Total Pageviews

Thursday, May 26, 2011

Menanti Pelangi




Ada seorang anak yang gemar menanti hujan, kerana dia tahu ada sesuatu yang cantik sedang menanti selepas hujan.

Pelangi...

Pelangi yang terhasil dari campuran warna yang melengkung di langit.Kata orang tua-tua, "jangan menuding dengan jari, nanti jarimu kudung..."

Dia bingung. Apa kaitan tudingan jari dengan sang pelangi?

Tetapi anak itu tidak pernah pedulikan larangan tersebut. Dia enggan memikirkannya pun. Dia hanya mahu menanti pelangi yang muncul selepas hujan.Dia menjadi hairan, dari mana bermula dan berakhirnya lengkungan itu. Tampak jauh sekali.

Mulanya dia hanya mahu menanti kemunculan pelangi. Namun sekarang, dia mahu mencapainya.

Tapi bagaimana?

Pelangi itu wujud.Dia memang nampak jelas akan kewujudan pelangi. Jika wujud, pasti saja dia mampu menyentuhnya. Dia kepingin mencapai pelangi.

Bertahun-tahun anak itu menunggu, malahan mencari. Tapi dia gagal. Dia kecewa sekali. Pelangi yang indah menawan, entah di mana puncanya. Dia hanya mampu melihat dari jauh.

Kemudiannya dia menyedari, kadang-kadang yang jauh itu memang nampak benar indahnya. Sebab kedudukannya jauh. Sebab mustahil untuk kita mencapai yang jauh.

Mengapa dia mahu mencapai sesuatu yang mustahil untuknya? Sehinggakan dia langsung tidak melihat keindahan sesuatu yang dekat?

Pelangi sebenar ada dalam dirinya. Terlalu dekat. Dia sendiri adalah ciptaan yang maha indah. Seimbang dan menawan.

Pelangi yang berada dalam diri...muncul tatkala kita tersenyum atau mengucapkan terima kasih kepada ibu yang menyediakan kita sarapan pagi. Pelangi juga muncul ketika kita berkata manis kepada bapa yang bersusah payah menghantar kita ke sekolah dengan motosikal atau kereta. Atau kepada ibu yang tidak pernah lena tidurnya kerana kerap bangun menukarkan tuala basah di dahi kita demi mengurangkan kepanasan akibat demam.

Pelangi akan menjadi lebih indah ketika kita sujud di sejadah, menadah tangan dengan penuh mengharap kepada-Nya. Pelangi juga akan muncul apabila kita berkata-kata dengan lembut dan penuh kasih sayang.

Kita hanya perlu menjadi seindah pelangi, yang menanti di dalam diri...

Tuesday, May 24, 2011

meNYAMPAH...dan huraiannya


Topik Tatabahasa: Perkataan Berimbuhan.

Cuba baca betul-betul...meNYAMPAH.

Mari kita menganalisa perkataan di atas.

Kata dasarnya ialah SAMPAH. Ditambah imbuhan awalan meNY, menjadi meNYAMPAH.

Makna tersurat = meluat

Makna tersirat & saintifiknya ialah "membuat sampah"

Contoh ayat:

1. Emak sedang memarahi Irfan Rifqi yang sedang menyampah di halaman rumah.
2. "Menyampah saja kerja awak setiap hari!", marah Tuan Mustafa kepada
pelajar kelas 3 Bukhari yang bernama Ezlan dan Hamizah.

Bagaimana jika ayatnya begini, "Saya menyampah betul melihat perangai awak yang suka menyampah selepas waktu rehat" kata Encik Adli Teoh Abdullah.

Sekian saja untuk kali ini.
------------------------------------------------------------------------------------
Dialog selepas membaca post ini.....

(PN NORRA: Ratnaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa......!!!!!!!!masuk bilik sayaaaaaa!!!Dari kiri cepat jalannnnn..)

(PN SITI AISYAH: Waaaaaaaaaaaaaaaaa...sob sob......tercaba kewibawaan den...sambil menikmati cup cake encik Zul)

(SHIMA-SAN: Bravooooo KY......sambil memungut selipar Jepun yang dicampakkan ke muka pegawai BPG)

(ZURA: ambo tok kena sapo ibu bungo matahari nih...kalu budu ambo tahu la)

PN ROHANA: (nak inter-frame juga...) "i KB manusia, i tak campur isu2 bahasa ni" (sambil terus membaca buku sejarah pembukaan Melaka)

EMA: Huhuhu...mee mamak, mee mamak... (tak ada kaitan langsung dengan pelajaran kita kali ini)

Monday, May 23, 2011

Mencari Tuhan



Semalam saya membaca akhbar tentang bekas artis yang mencari redho Tuhan.

Beruntunglah mereka yang telah menerima hidayah-Nya. Tapi bukan mudah untuk berubah. Umpat keji orang, kata-kata sinis, peluang yang ditutup pintunya; semuanya mencabar kemahuan.

Itu pentingnya jemaah.

Bergerak dalam jemaah, supaya saling lengkap melengkapi, memberi dan menerima, menegur jika tersilap, membimbing dan dipimpin.

Mudah-mudahan kita semua dalam restu Dia. Dia memiliki kita. Semua yang berbentuk materi bakal kita tinggalkan, kerana semua itu hanya sementara.

Sunday, May 22, 2011

Musim Yang Keliru...




Dulu-dulu, Mei bukan musim tengkujuh.

Tapi sekarang, cuaca tidak menentu. Tidak tahu mahu menggelar musim sekarang musim apa. Kadang-kadang hujan, kadang-kadang panas terik.

Contohnya hari ini. Saya mencuci kain dan yakin akan kepanasan matahari. Rupa-rupanya betullah kata lirik lagu, "kuharap panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari..."

Habis kain di sidaian basah dan terpaksa dicuci semula.

Selepas hujan, hari macam ok kembali. Rupa-rupanya tidak. Tiba-tiba nampak macam ada kilat masuk ke dalam rumah dan keluar melalui jendela. Siap dengan guruh yang amat kuat bunyinya. Saya menjerit memanggil anak. Lama baru menyahut, dia terkejut sebab melihat kilat dan mendengar deruman guruh.

Serta-merta elektrik tidak ada. Saya menolak punat hijau yang jatuh ke bawah. Letrik kembali ada tetapi apa sudah jadi dengan pintu pagar?

Pintu pagar hanya dapat dibuka separuh. Dan sebelah sahaja. Yang sebelah lagi tidak bergerak-gerak. Terdengar bunyi jiran Tionghua berbual-bual di luar rumah. Rupa-rupanya rumah mereka langsung tiada elektrik. Pintu pagar jem. Kotak pintu pagar mereka hangus terbakar.

Nampaknya kenalah buka pintu secara manual.

Musim yang keliru! Tak dapat meneka apa akan jadi pada hari esok.

Saturday, May 21, 2011

Kasihan Beckham...



Sudah seminggu lebih saya tidak menghubungi emak.

Sebabnya, saya takut menangis kalau emak buka cerita tentang Beckham. Kali terakhir kakak saya sms, dia maklumkan Beckham belum dihantar ke gua monyet. Beckham masih di kampung sebelah dan di bawah jagaan sebuah keluarga.

Saya selalu sedih diganggu kenangan keletah monyet kecil itu. Bagaimana dia menyorok di belakang saya dan terjenguk-jenguk dari "tempat persembunyiannya" kalau ternampak kelibat emak. Dia dan emak ada perang dingin. Mendengar suara emak menyanyi (saya rakamkan suara emak di telefon) mampu membuat dia menjadi anak monyet paling santun di dunia!

Paling suka mengusik ialah anak saudara saya. Suka benar dia berkelahi dengan si monyet kecil. Kadang-kadang sampai tunggang-langgang diburu Beckham. Apabila Beckham sedang makan sesuatu, dia akan menghulurkan tangan meminta. Beckham dengan segera membelakangi anak saudara saya itu. Berpusing-pusing kerana enggan memberi.Sudah macam merry-go-round.

Beckham paling suka duduk di atas riba saya. Kadang-kadang sampai terlena. Kalau waktu tidur siangnya diganggu, dia akan meragam seperti bayi.

Dia suka mencari ulat di daun. Kalau saya ada, dia akan bebas tanpa ikatan. Sebab dia tidak akan lari ke mana-mana. Membawanya berjalan-jalan di sekitar sawah terbiar, menjadi satu keseronokan kepadanya. Dia akan masuk ke semak, mencari ulat.

Tapi dia paling takut dengan pacat.

Saya tidak mampu membawa Beckham bersama saya. Siapa yang akan menjaganya di sini. Perjalanan yang jauh tentu membahayakan nyawanya. Lagipun, siapa yang akan menemani dia sepanjang saya bekerja.

Dengarnya dia disukai ramai di tempat baru. Siapa yang tidak suka anak monyet comel seperti itu. Anak monyet yang pandai menyahut kalau kita bercerita dengannya...

Yang pasti...saya memang tidak boleh membela apa pun. Kematian atau kehilangan binatang kesayangan akan membawa kesedihan berpanjangan dalam hidup saya.

Runtuh lagi...



Moga-moga mereka jadi penghuni syurga...

Saya berdoa diam-diam. Sedihnya berita itu. Cuaca memang kelam-kabut sekarang ini, sama kelam-kabutnya dengan cuaca politik kita.

Anak-anak yatim itu sedang berlatih nasyid tatkala tanah mula bergerak dan menimbus mereka. Ada yang terselamat dan ada yang terkorban. Masih ada lagi yang tertimbus.

Ya Allah, Engkau telah memperlihat kebesaran-Mu...

Semaju mana pun teknologi, tak akan mampu menandingi kekuasaan Dia. Lihat saja serangan raksasa tsunami di Jepun.

Kepada yang sedang angkuh di puncak, ingatlah. Dia boleh memanggil kita pulang bila-bila masa. Kadang-kadang tanpa siren amaran. Berhenti memfitnah, berhenti membudayakan rasuah.

Tanah runtuh masih boleh dibaiki strukturnya. Iman yang runtuh?

Anak-anak yatim yang telah pergi, moga tenanglah di sana, di sisi Dia, pemilik kita...

Nur Kasih The Movie...


Saya sudah lama tidak masuk ke pawagam. kalau boleh, memang saya enggan ke pawagam lagi dalam usia sebegini.

Tapi anak mengajak juga mahu melihat Nur Kasih The Movie, barangkali kerana fenomena Nur Kasih di TV sedikit meruntun keinginannya untuk menonton. Minta saya temankan dia.

Saya sempat bertanya kepada kawan yang telah menonton, ada atau tidak adegan yang akan "memalukan" saya sebagai ibu. Maksudnya, adegan yang kurang sesuai ditonton oleh anak-anak. Kata beliau, tidak ada. Filem itu bagus! sambung beliau lagi.

Saya memang ke pawagam waktu anak-anak masih kecil. Untuk menonton Pocahontas, Finding Nemo, Ice Age, Lion King, filem kartun terbitan DreamWork, Disney Pixar atau paling terbaru Harry Potter (kerana anak sulung saya peminat setia naskah buah tangan JK Rowling itu)

Saya tidak pernah menonton filem Melayu di pawagam, meskipun saya meminati filem Allahyarham Yasmin Ahmad. Sebab?

Dulu saya pernah mengambil kursus filem di UM, di bawah pensyarahnya Allahyarham Dr Anuar Nor Arai. Saya memang kecut perut berguru dengan beliau. Kuliahnya waktu malam. Beliau memang sangat berilmu, satu-satunya "doktor" filem di Malaysia waktu itu. Beliau sangat cerewet.

Oleh sebab itu juga, saya sedikit cerewet jika menonton filem.

Tapi menonton naskah Merong Mahawangsa di laptop anak saya, menjadikan saya agak kagum. Sinematografi yang hebat! Cuma kerana saya sudah membaca hikayat ini sejak di sekolah rendah, saya kecewa ada sisi cerita yang agak jauh tersasar.

Berbalik kepada Nur Kasih...

Ceritanya agak islamik. Itu saya suka. Pelakonnya menutup aurat. Dialognya mengesankan. Paling bagus, pelakonnya kacak, manis dan comel-comel.

Tapi saya katakan tadi, saya cerewet. Itu filem Melayu pertama yang saya tonton di pawagam. Saya gemar filem Khabir Bhatia. Mudah tapi mengesankan. Oleh kerana saya penangis, anak saya siap berpesan, ibu jangan menangis kuat-kuat.

Di luar pengetahuannya, saya membawa dua helai saputangan dalam beg tangan saya!

Tapi saya tidak menangis pun menonton filem itu. Hanya kepala saya sakit. Dada saya sakit. Saya tidak suka heavy-drama. Saya gemar komedi (yang berkualiti) dan pastinya cerita kartun! Jatuh ke tanah, kena hempap dengan batu pun, sudah leper macam lempeng pun, wataknya masih ok.

Pada saya filem itu tidak sehebat drama bersirinya di TV. Paling menghilangkan mood tatkala melihat Nur Amina semasa "tua"...hahaha...saya dan anak tergelak serentak.

Friday, May 20, 2011

Hari-hari Indah: Nikmatilah...



Setiap pagi apabila membuka jendela, kita dapat menghirup udara segar, sejuk dan nyaman.

Sinar matahari yang menjenguk dari ufuk sedikit memijarkan kulit kita tetapi sinar itu menjadikan hari-hari yang kita lalui begitu terang dan meriah.

Petangnya, perlahan-lahan hari menjadi redup. Bau rumput yang baru dipotong begitu mengujakan. Rumput-rumput kering yang dibakar membawa bau asap yang meninggalkan bekas di baju.

Kadang-kadang hujan menyapa. Begitu cantik juraian hujan berebut-rebut menimpa bumi. Air yang bertakung menyebabkan titik-titik hujan menjadi bulatan-bulatan membentuk lakaran indah.

Kita mesti mensyukuri hari-hari yang indah itu. Menikmatinya seperti mencicip segelas teh tarik dengan buih membukit.

Ketepikan rasa sedih dan terluka untuk seketika.

Hidup kita hanya sementara. Biarkan hidup kita berjalan di landasan yang ditentukan. Jika terjatuh, bangunlah. Jika tersasar, lekas berpatah balik. Jika terasa gelap, cepat mencari cahaya.

Allah ada bersama kita. Kita yang selalu menjauh dari-Nya.

Rasa pedih, sedih, terluka adalah resam hidup. Jika tidak terluka, kita tidak tahu nikmat sembuh. Jika tidak sedih, kita tidak tahu nikmat bahagia.

Segala yang berlaku menjadi pengalaman berharga.

Maka nikmatilah kehidupan kita, tidak kira sama ada kita terjatuh atau tersasar, terluka atau kecewa; pagi atau pun petang...

Thursday, May 19, 2011

Irfan Rifqi: Kipas-susah-mati K-pop...



Pelajar ini biasa-biasa saja. Tapi dia Kipas-susah-mati (die-hard-fan) K-pop...

Saya pun peminat drama Korea. Tapi macam biasa, oleh kerana sudah "tua", saya tak pernah ingat nama pelakon-pelakon. Tak ingat juga tajuk drama atau lagu. Cuma saya suka jalan cerita drama Korea kerana tak merapu macam cerita dari negara seberang, atau kesudahan cerita yang sudah dapat diteka macam drama Melayu, atau juga cerita yang asyik menyanyi macam filem Hindustan.

Dia selalu bercerita kepada saya tentang K-pop. Lagu baru SUJU, atau album yang baru di pasaran. Saya pun gemar mendengar lagu Sorry Sorry Sorry. Suka melihat budak-budak muda yang energetik, ada wawasan, punya identiti dan tak merapu. Dan mereka juga comel-comel.

Paling saya suka jika ada adegan pijak kain dalam besen atau menggendong di belakang (piggy-back). Juga adab mereka terhadap orang tua.

Irfan Rifqi, sukakan K-pop tidak mengapa. Tapi solat jangan tinggal.

Persembahan Akhir Saya...



Hari ini saya menyanyi lagu Doa Buat kekasih dengan dua pelajar. Tak ada latihan pun, bantai saja.

Kemudian dua rakan baik saya, shima-chan (saja panggil sensei bahasa Jepun ni shima-chan, bukan shima-san sebab dia sangat muda daripada saya) dan ema, mengutuk saya.

"Tahu dah motif KY bawa dua penyanyi nyanyi sama. Nak cover suara KY yang tak sedap tu...." Hahahaha....macam tahu-tahu saja. Tapi siap awak berdua, demi membalas dendam atas kutukan tersebut, saya akan melakukan kejahatan terhadap awak hahahaha...

Tahun terakhir saya di sini, nanti bakal berpindah lagi. Entah bagaimanalah perangai kawan-kawan "muda" saya kelak. Atau wujudkah orang2 muda di tempat baru nanti? Jangan2 semua sebaya atau lebih tua. Oh tidak!!!!!!!

Persembahan akhir saya itu hanyalah untuk kenangan mereka, adik-adik yang sudi menjadi kawan baik saya, menjadikan saya tempat mengadu masalah, dan saya menjadikan mereka tempat rujukan gossip terkini hahahaha...

Wednesday, May 18, 2011

Himawari no okasan = ibu bunga matahari



Anak saya beritahu, adik Shinosuke @ Sin-chan yang bernama Himawari-chan itu bermaksud bunga matahari.

Hahaha...maknanya saya ialah ibu himawari. Teringat Shinosuke yang nakal tapi sayangkan Himawari.

Gembiranya melihat himawari yang berwarna kuning keemasan, cantik mekar dan mengindahkan latar.

Hari itu anak saya ajar perkataan "baka" atau kalau bahasa kasarnya "bagero". Maknanya "stupid".

Hari ini pula perbendaharaan kata bahasa Jepun saya bertambah. Tq adik.

Himawari no okasan....ibu bunga matahari hohoho...

Jadilah manusia, jangan orang-orangan...



Lama dulu, hampir belasan tahun dahulu, dia pernah menjadi pelajar saya. Di sebuah sekolah di daerah singgah saya.

Berada di tingkatan 4, dia dalam kategori nakal. Mungkin juga sangat nakal. Saya diminta oleh pengetua untuk menubuhkan Kelab Drama, kerana saya ada sedikit asas teater dan kebetulan mengajar pula Kertas 6 iaitu subjek drama untuk STPM.

Dia menjadi ahli.

Memang sukar mengendalikan pelajar nakal. Namun saya ada pengalaman kerana saya lama di Kuala Lumpur, mengajar di sekolah yang majoritinya anak setinggan. Cuma satu yang saya pasti, pelajar di tahun-tahun 1990-an, meskipun nakal, mereka tetap menghormati guru.

Pelajar ini sudah mangli dengan teguran, dengan rotan. Dia ada grup. Adakalanya grup itu berambut perang, ada kalanya ponteng menghisap rokok di tandas, atau tiba-tiba hilang ghaib semasa pertukaran waktu.

Tapi dia rajin ke pertemuan kelab saya yang selalunya diadakan setiap petang atau hari cuti umum, khususnya jika ada pementasan.

Mereka memanggil saya "ibu", meniru-niru panggilan anak-anak saya.

Saya cuba melatih pelajar-pelajar ini menghormati waktu solat. Jika asar sudah tiba, kami akan berhenti. Saya meminta mereka solat. Sama ada mereka memang solat atau tidak, saya kurang pasti. Tapi saya katakan, "jika tidak mahu masuk neraka, jika kasihankan ibu...supaya ibu juga tidak masuk neraka, pergilah solat. Allah tahu jika kamu bohongi ibu..."

Saya tahu bagaimana dia dan grupnya mahu solat, jika rambut perang kerana diwarnakan dan kesan warna itu menghitam pula di kuku? Saya katakan hormati waktu. Cuci sungguh-sungguh, mesti ada kaedahnya jika yang putih menjadi hitam, pasti saja boleh yang hitam menjadi putih.

Mereka mengadu ada guru-guru yang membenci. Tapi saya katakan, jika watak kita membencikan, jangan marah jika kita dibenci. Kemudian mereka katakan pula, ibu bapa mereka tidah memahami. Saya tidak menyebelahi mereka, tidak juga ibu bapa mereka. Anak-anak saya masih bersekolah tadika waktu itu, jadi saya tiada pengalaman mendepani karenah remaja.

Suatu malam, ada yang menelefon saya. Mendapat berita itu, saya ke stesen bas. Sudah ada beg besar di sisi.

"Mahu lari dari rumah? Ke mana?" tanya saya. Dia diam sahaja, kemudian mengadukan perihal ibu bapanya yang konon tidak memahami. Saya katakan, di luar tidak seselamat rumah sendiri. Saya duduk lama di situ, menemani dan mendengar dengan tekun, sambil sesekali menguap kecil.

Lama-lama saya sudah tidak tahan. Saya memandang mukanya tepat-tepat. Kemudian bercakap dengan penuh perasaan. Siap dengan mimik-mimik muka yang saya belajar waktu kursus asas teater dulu. Juga dengan nada yang rencam, ada intonasi yang diberi penekanan.

"Lari dari rumah, masalah selesaikah? Ibu bapa akan ke balai polis, siasatan akan dibuat, kemudian masuk suratkhabar, masuk TV. Ada orang jahat yang jumpa, latih awak jadi penyamun. Awak gembira banyak duit, tapi kalau silap kena belasah, luka di pipi, patah tangan kaki. Mula-mula menyamun, kemudian membunuh. Polis buru, awak ditembak. Berlubang-lubang kepala awak kena peluru. Mati masuk neraka. Mahu?"

Dia ternganga. Agaknya dia mahu berkata, celupar betul mulut cikgu!

Tapi akhirnya kata-kata itu menyebabkan dia tidak jadi lari dari rumah. Saya membawanya pulang. Meletakkannya jauh sedikit dari rumah supaya ibu bapanya tidak rasa segan, saya yang menghantar anak mereka pulang. Ibu bapanya orang berpangkat, berketurunan pula. Tentu malu jika guru kecil seperti saya tahu kemelut keluarga mereka.

Ketika pelajar-pelajar itu hampir SPM, saya mendapat tawaran ke tempat lain. Saya jumpa mereka dan mendoakan mereka.

"Ibu tak sempat hantar kamu ke pintu dewan. Tapi ibu yakin kamu akan jadi anak baik satu hari nanti. Malahan lebih baik daripada pelajar-pelajar ibu yang sudah sedia baik. Jangan jadi orang, tapi jadilah manusia..."

Saya pun pergi.

Lama kemudian...saya terkejut apabila suatu hari dia muncul mencari saya.

Setiap lebaran, dia cuba sedaya-upaya untuk menjenguk saya. Dia sudah berkeluarga. Kepalanya sudah berkopiah. Bercakap pun banyak tentang agama. Hati saya sesejuk salju. Bersyukur tidak terkira. Jawatannya juga boleh tahan. Sahsiahnya sangat berbeza daripada dia yang saya kenal dulu.

Waktu dia dan keluarganya berangkat, sekali lagi dia berkata, "terima kasih ibu. Kalau bukan kerana ibu, mungkin saya sudah lama tenggelam. Saya masih ingat, jangan jadi orang tapi jadilah manusia..." Mengiringi pemergiannya, saya menangis sungguh-sungguh.

Balasan saya, "saya hanya digerakkan oleh Allah, bukan kuasa saya membuat awak berubah. Saya hanya alat, hanya pencetus. Kekuatan awak daripada Allah, bukan saya"

Jelaslah, yang putih boleh jadi hitam dan yang hitam boleh jadi putih, jika Dia mengkehendaki. Kita hanya berdoa...

Sesungguhnya pelajar inilah yang membuatkan saya akhirnya mencintai profesyen keguruan. Meskipun sukar, ia memberi nikmat di penghujung.

Tidak kira bekas pelajar saya di sekolah atau kolej, jadilah manusia, jangan jadi orang...apalagi orang-orangan...

Tuesday, May 17, 2011

Keriangan Itu...bakal jadi nostalgia



Keriangan waktu pagi di tempat kerja...

Saya baru menjadi warga tempat ini dalam usia dua tahun setengah. Tugas baru di suasana baru hampir mematikan sebahagian besar bakat dan kebolehan saya.

Tetapi saya sangat gembira di sini. Sebabnya?

Saya dikelilingi kawan-kawan yang menggembirakan. Kawan-kawan, staf pejabat dan ketua yang sangat baik hati menyebabkan saya tidak kisah bakat dan kebolehan yang hampir hilang itu. Saya benar-benar bersyukur kerana "diletakkan" di tempat ini. Tiada situasi politik pejabat yang sanggup memijak orang lain untuk naik. Jika pun ada, akan segara dicantas dan dinaturalkan.

Saya selalu teruja untuk datang bekerja walaupun saya akui sangat memenatkan. Karenah pelajar yang sangat berbeza dengan apa yang saya hadapi bertahun-tahun lamanya, memang memberi sedikit tekanan. Kadangkala saya terpaksa merendahkan "level" percakapan supaya mereka memahami. Tapi tidak mengapa, ada rakan-rakan yang saya boleh berkongsi cerita.

Terhiburnya hati saya melihat "pergaduhan" olok-olok rakan-rakan sekerja. Gelak tawa mereka boleh menyebabkan mata saya berkaca. Semuanya itu bakal menjadi nostalgia untuk saya kenangi. Mustahil untuk saya mengalami suasana keriangan seperti ini di tempat lain yang bakal menerima saya sebagai warganya. Oleh itu, saya akan cuba meraikan keriangan ini bersama-sama kawan-kawan saya di sini dengan sebaik mungkin.

Terima kasih kepada semua yang telah menggembirakan saya. Allah telah berjanji, jika kita menyukakan hati orang lain, maka Dia akan menyukakan kita di akhirat kelak. Mudah-mudahan...

Saturday, May 14, 2011

Mahalnya Harga Kemajuan



Dulu hidup kami mudah dan langgas!

Tiada TV, tiada internet. Yang ada hanya wayang pacak yang sesekali akan muncul di padang kampung memainkan filem-filem P. Ramlee, filem lakonan Rajesh Khana atau filem2 Indonesia. Jabatan Penerangan akan menayangkan dahulu filem dokumentari pendek menceritakan manifesto kerajaan. Selepas itu barulah tayangan dimulakan. Sambil duduk di atas tikar yang dibawa dari rumah, kami mengunyah kacang kuda yang dibeli dari Wan Meriam, yang siangnya berniaga di kantin sekolah.

Ke sekolah, selalunya ayah akan memberikan saya wang 5 sen untuk dibelanjakan di sekolah. Itu pun sudah kenyang, 5 sen untuk sepinggan nasi lemak. Air? Togok saja di paip.

Paling seronok, sepanjang bulan puasa adalah cuti sekolah. Terasa nikmatnya bangun bersahur dan menantikan waktu berbuka. Dengan wang 5 sen, saya selalu menemani kakak membeli ais ketul yang dibaluti dengan hampas papan. Ais itu kakak letakkan di tempat duduk basikal ayah. Kami berjalan kaki balik ke rumah, sementara kakak menuntun basikal yang berpalang di tengah. Melihat air dingin yang menitik dari ketul ais itu pun sudah cukup tercabar.

Saya selalu mahu berpuasa walaupun tidak berdaya. Sebabnya saya tidak mahu duduk di belakang dan melihat orang lain menjamu selera. Sudah menjadi tradisi orang dulu-dulu, sesiapa yang tidak berpuasa tidak boleh makan bersama-sama orang yang berpuasa. Duduk di belakang dan tunggu sehingga semua orang selesai berbuka!

Itu sebagai tanda hormat akan orang lain yang sanggup menahan lapar dan dahaga demi mengikut perintah Allah.

Awal-awal pagi saya dan kakak sudah tiba di sekolah. Sepanjang jalan kami membaca doa yang diajar ayah. Dengan kasut plastik, kami berjalan kaki ke sekolah. Kasut plastik lebih murah dan senang dicuci. Beg sekolah pula berbentuk raga dan diperbuat daripada rotan. Kalau sudah rosak tangkainya, ayah akan mengikatnya semula dan menggantikan dengan bahan terbuang.

Masalahnya beg rotan itu juga menjadi tempat yang strategik bagi pepijat bersembunyi! Tengah belajar, tiba-tiba rasa sakit menggigit di belakang...

Balik dari sekolah, bau makanan emak yang ringkas terasa sangat menyelerakan. Meskipun tidak mampu bermewah-mewah, tapi emak tetap menyediakan makanan tengah hari untuk anak-anak yang kepenatan. Selepas makan, terus terjun ke sungai untuk mandi. Dingin air sungai menyegarkan kami yang kepenatan. Kadangkala sempat lagi bergayut di dahan pokok dan buurrrr...menjunam ke dalam sungai.

Dengan seluar pendek, kami mula meliar. Sekejap di atas pokok jambu, sekejap mencari ikan laga di bendang. Keriangan masa kecil, meskipun hidup serba kekurangan, sangat menyeronokkan.

Kami tidak takut kerana tiada orang jahat yang akan mengganggu. Pergaulan budak lelaki dan perempuan tidak bermakna apa-apa, kerana kami memang tidak tahu apa-apa.

Tetapi sekarang, anak-anak hidup dalam penjara yang tidak kelihatan...

Kemajuan telah meminta bayarannya. Itulah harga yang terpaksa kita bayar untuk menikmati kemajuan. Di sekeliling kita, penuh dengan mereka yang mencari kesempatan. Anak-anak perempuan dan lelaki tidak boleh lagi lepas bebas, jika tidak dirogol, hilang diculik tanpa bekas.

Semua perkara kita boleh lihat di media termasuk internet. Kesemuanya itu mendorong orang baik menjadi jahat dan orang jahat bertambah jahat.

Tapi bukan bermakna yang kemajuan itu mutlaknya bersifat negatif. Namun kita pasti sedar, hakikatnya kita terpaksa mengorbankan kebebasan anak-anak menikmati zaman kanak-kanak mereka kerana kebimbangan2 tersebut.

Kasihan anak-anak kita. Zaman kanak-kanak mereka hanya berkisar di depan komputer sehingga menjadikan mereka obes dan tidak sihat.

Tetapi sekali lagi, itulah harga kemajuan yang terpaksa kita bayar...

MGS IPOH: Our Utmost For The Highest


1979-1983 Bandar Ipoh. Our Utmost For The Highest: Motto sekolah saya.

Saya percaya, keperibadian kita dibentuk oleh persekitaran. Cara didikan keluarga, juga institusi-institusi pendidikan yang kita berada di dalamnya.

Saya bangga menjadi warga MGS selama lima tahun, Clifford School (The Ship Is More Than The Crew:Motto Clifford School) dua tahun, Uni Malaya, universiti idaman saya sejak kecil, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (dulunya IB) dan UUM yang sejuk di tepi hutan. Sudah pasti juga saya bangga bersekolah tadika di kampung saya dan sekolah rendah luar bandar yang muridnya miskin-miskin seperti saya.

Moga Allah merahmati guru-guru saya. Dan menempatkan mereka dalam golongan orang-orang beriman. Mereka berpenat-lelah mengajar saya membaca, menulis dan mengira. Ada seorang ustazah sekolah rendah yang gemar membawa kami ke bawah pokok untuk belajar, sambil menerangkan sambil menepuk-nepuk kepala saya! peliknya apabila saya di sekolah menengah pun, ada seorang ustazah yang suka berkelakuan seperti itu. Barangkali kerana itulah, saya bagus dalam subjek Pendidikan Islam yang bertulisan jawi itu...Alhamdulillah....atau mungkinkah kepala saya terasa sedap untuk ditepuk seperti hadrah ayah?

Sekolah banyak membentuk pemikiran dan keperibadian saya. Bersekolah di sekolah missionaries, memberikan saya kekuatan dalaman menghadapi serangan akidah. Bayangkan setiap pagi, ada chapel yang betul-betul berada di belakang kelas saya.Reverand membacakan doa di perhimpunan pagi. Tetapi persatuan agama islam sangat aktif. Setiap kali ada ceramah, dewan pasti penuh. Walaupun yang memakai tudung hanya ada satu dua orang, itu pun skaf yang diikat ke belakang!

Waktu itu keluar arahan daripada Kementerian Pelajaran yang diterajui oleh Dr Mahathir Mohamed. Pelajar tidak digalakkan memakai tudung. Yang memakai tudung menerima desakan bertalu-talu untuk membuka tudung. Masalahnya, bukan setakat pengurusan sekolah, ustazah2 pun meminta pelajar bertudung membuka tudung!

Apa pun, peristiwa-peristiwa itu, seperti yang saya katakan telah banyak mematangkan kami. Tentu ada sebab semua itu berlaku.

Di sekolah saya ada 4 rumah sukan. Saya tanyakan kepada kawan nama rumah biru kerana saya sudah lupa (tq Ikin, kawan saya itu sekampung dgn Datuk Lat dan Mamat Khalid). Crosby untuk biru, Nightingale untuk kuning, Cavell untuk merah dan Victoria untuk hijau. Saya dan Ikin rumah Cavell. Tapi saya bukan berkaki atlet. Jadi, tugas saya hanyalah menjerit-jerit di tepi padang tatkala sukan. Sukan di MGS sangat meriah, macam-macam ada...

Saya masih ingat nama kawan-kawan saya. Bib, Yati Brand, Yati Slim, Uji, Ikin, Rosni, Idah, Zarina, Zamrud (yang rambutnya ala David Armugam), Mid,dan ramai lagi.

Kami selalu berkumpul di bawah pokok besar di hujung padang dan membuat bulatan. Lagu yang kami nyanyikan barangkali daripada bahasa Afrika kerana bunyinya lebih kurang begini...massa billi billi billi, massa billi ukamba..."

Saya bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah bersekolah dan belajar di institusi yang baik. Saya juga berterima kasih kepada pensyarah-pensyarah saya di Jabatan Penulisan Kreatuf dan Deskriptif kerana memungkinkan saya muncul pelajar terbaik jabatan yang menerima Hadiah Buku Universiti pada tahun 1989.

Juga untuk pensyarah2 saya di Sekolah Siswazah UUM, Dr Dawood dari India (kami selalu keliru apabila beliau menyebut perkataan "garment" atau "government" sebab bunyinya sama sahaja), ada yang dari Labenon (lupa namanya) dan pensyarah2 tempatan. Dengan latar sastera, saya bermati-matian belajar finance, accounting dan managerial economics yang sangat asing. Akhirnya dapat juga meraih sarjana dengan pointer 3.33 pada tahun 1998.

Sangat besar jasa mereka, Ya Allah. Ampunilah dosa guru-guru saya, sama ada guru secara rasmi atau tidak rasmi, guru di sekolah atau di jalanan, yang mengajar saya erti kehidupan.

Allah sahaja yang mampu membalasnya...selamat hari guru buat guru-guru saya yang masih hidup dan al-Fatehah untuk mereka yang telah menuju Allah.

Mendinginkan Amarah



Ketika Qais bin Ashim ditanya, "apakah sifat santun itu?". Beliau menjawab, "engkau hubungi orang yang memutuskanmu, kauberi orang yang tidak memberi kepadamu, dan kaumaafkan orang yang telah menganiayamu..."

Susah, bukan?

Saya pernah mengalami penganiyaan paling dahsyat dalam kehidupan. Oleh kerana saya jenis yang mudah percayakan orang, saya tidak memahami kenapa ada orang yang cuba mengkhianati saya. Saya tidak pernah faham sehingga sekarang, apa yang mereka dapat dengan melakukan penganiyaan terhadap orang lain.

Saya mempunyai kelemahan tidak pandai bertelagah, tidak mempunyai kemahiran bergaduh. Saya terdidik dalam keluarga yang sangat mementingkan adab terutama kepada orang yang lebih tua. Saya membesar dalam suasana tanpa pertengkaran adik-beradik, tiada perkataan-perkataan buruk yang mewarnai dunia kanak-kanak saya. Ibu bapa saya baik dengan sesiapa sahaja. Jika ada yang cuba memfitnah, kata emak...tidak mengapa...nanti balasan dari Allah pasti tiba...

Kerana orang yang dianiaya, doanya tiada hijab. Itu janji Allah.

Mulanya saya agak marah. Rasanya kalau dapat dilihat, asapnya berkepul-kepul keluar dari kepala saya. Saya cuba mendapatkan bantuan guaman. Meskipun harganya mahal, saya sanggup. Semua orang menyokong.Dari peringkat bawahan sampailah hampir atasan, semuanya membantu saya. Saya terharu apabila ada yang sanggup melakukan solat hajat berjemaah tiga Jumaat berturut2 di beberapa masjid sekitar. Ada juga yang membekalkan saya dengan sejumlah doa. Ada juga yang sanggup berjumpa pengamal perubatan, untuk meminta bantuan melindungi saya (kerana kononnya orang-orang yang memfitnah itu telah berbomoh!...untuk yang ini saya tidak setuju 100 peratus). Kalau pun betul mereka berkawan dengan iblis, kenapa pula kita juga mahu berkawan dengan iblis?

Meskipun tidak setuju, saya ucapkan juga terima kasih, sebagai tanda berbasa-basi!

Kemudiannya, saya sudah tidak jadi marah. Saya baca buku-buku motivasi, saya banyakkan membaca Quran. Saya banyak mengamalkan ayat-ayat pelindung.Saya yakin Allah akan membalas. Allah tidak akan mengambil sesuatu daripada saya kecuali Dia menggantikannya dengan yang lebih baik. Saya ke tempat kerja dengan berlapang hati. Saya cuba untuk mengubah sikap terlalu mempercayai orang. Tetapi saya tidak mampu mengubah perangai tidak pandai bertengkar itu. Saya juga tidak mampu mengubah sikap saya yang menganggap semua orang tidak ada hati yang bengkang-bengkok.

Benarlah janji Allah. Mereka gembirakah? Tidak. Mereka seperti berpuas hati tetapi hakikatnya hati mereka gundah.

Ada seorang yang memfitnah saya itu akhirnya ditangkap oleh suaminya (suami ketiganya) di dalam kereta di tepi hutan getah. Dia sedang berdua-duaan dengan suami orang, suami rakan sekerjanya sendiri. Akibatnya, dia bercerai dan berkahwin dengan suami kawannya itu, merobohkan perkahwinan kawan yang sudah pun punya anak kecil. Dia mendapat suami ke-4 tetapi rakannya menjadi ibu tunggal. Dia juga telah dipanggil kerana ada surat aduan daripada pelajar-pelajar berkaitan kelakuannya yang memeluk pelajar lelaki di khalayak. Gembirakah dia? Tidak!

Master-mind yang lagi satu? dan yang lagi satu? Semuanya dilanda masalah. Apa yang mereka dapat? Orang akan selalu mengingat perbuatan mereka. Orang akan selalu bercerita dan mengambil iktibar.

Jadi, tidak guna marah-marah. Tidak guna bertengkar dengan suara terjerit-jerit. Akhirnya dada kita yang sakit, apinya menjalar naik ke kepala dan kita mati sebelum waktunya.

Kita ada senjata yang ampuh iaitu doa. Maka berdoalah dengan istiqamah. Muhasabah diri kita. Barangkali Allah mahu kita sedar diri. Ada sesuatu yang kita lakukan yang menyalahi ajaran-Nya. Barangkali kita riak dengan kasih sayang dan penghargaan orang. Allah sayangi kita, Dia mahu kita menjadi insan baik.

Kita selalu kalah bukan kerana kita tidak gagah, tetapi kita kalah kerana kita marah. Marah itu daripada syaitan. Syaitan itu daripada api. Maka padamkan api itu dengan air wuduk. Dinginkan amarah dengan keyakinan bahawa Allah sangat adil.

Api-api kemarahan dan penghinaan itu akan kembali kepada orang yang melemparkannya sebelum sampai kepada yang dilempar...

Sisi Hitam Atau Putih: Pilihan Di Tanganmu



Semua orang ada sisi baik dan buruk, sisi positif dan negatif, sisi hitam dan putih dalam diri kita. Terpulang kepada kita untuk menonjolkan sisi yang mana satu.

Suatu malam baru-baru ini, wajah anak saya murung. Pasti ada sesuatu yang sangat mengganggu mindanya. Dia enggan memberitahu, tetapi saya yakin ia berkaitan dengan sesuatu. Di luar pengetahuannya, saya cuba mencari punca. Rupa2nya rakan sebiliknya pada semester lepas telah menulis sesuatu yang buruk tentang dirinya di sebuah laman sosial. Kawan2 yang lain juga turut mengutuk. Saya mencari laman sosial kawannya itu. Saya membacanya dan memberikan kesimpulan bahawa kutukan itu bersifat kurang matang, hanya sekadar mahu mencari pengaruh dalam kalangan kawan2 sebaya.

Paling teruk, bahasa yang digunakan. Penuh dengan kata-kata buruk dan menghina peribadi, sedangkan puncanya sangat remeh! Hanya kerana "buang nama dalam list FB", cercaan turut melibatkan individu yang tidak bersalah.

Itulah masalahnya siswa-siswi lepasan SPM (maaf jika agak provokatif: tapi anak2 saya pun masuk universiti dengan sijil SPM). Itu sebabnya ada universiti di negara ini yang agak menjaga reputasi mereka dengan hanya membuka peluang kepada lepasan STPM atau diploma untuk mengikuti kursus tertentu di universiti berkaitan. Saya kurang arif dengan polisi UM sekarang. Zaman saya dahulu, majoriti fakulti hanya menerima pelajar lulusan STPM. Soal kematangan yang diberi penekanan. Agar perkara-perkara remeh seperti “turpentine tumpah” atau “buang nama dalam list FB” menjadi bahan umpatan yang bertebaran di maya. Jika di peringkat sekolah, hal yang tersebut masih tidak mengapa. Di peringkat yang lebih tinggi, hal sedemikian menggambarkan ketidakmatangan pemikiran.

Saya memujuk anak saya. Saya katakan, lautan yang luas tidak akan terusik dengan lontaran batu-batu kecil. Buktikan, kata saya, bahawa universiti anda bukan “universiti sampah” seperti yang pernah dilontarkan orang. Anda mempunyai kelulusan yang baik dalam SPM, anda berhak mendapat kecemerlangan daripada rakan-rakan anda yang ditawarkan masuk ke universiti tersebut hanya kerana di surat lahirnya tertera “bumiputera”, meskipun kelulusan hanya cukup makan. Saya katakan lagi, anda ke situ kerana universiti itu terbaik dalam jurusan yang anda pohon. Tiada universiti awam lain yang menawarkan kursus tersebut, itu saja pilihan yang ada.

Kepada anak-anak, bergaullah dengan rakan-rakan yang positif. Anda akan dikelilingi oleh aura positif. Aura baik akan membantu anda mencapai kecemerlangan dalam hidup dan menyuburkan sifat terpuji. Kata murabbi kesukaan saya dalam bukunya yang mahsyur (La Tahzan), Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni, sifat terpuji dan baik itu sangat meletihkan. Mengapa? Sebab sifat-sifat seperti itu mengangkat darjat. Sebaliknya sifat-sifat yang buruk dan tabiat kasar sangat mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja. Sebab tabiatnya membawa turun darjat. Logiknya, naik itu sukar dan turun itu pula satu kerja yang lebih mudah.

Nah!...berfikirlah mana satu pilihan anda!

Taklukilah diri anda sendiri kerana barangsiapa yang dapat menakluki dirinya sendiri, dia lebih perkasa daripada mereka yang menakluki sebuah kota. Saya pernah menulis sebuah cerpen yang diantologikan pada tahun 1989. Tajuknya “Kubunuh Sepi Ibu” dan di awal ayat, saya mengungkapkan, “pahlawan agung adalah seorang yang berdaya menundukkan emosinya sendiri”. Ini mengingatkan saya pada seorang pemimpin di negara kita. Beliau barangkali telah berjaya menakluki dirinya sendiri sehingga apa pun panahan tajam yang datang kelihatan langsung tidak melukakan kulit dan hatinya. Kalau orang lain barangkali akan mengambil seutas tali dan menggantung diri.

Maka, tonjolkanlah sisi baik kita. Agar sisi baik itu akan memberi aura baik kepada orang-orang di sekitar kita.

Lagi-lagi Beckham: Cubaan yang gagal




Ada cerita melucukan tentang percubaan fasa pertama pembebasan Beckham...

Petang kelmarin, kata emak, dia mendukung si Beckham ke tengah bendang terbiar yang menempatkan kandang kambing emak yang sudah tidak digunakan. Emak membawanya ke bendang yang hujungnya bertemu hutan kecil, jelas terdengar air di lata (air terjun) hutan kecil itu.

"Dia renung muka emak. Emak pesan pada dia macam-macam” Cerita emak di hujung talian.

Pesanan emak?

a) Beckham dah kenyang tadi kan? Tapi kalau masih lapar, Beckham pergilah cari ulat-ulat atau pucuk muda dalam hutan. (Dia menyahut...ukk)

b) Kalau hujan, Beckham datang berlindung di kandang. Tempat ni luas. (Dia menyahut lagi...ukk)

c) Ada air yang opah sediakan di sini. Kalau dahaga dan tak dapat cari air, datang ke kandang dan minum... (ukkk...sambil mata memandang emak)

Selesai berpesan, emak letakkan dia di tanah. Pergilah cari ayah dan mak Beckham, kata emak. Sebaik sahaja emak meletakkan ke tanah, Beckham berpusing, susup-sasap berlari meredah semak-semak kecil.

Emak pun melangkah ke rumah. Tapi Beckham di mana?

Dia sudah ada duduk tercatuk di atas meja simen yang memang sedia ada di halaman rumah. Dia lebih dahulu sampai ke halaman rumah daripada emak.

Beberapa orang yang ada di halaman rumah memanggil emak. Mereka fikirkan si Beckham terlepas. Mereka bertanyakan emak kenapa si Beckham tercungap-cungap berlari dengan kelajuan maksima.

Dia masih selamba duduk di atas meja simen dengan bermuka kasihan dan kepenatan!

Apabila emak memberitahu hal sebenar, semua orang ketawa. Dan kata emak, sejak kelmarin, Beckham sudah angkat bendera putih dengan emak. Dia sudah berbaik-baik dengan emak dan tidak lagi melarikan diri seperti biasa apabila melihat kelibat emak.

Barangkali dia mengerti sekali lagi dia mahu “dibuang”. Sudahlah pernah dibuang ibu bapanya, opah pun mahu membuangnya juga.

Kisahnya bayi yang dibuang ini agak menarik. Beberapa lama selepas penemuan Beckham di pangkal pokok pisang di hujung kampung, Beckham selalu dikunjungi kakak angkatnya, Boy. Boy adalah seekor monyet betina (namanya Boy itu pun ada ceritanya juga...) yang dipelihara anak angkat emak dari kampung yang jauh berhampiran Kuala Kangsar. Beckham seolah-olah menganggap Boy adalah emaknya. Seperti Jejak Kasih di TV, mereka akan berlarian dan berpelukan jika bertemu, meskipun saya agak spesis mereka sedikit berbeza. Barangkali jika manusia, suku kaum jawa dengan bugis, begitulah...

Kadangkala kedua-duanya dibiarkan bebas. Mereka seperti belangkas ke sana sini. Riang gembira memanjat pokok atau mengusik kucing yang turut menumpang di rumah emak. Atau mengejar anak-anak kambing yang berlompat-lompatan di sekitar rumah.

Satu hari kelibat kedua-duanya tidak kelihatan. Puas emak mencari. Kemudiannya seorang jiran di hujung kampung menelefon emak. Rupa-rupanya Boy menggendong Beckham di belakang dan membawanya ke pangkal pokok pisang tempat Beckham ditemui ketika masih bayi. Saiz Boy besar sedikit daripada Beckham. Hujung kampung itu agak jauh. Beberapa jiran memang nampak ada seekor monyet yang sedang menggendong monyet yang lebih kecil berlari di belakang rumah mereka.

Emak pun segera ke sana. Sepanjang perjalanan membawa mereka pulang, emak meleteri si Boy kerana membawa “adik” sampai ke hujung kampung. Akibatnya setiap kali datang, si Boy akan diikat supaya peristiwa membawa adik “bersiar-siar” itu tidak berulang lagi. Beckham masih kecil ketika itu, bimbang jika digigit binatang-binatang lain.

Peristiwa itu menimbulkan persoalan kepada kami. Bagaimana Boy yang bukan berasal dari kampung emak, boleh membawa si Beckham ke pangkal pokok pisang tempat dia dibuang ibu bapanya?

Adakah wujud komunikasi yang hanya mereka sahaja memahami? Agaknya, kata emak, si Beckham mahu menunjukkan tempat dia dibuang. Meskipun kelihatan lucu, tapi barangkali ada betulnya. Hanya Allah yang maha tahu.

Si Boy ini pula, resamnya betina, memang kaki merajuk. Mulanya saya tidak percaya kata2 emak. Satu hari saya membuat eksperimen. Saya berikan Beckham lepat pisang, biasanya Beckham akan membawa lepat itu untuk dikongsi bersama kakaknya. Tapi hari itu, Beckham terus makan. Saya mengambil lagi satu dan memberikannya kepada Boy. Dia enggan mengambil, malah memprotes dengan bergayut berpusing2 sehingga tali yang mengikat juga berpintal-pintal. Sejak itu saya akan mendahulukan dia jika dia datang ke rumah.

Beckham juga memang kuat merajuk. Dia marahkan saya kerana enggan membenarkan dia tidur di sisi. Oleh kerana dia jantan, dia agak berbau walaupun sudah dimandikan. Masalahnya dia gemar tidur di muka saya, betul2 di hidung saya yang besar itu. Anak saya pula alahan. Jadi, satu hari dia menangis sambil duduk membatu di sofa, berhampiran daun pintu. Walaupun dipanggil dan dipujuk berkali-kali, dia masih berkeras di situ. Setelah beberapa lama, emak kepeningan mendengar dia menangis. Emak pun mengambil dan mendukung, lalu memberinya kepada saya. Barulah malam menjadi aman.

Begitu juga jika dia tahu saya pulang ke kampung, subuh2 dia sudah berbunyi. Kandangnya terpaksa ditutup dengan kain supaya dia tidak nampak kelibat saya. Bercakap pun kena perlahan, kalau terdengar, dia dapat mengecam saya. Kalau emak memberikannya makanan, dia akan mencampakkan ke luar atau menterbalikkan bekas makanan sebagai tanda protes. Dia hanya akan makan kalau saya mengeluarkan dia dari kandang. Tapi masalahnya ialah dia enggan berenggang dan mula memarahi sesiapa yang mahu “mengambil” “ibunya”.

Ogos ini Beckham genap setahun. Tidak tahulah sama ada setahun bagi seekor monyet menandakan yang dia sudah dewasa. “Nak kahwinkan dengan si Boy pun, Boy dah tua...” kata kakak, mengundang tawa saya. Tapi bukankah trend sekarang, perempuan tua berkahwin dengan pasangan yang lebih muda?

Entahlah apa nasib Beckham selepas ini. Bolehkah dia “survive” jika dilepaskan? Bolehkah komuniti monyet menerima spesis yang sudah seperti separuh manusia ini?

Terkini: tadi menelefon emak. Kata emak, ada orang kampung yang akan ambil Beckham sebentar lagi. Masalahnya orang itu penagih dadah sejak muda. Saya kenal orang itu. Memang emak baik dengan semua orang, tidak kira siapa pun. Tapi hati saya bimbang...takut Beckham pun terjebak dalam gejala sosial...

Tuesday, May 10, 2011

Selamat berpisah Beckham...



Pulang menjenguk Beckham baru-baru ini, dia sudah tidur di kurungan bersama Boy, kakak angkatnya. Saya kejutkan dia. Dia memeluk saya erat.

"Tak tahu kenapa, tangan sebelahnya lembik. Barangkali terhempap troli siang tadi. Tapi masih boleh makan dengan tangan yang sebelah lagi" kata emak. Mata saya berkaca. Dia menangis tak? Tanya saya. Kata emak, dia macam biasa-biasa saja. masih aktif lompat ke sana-sini. Kesian Beckham. saya pegang tangan sebelah yang lembik itu. Terkulai sahaja. Ekornya yang panjang membelit lengan saya.

Saya suapkan pisang yang saya belikan untuknya. Apabila saya menanyakan apa yang terjadi sehingga tangannya lembik sebelah, dia berbunyi-bunyi seolah-olah mahu bercerita. Selalunya begitulah. Selepas dimandikan oleh kakak, dia akan melompat ke arah saya dan mendekatkan mulutnya ke muka saya, berkumat-kamit bercerita.

Menelefon kakak, kata kakak, tangannya sudah ok. Sudah sembuh sepenuhnya. Dia akan dilepaskan ke hutan. Tapi emak akan melatihnya dahulu untuk berdikari. Mula-mula emak akan meletakkannya di kawasan bendang terbiar, kalau dia pulang ke rumah, tidak apalah, kata emak.Kemudian perlahan-lahan akan dibebaskan ke hutan. Beckham makin dewasa. Ogos ini genap setahun. Mungkin Beckham perlukan isteri dan membina keluarga. Harap-harap dia selamat di hutan nanti.

Saya sangat sedih. Sepanjang malam saya menangis. Tapi si manja saya itu ada kehidupannya sendiri. Jika sayangkan sesuatu, lepaskan dia...dan saya sayangkan Beckham...

Raikan Emak Sebelum Terlambat



Mei selalunya istimewa...pertamanya kerana ulang tahun kelahiran anak bongsu saya, perayaan yang menghargai jasa guru dan pastinya kerana adanya hari ibu.

Saya menelefon emak hari Sabtu. Saya mahu jadi orang pertama mengucapkan selamat hari ibu. Memang pun saya selalu menjadi orang pertama daripada enam beradik itu.

"Maaf mak, tak dapat balik jumpa mak. Esok ada rawatan, hadiah pun tak dapat hantar..." kata saya. Emak seperti biasa memulakan perbualan dengan ketawa. Tak payahlah, kata emak. Banyak sangat yang sudah diberi. Yang penting ialah kos rawatan saya, leter emak. Apabila saya mendesak, mak katakan pada saya kalau mahu juga memberi, belikan dia kipas meja kecil yang murah-murah saja. Kipas lama di biliknya sudah rosak. Pagi itu juga saya ke bandar, mencari yang sesuai. Tapi tiada yang berkenan. Langsung saya mengirim wang kepada kakak di Ipoh, mohon belikan emak kipas meja kecil.

Memang...bukan hadiah yang emak dambakan. Emak hanya mahukan doa, mahukan anak-anaknya sihat sejahtera. Itu sudah cukup baginya. Sejak pemergian ayah sebelas tahun lalu, saya tahu emak sunyi. Be

Bunga Matahariku...sudah 19 tahun usiamu

11 Mei 1992...jam 7.50 pagi...Hospital Universiti Malaya, KL.


Mudahnya melahirkan dia. Saiznya lebih besar daripada si kakak. Dia sihat dan montel. Apabila diletakkan bersebelahan bayi lain, dia kelihatan berbeza. Sudah tentu kerana "debabnya" dia. Seperti si kakak, kulitnya putih. Ini kerana meskipun sangat tidak menggemari soya, tetapi sepanjang kehamilan, saya memaksa diri meminum soya demi mendapatkan kulit yang cantik buat bayi2 saya.

Tahun 1990, di hospital yang sama, saya melahirkan si kakak. Saya hampir dibedah kerana bayi menghadapi masalah.Selepas dilahirkan, dia dikejarkan ke ICU. Ibu2 lain sudah mula menyusu anak, katil comel di sebelah saya masih kosong. Kasihan dia. Hati saya tak henti berdoa, kembalikan bayi saya. Tuhan, kembalikan bayi saya. Akhirnya bayi saya selamat meskipun membesarkannya sedikit payah. Meskipun dengan "kebodohan" tanpa ilmu seorang ibu, Allah memberikan saya anak-anak yang baik.

Si bunga matahari dilahirkan dengan warna ceria meskipun ada cerita duka yang melatari hidup kami. Tapi Allah maha agung. Memiliki dua anak perempuan, tidak sesukar seperti yang digambarkan. Meskipun ada dentam dentumnya di sana sini, saya sangat mensyukuri nikmat Allah yang tidak terhingga. Anak2 tahu bagaimana mahu menggembirakan hati saya. Saya selalu lupa bahawa anak2 saya sudah melepasi usia anak-anak kecil...saya selalu lupa...

Sewaktu kehamilan, saya selalu membawa si kakak dan adik yang masih janin ke Balai Seni Lukis Negara yang pada waktu itu terletak berhampiran Masjid Negara. Hati saya meminta, Tuhan...kurniakanlah bakat melukis keindahan alam ini kepada janin saya ini dan kurniakanlah juga bakat menulis untuk anak sulung saya. Allah mendengar dan Dia memakbulkan doa saya. Begitu juga tatkala saya berdoa agar dikurniakan seorang lagi anak perempuan, Dia memakbulkan doa saya.

Semasa kecil, si adik selalu disangkakan lelaki. Di mana2 pun dia akan disapa "abang" atau "handsomenya..." sehinggalah semasa di tahun 4, dia mengambil keputusan mengenakan tudung kerana rimas dengan sangkaan orang ramai.

Begitulah bunga matahari dan bunga melur saya. Bunga matahari yang tetap ceria dan bunga melur yang lembut putih. Terima kasih kerana menjadi anak-anak saya yang manis dan manja. Terima kasih Allah...terima kasih.

Monday, May 9, 2011

Dale Carnegie bunuh diri?



Terkejutnya!

Saya terbaca sebuah artikel di akhbar alternatif (yang turut menyiarkan sajak saya berjudul Sumpah Sesumpah). Penulis motivasi kesukaan saya (yang buku-bukunya memenuhi rak saya) meninggal dunia kerana membunuh diri!

Saya masih ingat bab-bab dalam bukunya yang menceritakan bagaimana mahu mengatasi rasa cemas. Kata dia, cemas boleh membunuh. Kita akan mati sebelum waktu kematian itu menjemput dek kerana rasa cemas. Tapi hakikatnya?

Ada juga penulis buku beragama Islam yang mengulas tentang isi motivasi Dale dan disesuaikan dengan nilai-nilai Islam. Saya sukakan buku-bukunya dan selalu rasa marah apabila orang yang meminjam, buat-buat lupa untuk memulangkan buku saya.

Kemudiannya mengalih selera, saya membeli buku-buku penulis lain, antaranya buku yang terkenal "La Tahzan" , dua buah. Satu untuk arwah bapa mertua saya dan satu untuk koleksi saya. Apabila arwah bapa mertua meninggal dunia, buku itu saya ambil. Ada catatan saya, "bapa, buku adalah teman baik untuk bersembang..." dan kemudian ada catatan kecil di bawah tulisan buruk saya itu, bapa mencatat "Insya Allah, terima kasih" berserta dengan tarikh beliau mula membaca.

Semalaman saya masih bingung. Dale membunuh diri? Kalau beliau muslim, tentu beliau tidak akan melakukannya...saya pasti!

Sunday, May 8, 2011

Koc Wanita



8 Mei 2011. Jam 8.30 pagi.

Tren bergerak menuju ke Bandar Tasik Selatan. Temujanji dengan doktor tidak menetapkan waktu khusus. "Jam 8 pagi saya akan mulakan rawatan..." kata doktor yang tidak pun ibu kenali di hujung talian.

Pergi dan balik, ibu berada di koc khas untuk wanita. Tetapi apa yang ibu perhatikan, ada juga lelaki yang selamba masuk atau sengaja masuk ke dalam koc hingga mengundang jelingan dan senyuman sinis penumpang. Menurut anak ibu, yang masuk itu adalah dalam kalangan pendatang asing yang tidak memahami maksud "koc untuk wanita". Walhal jelas tertera gambar dan tulisan yang besar dengan warna pink lagi...dan di setiap stesen, ada yang akan mengingatkan tentang koc tersebut melalui pembesar suara.

Maknanya, kita kena lebih serius dalam membudayakan pengasingan ini. Ibu teringat apabila dulunya cadangan pengasingan koc ini pernah ditertawakan di parlimen. Namun akhirnya mereka mendengar juga cadangan pembangkang. Kesannya ibu rasa lebih selamat dan "sihat" tanpa ada mata lelaki yang sibuk merenung di koc khas buat wanita.

Sunday, May 1, 2011

Satu Lagi Kelahiran...



Jumaat itu saya bercuti. Telefon bimbit berbunyi  membawa khabar bahawa seorang teman akrab saya telah berjaya menjadi ibu. Dia teman saya yang paling memahami. Saat mahu disunting beberapa tahun lalu, dia menjadikan saya berasa sangat dihargai. Dia datang menemui saya (dan naluri saya dapat mengagak bahawa teman saya itu, hatinya sudah ada taman...). Teman saya itu menginap sehari di rumah saya, malamnya dia memberitahu mengenai lelaki yang mahu memperisterikannya, dan rupa-rupanya dia belum memaklumkan kepada keluarganya mengenai hasrat lelaki tersebut yang mahu datang ke Terengganu (daerah kelahirannya) untuk menjalankan urusan peminangan. Saya berasa sayu saat itu kerana akhirnya Allah telah memberikannya jodoh yang baik. Dia benar-benar menjadikan saya sebagai "kakak" tempat dia mengadu masalah. Saya sayangkan dia, sementelahan saya sendiri tak punya adik perempuan.

"Susahnya nak jadi ibu rupa-rupanya ya..." katanya dalam mesej. Dia menceritakan bagaimana dia menggigil ketakutan selepas selesai menjalani pembedahan. Saya tersenyum membaca mesejnya itu. Teman akrab saya itu sebetulnya telah hilang satu "nikmat" kesakitan menjadi ibu apabila terpaksa bersalin dengan cara pembedahan, bukan kelahiran secara normal. Apa pun saya sangat gembira kerana dia dan bayi perempuannya selamat dan sihat.

Saya berpesan supaya membaca doa khusus tatkala mahu menyusukan si bayi. Mudah2an anak itu akan jadi anak solehah, yang jika pun tersasar, pasti kembali semula ke pangkal jalan. Saya amat yakin dengan aturan dan janji Allah ini. Sejauh mana seluang melaut...

Membesarkan anak pada zaman ini sangat mencabar. Jauh bezanya dengan ibu bapa kita dulu. Saya enam beradik. Ayah asalnya seorang SC, yang kemudiannya bekerja di sawah dan kebun getah. Emak juga bekerja di sawah dan menoreh. Rumah kami tiada elektrik. Bilik air juga tidak ada. Sungai di sisi rumah digunakan semaksimum mungkin. Tiada TV, yang ada hanya radio transistor usang. Kami membesar tanpa pengaruh "kejahatan" internet atau "kemungkaran" media TV.

Apa pun cabarannya, kita kena hadapi dengan segenap kekuatan mental dan fizikal. Mudah2an Allah mengurniakan kekuatan kepada kita selaku ibu bapa untuk mendepani segala cabaran.