Total Pageviews

Wednesday, April 27, 2011

Bersedekahlah...




"Kata-kata manis itu juga sedekah" Hadis Riwayat Bukhari & Muslim.

Setiap muslim dituntut untuk bersedekah sebaik sahaja bangun daripada tidurnya. Senyum itu sedekah, membuang kotoran dan benda yang menghalang di jalanan itu sedekah, berkata-kata manis itu juga sedekah. Alangkah mudahnya untuk mendapat pahala, asal saja dilakukan dengan hati yang ikhlas.

Ustaz juga bercerita tentang kisah yang biasa kita dengar iaitu cerita tikus dan singa. Tikus yang berjalan di atas singa yang sedang tidur, telah mengejutkan sang raja rimba sehingga tikus berada dalam genggaman si singa. Tikus merayu agar dia dilepaskan. Dia berjanji akan membalas kebaikan singa jika dia dilepaskan. Singa ketawa mengejek kerana bagaimana mungkin seekor binatang kecil dan lemah itu mampu membantu seekor binatang gagah perkasa sepertinya.

Tetapi sisi baik seekor singa telah berjaya memujuk hatinya untuk melepaskan si tikus. Pada waktu yang lain, singa terjerat oleh kebijaksanaan pemburu. Kebetulan (macam cerita hindustan) tikus berada di situ. Maka tikus pun melangsaikan janjinya. Rupa-rupanya tikus yang kecil dan lemah itu mempunyai kekuatan lain iaitu giginya mampu untuk menggigit apa sahaja. Singa pun terselamat (happy ending...)

Natijah daripada cerita itu amat mudah. Kata ustaz, kita jangan sesekali memandang rendah terhadap orang lain yang kelihatan lebih lemah daripada kita. Kita tidak tahu siapa dia selepas beberapa lama. Mungkin dia akan menjadi seorang yang lebih hebat daripada kita. Kata ustaz, wahai singa-singa sekalian, janganlah terlalu memperkecil-kecilkan tikus-tikus seperti kami. Satu hari nanti apabila kami menggigit, maka kamu akan terkejut dengan kekuatan kami.

Menarik sekali cerita ustaz yang bersuara lembut bersahaja itu. Ibu terus mengingatkan diri sendiri supaya jangan menjadi singa yang sombong. Juga mengingatkan ibu untuk selalu bersedekah dengan kata-kata manis.
Menyukakan hati orang juga dapat pahala.

Tuesday, April 26, 2011

Memberi dan Menerima



Allah menguji kerana Dia mengasihi...

Petang semalam, usai temujanji dengan pakar di hospital, saya berbaring penat. Ada rasa cemas yang sedikit mengusik hati tetapi entah mengapa Allah menggerakkan sekian banyak sms yang datang menghuni telefon bimbit usang. Rasa gembira dan lega membaca berita rakan-rakan. Rasa cemas pun hilang.

Saya lekas mencapai sebuah buku motivasi tulisan murabbi yang saya gemari. Buku terjemahan sebenarnya. Tentang bagaimana menghilangkan rasa cemas, bagaimana mahu mengikhlaskan diri, bagaimana mahu menjadi manusia yang putih hati.

Katanya, kita akan jadi seperti apa yang kita fikirkan. Langsung beliau memetik ayat Quran yang saya lupa surahnya. Tetapi inti pati cerita, Allah sendiri mahu kita berfikiran positif. Sentiasa berbaik sangka.

Saya selalu ingin memberi. Tetapi kadangkala keupayaan itu tidak ada. Kadangkala pemberian itu pula menjadi bahan kedengkian orang lain. Maka kisahnya sudah jadi lain.

Apapun, saya akan terus berkhidmat dengan kudrat yang ada. Saya senang sekali mengasihi orang lain, maka saya juga senang sekali jika orang lain mahu mencintai saya. Hidup untuk memberi dan menerima.
Untuk adik Ati yang masih mengenang saya, terima kasih. Mudah-mudahan Allah melapangkan hidup kita, meluruskan jalan kita ke cahaya kebenaran.

Wednesday, April 20, 2011

Mengkagumi TGNA



Ada seorang figur yang saya sangat ingin bertemu.

Rak buku saya mempunyai beberapa buah buku tulisannya. Saya sangat gemar membaca buku tulisan beliau. Bahasanya mudah difahami, khususnya untuk orang-orang yang "kurang pandai agama" seperti saya. Saya banyak membaca mengenai beliau, kesederhanaan dan keperibadian beliau.

Seorang lelaki berpakaian sederhana, raut wajahnya tenang, setenang percakapannya apabila mengulas sesuatu. Lelaki itu diserang dengan peluru tajam media, tetapi beliau masih mampu tersenyum dalam keuzurannya.

Keperibadiannya sebagai pemimpin kerajaan sangat jauh berbeza dengan pemimpin-pemimpin lain. Mudah-mudahan satu hari nanti saya dapat menziarahi beliau di kediamannya di Kampung Pulau Melaka. Saya selalu dilanda kebimbangan jika satu waktu nanti, Allah memanggil beliau pulang. Di manakah akan dapat dicari ganti pemimpin sebaiknya?

Saya cemburu dengan rakyat negeri itu. Mereka punya pemimpin zuhud yang meletakkan agama di hadapan. Mereka tidak perlu bersusah payah menanti pintu pagar yang bernilai ribuan ringgit dibuka, atau terpaksa melepasi puluhan pengawal untuk bertemu dengan beliau. Kerana pemimpin rakyat sepertinya memang tidak punya semua itu.

Semoga Allah menyihatkan beliau. Memberinya kekuatan untuk terus memimpin dan menyebarkan ajaran agama.

Saya terlalu ingin bertemu...tapi entah bila.

Memerhati Dengan Takjub



Saya gemar memerhati orang ini.

Wajahnya menunjukkan bahawa dia sudah begitu lama menghuni dunia ini. Sudah pasti dia seorang yang sangat kaya. Tetapi ketekunannya selalu mencuri perhatian saya.

Dia melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh. Tiada kompromi dengan perubahan cuaca. Dia melakukannya dengan penuh rasa cinta. Saya pasti kerana tugas itu adalah dunianya.

Dia memberikan saya sepasang kasut yang sangat kuat. Memperbaiki yang rosak, memastikan kasut berjenama tetap angkuh dengan jenamanya. Keselesaan saya pasti sahaja berkat ketekunan orang ini. Dia amanah dalam kerjanya. Sudah pasti Allah akan memberikannya kebahagiaan setiap kali kerja membaiki kasut selesai.

Tadi saya katakan dia sangat kaya. Pasti sahaja dia kaya. Pengalamannya sudah tentu tidak terjual di mana-mana pasaran. Persepsinya tentang kehidupan pasti sahaja tidak sama dengan persepsi kita, orang yang "biasa-biasa". Barangkali dia hanya lulusan Darjah Enam sekolah Melayu, tetapi kehebatannya mampu menerajang bergulung-gulung ijazah yang kita miliki ke dalam longkang kotor di pekan kecil itu.

Berikan saja sepasang kasut yang rosak kepada kita yang konon hebat dengan ijazah sarjana dan doktor falsafah. Kita tak akan mampu membaiki kasut seperti dia menjadikan kasut itu sempurna. Itu contoh cabaran yang mudah.

Apa pun, lelaki tua itu melakukan kerjanya dengan ikhlas. Ikhlas itu persis seekor semut hitam di atas batu hitam di tengah-tengah malam pekat tanpa sebutir bintang. Tetapi kita dapat merasainya tatkala kita menyarung kasut yang dibaikinya...

Monday, April 18, 2011

Tanda-tanda Sudah Tua




Ada beberapa tanda kita sudah melangkah ke dunia "tua"...

Di rumah, sudah ada barisan minyak angin dan minyak urut. Itu tanda yang pertama.

Apabila berada di pusat membeli-belah, panggilan yang diterima bukan lagi "kakak" tapi "mak cik", bukan lagi "abang" tapi "pak cik". Itu tanda kedua.

Kita sudah mula cenderung menonton Al-Kulliyyah, berbanding rancangan Mentor. Itu tanda ketiga.

Kita sudah mula mendengar siaran Radio IKIM, Sinar fm dan paling akhir Klasik fm. Otak berserabut apabila mendengar lagu-lagu yang tak ketahuan hala seni kata dan lagu. Itu tanda keempat.

Banyak lagi tanda yang menunjukkan bahawa kita sudah mula menjenguk ke rumah "tua". Semuanya itu petanda bahawa kita perlu mengubah haluan kita ke sisi yang lebih baik. Kita kembali ke landasan jika kita pernah tergelincir. Kita perbaiki kekurangan diri. Kita dekatkan diri kepada Dia yang Maha Kuasa.

Gembiranya menjadi tua...

Cuaca Hati



Cuaca di luar akan dipengaruhi oleh cuaca hati kita...

Demikian tazkirah yang saya dengar pada pagi Ahad lepas di Radio IKIM.

Kemudiannya saya memahami, sekiranya cuaca hati kita gembira dan positif, cuaca di luar juga akan jadi begitu. Bermaksud, persepsi kita terhadap cuaca mendung di luar juga akan menjadi positif. Hujan yang turun mencurah akan menjadi pemandangan yang sangat cantik. Sinar mentari yang panas akan menerbitkan keghairahan kita meneruskan hidup.

Ustaz seterusnya menyebut tentang rasa amarah. Marah jangan terlalu...nanti hangus. Marah jangan tiada...nanti dayus. Marah bukan untuk dihapus, tapi diurus. Apabila kita marah dengan tidak terkawal, kemarahan itu lebih membakar diri kita daripada diri orang yang kita marah.

Ustaz juga menyebut mengenai penulis kesukaan saya, Dale Carnegie. Kata Dale, kritikan yang keterlaluan merupakan pujian secara tidak langsung. Kadangkala musuh tidak dapat mencari kekurangan kita, jadi mereka cuba juga untuk mengkritik kita.

Jadi kenal pasti cuaca hati kita. Jangan biarkan cuaca hati kita menjadi mendung kerana kita akan mendapati cuaca di luar yang cerah, menjadi cuaca yang tidak menarik dan merimaskan.

Hari ni cuaca pasti berubah. Hujan pasti turun. Saya sukakan hujan. Cantik dan mendinginkan...

Tuesday, April 12, 2011

Menjaring Masalah



Jika diberikan berbilion ringgit untuk digantikan dengan sepasang mata kita, adakah kita bersetuju untuk menjadi buta?

Kita selalu mengeluh dengan rencam masalah yang melanda kita. Kita tidak berpuas hati dengan bebanan kerja yang diberikan kepada kita. Kita mengeluh kerana gaji yang tak pernah cukup. Kita tidak mengerti mengapa orang lain hidup bermewah-mewah sedangkan kita terpaksa mengikat perut. Kita selalu merungut dengan hidung kita yang tidak semancung rakan kita, malahan kita gelisah kerana orang lain berkereta besar, sedangkan kita hanya mampu bermotosikal kapcai.

Sedarkah kita bahawa semua itu hanya sekelumit ujian Allah berbanding kenikmatan-Nya yang menyelimuti hidup kita. Ujian kenikmatan tidak kita sedari, tetapi kita lebih bising dengan ujian kesusahan yang sedikit itu. Kita tidak bersyukur, tidak menghargai udara yang Allah berikan untuk kita sedut. Kita tidak menghargai nikmat kesihatan, nikmat kebahagiaan, nikmat boleh makan dan minum, nikmat kaki dan tangan, nikmat mata dan telinga, nikmat punya suara, dan nikmat-nikmat lain yang tak terkira.

Tentunya kita pernah bertemu dengan orang yang sentiasa tidak berpuas hati dengan segala yang ada di sekelilingnya. Jika setakat tidak berpuas hati masih tidak mengapa. Tetapi rasa tidak puas hati itu melarat-larat kepada sifat dengki, saling menjadi seperti ketam yang menarik kaki ketam yang lain. Akhirnya masalah menjadi semakin membesar, tiada lagi ruang untuk penyelesaian.

Menjaring masalah bermula dari dalam diri. Kita perlu belajar bersyukur, melatih diri kita untuk bersyukur. Kita perlu berada dalam lingkungan orang-orang yang positif. Agar kita dapat membentuk peribadi kita menjadi manusia positif. Manusia yang sentiasa melihat segala yang ada di sekeliling kita sebagai nikmat Allah yang tidak terhingga.

Terima kasih Allah. Yang memberikan segalanya.

Thursday, April 7, 2011

Kenangan terindah itu



Waktu anak-anak masih kecil, ibu selalu terkenangkan kegembiraan yang mereka bawa dalam hidup ibu.

Selalunya dalam perjalanan yang jauh dan di malam gelap pekat, ibu akan meminta mereka mengaji. "kakak, adik. Cepat mengaji. Syaitan takut kalau kita mengaji..."

Maka si kakak dengan penuh rasa tanggungjawab seorang anak sulung, segera memimpin bacaan dan "memerintahkan" adiknya mengaji.

"Alif, ba, ta, sa,.............wassalamu..." Sekuat-kuat hatilah mereka "mengaji". Kemudian kakak mengadu, "ibu tengok adik ni. Baca pelan-pelan, nanti syaitan tak dengar!"

Hahaha... anak-anak yang manis, dengan keletah yang menghiburkan. Si kakak yang akan membuat laporan setiap kali ibu pulang ke rumah. Adik lambat sembahyang, adik buat semak, adik itu dan ini. Si adik pula memang sengaja mahu bermanja. Penuh satu biliknya dengan permainan, buku-buku yang disusun berfungsi sebagai jambatan, sebagai rumah dan bermacam-macam lagi kreativitinya. Ibu terharu melihat si kakak menjaga adik, terharu melihat kepatuhan si adik terhadap arahan si kakak.

Ada sekali, ibu terpaksa ke Sarawak hampir seminggu. Mereka waktu itu masih di sekolah rendah. Ibu masakkan makanan dan melabelkannya. Hari-hari tertentu ditulis di bekas makanan. Tugas kakak hanyalah memanaskan makanan dan menghidangkannya. Ibu siap menulis senarai perkara yang perlu mereka lakukan sepanjang hari, dengan peringatan-peringatan yang panjang.

Jika dalam perjalanan yang jauh atau di tengah jantung Kuala Lumpur, si adik dan kakak tidak membenarkan saya membuka radio kereta atau mendengar lagu-lagu pop. "Nanti sesat, ibu. Tuhan marah" Begitu peringatan mereka kepada saya kerana saya pernah menyatakan sekali kepada mereka. Dan mereka pula yang mengingatkannya kepada saya.

Saya melarang mereka menggunakan perkataan "bodoh". Jadi apabila mereka mahu menceritakan sesuatu dan berasa mahu mengatakan perkataan itu, mereka akan menukarkannya begini, " Bo... (kemudian memandang mata ibu yang terjegil)....boni betul lah orang yang buang sampah tu...."

Terima kasih kepada anak-anak dan kenangan. Sangat manis dan menyayukan.

Hati Emak



"Macam mana? " Suara emak di hujung sana, ada nada rasa yang macam-macam.

Saya tahu emak risau. Nadanya memberitahu kerisauan itu. Sepositif mana pun emak, apabila isunya berputar kesihatan anak, emak mana pun pasti gelisah.

Saya teringat sesuatu. Seorang ibu tidak akan tidur lena sebaik sahaja anaknya lahir ke dunia sehinggalah si ibu menutup mata. Walau setua mana pun anak, dia tetap "kecil" di mata seorang ibu. Apalagi bagi "anak manja" yang "lembik" seperti saya.

Tapi kemudiannya seperti biasa, emak kembali positif. Dan itulah sumber kekuatan saya, seorang emak yang sangat positif!

"Yang masih ok, emak" dan saya ketawa. Tapi emak yang kaya pengalaman pasti tahu saya berpura-pura ketawa. Bercakap dengan emak (walaupun bermakna 80 peratus daripadanya saya yang mendengar: kerana emak memang suka bercakap!), sangat melegakan saya. Saya kembali menjadi saya, bunga matahari yang riang gembira.

Saya sangat beruntung...

Wednesday, April 6, 2011

Ujian Allah Tanda Dia Mengasihi



Pagi-pagi ibu berdoa.

Ya Allah, janganlah Kau uji kami dengan ujian yang tak mampu untuk kami menanggungnya. Ya Rabbi yang Maha Pengasih lagi Penyayang, permudahkanlah segala kesukaran kami dan jadikanlah kami hamba-Mu yang sentiasa bersyukur dengan segala yang Engkau anugerahkan...

Susah dan senang adalah ujian. Kesenangan diberi untuk menguji sama ada kita spesis yang bersyukur atau tidak. Kesusahan diberi untuk melihat sejauh mana kesabaran kita.

Sebagai manusia, kita selalu lupa. Kita lupa bersyukur bahawa kita dikurniakan kaki, sehinggalah kita melihat manusia lain tanpa sepasang kaki. Kita tidak bersyukur dengan wajah yang diberi Allah sehinggalah kita melihat ada orang lain yang wajahnya tidak seperti wajah manusia.

Apa pun, Dia menguji kerana Dia mengasihi...

Tuesday, April 5, 2011

"Kakak Yang Perasan Muda..." Hahaha



Hari ini rasa lucu.

Sebabnya ada seorang junior mencari yang mana satu Kak.... (mengikut panggilan biasa di tempat kerja). Seorang rakan rapat menyebut, "ala, kakak yang perasan muda tu...". Hahaha...ibu ketawa lucu.

Memang ibu gemar berkawan dengan junior. Mereka sangat riang, tiada banyak masalah, malahan tahu hal ehwal dunia dengan lebih cepat dan tepat. Ibu pun rasa muda, rasa riang dan gembira. Kadang-kadang mereka mengajak ibu keluar shopping , yang berakhir dengan ibu yang membeli, sedangkan mereka hanya window shopping. 

Perasaan riang gembira itu akan membentuk aura yang riang gembira juga. Ada yang meminta nasihat, dan ini merupakan satu penghargaan buat ibu. Meskipun kadang-kadang apa yang ibu nasihat tak pernah pun ibu buat (Wahaha...harap-harap mereka tidak membaca yang ini). Walau pun begitu itu tidak bermakna, rakan sebaya dan senior tidak bagus. Rakan sebaya dan senior besar tanggung jawabnya, jadi mereka seperti tidak punya waktu bercanda. Jawatan selalu membataskan. Jam merupakan alatan penting. Habis kerja, bergegas pulang.

Buat adik-adik, terima kasih kerana sudi berkawan dengan "kakak yang perasan muda" ini. Wahaha...entah kenapa ibu rasa lucu dengan anugerah baharu itu.

Harap-harap ibu akan terus muda...di wajah dan jiwa...meskipun bukan pada usia!

Cuaca yang sekejap manis, sekejap masam



Gadis jelita di kaca TV menyebut dengan ayat yang dilenggokkan, "perubahan monsun dan fenomena El NiƱo (sebutan espanyolnya ialah el ninyo) menyebabkan cuaca jadi tidak menentu. Orang ramai dinasihatkan minum air dengan kadar yang banyak dan berhati-hati dengan virus yang berkait dengan influenza"

Semalam cuaca panas pijar. Masuk ke rumah seperti masuk ke dalam oven. Sudah dibukakan pintu dan dilebarkan jendela, dikuatkan juga kipas namun panasnya tetap menjerat. Rumah jiran sebelah ada pendingin hawa, jadi seksanya hanya separuh. Rumah yang hanya bergantung kepada kipas yang berputar di lelangit rumah, sukar untuk didefinisikan kepanasannya. Padahal pagi, hujan turun menyembah bumi. Tengah hari, petang dan malamnya, aduhai...

Malam, ibu bukakan pintu gelongsor luas-luas. Air di kamar mandi juga panas. Ibu tidak minum ais, tiada ais pun dalam peti sejuk. Sejak anak-anak kecil, mereka sudah biasa tiada ais di rumah. Jadi waktu-waktu panas begitu, mahu rasanya mencari ais dan baring di atasnya.

Ibu segera terkenang lagu Ebiet G Ade. Kita memusuhi bumi, maka sudah tiba masanya bumi membalas dengan amarahnya. Tsunami, gempa bumi, kemarau panjang, musim yang bercelaru, semuanya itu petanda. Allah yang sangat pengasih dan penyayang memberikan kita segala-galanya tetapi kita tidak menghargai. Kita merosakkan yang cantik, kita mengotorkan yang bersih.

Dan sekarang, kita terimalah akibatnya. Seperti teori fizik, bola yang kita lontar ke dinding, akan melantun semula ke arah kita. Jika kuat lontarannya, maka kuatlah lantunannya.

Fikir-fikirkanlah...

Monday, April 4, 2011

Cerita Pohon Raksasa



Wajah  yang murung dan sembab di pagi hari...

Kasihan dia. Masalahnya sangat besar dan dia mesti mendepani masalahnya dengan segenap keberanian.

Dia dikhianati. Satu masalah yang sangat sinonim dengan wanita. Luka yang sembuh pun akan menjadi dendam. Dendam wanita jangan dibuat main-main. Wanita yang lemah boleh menjadi sekejam Hitler jika dendamnya tidak dikepung dengan iman.

Ibu kemudiannya teringat satu cerita. Mengenai pohon raksasa yang telah 400 tahun hidup di tengah belantara Amazon. Ingin sekali ibu menceritakan kisah pohon itu kepadanya, tetapi mungkin sekarang bukan masanya yang sesuai.

Di jantung hutan Amazon, ada sepohon pokok raksasa yang telah hidup megah selama 400 tahun. Sepanjang waktu itu, dia telah mengharungi kedinginan salji, musim kemarau yang panjang, ribut dan taufan menggila. Dia telah mengalami panahan petir setiap kali musim hujan. Sewaktu pohon-pohon lain di sekelilingnya rebah dan tumbuh pohonan baru, si pohon raksasa tetap berdiri megah menghadapi rintangan angin. Dia menjadi pelindung kepada pohon-pohon kecil, menjadi teduhan haiwan, menjadi rumah serangga dan unggas.

Kemudian datanglah sekumpulan kumbang yang kecil. Sangat kecil. Kumbang-kumbang ini hinggap di batang pokok dan mula memasuki kulit pohon raksasa. Lama-kelamaan pohon yang berdiri megah selama 400 tahun ini perlahan-lahan mereput, dan akhirnya tumbang menyembah bumi. Pohon yang hebat ini, yang sanggup mendepani segala macam cabaran sepanjang hayat yang lama itu, akhirnya runtuh kerana serangan serangga yang amat kecil.

Air mata ibu menitis tatkala membaca cerita ini. Cerita yang ibu peroleh daripada buku-buku penulis kesukaan ibu, Dale Carnegie. Meskipun sudah lama ibu membacanya, ibu tetap mengingati kepiluan pohon raksasa. Ibu menceritakan dengan penuh perasaan kepada anak-anak di kuliah, sehingga mereka juga menitiskan air mata. Namun kerana perubahan kerjaya dan subjek, ibu tidak boleh lagi bercerita.

Moral of the story?  Kita telah dewasa dengan keberanian menghadapi pelbagai cabaran yang datang menggugat emosi kita. Kita selalu berasa tercabar, kita menjadi lemah tetapi kita tetap bangun untuk berjuang melawan segala cabaran dan masalah itu. Segala masalah itu telah mendewasakan kita, menjadikan kita kuat dan tabah. Bertahun-tahun kita mendepani segala rintangan yang datang sehingga membentuk keperibadian dan jati diri. Oleh yang demikian, janganlah kita menjadi lemah kerana "serangan kumbang-kumbang kecil" yang boleh meruntuhkan keperibadian yang telah kita bina selama ini.

Ingin sekali ibu bercerita seperti dulu...malahan bercerita kepadanya. Agar wajah suram dan murung di pagi hari itu bertukar semeriah bunga matahari. Takdir bukan dalam genggaman kita yang lemah ini. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam perjalanan hidup kita. Kita yang mentadbir, Dia yang mentakdir. Apa yang kita mampu hanyalah berusaha dan berdoa, agar kesejahteraan memayungi hidup kita dari silara ke akarnya...

Sunday, April 3, 2011

Komik Dan Saya



Komik bukanlah sesuatu yang kosong...demikian kata anak saya, peminat fanatik anime.

Maka saya pun menjadi pembaca komik. wah, memang benar komik juga mempunyai nilai yang baik. Saya selalu terbawa-bawa dengan karektornya. Ada waktunya saya sedih, ada waktunya sangat kelakar. Saya selalu memikirkan bagaimana berkuasanya Allah memberikan idea kepada komikus-komikus dan kartunis-kartunis dalam menyampaikan maksud di sebalik lakaran mereka. Tidak kira apa pun isu, mereka menyampaikan dengan cara mereka sendiri.

Kami tidak keberatan membawa anak ke pesta komik di KL dan Melaka. Secara tidak langsung saya juga menggemari komik. Saya membaca komik dari Korea dan Jepun. Saya juga gemar menatap Gempak atau Arena. Saya juga sudah terbiasa membaca dari arah bertentangan, kanan ke kiri. Kerana demikianlah lazimnya komik dari Jepun dan Korea dibaca. namun harus diingat, ada nilai-nilai tidak baik juga terdapat dalam komik. Terpulanglah kepada kita untuk menapis dan memikirkannya.

Semalam saya masuk ke bilik komik anak dan mengambil tiga buah komik. Hahaha...saya telah memulangkannya semula dan menyusun baik-baik, supaya dia tidak perasan saya telah mengambil komiknya. Seronok membaca komik dan alangkah baiknya jika ada komik yang memasukkan nilai-nilai Islam ke dalamnya. Atau sekurang-kurangnya ada yang mengikut konsep majalah LANUN yang diterajui oleh Ujang satu waktu dahulu. Banyak yang saya pelajari tentang doa dan hal-hal agama melalui majalah LANUN. Mudah-mudahan Allah merahmati pelukis dan kartunis yang terlibat dalam majalah LANUN atas manfaat yang telah saya peroleh.