama.

Tangannya yang erat memegang tangan kurus saya masih saya rasai sehingga kini.

Payung itu...akan tetap memayungi saya biarpun ribut melanda.

Saturday, June 11, 2011

Bos...dan bos-bos



Semua orang yang bekerja ada bos, kecuali dia memilih menjadi bos untuk dirinya sendiri.

Ada orang buka ladang itik, bekerja di ladang itik; maka orang itu menjadi bos kepada itik-itik. Lebih mudah daripada menjadi bos kepada manusia!

Kadang-kadang dia memang bos tapi dia juga mempunyai bos dan bos-bos yang lain.

"Hari ni bos melenting..." kata suami saya. Itu bos dia. Syarikat gergasi yang berorientasikan keuntungan memang seperti itu. Bos mahu mencapai target sekian dalam tempoh sekian. Kalau kurang 0.5 peratus pun, bos akan melenting. Biasalah tu. Kalau kita jadi bos, kita akan melenting juga.

Ingat mudah mahu jadi bos? Saya tak mahu jadi bos. Takut terkena serangan jantung...

Saya pernah ada ramai bos, lebih 10 orang. Waktu jadi wartawan dulu, bos saya perempuan. Datin dah dia sekarang. Tetapi setelah menceburi bidang pendidikan, bos saya semuanya lelaki kecuali seorang.

Antara semuanya itu, saya paling ingat Datuk Baharom Kamari, bos saya semasa mengajar di Kuala Lumpur. Saya paling ingat beliau kerana meskipun tinggal di Kajang, beliau paling awal sampai di sekolah.

Beliau menggunakan pendekatan "dari pengganas kepada pengawas". Pelajar-pelajar nakal yang majoritinya budak-budak setinggan dilatih selama dua bulan untuk jadi pengawas. Latihannya ala-ala tentera sebab bos saya itu asalnya dulu mahu menjadi tentera. Banyak kes disiplin dan jenayah dapat diatasi.

Guru-guru dilarang memakai high-heel sebab senang nak mengejar budak panjat tembok. Beliau guru silat, jadi beliau memang minta ditukarkan ke sekolah itu. Permintaannya menghairankan pegawai di JPWP. Sekolah itu budak-budaknya brutal.Jarang ada guru yang mahu ke situ.

Sekolah sentiasa bernyawa walaupun Ahad, sebab mahu menghimpunkan budak-budak yang tinggal di kawasan setinggan dan flat berbilik satu. Jawabnya, guru-guru pun hampir setiap hari berkampung di sekolah, dengan membawa ahli keluarga masing-masing. Anak-anak saya cukup suka sebab dapat melihat saya melatih pelajar berteater. Saya suka dengan bos ini. Beliau ada wawasan dan tahu apa yang beliau buat. Sedih betul apabila saya berpindah, tapi kemudiannya saya bertemu beliau dan isterinya (yang juga berpindah ke Perak) ketika saya memenangi anugerah menulis puisi dan drama pentas sempena Hari Guru di Perak. Kerap jugalah isterinya menelefon minta saya bawa anak-anak datang ke rumah mereka di perumahan kerajaan di kawasan elit Kuala Kangsar.

Bos yang saya ingat juga ialah Encik Ismail Sulaiman. Beliau pengarah kolej tempat saya mengajar. Orangnya segak tinggi dan bermisai. Beliau juga berulang-alik dari Selangor. Tapi orang yang bagus macam beliau, cepat sahaja dipinang orang. Satu yang saya kagumi, beliau pandai protokol dan sangat teliti. Waktu kami menyiapkan sesuatu majlis, ada kalanya berhari-hari, jam 2 atau 3 pagi kami masih berada di kolej, beliau juga akan datang meninjau.

Beliau juga sangat mengambil berat mengenai kehadiran. Kata-katanya yang saya masih ingat, "biasakan yang betul dan betulkan yang biasa". Beliau tidak boleh berkompromi dengan mereka yang selalu datang lewat sama ada ke pejabat atau mesyuarat, kecuali ada alasan yang kukuh. Katanya, kenapa kita mesti menangguhkan mesyuarat untuk menunggu mereka yang lewat? Kasihankan mereka yang datang awal.

Setiap hujung bulan, beliau memaparkan statistik kedatangan pensyarah. Semasa beliau menjadi pengarah, kaki ampu memang menganggur. Beliau dapat membaca perilaku orang. Oleh sebab itu, apabila beliau kemudiannya bertukar untuk menjadi Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Selangor, kaki-kaki ampu ini bukan main gembira.Saya dan kawan-kawan sedih sebab baru sahaja mendapat stail pengurusan berkualiti, beliau sudah pergi. Saya jenis kalau bos itu sudah pindah, barulah saya berani hubungi mereka. Saya hadiahkan buku antologi yang karya saya ada di dalamnya dan beliau kerap memberi nasihat melalui telefon jika saya menghadapi masalah.

Kemudian bos saya sekarang, Encik Mustafa bin Mohamed, yang sebenarnya sudah masuk dalam senarai panjang bekas bos-bos saya. Kenapa bekas? Sebab saya ditakdirkan berhijrah lagi. Beliau kemas orangnya, bajunya bergosok (walaupun beliau tiada suri), gemar berfesyen juga. Apabila ada masalah, cepat sahaja beliau dapat mencari penyelesaiannya. Cekap sungguh. Beliau sangat kebapa-bapaan, mengingatkan saya kepada seorang lagi bekas pengarah saya, Tuan Haji Mohd Fahmi.

Saya pernah menangis, sebenarnya "termenangis" di hadapannya. Malu betul. Mesti buruk muka saya. Tapi dengan lembut, beliau menasihati saya, memberi saya galakan supaya lebih berani "melawan" dan jangan lembik. Kelakar betul apabila mengingatkan bagaimana beliau bersungguh-sungguh "mengajar" saya untuk jadi berani dengan penuh perasaan. Dalam hati saya terdetik, "beliau memang seorang guru...dan bapa yang baik".

Saya tidak pernah melihat beliau marah. Sekali pun tidak pernah. Apabila saya maklumkan bahawa saya perlu keluar atau mengambil cuti untuk mendapatkan rawatan kerana penyakit saya itu, jawapan beliau sangat mengharukan saya. Beliau menyuruh saya cepat berubat tanpa mahu bertanya banyak.

Kalau mahu menegur sebab kami (yang nakal) lambat turun untuk bacaan Yassin pun beliau ada cara. Beliau suka memanggil hujung nama. Contohnya, "Ma... (kalau nama orang itu Cik Hiroshima, Puan Emma atau Puan Isma) sibuk sangat ke?" Lembut sahaja tetapi boleh menyebabkan orang-orang yang disebut nama manjanya itu sampai ke tempat majlis seperti kereta api laju.

Saya memang ada perangai pelik walaupun sudah lama bekerja. Saya gementar kalau mahu berjumpa bos. Sejak dulu saya memang begitu. Beliau dapat mengesan perangai saya. Saya masih ingat pertanyaan beliau, "muka saya macam singa ke? Saya nampak macam garang sangat ke?" Hahahaha...perangai saya memang macam itu, bos! Beliaulah bos yang telah berjaya mengurangkan sedikit perangai pelik saya itu.

Dalam diam saya bersyukur dan menganggap diri saya sangat beruntung memiliki bos dan bos-bos yang sangat baik.

Entah bagaimanalah pula bos saya di tempat baru. Takutnya! Hari saya melaporkan diri, bos tidak ada. Saya diminta datang hari lain untuk bertemu beliau. Nampaknya perangai pelik saya itu datang semula. Mengingatkan hal mahu bertemu bos baru, saya sampai tak boleh lelap. Makan pun tak lalu. Sepanjang hari hanya melapik perut dengan dua keping roti canai. Pagi sekeping, petang sekeping! Aduhai...

Hanya yang mahu saya ungkapkan, terima kasih bos-bos. Mudah-mudahan Allah melapangkan hidup mereka. Meskipun ada seorang bos yang pernah menuduh saya melakukan sesuatu yang saya tidak buat; saya tetap mendoakannya. Dia telah mendapat balasan; itu bukan kerja saya. Itu kerja Allah. Sekurang-kurangnya dia tahu akhirnya, bukan saya si pelaku tetapi orang lain yang telah berjaya memperdaya akal dan mengaburi matanya. Itu pun sudah cukup bagi saya...

Muchisimas gracias, bos!

Thursday, June 9, 2011

Antara Galah dan Buah...



Topiknya tentang keperluan hidup dan tujuan hidup.

Tapi sangat menarik sebab ustaz memahamkan audien dengan analogi galah dan buah. Kita perlukan galah, sebab galah penting untuk menjolok buah yang tinggi di dahan. Tetapi kita tidak makan galah walaupun galah itu penting. Kita hanya makan buah.

Tidak faham? Galah adalah keperluan hidup, sementara buah adalah tujuan hidup. Kita menggunakan keperluan hidup untuk mendapatkan tujuan hidup.

Penuh dengan falsafah, bukan?

Keperluan hidup merupakan kuantiti hidup. Tujuan hidup merupakan kualiti hidup. Rumah dibina daripada kuantiti hidup iaitu dengan menggunakan batu-bata atau papan. Rumahtangga dibina dengan kualiti hidup iaitu kasih sayang, saling memberi dan menerima.

Kalau kita hanya memburu keperluan hidup secara mutlak, punya rumah agam, kereta besar menjalar, kolam renang empat buah (mandi pagi kolam satu, tengah hari kolam dua, petang kolam tiga dan senja kolam empat...empat saja...tak boleh lebih-lebih), hari ini terbang ke Paris, esok ke Parit, lusa ke Parsi; tetapi hati tidak tenang. Rumah agam dirasakan sempit. Kereta menjalar dirasakan kecil, kolam mandi yang empat itu dirasakan tidak cukup seperti mahu menambah lagi kolam-kolam yang lain; kemudian naik kapal terbang itu dirasakan sudah jemu, mahu naik roket ke planet Musyhtari pula; maka kita hanya ada keperluan hidup, bukan kualiti hidup.

Namun, ustaz mengingatkan, jangan pula kita berasa selesa dengan hanya duduk diam menunggu emas turun dari langit. Dalam Islam, kedua-duanya boleh bergerak seiring.

Cari keperluan hidup untuk mencapai tujuan hidup. Bagaimana mahu membina rumahtangga tanpa adanya rumah? Takkan mahu tidur sahaja di jalanan? Ada anak, anak itu juga membesar di jalanan? Minum saja air paip di tepi jalan, mandi berak di longkang?

Atau tunggu saja buah gugur tanpa berusaha mencari galah?

Seronok betul mendengar cerita galah dan buah. Allah meminta kita mengerjakan solat dan kemudian bertebaranlah kita di muka bumi-Nya untuk mencari rezeki.

Ayuh, kita mencari galah untuk menjolok buah...

Terima kasih Untuk Sebuah Album Kenangan



Di sini ada bahu tempat bersandar melepas lelah
ada gelak tawa yang menjadi irama manis dan mengharukan
bagaimana mungkin dapat kulupa
suka duka yang akhirnya menjadi kenangan
di album hidup...

begitu payah mahu mengucap salam pamit
tetapi takdir kita di bawah tadbir Dia
Bukankah kehidupan punya aturan
ada siang ada malam
ada hulu dan ada muara
ada pertemuan pasti sahaja di hujungnya ada perpisahan

Selaut terima kasih
kerana masih sempat kukutip cerita
untuk sebuah album kenangan...

ibubungamatahari
9 Jun 2011
1.02 pagi

Kebinatangan Manusia...



Minggu lepas ada berita tentang bayi baru lahir yang dicampak dari tingkat lima sebuah rumah pangsa.

Berkecai tubuh kecil itu di aspal.

Hati menyumpah-nyumpah. Perbuatan yang sangat kejam dan langsung tidak berhati perut.Gilakah orang yang melakukan jenayah sekeji itu?

Prof Datuk Dr Sidek Baba yang bersuara lembut dan kebapa-bapaan itu menyentuh sepintas lalu tentang peristiwa tersebut dalam siaran radio IKIM. Programnya bertajuk "Keluarga Sakinah". Ulasan menjurus kepada "kekebalan remaja".

Beliau menyebut tentang kerapuhan jati diri dan keimanan yang berada dalam tubuh remaja masa kini. Menariknya beliau tidak menyalahkan seratus peratus kepada ibu bapa. "Kadangkala..." katanya, "ibu bapa sudah memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak ini, tetapi apabila keluar, mereka tewas".

Pesan beliau, dekatilah anak-anak. Dengar keluhan mereka. Jika anak itu minat pasukan bola sepak MU, jangan perkecilkan minat mereka. Cari serba sedikit pengetahuan tentang MU, berceritalah kepada si anak. Pasti si anak akan rasa lebih dihargai.

Saya pun terfikir.

Jika anak itu minat komik, ambil tahu serba sedikit tentang Sasuke dan Naruto. Kenapa Naruto itu bermisai seperti musang. Begitu juga jika anak meminati Novel Harry Potter, sekurang-kurangnya kenalilah siapa itu Lord Veldamort atau Sirius Black.

Bimbing mereka supaya tidak tersasar. Minat bola sampai tidak solat dan mengaji al-Quran. Baca komik sampai tidak menyalami tetamu yang datang. Asyik dengan Harry Potter sampai mandi pun tidak mahu. Terlalu obses sampai kencing berak pun bertangguh-tangguh, yang akhirnya mengundang penyakit.

Sudah resam remaja meminati sesuatu, sama seperti kita di zaman remaja dahulu. Barangkali kita dulu meminati gaya John Travolta atau menyalin seni kata lagu MJ dalam buku tebal. Atau juga meminati lagu nyanyian kumpulan adik beradik Osmond.

Kita tentu berasa sedikit marah pada ketika itu jika ada orang kata "buat apa minat kat John Travolta. Buang masa je. Bukannya handsome pun. Minat Alleycat lagi baik..."

Remaja. Harus diingat, remaja! Akal pun sejemput. Pengalaman seciput. Mana mungkin mereka dapat menjana pemikiran sematang orang dewasa.

Persekitaran yang mencabar, moral yang sudah hancur, semua itu ada kait mengait dengan segala item yang menyelimuti masyarakat kita.

Memang remaja sekarang sudah rapuh. Itu hakikat. Seperti yang disebut oleh Profesor Datuk Dr, kadang-kadang apa yang diberi oleh ibu bapa sudah terlalu baik, namun remaja masih rapuh dan tewas tatkala berdepan dengan kebebasan di luar.

Maknanya, yang di luar itu pun kenalah bertanggungjawab juga. Yang membuat dasar itu janganlah hanya memikirkan untung.

Pernah seorang bekas pemimpin negara menyebut, "tidak mengapalah jika kita ada pusat-pusat hiburan, rumah-rumah urut, disko-disko dan segala macam bentuk pesta. Sekurang-kurangnya semua itu dapat menguji iman kita..."

Masya Allah!

Ibu bapa beria-ia memasang jaket kekebalan anak-anak, tapi akhirnya begitulah jawapannya! Perhatikan...Pesta tahun baharu, wajib ada konsert. Kadang-kadang sambutan Awal Muharam, tanpa mengambil kira sensitiviti masyarakat, ada penyanyi luar negara yang seksi meksi diberi kelulusan untuk mengadakan konsert. Terpaksalah sekumpulan orang keluar ke jalanan membawa sepanduk memprotes!

Dan orang-orang ini akan dilabel sebagai anti-kemajuan. Konsert dengan kemajuan itu ada kaitankah?

Hasilnya, sembilan bulan kemudian akan lahirlah anak-anak yang tak sah taraf.

Anak-anak yang tidak berdosa. Anak-anak yang dibuang ke dalam tong sampah,
kemudian diratah oleh anjing liar.

Juga bayi-bayi yang dicampak dari tingkat lima rumah pangsa di jantung Kuala Lumpur!

Ibu kucing sanggup menggigit tengkuk anaknya, membawa anaknya itu hingga ke loteng kerana sayangkan anak. Ibu angsa sanggup mengejar dan menggigit orang yang cuba mendekati anaknya. Cubalah usik anak ayam yang baru menetas dan tengoklah apa reaksi si ibu. Silap-silap muka kita yang cantik habis bercorak-corak dengan cakaran ayam.Penuh dengan nilai seni lukisan abstrak!

Tapi manusia????

Natijahnya, semua pihak ada tanggungjawab yang bersimbiosis antara satu sama lain. Sebab kita ada saham dalam kes merapuhkan nilai-nilai baik remaja kita.

Kebinatangan manusia mesti dibendung.Tapi dengan apa?

Dengan nilai-nilai agama.

Kita sendiri kena kembali kepada ajaran-Nya, sebelum kita mengembalikan remaja-remaja kita ke jalan Dia.

Wednesday, June 8, 2011

Istimewanya Mereka...



Pejam celik pejam celik, sudah 21 tahun ibu berkhidmat dalam dunia pendidikan.

Seingat ibu, sepanjang tempoh itu menyaksikan ibu mengajar di empat buah sekolah menengah dan sebuah kolej.

Dua di Kuala Lumpur, satu di Perak, dua di Negeri Sembilan.

Tapi tahun 1996,1997 dan 1999 memberi makna yang besar dalam karier sebagai pendidik.

Tempatnya? Di sebuah sekolah Gred A, kategori luar bandar yang turut melahirkan pemimpin-pemimpin besar dalam dunia politik.

Menyingkap sesuatu...

Tahun 1986, apabila ibu berjaya ke Universiti Malaya (UM pada waktu itu sangat ketat syarat kemasukannya), ibu merupakan anak pertama di kampung itu yang mencipta sejarah ke menara gading.

Maka orang-orang kampung ada yang menangis menumpang gembira atas kejayaan ibu. Mereka menghantar ibu dengan doa dan harapan. Anak kampung yang miskin daripada keluarga petani, Allah beri peluang menuntut ilmu ke sebuah universiti yang tertua di negara ini. Ada yang hanya mampu memberikan ibu RM2 sebagai menzahirkan rasa syukur mereka.

Jauh di sudut hati ibu saat itu, ibu berazam untuk menabur bakti meskipun sekejap di kampung itu, atau di daerah di mana ibu dibesarkan.

Akhirnya Allah sahajalah yang tahu percaturan hidup kita. Tahun 1996, ibu kembali ke daerah itu dan ditugaskan mengajar di sekolah tersebut. Abang dan kakak ibu pernah bersekolah di situ, begitu juga dengan saudara-mara yang lain.

Ibu ditugaskan mengajar Kertas 6 Drama untuk Tingkatan 6, Bahasa Melayu Tingkatan 5 dan 4. Pernah juga ditugaskan mengajar Bahasa Inggeris untuk Tingkatan 1 menggantikan guru bersalin.

Kenapa 1996, 1997, 1999?

November 1997 hingga November 1998, ibu menyambung pengajian peringkat sarjana (Masters of Science Management) di sebuah universiti di utara tanah air dengan tajaan biasiswa KPM dan Institut Aminuddin Baki.

Ketiga-tiga tahun itu berjaya menerbitkan rasa cinta kepada karier yang tidak pernah diimpikan ini. Ibu tidak pernah mahu menjadi guru.

Tetapi pelajar-pelajar ini memberikan sentuhan istimewa mereka sehingga berjaya melahirkan rasa "keguruan" dalam diri ibu.

Mereka sangat istimewa. Sehingga sekarang, mereka sentiasa istimewa di hati ibu. Melihat mereka menjadi dewasa, punya kehidupan dan persepsi sendiri tentang hidup cukup mengujakan hati seorang guru.

Kenakalan mereka juga istimewa. Di sebalik kenakalan, mereka mahukan perhatian. Dalam kenakalan, mereka tahu pagar antara seorang guru dan pelajar. Mereka nakal, tetapi menghormati guru. Guru tetap seorang guru.

Apabila diberi tugasan, mereka melakukannya dengan penuh tanggungjawab. Diminta mementaskan drama, mereka lakukan dengan baik. Diminta datang untuk latihan intensif, mereka tidak membantah. Diberikan kerja (dari dahulu ibu suka jika pelajar menghabiskan latihan di kelas, bukan dibawa balik ke rumah), mereka akan melakukannya. Jika salah eja, didenda menulis sehingga seratus perkataan, mereka patuh.

Ibu selalu katakan, apa pun yang dibuat, faedahnya untuk mereka. Jika nanti masuk universiti, diminta buat kertas kerja, dengan mudah sahaja akan diluluskan jika kita sudah biasa menulis tanpa kesalahan.

Mereka bukan pelajar pintar. Sederhana sahaja. Kaki merokok juga yang lelakinya. Perempuan tiada masalah, macam biasa saja. Barangkali waktu itu tiada liputan telefon bimbit, internet pun tidak meluas penggunaannya, pelajar-pelajarnya memang bermoral agak baik.

Sekarang, ada yang sudah punya tiga atau empat anak. Ada yang sudah berkereta besar, mengalahkan gurunya sendiri. Tapi ibu tidak melihat berkereta besar itu satu kejayaan mutlak, yang bermotosikal itu juga satu kejayaan jika dilihat dari sudut lain.

Yang ibu kagumi, ada seorang pelajar yang sekarang ini membuka sebuah pusat motivasi. Sudah berjanggut gitu. Bergelar ustaz lagi. Alhamdulillah. Maha Besar Dia yang mengatur peta hidup kita.

Ramai yang bergelar doktor, guru, usahawan berjaya. Tapi jika ada yang bekerja sebagai petani pun tidak mengapa. Mereka tetap pelajar ibu yang dikasihi.

Kerana mereka sangat istimewa.

Mereka juga menjadikan guru mereka istimewa.

Panggilan "ibu" dan bukan "cikgu" itulah yang membezakan kelompok pelajar tahun 1996, 1997 dan 1999 dengan pelajar-pelajar lain sepanjang karier ibu dari Disember 1990 sehinggalah sekarang.

Sekurang-kurangnya niat hati ibu mahu berkhidmat untuk anak-anak kampung dan daerah kelahiran ibu menjadi kenyataan walaupun sebentar cuma.

Juga memberikan cahaya baru dalam diri ibu sehingga berasa bangga bergelar seorang guru.

Mereka akan sentiasa diberkati dengan doa seorang guru...

Monday, June 6, 2011

Fikiran kita yang membentuk peribadi kita...



Kalau kita memikirkan kebahagiaan, kita akan bahagia. kalau kita berfikiran sedih, kita menjadi sedih. kalau kita berfikiran takut, kita menjadi takut.

Kalau kita memikirkan sakit, mungkin kita akan menjadi sakit.

Kita adalah apa yang kita fikirkan...

Susahnya mahu mempraktikkan semua itu!

Lelaki...Kenapa Jadi Begitu?




Betul ke?

Semakin ramai jumlah pelajar perempuan dalam sebuah kelas bermakna kelas tersebut kelas yang pandai.

Adakah ini bermakna....Oh tidak!

Tapi itu kenyataan. Semakin susut jumlah pelajar perempuan dalam sesebuah kelas bermakna kelas tersebut....

Kecualilah jika sekolah itu memang sekolah perempuan.

Kena buat kajian ni. Kenapa jadi begitu?

Adakah kerana lelaki fikir kalau tak belajar pandai-pandai pun, peluang untuk mereka sentiasa terbuka? Kalau tidak sebagus mana pun, yang akan naik pangkat adalah mereka?

Lihat sahaja kemasukan ke sekolah berasrama penuh. Jika tidak dikenakan kuota kepada pelajar perempuan, jawabnya semua warga sekolah berasrama penuh ialah perempuan. Kalau ada pun, adalah seorang dua lelaki tersesat ke dalamnya.

Begitu juga dengan mahasiswa-mahasiswi di universiti. Yang membanjiri kampus ialah perempuan. Yang mengungguli keputusan terbaik juga adalah perempuan. Mana lelaki?

Ada. Mereka ada. Tapi mahu cari yang berkualiti menepati piawaian ISO memang seperti mencari sebutir garam dalam pasir di pantai.

Nasib baik mereka itu ada kekuatan. Dianugerahkan dengan kekuatan yang tidak ada pada seorang perempuan. Kalau tidak, siapa yang mahu mengangkat tong gas? Siapa yang mahu pikul guni beras, atau siapa yang mahu menolak kereta yang rosak dan menukar tayar pancit di tengah panas?

Nasib baik juga ada lelaki walaupun mereka itu....opps!

Lelaki kena menyedari bahawa mereka adalah imam. Ibu-ibu jangan memanjakan anak lelaki. Jangan ada lagi ayat seperti ini, "cepatlah kahwin. Ada juga orang yang akan menguruskan diri kamu nanti..."

Wah wah wah...sedapnya mulut. Isteri bukan babu (babu...baca betul-betul, jangan ditambah huruf n di hujungnya).

Atau ayat yang macam ini, "Fieza Mieza masuk dapur cepat, belajar masak, belajar mengemas. Irfan tu tak apa. Dia lelaki..."

Sebenarnya, benda seperti itu kadang-kadang datangnya daripada asuhan ibu bapa juga.

Lelaki atau perempuan, jangan dikelas-kelaskan. Jangan dikategorikan mengikut kategori tertentu. Rasulallah SAW pun rajin membantu isteri. Kalau menambah cawangan mahu ikut Rasullallah tapi yang macam itu tidak mahu pula mengikut. Baginda berpoligami atas sebab-sebab tertentu, bukan saja-saja mahu menambah isteri.

Biasanya kelompok yang selalu berasa ditindas akan bangun untuk memajukan diri. Begitu juga perempuan.

Lelaki memerlukan perempuan. Perempuan juga begitu. Itu fitrah kita sebagai manusia.

Saya suka anak perempuan. Saya juga suka pelajar perempuan. Mereka senang dibentuk. Meskipun beremosi, kalau pandai membeli hati, mereka pasti ok akhirnya.

Tapi saya mesti akui, ayah saya seorang lelaki. Abang, adik, suami, bakal menantu-menantu (?), bos, kawan-kawan, anak saudara, cucu saudara ramai daripada spesis itu.

Hari Bapa tidak diraikan semeriah Hari Ibu. Sebabnya, ramai bapa yang sudah hilang fungsi. Ramai bapa yang seperti bapa kucing. Kadang-kadang bukan setakat meninggalkan anak hilang entah ke mana, sanggup meratah anak macam ayam KFC pun ada juga.

Tidak mengapalah. Lelaki atau perempuan, kita sama-sama menghitung diri, membaiki peribadi.

Saya bukan anti lelaki. Rasulallah SAW yang dikasihi adalah seorang lelaki, begitu juga para nabi. Lelaki patut berasa bertuah atas kelebihan-kelebihan yang diberi oleh Allah kepada mereka. Mereka sepatutnya bangga menjadi seorang yang hebat kerana usaha mereka sendiri, bukan kerana bantuan kuota sesebuah institusi.

Perempuan mahu dilindungi dan dicintai. Jangan terjadi sebaliknya.

Lelaki...jangan biarkan orang memandang rendah terhadap anda!

Apabila anjing menyalak-nyalak...



Saya memang tidak gemar dengar anjing menyalak-nyalak.

Anjing menyalak kerana nampak sesuatu yang mencurigakan. Tujuannya mungkin untuk menakutkan objek yang disalak.

Tapi kadang-kadang anjing juga menyalak kerana takutkan sesuatu. Rupa-rupanya begitu...

Nampak garang dan gagah. Tangkas dan punya segala. Tapi rupa-rupanya anjing juga ada naluri takut. Takut kalau keanjingannya diterajang ke dalam longkang, seperti sejarah pelanduk putih yang menerajang anjing buruan Parameswara ke dalam sungai ribuan tahun dahulu.

Jangan main-main! Pelanduk yang kecil dan nampak lemah-lembut juga punya kekuatan kaki kalau terus-terusan disalak!

Bertahun-tahun kerjanya memburu. Menangkap dan memburu lagi. Kadang-kadang terus dimakan dan dibelasah. Ada juga binatang buruan yang dijinak-jinakkan dengan makanan yang disuap ke mulut.

Tapi saya memang tidak suka dengar salakan anjing. Orang sekadar lalu di hadapannya pun kena salak. Orang tidak kacau dia pun. Hanya tumpang lalu untuk ke masjid. Kadang-kadang bukan berada dalam kawasan dia pun. Tapi kerana sifatnya anjing yang suka menyalak, maka dia menyalak walaupun suaranya sumbang dan tak bernada intelek.

Anjing pun ada yang intelek? Ada. Tapi sudah diberikan "junk food", dalam jumlah yang banyak pulak tu, habislah keintelektualan anjing-anjing tersebut. Salakan jadi sumbang.

Anjing menyalak-nyalak itu ada sebab. Selepas ini banyaklah binatang-binatang yang akan dijinakkan dengan "junk food" yang dibeli dari Pavillion. Makanan dari pasar raya yang dihujungnya ada "save-save" tak mainlah. Murah sangat. Bukan saya yang kata, tapi anjing-anjing itu sendiri yang jual mahal.

Makin kerap anjing menyalak sekarang. Di mana-mana boleh dengar. Sebab itu saya beli kapas banyak-banyak. Senang sumbat telinga kalau tiba-tiba saya dengar salakannya.

Anjing menyalak kerana takut hantu? Biar betul...

Sepi Itu Penjara...



Saya pernah menulis sebuah sajak "bonsai" semasa remaja dulu. Sajak pendek yang saya masih saya ingat sampai sekarang.

sepi itu penjara,
tanpa dinding,
tanpa jejaring,
dan aku terkurung di dalamnya...

Tahunnya saya tak ingat, tapi barangkali semasa di tingkatan empat atau lima. Kemudian semasa di Universiti Malaya, saya mengambil Kertas Penulisan Puisi di bawah pensyarah Almarhum Haji Abdullah Tahir, yang lebih selesa dipanggil Pak Lah. Antara tugasannya ialah mengarang 100 buah puisi dengan pelbagai teknik.

Saya masukkan sajak itu menjadikan jumlahnya 100.

Habislah segala nyamuk, semut dan semua yang terlintas dan melintas di hadapan, saya garapkan menjadi puisi.

Pak Lah penulis tersohor, bertuah rasanya belajar dengan beliau. Tapi untuk menghasilkan sesuatu yang memenuhi piawaian beliau, amatlah sukar. Mainan bahasa sahaja tak cukup, pemilihan kata, pemaknaan, segala teori mesti diaplikasi. Biul jugalah "budak-budak kreatif" (demikian gelaran siswa-siswi lain terhadap kami)memerah otak.

Di tahun-tahun 1980-an, kalau berperangai pelik tak lain tak bukan, memang geng "budak kreatif". Bekas-bekas "budak kreatif" yang terkenal antaranya ialah Dr Abu Hasan Hasbullah, pengkritik "Pilih Kasih". Beliau junior saya. Datin Seri Saripah Zulkifli, isterinya MB Perak, Baharom Mahusin editor kanan Utusan, Norazah Aziz editor Utusan Publications, ketiga-tiganya merupakan bekas rakan sekuliah.Lim Swee Tin, Wahid Nasir, antara senior saya.

Saya pun masih menyintai dunia kewartawanan, meskipun hanya sebentar saya bergelumang di dalamnya. Kemelesetan ekonomi, tuntutan kewangan dan keluarga membuatkan saya terpaksa memilih jalan lain.

Sebab itulah, saya merasa sepi.

Sudah 21 tahun saya berasa sepi dan terkurung. Saya makin hilang imej sebagai "budak kreatif". Di tahun-tahun 1990-an, saya masih ok. Saya bergiat aktif dalam penulisan, dalam drama pentas. Allah beri kemenangan di sana sini. Tapi tahun-tahun kebelakangan ini, saya semakin sepi...

Sepi itu menjadi penjara yang sangat menyeksakan...

Pusarakan Amarah...Allah Mendidikmu Dengan Zikir



Tiba-tiba rasa nak marah. Perkhidmatan kerajaan macam inikah?

Tapi cepat-cepat akal menjentik emosi. Syaitan sedang membakar unggun api supaya marah. Apabila marah, senanglah dia menyusup masuk ke dalam hati.

Astaghfirullah...

"Laporan belum siap..." Punca kemarahan pertama. Belum siap? Sudah seminggu tapi belum siap?

Awal-awal lagi saya sudah sampai, menunggu ambil nombor giliran. Tapi kerana laporan yang belum siap, saya kena menunggu lagi. Punca kemarahan kedua.

Nasib baik saya ada bawa komik kepunyaan anak. Komik dari Jepun yang dibaca dari kanan ke kiri. Saya selamba membaca walaupun saya mendengar bisik-bisik di belakang. Maklumlah orang tua baca komik remaja...hahahaha...

"Datang Khamis. Kita ambil sampel..." kata doktor pakar berketurunan India, berwajah lembut, muda usia. Barangkali masih gadis.

Khamis? Datang lagi? Buang masa saya. Mengganggu program yang diatur. Berbulan-bulan, hanya pemeriksaan demi pemeriksaan. Keputusannya entah bila. Lambatnya, ya Tuhan.

Itu punca kemarahan ketiga.

Tapi kemarahan itu mencair dengan kalimah-kalimah Allah. Tambah menyaljukan hati apabila melihat senyuman para jururawat yang masing-masing sudah berusia atau sama usia, para doktor yang lembut dan manis. Ada juga bekas pelajar saya di kolej yang sedang buat housemanship di sini.

Allah sedang menguji. Jangan marah-marah. Itu petanda pengurusan manusia itu lemah.Jauh beza dengan pengurusan-Nya.

Allah kan telah mendidik kita dengan zikir? Pusarakan amarah kita. Meskipun payah, kita mesti mencuba.

Thursday, June 2, 2011

Beckham: Sampai Di Sini Sahaja...

28 Mei saya mengucapkan selamat jalan kepada monyet kecil itu.



Saya dikhabarkan oleh anak saudara bahawa esok hari 29 Mei, Beckham akan dibawa ke KL. Anak saudara saya itu berasa simpati melihat saya yang termenung sejak pulang ke kampung. Oleh sebab itu beliau meminta supaya tuan baru Beckham dapat meminjamkan monyet itu barang sekejap untuk kami bertemu.

Saya sedang makan malam itu, waktu Beckham dibawa ke rumah emak. Dia melompat ke arah saya sebaik sahaja saya datang ke pintu. Seperti biasa mulutnya berkumat-kamit, mendekatkan mulutnya ke muka saya seolah-olah bercerita. Kata emak, “ mengadulah tu...”

Saya memberinya sekotak gula-gula kesukaannya. Sepanjang malam dia tidak berenggang daripada saya. Duduk saja di pangkuan dan sesekali pura-pura mengejar anak saudara saya. Orang-orang yang sedang berlatih hadrah di luar pulang agak lewat. Jam 12.30, dia tertidur. Tetapi jam 1.30 pagi saya mengejutkannya kerana tuannya mahu membawa dia pulang. Dengan pantas dia menyorok di belakang saya. Tangan saya dipegang kuat dengan kedua-dua tangan kecilnya. Dia menjerit-jerit sekuat hati. Emak terpaksa mengambil dia. Itu pun dia akan berpaut dengan apa sahaja yang ada di sekitar supaya dapat kembali kepada saya.

Tuan barunya mengheret dan mendukung Beckham. Sepanjang jalan saya mendengar dia menjerit-jerit. Kasihan betul.

Melihat keadaannya itu, saya rasa jika dia memang tidak dibawa ke KL pun, lebih baik jika dia tidak dibawa bertemu saya lagi.

Saya tidak sampai hati menyeksa hati haiwan kecil itu.

Dan hati saya juga...

SEBUTIR BINTANG ITU...




Sepanjang malam itu saya melihat rancangan yang menceritakan tentang dia. Manusia unik yang dianugerahkan bakat oleh Allah.

29 Mei 1973. Tarikh itu saya berada di Darjah Satu SKBB. Saya sedang menogok air paip di kawasan sekolah tatkala saya mendengar suara kelam-kabut menyebut bahawa dia telah dijemput pergi.

Saat itu saya tidak tahu pemergian insan ini merupakan satu tragedi kepada dunia seni negara. Saya kenal beliau melalui lagu dan lakonannya. Meskipun tiada peti televisyen di kampung saya saat itu tetapi sesekali saya menonton beliau melalui wayang pacak yang dibawa oleh pejabat penerangan daerah. Pemikiran kanak-kanak saya mengakui bahawa orang itu sangat hebat dan menggelikan hati.



Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih, pemilik nama ini memang manusia yang sukar dicari ganti. Beliau lahir pada 23 Mac 1929. Hampir sekali dengan tarikh lahir saya.

Pada saya beliau lebih menarik ketika zaman-zaman “tua” berbanding zaman mudanya. Beliau tidak kacak tapi mempunyai personaliti dan aura tersendiri. Orang-orang genius sepertinya (begitu juga dengan Allahyarham Sudirman Haji Arshad) dikatakan tidak berumur panjang. Barangkali ada benarnya dakwaan itu.

Bergenang air mata saya menonton riwayat hidup beliau, kesungguhan dan bakat luar biasanya. Juga peringatan-peringatan yang dipaparkan lewat dialog dalam filemnya. Dialog yang sinis, yang memperkatakan tentang amalan rasuah dalam “Tiga Abdul”, tentang bahasa dan adab dalam “Seniman Bujang Lapok”, perbezaan darjat dalam “Penarik Beca”, ketidakadilan sosial dalam “Ahmad Albab” dan unsur Islam dalam “Semerah Padi”.

Paling menarik apabila anak saudara saya yang lahir pada tahun 2000 Masihi, cuba menguji saya dengan lagu-lagu P.Ramlee. Dia membunyikan irama dan meminta saya cuba meneka tajuk lagu.

P.Ramlee...bintang yang telah lama hilang di mata tapi sentiasa di hati

Al-Fatihah...

Petua Menghapuskan Semut





Tuan-tuan dan puan-puan,

Ambil kulit telur yang telah kering, bakar sehingga hangus. Lumatkan kepingan yang telah hangus itu dan letakkan di tempat yang banyak semut.

Insya Allah semut akan meninggal dunia.

Untuk mengelakkan lintah bulan pula, letakkan kepingan kulit telur di empat penjuru dapur. Lintah bulan pasti tidak mahu masuk ke dapur anda dan bertolak balik ke bulan...

Sekian....(ini betul-betul punya petua, bukan main-main ya)