Total Pageviews

Monday, March 28, 2011

Mak Cik Ilusi



Saya sempat bercuti di kampung, sekaligus mengikuti kegiatan sastera. Petang Rabu, tiba-tiba ruimah emak didatangi seorang wanita berusia dalam pertengahan 50-an. Melihat perawakannya, saya dapat meneka bahawa ada sesuatu yang tidak berapa kena dengan wanita tersebut.


Sebenarnya sejak kecil kami sudah biasa dengan kehadiran orang asing yang menumpang di rumah. Emak dan ayah bukan keluarga berada, tetapi budaya menerima tetamu sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan. Kadangkala rumah kami seperti sebuah rumah kebajikan. Apa yang kami makan, itulah yang menjadi hidangan tetamu yang kadangkala tidak diundang.

Wanita itu mahu menumpang tidur di rumah. Dia sibuk bercerita tentang suaminya yang kononnya berada di KL mengutip sewa rumah. Setiap saat dia bercerita tentang suaminya. Kami memang mempercayainya seratus peratus kerana ceritanya sangat meyakinkan. Kalaulah emak tidak membisikkan kepada saya bahawa mak cik itu hanya berilusi, mati-mati saya tidak mengetahui bahawa wanita itu sebenarnya mempunyai suami "ilusi". Suami yang tidak wujud. Kakak saya pula rajin melayan,makin menjadi-jadilah mak cik itu bercerita.Lucu betul apabila saya melihat kakak yang begitu teruja mendengar cerita mak cik ilusi. Sengaja saya merahsiakan cerita emak kepada kakak. Malamnya barulah saya menyebutnya bahawa wanita itu berilusi. Katanya, selepas balik dari KL, suaminya akan membawa dia ke "Pantai Asmara". Bila ditanya di mana lokasi pantai, dia menyatakan pantai itu terletak dalam perjalanan dari Perak ke KL. Dua malam wanita itu menginap di rumah emak. Petang Sabtu dia keberatan untuk pulang. Tapi dia bimbang pula kerana "suaminya" dijangka pulang pada petang itu.

Manusia... manusia....tapi emak berpesan, jangan menghina orang yang seperti itu. Bukan dia mahu jadi sedemikian, kata emak. Kami ingat pesan emak. Akan selalu ingat sampai bila-bila.

Wednesday, March 23, 2011

MGS Ipoh: My Alma Mater




Ibu anak kampung. Bersekolah rendah di kampung. Apabila mendapat tawaran ke Methodist Girl School Ipoh, untuk memasuki kelas Rancangan Khas pada tahun 1979, ibu teruja untuk pergi. Duduk di asrama yang jauh dari sekolah, kerinduan kepada emak dan keluarga, tekanan kerana dikelilingi mereka yang berasal dari bandar dan berbahasa inggeris; menjadikan ibu sedikit terkebelakang. Tapi perjuangan mesti diteruskan.

Ibu masih terkenang bagaimana kami outing ke bandar Ipoh beramai-ramai, memasang aerial di radio transistor kecil untuk menangkap siaran filem "Azura" yang sedang ditayangkan di TV semasa waktu "prep". Hasilnya kami dapat mendengar dialog-dialog yang dituturkan oleh pelakonnya.

Waktu itu kami yang bertudung menerima tekanan berganda. Dalam kelas ibu pada tahun 1979, yang memakai tudung hanya dua orang. Itupun tudung yang diikat ke belakang. Ustazah-ustazah (ada yang lulusan Universiti Al-Azhar) dan pengetua, Miss Wong; selalu memberi amaran agar kami membuka tudung.

Petang sabtu kami akan menunggu kedatangan ane, lelaki tua yang membawa barangan seperti keropok, maruku, roti canai dan barang-barang harian. Kami juga menerima gangguan daripada OTK , istilah yang kami cipta untuk lelaki sakit jiwa yang selalu mengacau kami.

Tuesday, March 22, 2011

Tips pengacaraan majlis rasmi

Red Carpet
1. Jika ada golongan raja/sultan yang hadir, pengacara dilarang memakai pakaian berwarna kuning diraja. Jika golongan kerabat Negeri Sembilan hadir, pengacara dilarang memakai kain songket.

2. Jika mengacara majlis yang dihadiri oleh orang bergelar negeri Perak (contoh: Toh Maharaja Indera Dato Haji Khairuddin) penghormatan protokolnya ialah Yang Dihormati Toh Maharaja Indera.....

3. Protokol majlis rasmi melibatkan 4 perkara. Masa Ketibaan, Masa Kepulangan, Giliran Berucap dan Susunan Kekananan Tempat Duduk.

4. Bagi susunan keutamaan tempat duduk, beri penekanan kepada konsep tuan rumah, kepentingan VIP dalam majlis, Siapa VVIP/perasmi dan juga bilangan genap atau ganjil

5. Jika bilangan tempat duduk ganjil, kekananan bermula dari sebelah kanan tetamu utama (VVIP), kemudian ke kiri, balik semula ke kanan dan seterusnya.

6. Jika bilangan tempat duduk genap, kekananan bermula dari sebelah kiri tetamu utama, kemudian ke kanan, balik semula ke kiri dan seterusnya.

7. Peraturan-peraturan protokol bukanlah sesuatu yang rigid. Boleh diubahsuai mengikut keadaan dan persetujuan pihak terlibat

8. Jika majlis tersebut mengandungi acara-acara yang bertentangan dengan syarak, tidak perlu ada bacaan doa (fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan)

9. Pengacara tidak boleh mengulas, hanya mengacara majlis. Pengerusi majlis boleh mengulas

Ada banyak lagi perkara-perkara berkaitan protokol, pengacaraan majlis rasmi, tertib meja makan, etiket sosial dan sebagainya yang akan cuba ibu tulis dan terbitkan dalam bentuk buku. Insyaallah jika diizinkan Allah. Mudah2an dapat memberikan sedikit informasi kepada semua.

Monday, March 21, 2011

Politik Sengal




Sejak beberapa tahun kebelakangan, politik menjadi-jadi gilanya. Manusia bertuhankan kuasa, maka semuanya menjadi halal meskipun drama ciptaan menampakkan kebodohan penciptanya. Di negeri kelahiran saya, ada terdengar berita kemungkinan besar, parti yang sedia berkuasa akan tumbang semula.

Saya menjadi rimas dengan berita media. Meskipun saya tidak menganggotai mana-mana parti politik, tidak juga minat politik, tapi berita dan olahannya seperti memperbodohkan rakyat yang semakin cerdik dengan langit yang semakin terbuka. Anak saya yang menuntut di IPT juga pernah bercerita, mereka dipaksa mendengar ceramah pemimpin sebuah parti politik di kampus. Dia memaklumkan saya, isi ceramah seakan memperbodohkan mahasiswa, "politik sengal" demikian dia memberikan istilah baru.

Saya terfikir, bagus juga pihak-pihak berkenaan mencipta episod demi episod drama baru membabitkan pemimpin kanan sebuah parti politik, malahan mencipta tuduhan demi tuduhan kepada pemimpin2 lain. Orang yang tidak suka politik pun akhirnya mengambil tahu. Yang rugi ialah pencipta-pencipta drama itu. Mereka akan kehilangan undi. Hantu pun satu hari nanti tak mampu membantu dan memangkah untuk mereka. Mereka sepatutnya belajar daripada kesilapan.

Rayyan Iman...cucuku



Mac 5, 2011 Sabtu

Di skrin handphone usang, tertera mesej. "Sudah selamat bersalin..."

Alhamdulillah. Waktu itu ibu sedang memanjat jendela, untuk memasang langsir baru. Buru-buru bersiap dan terus ke hospital. Beritahu kepada pengawal bertugas, mahu menjenguk anak yang baru bersalin.

Melihat Rayyan Iman, bayi kecil yang masih tidak kenal dunia, ada rasa berbaur. Ibu pegang kepala uminya, dengan pesanan sebaris, "jadi ibu yang baik ya..." Langsung cepat-cepat ibu menoleh dan keluar dari wad. Bimbang ibu menangis atau umi Rayyan yang menangis. Dalam perjalanan balik, memang opah Rayyan yang menangis hingga tak nampak jalan. 

Sudah jadi seorang ibu, maka pasti saja sudah memahami hati seorang ibu.

LEPAS di Kuala Kangsar




16 Mac, ibu bertolak ke KK jam 9 pagi. Ibu perlu tiba di KK sebelum jam 3 kerana dijadualkan mesyuarat Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS) bermula jam 3 petang di dewan PPD KK. Tidak ada yang lain di situ saat ibu tiba. Ibu menjadi ahli LEPAS sejak tahun 1984 sewaktu berada di tingkatan enam rendah Clifford School KK.

Gembira bertemu rakan2 ahli seumur hidup LEPAS. Ada yang sudah meninggal dunia, ada yang sudah uzur. Yang hadir pun tidak ramai. Melihat naskah ANAK yang turut mengandungi tiga buah sajak ibu, ibu agak terkesan. Barangkali kerana ibu bekas editor, ibu cepat menangkap beberapa kesilapan yang agak menonjol. tetapi tidak mengapalah, sekurang2nya buku itu menambah koleksi antologi yang mengandungi karya ibu.

Ibu sentiasa berdoa agar LEPAS terus maju dengan idea-idea baru. Kekal dengan imej mesra yang ada pada ahli2nya seperti sekarang, tanpa mengira perbezaan ideologi politik. Untuk orang2 yang bertungkus lumus bekerja di belakang LEPAS, tahniah dan syabas. Kalaulah ibu tinggal dan bekerja dekat2 sana...tentu banyak sumbangan yang boleh dilakukan.

Monday, March 14, 2011

Histeria: Puncanya apa?




"Tawaran pertama...keluar daripada tubuh orang ini dengan rela atau masuk Islam. Tiada masalah. Jika tidak, saya akan menyembelih kamu dengan izin Allah..." demikian kata Ustaz itu dengan tenang. Remaja perempuan itu dipakaikan telekung untuk mengelakkan auratnya ternampak jika dia melawan.

Ibu bersama beberapa kawan tekun melihat. Biasanya ibu hanya melihat di kaca TV, tapi sekarang ibu melihatnya secara realiti. Seperti lazimnya iblis, licik dan suka menipu. Masuk tawaran ketiga iaitu tawaran akhir, remaja tadi tiba-tiba lembik dan rebah. Namun Ustaz masih tidak berganjak. Fikir ibu, iblis atau jin apa entah sudah keluar daripada tubuh remaja itu.

"Jangan menipu saya..." kata Ustaz. Rupa-rupanya dia masih berdegil. Kemudian ibu lihat seorang remaja lain sudah lain riak wajahnya. Asyik merenung ke satu arah dengan mata yang tajam. Ibu mencuit seorang rakan.

"Lihat tu. Barangkali dia pun..." Remaja yang ini agak melawan tatkala Ustaz melibaskan kain telekung ke belakang badannya. Matanya tajam memandang ke hadapan dengan wajah marah.

Histeria yang menyerang barangkali bermula dengan masalah psikologi. Apabila ada ruang dalam diri sudah sedikit "kosong", maka iblis pun mula mengintai dan mengambil kesempatan. Bukankah iblis itu pendendam sifatnya?

Apapun, ingatlah Allah selalu. Amalkan ayat-ayat Al-Quran. Kita lagi kuat kerana Allah telah membekalkan kita dengan perisai ayat-ayat suci-Nya.

Thursday, March 10, 2011

Keberangkatan Ayah




Saat itu ayah pun berangkat
dengan mata pejam dan wajah tenang
meski selaut sedih bergelombang di dada
kami akur juga akhirnya
kecintaan-Nya melebihi segala cinta

Setiap subuh rindu kami bergetar
pada bunyi telapak kasut ayah
mengejar subuh di surau sepi di kampung kami
pun kami akhirnya mengerti
kerinduan ayah pada-Nya melebihi
segala rindu

Pada saat keberangkatan itu
kami yakin perjalanan ayah lebih mudah
kerana ayah punya isteri tabah
dan anak menantu yang pasrah
mengiringi ayah kebaikan yang mewangi
di setiap cebisan pandan bertaburan
di atas pusara

Meski ayah telah berangkat pulang
dia tetap hidup di hati kami
dingin dahi ayah waktu kukucup
mudah-mudahan sesejuk itulah pusara ayah
penuh lapang dan bercahaya indah

Ayah,
Selamat bertemu Allah
semoga bertamu di syurga-Nya

(Hadiah Utama Kategori Sajak Hadiah Sastera Utusan 2000, Antologi Lelaki Dgn Sebilah Pedang Tajam, Antologi Madu Ilmu)

Catatan:
Ayah, Yang merinduimu...

Beckam: Si Bayi Monyet




Suatu hari ada jiran di hujung kampung buru2 memanggil emak. Katanya ada seekor bayi monyet sedang menangis hiba di pangkal pokok. Emak segera pergi melihat dan memang ada seekor bayi monyet yang jatuh daripada pelukan ibunya. Mengikut ceritanya, ibu monyet tidak sesekali akan mengambil semula anak yang jatuh daripada pelukannya, barangkali pengajaran untuk si anak yang lalai. Emak membawa si bayi ke rumah, menyiapkan baju dan seluar, membelikan lampin pakai buang untuknya. Memang ada niat untuk melepaskan si bayi tetapi dengan keadaannya yang sangat kecil, bagaimana nanti dia mahu melangsungkan kehidupan.  Lesen pun diambil untuk "menghalalkan" pemeliharaan bayi itu.

Berita itu disampaikan kepada saya. Bila pulang nyata saya jatuh cinta dengan bayi kecil yang gemar menangis itu. Dia enggan berenggang dan terpaksa diikat ketika saya mengerjakan solat. Oleh kerana wajah dan perawakan saya dan kakak yang agak mirip, dia sangat akrab dengan kami. keletahnya sangat menghiburkan. Tetapi dia tidak menyukai emak kerana emak kerap memarahinya kerana enggan memakai lampin atau enggan dimandikan. Setiap kali ada yang memegang saya atau kakak, dia akan jadi marah dan pura2 mahu menggigit.

Dia dinamakan Beckham oleh adik saya yang bongsu kerana ada jaluran warna di rambutnya persis pemain bola sepak David Beckham. Bila ada peluang dia akan melepaskan diri, memanjat pokok untuk mencari ulat atau pucuk muda. Tetapi apabila dipanggil, dia akan menyahut. Bila saya atau kakak mahu pulang semula ke daerah kami, dia akan berguling2 menangis, atau segera berlari ke bawah kereta untuk menghalang kami daripada bergerak. Saya pernah juga bercadang menghantar Beckham ke zoo, memandangkan emak kadang2 ke Thailand atau ke mana-mana dan tiada siapa yang menjaga Beckham. Namun, melihat anak matanya saya jadi tidak sampai hati. Saya tak sanggup mendengar tangisan si bayi monyet itu.

Saya merindui Beckham. Membawanya dalam kereta ke pekan kecil di daerah kelahiran saya cukup menggembirakan dia. Dia akan mencuri perhatian ramai.

Beckham Beckham...si bayi monyet saya.

Wednesday, March 9, 2011

Doa Untuk Anak



Ibu Bunga Matahari ingin berkongsi sesuatu dengan ibu-ibu dan puteri-puteri yang bakal menjadi ibu. Ibu yakin ibu-ibu di luar memang mengamalkan apa yang ibu nukilkan ini. Nampak biasa tapi ibu sudah lihat kesannya.

Jika boleh, setiap pagi biarlah ibu-ibu atau bapa sendiri yang menghantar anak-anak ke sekolah. Ibu sendiri waktu anak-anak masih bersekolah, memang menjadi rutin ibu menghantar mereka memandangkan suami ibu bertugas di negeri bersebelahan yang mememerlukan beliau bertolak dari rumah seawal subuh. Beliau juga selalu dihantar bertugas ke Malaysia Timur dan juga negara jiran, Indonesia. Sejak mereka bersekolah rendah sehinggalah ke tingkatan lima, masuk sahaja ke dalam kereta, mereka akan mula menadah tangan untuk mengaminkan doa yang dibacakan sendiri oleh ibu. Selesai membacakan doa-doa dalam bahasa Arab, ibu akan membaca doa dalam bahasa Melayu yang mudah difahami oleh mereka. Usai mencium dan memeluk mereka, ibu akan mengangkat tangan dan mendoakan agar ilmu mereka diberkati, guru-guru mereka juga diberkati.

Sewaktu menghadapi peperiksaan, ibu berusaha untuk memasak dan menghantar bekalan kepada anak-anak. Jadual peperiksaan sentiasa ada di dalam beg ibu supaya setiap kali sebelum setiap kertas bermula, ibu dapat membacakan Yasin dan mendoakan mereka. Meskipun sibuk bekerja, doa akan sentiasa dihantar supaya mereka dilindungi Allah. Ibu percaya sejauh manapun anak-anak kita tersasar, mereka akan kembali semula ke landasan yang betul kerana mereka masih punya satu keberkatan dalam hidup iaitu: doa seorang ibu.

Wahai anak, restu Allah bermula daripada restu ibu. Hanya ada tiga cinta sejati bagi ibu. Cinta Allah kepada hamba-Nya, cinta Rasul kepada umatnya dan cinta ibu kepada anaknya. Cinta yang tiada cagaran apa-apa. Cinta tanpa sebarang syarat. Cinta malar segar.

Anak-anakku, ibu sangat mengasihi kamu. Mudah2an kamu menjadi anak-anak solehah kerana syurgamu berada di bawah telapak kakiku...

Namanya Mariam




Kerana Namanya Mariam
Seluruh hidupnya adalah keperkasaan...
 ( Ratna Laila Shahidin, Namanya Mariam, dedikasi untuk ibuku, Ogos 2001: Antologi Ratib 1000 Syair)

Namanya Mariam.

Wanita ini berusia 73 tahun. Bertubuh kecil, kulitnya kuning langsat, wajahnya sentiasa mekar dengan senyuman seperti bunga matahari.

Penulis Daisaku Ikeda pernah menyebut, wanita lemah tetapi ibu gagah dan wanita itu adalah seorang ibu kepada enam anak yang masih hidup, sementara enam lagi anak sedang menunggunya di syurga. Dia seorang ahli falsafah meskipun tak pernah menjejakkan kaki ke sekolah, marahnya di mulut tapi tak pernah sampai ke hati.

Setiap pagi dia akan menyediakan juadah dan meletakkannya di atas meja berpayung di halaman rumah. Juadah untuk sesiapa yang mahu ke ladang. Untuk membasahkan tekak sesiapa saja yang sempat singgah. Wanita ini pernah mengembara ke Beijing, Mekah dan Madinah, Vietnam, Kemboja, Thailand, Indonesia, Filifina untuk melihat kehidupan dan menghulurkan bantuan.

Dia hidup penuh derita di waktu kecilnya, kemiskinan yang menjerat, tradisi yang tidak membenarkan anak perempuan ke sekolah. Tetapi setelah berkahwin dan punya anak, dia ke sekolah dewasa untuk mengejar ilmu. Dia tidak mahu membutakan dunianya.

Wanita yang setia menemani suami sehingga ke saat akhir si suami. Dia tenang meribakan suami dan menyebut dengan jelas, "pergilah dengan tenang. hanya ingatkan Dia. Anak2 yang tinggal, Yam akan uruskan. Jangan ingat dunia, jangan ingat anak-anak. pergilah untuk Dia..." 

Namanya Mariam. Dan saya percaya nama menggambarkan perwatakan. Kerana itu saya melakarkan "kerana namanya mariam, seluruh hidupnya adalah keperkasaan"

Terima kasih ya Allah, kerana mengurniakan dia sebagai ibu saya. Emak yang kaya kasih sayang. Emak yang sentiasa mengasihi dan mengasihani. 

Tuesday, March 8, 2011

Mengapa Bunga Matahari?




Ibu sangat gemar akan bunga matahari.

Melihat warnanya, sudah memberikan keriangan. Warnanya yang menyerlah, akan memeriahkan suasana. Ibu pun mahu menjadi persis bunga matahari. Selalu nampak riang dan meriangkan ramai orang.

Masalah? Semua orang pun punya masalah. Masalah mematangkan kita. Kata ahli falsafah, "hidup bukan hidup namanya jika tidak ada masalah". Senang itu ujian, susah juga ujian. Kaya miskin juga ujian. Bergantung kepada diri sendiri untuk melihat masalah.

Allah menyebutnya dua kali dalam surah Al-Insyirah. Kata Allah, "tiap-tiap kesukaran itu akan diikuti dengan kesenangan". janji Allah itu adalah pasti kerana ibu pernah mengalaminya lama dahulu.

Jadi, berterima kasihlah atas segala ujian Allah. Dia tidak akan mengambil sesuatu daripada kita kecuali Dia menggantikannya dengan yang lebih baik. Percayalah.

Salam perkenalan daripada Ibu Bunga Matahari.

Cerita Ibu




Pagi-pagi ada teman sekerja yang mahukan motivasi.

Maka Ibu pun bercerita:

Ada seorang isteri yang mengikut suaminya, seorang pegawai tentera bertugas di sebuah kawasan terpencil. Hari-hari yang dilalui sangat membosankan bagi si isteri kerana di sekelilingnya hanya gurun kontang yang panas dan kering.

Tiada sesiapa yang mengenalinya. Tiada siapa juga yang dia kenali.

Suatu hari dia menulis surat kepada bapanya di kota. Dia membuat keputusan untuk pulang ke kota dan meninggalkan suaminya di kawasan yang sangat membosankan itu. Tidak lama kemudian, balasan surat bapanya pun tiba. surat tersebut hanya mengandungi dua ayat.

Tulis sang bapa, "Ada dua orang banduan sedang memandang dari celahan jendela. Seorang memandang bintang tetapi seorang lagi melihat lumpur...". Si anak membaca ayat itu berulangkali.

Akhirnya dia memahami maksud bapanya.

Lalu dia mula melihat semuanya sebagai sesuatu yang cantik. Dia mula bergaul dengan kaum yang terdapat di situ. Dia mengikuti aktiviti mereka ketika suaminya tiada di rumah. Dia berasa sangat gembira dan hidup dengan penuh keriangan.

Pesan ibu:

Bukan titik yang menyebabkan tinta tapi tinta yang menyebabkan titik. Bukan cantik yang menyebabkan cinta tapi cinta yang menyebabkan cantik...