Total Pageviews

Friday, December 30, 2011

Meninggalkan Emak...




Kami tiba di Seremban jam 6.30 pagi 30 Disember. Menelefon emak, mandi dan solat, lalu tidur.

Tapi jam sembilan, saya sudah terjaga.  Hari ini Jumaat, dan hari akhir untuk menandatangani borang opsyen SBPA. 

Saya rasa lain macam tanpa emak. Termenung lama sambil terus baring memandang siling, saya menangis. 9 hari dijaga emak di Seremban, 16 hari di kampung; saya tidak dibenarkan langsung mengangkat barang. Emak patuh pesanan doktor, kerana garisan luka pembedahan saya panjang, membentuk huruf Ro.

Rupa-rupanya emak juga rasa lain macam tanpa saya. Kata kakak, emak masih terasa saya ada di bilik dan masuk untuk mengingatkan saya supaya makan ubat.

Emak mahu saya menyambung cuti sebab saya masih belum pulih. Jika duduk lama, ada rasa seperti dihiris pisau razor blade. Halus dan pedih. Tapi saya terus minum pati haruan dan ginseng, juga suplimen lain. Saya beritahu emak, saya kena bekerja sebab situasinya sudah lain. Saya perlu belajar banyak perkara baru.

Memang rasa betul-betul sedih apabila teringat emak. Jadi, saya tidak berani menelefon lagi, bimbang saya tersedu. Apabila sudah reda, tengah hari baru saya mendail.

Anak sulung saya masih di kampung membantu opah mengemas selepas kenduri. Dia bersama sepupu lelakinya bertungkus lumus membantu opah. Dia menjadi peneman opah supaya terubat kesedihan emak tatkala mengenangkan saya.

Si adik yang ikut balik. Itu pun 2 Januari, dia akan balik ke kampus. Nasib baik ada dia.  Saat senang dan payah, anak ini tidak pernah sekali pun meninggalkan kami. Oleh sebab itu, hanya dia yang lebih mengenali realiti sebenar sedih gembira hidup kami.

Duduk-duduk mengenang emak dan layanan kelas pertamanya; membuatkan air mata bercucuran. Saya makin memahami ungkapan allahyarham  Cikgu Kasim...sayang emak sayang saja...tanpa syarat dan tiada penamatnya...

Thursday, December 29, 2011

Saya Pasti Rindui Emak


Hari ini emak buat kenduri kesyukuran untuk saya, juga tahlil ayah dan doa selamat ulangtahun puteri sulung saya.

Semua adik beradik saya yang dekat balik sehari sebelum dan awal subuh.

Khemah pun sudah dipasang sejak petang semalam. Ramai anak-anak dan cucu-cucu angkat emak datang membantu. "Emak" di sana dan "emak" di sini.

Oleh sebab itu kerja emak menjadi lebih ringan dan cepat.

Saya hanya mampu duduk diam di kerusi dan melihat.

Malam ini, barangkali jam dua belas tengah malam, saya pulang ke Seremban. Hati saya sudah mula berasa tidak seronok. 

Anak-anak saya hanya cuti seminggu. Mereka juga belajar masak dengan opah. Si kakak masak lempeng yang cantik dan sedap. Si adik belajar masak bubur som. Kalau lama lagi di kampung, barangkali sudah boleh buka restoran.

Apa pun, lebih dua minggu di kampung dan dijaga emak, saya memang tidak dibenarkan mengangkat barang. Saya sangat berterima kasih kepada emak. Memang saya belum pulih, tetapi saya perlu pergi bekerja. Cuti sudah habis.

Payahnya saya mahu berpisah dengan emak dan udara sesegar ini...

Monday, December 26, 2011

Tetamu Dari IPG Tuanku Bainun


Pagi ini Kak Tumerah dan Encik Lan mengunjungi saya di kampung.

Seronok betul saya tatkala melihat Kak Tumerah turun dari kereta. Saya sendirian di rumah. Emak ke pasar dengan motor basikalnya. Anak-anak saya dan sepupu-sepupu kecil mereka menaiki bas ke pasar. Emak memerlukan khidmat mereka untuk membawa barang-barang kering kenduri yang akan diadakan pada hari Khamis malam Jumaat nanti. Kenduri doa selamat, tahlil dan kesyukuran ulangtahun puteri sulung saya.

Yang ada hanya buah rambutan dan durian. Harap-harap janganlah Kak Tumerah batuk-batuk selepas makan buah-buahan itu. Saya tahu benar siksanya kalau dia sudah mula semput.

Kak Tumerah memang asalnya dari kampung. Kembali berada di kampung, menghirup udara segar desa sudah pasti memberikan nostalgia manis buatnya. Meskipun sudah menjawat jawatan pengarah, dia masih kakak saya yang dahulu. Dalam lembut memahami, dia tegas.

Kami bercerita banyak perkara. Ketawa apabila bercerita hal-hal lucu semasa belajar di UUM dan bekerja di IPG Raja Melewar. Bersedih ketika bercerita hal-hal yang mendukakan hati.

Encik Lan pergi mengambil anak-anak saya di pekan. Si adik hanya mengenali Auntie Tumerah, bukan suaminya. Tetapi sangat mudah mengenali adik. Wajahnya persis saya. Encik Lan berjaya membawa pulang anak-anak dan sepupu-sepupu balik ke rumah.

Ada memori manis Kak Tumerah dan adik semasa adik mengikut saya belajar di UUM. Dia "sahabat" baik anak saya itu. Malahan ada "sesuatu" persamaan yang menyebabkan mereka amat serasi.

Kak Tumerah dan suaminya yang baik dan lucu akan selalu saya ingati. Sangat ramai orang-orang baik di sekeliling saya. Mudah2an Allah akan selalu melebarkan rahmat-Nya kepada mereka.

Friday, December 23, 2011

Cikgu Opah




Musim cuti sekolah, barangkali semua opah dan tokwan di Malaysia ini menjadi manusia paling sibuk di seantero dunia.

Tak kiralah apa panggilan cucu sama ada nenek, tuk, wan, oma, opah, granny...merekalah yg paling sibuk menggantikan tugas guru semasa musim cuti sekolah.

Di rumah emak musim cuti ini ada beberapa org cucu yang buat2 muka kasihan bila ibu bapa mereka mahu mengambil mereka pulang ke rumah. anak kakak sulung ada seorang, anak abang ada dua, anak adik ada seorang. Oleh sebab saya perlu jagaan emak, ada cucu-cucu emak yg agak nakal tidak dibenarkan pulang bercuti di kampung oleh ibu bapa mereka. bimbang juga kalau-kalau asyik hilang ke sungai atau membuli kambing-kambing yang ada di belakang rumah.

Emak sudah ada dua puluh dua cucu dan lima cicit. sebahagiannya sudah dewasa dan dua daripadanya sudah berkahwin. ada yang sudah bekerja dan berada di menara gading. selebihnya berada di sekolah menengah, sekolah rendah dan tadika.ada juga yang masih bayi. cicit emak pun ada yang sudah bersekolah rendah.

Saya selalu kagum dengan cara emak mendidik cucu-cucu. saya teringat dulu-dulu, betapa bangganya anak-anak saya melaporkan pencapaian mereka semasa "kursus dalam cuti" di rumah opah.

Berjaya melipat kain dengan betul pun merupakan satu kejayaan hebat bagi anak-anak kecil itu. mereka juga begitu seronok bercerita bagaimana mereka membantu opah memasak di dapur sambil opah memberi petua-petua dan bacaan doa sebelum dan semasa proses memasak.

Cucu-cucu emak yang sedang duduk bercuti di kampung sekarang ini pun begitu. sambil menolong opah memasak, atau opah mengajar mereka memasak secara total; sambil mereka mendengar opah bercerita.

Cara opah menegur juga berseni. "sedapnya masakan adik ni,sesuai untuk opah yang ada sikit darah tinggi", kata opah. "tapi kalau mahu hidang kepada tetamu, elok adik tambah sedikit garam. wah, mesti terangkat punya! org yg makan tu mesti hairan sapa yg pandai sangat masak lauk macam ni..." maka cucu yg dipuji itu pun kembang-kembang hidungnya, tersenyum2. pujian opah menaikkan semangat cucu yang lain. mereka pun membuat giliran memasak mengikut "kepakaran" masing-masing untuk mendapat pengikhtirafan daripada master chef opah!

Mereka mahu makan laksa semalam. opah meminta mereka menaiki bas ke pasar. opah memberikan mereka wang dan meminta mereka bertanya kepada penjual ikan, jenis ikan yg biasa digunakan sebagai bahan masakan laksa. walaupun takut-takut pada mulanya, opah memberikan kata-kata semangat. akhirnya mereka berjaya pergi ke pasar dan berjaya juga menaiki bas. berjaya juga membeli ikan dan ayam, walaupun yg lucunya mereka gagal mencari sawi bunga yang dipesan emak. saya berada di bilik waktu mereka pulang tetapi dapat mendengar dengan jelas riuh rendah suara anak-anak kecil itu meraikan "kejayaan hebat" mereka.

Opah memuji-muji keberanian mereka, malahan memuji juga kebagusan sepupu-sepupu yang "lebih tua" kerana menjaga adik-adik yang lebih muda.

Cuma ada seorang yang merungut, dia kena membayar tambang untuk kadar orang dewasa, sedangkan sepupu yang sebaya dengannya membayar tambang dgn harga kanak-kanak. habis mahu buat macam mana? saiznya lebih besar daripada sepupunya, malahan kalau dilihat daripada fizikalnya, dia seperti pelajar sekolah menengah!

Opah memesan, lain kali beritahu pakcik "kolek"(collect tambang=konduktor) itu bahawa adik masih kanak-kanak sekolah rendah!

Subuh selepas solat, mereka akan keluar berjoging. kemudian salah seorang akan memasak nasi goreng untuk sarapan pagi. selepas itu, mereka akan buat macam-macam aktiviti. cuma ada satu masalah besar, mesin basuh opah nampaknya ada kecenderungan untuk rosak. sebabnya mereka selalu lupa pesan opah. kalau ke sungai atau lata, pastikan poket seluar dan baju mereka sudah dibuang pasirnya. jadi, belum sampai sebulan pada musim cuti ini, mesin basuh opah sudah berbunyi2 mengisar pasir sungai!

Opah juga mahu mereka ada ketahanan dan tahu akar diri. kebetulan rambutan sedang berbuah. opah mahu mereka pandai memanjat pokok; sama seperti kemahiran anak2 kampung seperti kami dahulu. cuma kali ini opah akan memeriksa dahulu sama ada pokok dan persekitarannya ada atau tidak tanda2 bahaya. pasti opah mahu cucunya merasakan "sesuatu" tatkala berada di puncak!

Pagi ini selepas solat, joging dan sarapan; mereka bersemangat mahu ke pasar lagi. siap dengan buku nota dan pen. itu juga satu aspek pengurusan kendiri yang diajar opah. self-management. kali ini tugasan agak mencabar. mereka mesti ke farmasi untuk membeli ubat saya, pati ikan haruan amerika dengan ginseng jenama polleney sebanyak 5 botol. kemudian ajax fabuloso, ikan hidup, ikan pekasam, sayur dan beberapa barangan lain.

Saya sedang menunggu berita kejayaan mereka kali ini.

Hasil ajaran Cikgu Opah.

Cikgu yang paling awal bangun dan paling lewat tidur. cikgu yang paling letih dalam sebulan cuti sekolah ini!

Wednesday, December 21, 2011

Dunia Ini Hanya Rumah Sementara


Ada tetamu datang ziarah. Kami memanggilnya Pak Tam. Nama sebenarnya Haji Nazam. Usianya barangkali sebaya usia bekas pelajar-pelajar saya. Baru 33 tahun, dia sudah berkali-kali ke Mekah. Kerjanya pun memang membawa jemaah menunaikan umrah ke Mekah dan juga mengendalikan pelancongan di sekitar Asia. Dulu emak bekerja dengannya dan sebab itulah emak berpeluang melancong ke luar negara.

Beberapa tahun lepas, saya menghantar emak untuk umrah sepanjang Ramadan, dan sejak itu emak akrab dengan keluarga Pak Tam. Apalagi setelah diketahui mereka mempunyai pertalian darah dengan gemulah ayah.

Dia membawa air yang dibacakan doa-doa untuk saya. 

Pak Tam tidak seperti beberapa penziarah lain yang selalu pula mengaitkan penyakit saya dengan kematian. Saya sudah lali dengan cerita si anu dan si anu telah meninggal sebab penyakit macam sayalah! Saya tidak salahkan mereka sebab mereka orang kampung. Orang-orang yang konon intelek pun macam itulah juga perangainya. Inikan pula orang-orang kampung yang tidak belajar ilmu komunikasi.

Jenuhlah emak menepis cerita mereka dengan kisah yang lebih positif. Melihat emak begitu, saya langsung teringat isi kuliah communication skills yang selalu saya kuliahkan kepada pelajar-pelajar jurusan Sains Hayat di matrix dahulu. Komunikasi yang baik merupakan antibiotik terawal untuk pesakit sembuh.

Sebenarnya saya tidak kisah pun mereka bercakap hal-hal sedemikian. Tapi saya simpati dengan emak. Hati seorang ibu, tuhan sahaja yang mengerti.

Pak Tam menanyakan beberapa soalan. Dia hairan mengapa saya menganggap penyakit yang sedang saya hidapi ini hanya biasa-biasa, ujian kecil Allah, hanya usikan kecil untuk saya.

Melihat dia bersungguh-sungguh, saya pun memberitahu rahsianya!

Saya bercerita, lebih dua puluh tahun lalu saya mengalami kesakitan yang jauh lebih teruk. Fizikal dan mental saya diuji.

Saya bersendirian di tengah kota metropolitan, insan yang berkongsi hidup dengan saya sudah berpergian dengan kekasih genit menawan (junior kami di universiti), gaji saya kecil, tiada kenderaan, tempat kerja yang sangat jauh, punya anak seorang sedang belajar berdiri dan sering sakit-sakitan,dan seorang masih bergelar janin dalam kandungan.

Saya mengalami alahan yang sangat teruk. Dengan tubuh yang lemah itu saya berjalan kaki menghantar anak sulung ke rumah pengasuh dalam dingin dan gelap subuh, terpaksa turun naik tiga buah bas untuk ke tempat kerja. Sedangkan saya melihat dengan penuh luka, si dia mengambil dan menghantar kekasih hati pergi dan pulang ke pejabat setiap hari. Ada satu ketika, selepas musim hujan, mereka bergurauan sehingga tidak menyedari kereta melanggar lopak dan air kotor menyimbah pakaian saya!

Alahan yang teruk itu menyebabkan di tempat kerja, saya memerlukan dinding untuk membantu saya bergerak. Di rumah, saya terpaksa merangkak untuk ke bilik air. Apa sahaja yang masuk ke mulut, akan dimuntahkan semula. Saya sepatutnya perlu dimasukkan ke wad tetapi saya enggan. Persoalannya, jika saya di wad, bagaimana dengan anak sulung saya?

Saya berjuang untuk kelangsungan hidup sehingga bayi saya lahir dengan sihat dan comel. Kewangan yang terhad menyebabkan saya berpindah dari flat tiga bilik ke kawasan setinggan. Malam-malam saya tidak mampu tidur. Orang berhati jahat kadangkala menolak-nolak pintu dan jendela dinding yang reput. Di sisi saya parang dan lampu picit. Saya sentiasa siap siaga mahu menakik kepala sesiapa sahaja yang berniat jahat, meskipun saya tahu kudrat saya tidak akan mampu melawan sekuat itu. Tikus-tikus besar dan serangga merayap di pondok yang usang berlubang itu bila-bila masa boleh mencederakan bayi-bayi saya.

Waktu terluang, saya akan membawa anak-anak kecil saya menaiki teksi atau bas mini ke Masjid Negara, Taman Tasik Perdana atau Balai Seni Lukis Negara. Fizikal saya kurus kering, mental saya kacau. Tapi saya tidak meninggalkan Tuhan.

Sekarang, saya hanya diuji dengan kesakitan fizikal.

Sangat kecil ujian itu berbanding kesakitan masa lalu.

Kemudian saya mengumpul wang membeli kereta kecil buruk Honda Civic first generation yang selalu pula berasap atau mati enjinnya di tengah kesesakan jalan raya di jantung Kuala Lumpur. Kadang-kadang melucukan juga apabila vipernya tercabut dalam hujan lebat. Keadaan ini menyebabkan saya hanya mengikut cahaya lampu kereta depan. Saya kuat mempercayai bahawa Dia yang banyak membantu saya apabila tiba saat-saat sukar seperti itu,menyebabkan saya zero kemalangan.

Kereta kecil itu tiada pendingin hawa, menyebabkan jendela dibuka sedikit mengundang air hujan menyerbu masuk. Anak-anak kecil saya saling berpelukan di tempat duduk belakang. Si kakak memujuk si adik, memeluk kemas dan melindungi si adik dengan kain yang memang sentiasa ada di dalam kereta.

Imej comel bayi-bayi saya berpelukan kerana kedinginan tempias hujan selalu tergambar di mata saya sehingga saat ini. Seorang kecil kurus, wajah bujur, tabah dan bermata sepet; dan seorang lagi berwajah bulat, bertubuh montel dan ceria. Meskipun masa, jarak dan kemelut hidup pernah memisahkan mereka sekejap; saya yakin hati mereka saling berdakapan. Mereka hanya berdua beradik. Walau memiliki personaliti berbeza, mereka sangat akrab.

"Seperti kisah dalam filem, kan?" kata saya ketawa.

Dia tunduk menyembunyi mata yang menakung air. "Patutlah makyang masih boleh ketawa setenang ini..." dia berkata.

Saya katakan, ini realiti hidup. Saya tidak malu berkongsi cerita hidup. Saya kuat kerana Allah telah memberikan saya benteng yang begitu kukuh.

Bukankah Allah tidak akan mengambil tanpa menggantikannya dengan yang lebih baik?

Allah telah menunaikan janji-Nya kepada saya. Dia memberikan saya kekuatan, memberikan saya peluang memperbaiki kesilapan dan menebus dosa-dosa saya. Dia menggantikan apa yang telah hilang dengan nikmat peningkatan pendidikan dan anak-anak baik.

Kerja menghukum bukan tugas kita. 

Allah juga telah menginsafkan saya dengan "usikan-Nya". Kemarahan dan kebencian adalah api dan api itu sifatnya syaitan. Kebencian dan kemarahan yang membekam puluhan tahun seperti gunung berapi pendam itu akhirnya memberikan saya penyakit. Penyudahnya saya sedar, kesilapan saya ialah menyimpan segala rasa sedih, terluka, benci dan marah sendirian, yang setelah dua puluh tahun ini, sifat buruk itu akhirnya memakan diri.

Silapnya saya sebab fasa hidup yang saya lalui itu telah menghilangkan seluruh kepercayaan saya kepada orang lain. Saya mengunci segala kelukaan itu seorang diri. Saya menjadi hipokrit, riang ria di hadapan orang sedangkan hati menangis. Saya berpura-pura menjadi kuat sedangkan di tengah malam, saya berteriak mengadu kepada-Nya. Meskipun masih berbaik-baik, saya mula berharap sesuatu yang buruk akan berlaku kepada mereka sebagai lampiasan dendam. Bukankah dendam itu sifat syaitan?

Allah telah menyedarkan saya! Betapa lamanya saya menghabiskan masa dengan merintih, membenci dan penuh amarah. Alangkah ruginya masa yang lama itu. 

Alhamdulillah. Saya sebetulnya sangat beruntung diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman yg orang lain hanya mampu membaca ceritanya di dalam novel atau menontonnya di kaca TV. Saya gembira kerana Allah memilih dan menyedarkan saya sebelum terlambat.

Saya mesti belajar perlahan-lahan untuk memaafkan. Sebab dunia ini hanya rumah sementara.

Hanya sebuah rumah sementara. Kita hanya singgah sekejap di sini.

Pak Tam masih menggeleng-geleng kepala, enggan percaya!

Dan saat mahu pulang, mata lelakinya masih berkaca...

Sunday, December 18, 2011

Dan Dia Telah Dipanggil...



Tengah hari itu, anak saudara saya masuk ke rumah. Dia memberitahu saya perlahan, "Mak Yang, Pak Lang Leman meninggal. Tadi kena langgar treler di dataran. Jenazahnya masih ada di situ..."

Saya bertanya semula, bimbang tersalah dengar. Emak ada di dapur,saya dan anak saudara agak serba salah. Bagaimana cara mahu memberitahu emak.

"Mak, ni mahu beritahu. Leman kita, anak Pak Deris kemalangan. Dia baru meninggal tadi..." akhirnya saya yang membuka mulut.

Wajah emak bingung. Kemudian emak bertanya dan bertanya. Emak memaut tangan anak saudara saya. Kemudian emak ke serambi dan bercakap-cakap dengan adik lelaki saya yang baru tiba dari Kuantan dan tertidur kepenatan. Ahli keluarga yang lain sedang berkelah di air terjun hujung kampung.

Pagi tadi, saat sarapan; saya terdengar bualan emak dan anak saudara saya yang berusia 30 tahun.

"Malam tadi Epul mimpi Tokwan balik. Tokwan berikan Epul bungkusan. Kemudian Tokwan senyum dan pergi. Bila Epul buka, ada kupiah putih bersih yang berlipat kemas di dalamnya," saya dengar Saiful bercerita. Saya tidak dengar jawapan opahnya sebab mata saya sangat kantuk, semalaman saya tidak lena.

Mungkin itulah tanda...

Sulaiman, atau Leman seperti yang biasa dipanggil orang adalah sepupu saya. Dia tua beberapa tahun daripada saya. Masa mudanya dihabiskan untuk ke serata dunia sebagai kelasi kapal. Waktu masih sekolah, dia memang dikenali sebagai orang yang kuat semangat Melayunya.

Leman sepupu yang kuat pertalian darah dengan kami. Sebab, ibunya adalah sepupu ayah.Juga sekaligus pernah menjadi adik ipar ayah (arwah kakak ibunya pernah dikahwinkan dengan ayah; selepas meninggal barulah dijodohkan pula dengan emak). Bapanya pula abang kandung emak.

Sehabis merantau, dia pulang ke kampung. Dia berkahwin dan punya anak seorang. Perkahwinannya gagal. Dia beralih kepada agama. Waktu ayah saya masih hidup, dia berguru dengan ayah. Belajar agama dan tajwid.

Sejak ayah tiada, dia akrab dengan abang sulung saya. Dia bercita-cita mahu menjadi imam masjid. Dia menjadi ahli surau. Selesai berniaga roti canai di pekan, dia tekun belajar agama. Pengalamannya hidup di rantau, menjadi guru paling berkesan. Dia ikut serta dalam gerakan Islam di daerah kelahiran kami.

Semalam, ada kenduri sepupu saya yang berjiran pula dengan rumah arwah Leman. Oleh sebab itu, Leman belum berkesempatan menjenguk saya. Dia mahu menziarahi saya hari ini sepulangnya dari pekan untuk belajar agama.

Rupa-rupanya saya yang akan dibawa menziarahi jenazahnya kerana dia yang terlebih dahulu dipanggil pulang.

Di raga motosikal yang ditungganginya ada dijumpai senaskah al-Quran. Subuh sebelum kemalangan, dia mengimami solat dan mengajar kesemua anak-anak saudaranya mengaji.Kata orang, dia meninggal di tempat kejadian sebelum dibawa ambulans ke Hospital Gerik. Jubah yang dipakainya berlumuran darah.

Rezekinya baik. Proses pengebumiannya lancar dan cepat.

Jenazahnya tidak menunggu lama. Sebelum Asar kemalangan, dibedah siasat di hospital yang agak jauh dan usai Maghrib, sudah disimpan. Ramai sekali orang yang menyembahyangi jenazahnya. Jemaah dari Markas PAS Banggol Belimbing memenuhi ruang solat. Majlis tahlilnya juga begitu, jemaah melimpah hingga ke luar rumah.

Kebetulan pula, abang sulung dan adik lelaki saya ada di kampung. Abang menggali kubur dan adik menguruskan hal-hal lain. Allah memberi peluang kepada dua orang yang akrab dengan allahyarham berbakti pada saat-saat dia paling memerlukan.

Malam ini Leman sendirian di liang lahadnya. Meninggalkan kenangan dan kejutan. Tapi dia pergi dengan kisah-kisah baik, yang sedikit sebanyak mampu mengubati pilu sedih hati kami yang ditinggalkan.

Begitulah kehidupan. Giliran kita entah bila. Kita warga akhirat. Dunia ini hanyalah rumah sementara.

Kejutan dan kesedihan itu memang menyebabkan luka saya kembali pedih.

Saturday, December 17, 2011

Catatan Dari Sebuah Bilik



Ada kenduri sepupu di kampung.

Sanak saudara semuanya pulang.

Adik-adik gemulah ayah, yang lelakinya memang ada iras wajah ayah, cuma barangkali tidak setinggi dan segelap kulit ayah. Misai mereka juga tidak serapi misai ayah. Saya menekuni wajah mereka, mencari-cari suara seakan-akan suara ayah yang gemersik dan perlahan.

Hilang rindu saya terhadap lelaki perkasa saya itu. Ayah! Air mata selalu titik tatkala rindukan ayah!

Saya cuma di bilik. Tiada rezeki saya untuk ke kenduri sepupu saya itu. Hanya mereka yang berjanji akan menunjukkan gambar-gambar perkahwinan. Tiada pelaminan pun, hanya gambar makan beradab sahaja.

Dalam riuh-rendah, saya sunyi. Dunia sebenar saya bukan duduk-duduk diam di bilik. Tetapi itulah dunia yang terpaksa saya hadapi dalam beberapa minggu ini. Saya mesti menulis walaupun dengan tangan sebelah. Kalau tidak, saya boleh jadi penasaran!

Maka dengan tangan sebelah, saya mematuk-matuk huruf-huruf di laptop. Makan ubat, baring sekejap, menjamah sesuap nasi dengan haruan bakar, menaip, baring semula...dan berulanglah rutin yang membosankan itu.

Mahu angkat air sebotol pun, dengan tangan sebelah. Aduhai, nasib baik sekolah cuti. Ada misi-misi kecil yang boleh membantu sekaligus menjadi bibik saya!

Ada pertemuan sastera. Kawan bertanya, "tidak ke Pangkor?". Bagaimana mahu ke Pangkor, kalau duduk di kerusi pun tidak boleh lama.

Tuesday, December 6, 2011

Terima kasih Pengalaman Itu




Jam tujuh setengah, selesai pembayaran deposit di Admission Counter, terus dibawa naik ke Day Ward.

Jam tujuh, saya sudah mula berpuasa.

Soalan pertama, "boleh sebut nombor kad pengenalan puan?".

Untuk pengesahan barangkali.

Tiada pesakit lain, saya diberi kebebasan memilih katil.

Selesai menyalin pakaian hospital, pergelangan tangan kiri disarungkan tag nama.

Kemudian, datang seorang doktor. Namanya Dr Helmi.

"Saya doktor bius..." dia memperkenalkan diri dan menerangkan prosedur yang akan saya hadapi di dewan bedah (OT)

Saya akan "ditidurkan" selama tiga jam.

Selepas diperiksa tekanan darah, saya dibawa ke bilik x-ray di tingkat bawah.

Jam 10.30 pagi, Dr Shah menjenguk. Dia menunjukkan kawasan yang akan dibedah menggunakan pen marker.

Jam 10.45 pagi, ada pemeriksaan jantung oleh jururawat Norafida. Ada alat seperti penyepit diletakkan di kedua-dua belah pergelangan kaki dan tangan. Ada enam bebola kecil dilekap di bahagian dada.

Semuanya normal. Sempat lagi menemuramah jururawat yang lembut dan sopan itu.

Jam sebelas, saya sudah disorong ke dewan bedah di tingkat dua. Pemeriksaan teliti dilakukan berkali-kali.

Kemudian, sekali lagi saya dibawa ke dalam bilik yang penuh dengan peralatan dan lampu besar bercahaya seperti yang biasa saya lihat di kaca TV.

Saya disuntik ubat bius dan diletakkan alatan penyekup di hidung dan mulut.

"Baca Bismillah ya puan," saya terdengar suara doktor mengingatkan. Saya sudah lama mengucap, Doc. manalah tahu...

Kemudian, saya dapat merasakan aliran hangat, pedih dan menyakitkan di tangan kanan yang telah disuntik tadi.

Dalam khayal...tidak lama.

Saya sudah tidak sedarkan diri.

Saya tersedar apabila sayup-sayup saya dengar nama saya dipanggil.

"Jam berapa sekarang?" tanya saya lemah. Rupa-rupanya sudah jam dua sepuluh minit petang.

Sakit menyucuk di dada kiri. Di tangan kanan masih ada jarum tercacak di situ. Paha dan kaki saya menggeletar. Saya kesejukan, lapar dan lemah kehilangan banyak darah.

Waktu disorong semula ke wad, saya menggigil. Saya boleh menahan sakit, tetapi gigilan di kaki memang tidak tertahan.

Saya sempat menelefon kakak di Ipoh. Sempat juga menaip mesej kepada anak-anak saya.
Mesej saya bernada gembira, sebab saya takut mereka bimbang. Sebagai seorang ibu yang membesarkan mereka dengan gagah, saya enggan membenarkan mereka melihat saya dalam keadaan selemah itu. Itu sebabnya juga saya tidak membenarkan puteri sulung mengambil cuti untuk menjaga saya.

Saya mahu mereka sentiasa melihat saya sebagai saya yang dahulu. Yang cergas dan tabah mengharung kepayahan hidup, membesarkan mereka sendirian selama belasan tahun.

Jururawat juga membawa bersama-sama "buangan" yang dikeluarkan daripada tubuh saya. 

"Buangan" yang mengganggu hidup saya itu dihantar ke makmal. Minggu depan semasa pemeriksaan susulan, keputusan uji kaji makmal akan diketahui.

Kembali ke wad, hanya bubur nasi yang disyorkan untuk mengisi perut kosong. Saya menahan sakit di kerongkong. 

Kesan bius menyebabkan saya dipapah untuk ke tandas. Pergerakan menjadi tidak stabil.

Kemudian sekali lagi saya disuntik ubat penahan sakit melalui jarum yang masih tertanam di belakang tapak tangan kanan.

Jam delapan setengah malam, saya disorong dengan kerusi roda ke lobi. Saya dipapah masuk ke kereta. Memang saya sangat lemah. Tapi saya mahu pulang ke rumah. Kami tidak boleh membelanjakan wang dalam situasi anak-anak masih perlukan belanja yang banyak untuk pengajian mereka.

"Tahanlah," pujuk dia. "Dulu kan dah pernah bersalin, macam itulah sakitnya..."

Saya ketawa. Macamlah dia ada pengalaman bersalin!

Pengalaman bersalin memang menyakitkan, tetapi kesakitan itu ada habuannya. Kesakitan hilang apabila melihat wajah comel bayi. Sakit pun tidak apa sebab mendapat bayi.

Tapi yang ini lain. Faktor usia juga penyebab badan menjadi lemah.

Apapun, saya bersyukur kerana diberikan pengalaman ini.

Saya gembira diberi peluang merasai kesakitan, salah satu siri ujian yang diberikan Allah kepada saya.

Biarlah saya sakit, asalkan orang-orang yang saya kasihi sentiasa sihat.

Tapi melihat emak, saya terkilan.

Sepatutnya saya yang menjaga emak, bukan sebaliknya.

Cuma satu hal yang saya tidak berapa gemar, dari malam ke pagi terpaksa makan bubur nasi!

Sunday, December 4, 2011

Dr. K: Sah!


Ada SMS yang baru saya terima. Mohon pengesahan. Di kedua-dua talian maxis dan celcom. Hampir serentak. Isinya sama. Macam nak tanya sah atau tidak akad nikah je bunyinya.

SMS daripada Ketua Unit saya, Doktor K.

Saya pun membalas, "Sah!".

Segan juga, sebab bukannya saya terlantar sakit pun.

"Tahniahlah sebab Allah pilih Ratna, bukan saya, bukan Pak Tam atau Abang Muk..." Kali ini dia mahu kenakan saya.

Jawapan saya, "Memanglah. Semua yang disebut tu tak ada tuuuuut..."

Saya selalu berazam tidak mahu nakal-nakal lagi mengusik orang. Tetapi diam-diam saya pun, ada saja keinginan untuk menakali orang. Lazimnya kalau saya pulang awal, saya selalu mahu mengunci kawan-kawan di jabatan.

Dr. K akan menunjukkan rotannya yang terselit di tepi meja. Pura-pura mahu merotan.

Suasana kerja yang sebegitu meredakan sedikit tekanan. Maklumlah bidang itu sangat "jauh" daripada saya. Bukan mudah untuk menghayati sesuatu yang "jauh" seperti itu.

Apa pun, terima kasih rakan-rakan sejabatan. Budi kalian di album kenang.

CATATAN:
apo sodih bona muko ketuo den ni...dio slalu tanyo den, "kau anak sapo? donga radio apo, beghapo frekuensi?" Ponek den nak nyawab eh! Tapi kono jawab. Sobab kok tak jawab, den tak leh balik walopun jam dah kul limo potang!

Saturday, December 3, 2011

Dahsyatnya Doa Ibu


Sebagai ibu, kita kena selalu sebut, anak kita anak yang baik.

Kata-kata ibu adalah doa yang akan terus diangkat naik ke langit.

Saya selalu memohon agar Allah ampuni dosa anak-anak. Kalau mereka silap, itu bermakna kesalahan itu datang daripada didikan saya. Jika mereka lalai, puncanya kerana kelemahan asuhan saya.

Alangkah terharunya jika kemudian kita mendengar anak kita berkata, "jikalaulah saya boleh menggantikan nyawa saya dengan nyawa ibu...saya akan lakukan itu!"

Dahulu-dahulu, saat mereka sakit, bukankah kita yang selalu menyebut begitu?

Masih dalam ingatan, puteri sulung saya bertarung nyawa di katil hospital. Demam panasnya sudah naik ke darjah bahaya. Matanya terpejam, bibir kering. Badannya sesekali menggigil kuat sehingga mampu menggoncang katil. Dia masih kecil waktu itu.

Sekejap-sekejap saya akan ambil sesudu air dan meletakkan di bibirnya.

Dia kecil kurus. Muka pucat. Saya begitu takut hadiah Allah itu akan diambil daripada saya. Saya sangat takut, sehingga saat ini pun, saya masih ngeri mengenangkan kesakitan yang terpaksa ditempuh anak sekecil itu.

Entah bagaimana, saya mengapung doa. Dengan air mata saya memohon, "Tuhan...jika Kau dapat menggantikan nyawa saya dengan nyawa anak ini...saya redho"

Itu jalan terakhir saya selaku ibu. Saya tidak tahu salah atau tidak berdoa seperti itu. Tapi saya seorang ibu...dan kasih seorang ibu tiada ternilai harganya, lebih berbilion ganda mahalnya daripada sebentuk cincin 24 juta!

Saya mohon keampunan Allah jika saya silap berdoa semacam itu.

Allah memberikan saya anak-anak baik. Bunga melor dan bunga matahari saya, yang selalu mewangi dan memeriahkan kehidupan ibunya.

Sehingga saya kadang-kadang melupai sisi derita dan payahnya hidup masa lampau.

Maha Suci Allah, hari ini kita mungkin kembali mendengar kata-kata yang pernah kita ucapkan kepada Allah satu saat dahulu.

"Jikalaulah saya boleh menggantikan nyawa saya dengan nyawa ibu..."

Sesungguhnya, semua anak adalah anak yang baik!

Asalkan Emak Ada Di Sisi


Awal pagi, ada panggilan. Di skrin, ada nama emak.

Cepat saya menjawab, sebab kalau tidak penting biasanya emak tidak menelefon. Saya sudah dapat mengagak sesuatu.

Bukankah saya juga seorang ibu?

Emak masih bertelekung, barangkali dari Subuh mahu terus ke Dhuha.

Memang sudah resamnya seorang ibu, sedikit pun enggan melepaskan hatinya daripada memikirkan persoalan anak.

"Sikit saja mak.  Atika ada. Esna pun ada..." bantai saja saya menjawab. Entah betul atau tidak, mereka akan hadir. Bukan mudah dapat cuti. Lagipun masing-masing jauh. Atika Laila ada kekangan lagi. Dia tiada kenderaan buat masa ini. Esnaliza pasti ada kuliah. 

Memang sikit saja pun. Lagipun hospital swasta. Mereka akan jaga betul-betul.

Saya fikirkan emak puas hati dengan penerangan dan jaminan saya. Rupa-rupanya tidak.

Selang beberapa minit, kakak menelefon. "Emak semalaman solat dan berdoa. Emak sudah siapkan beg mahu pergi juga. Boleh mak naik bas?"

"Jangan!" cepat saya memintas. Nanti susah hati saya memikirkan keselamatan emak.

Yang penting doa emak. Itu keberkatan hidup saya...doa emak!

Doa ibu tiada hijab. Terus saja langsung ke sisi Allah.

Memang saya takut. Itu hakikat. Sedikit atau banyak, besar atau kecil; saya memang takut. Apalagi setelah mendengar penerangan doktor yang terlalu berterus terang itu. Kalau emak ada, dia sumber kekuatan saya.

Emak akan selalu kata, "tabahkan hati". Selalu dia akan kata begitu sebab saya antara anaknya yang paling banyak diuji.

Sebenarnya saya tidak gentar diuji, asalkan emak ada di sisi.

Kakak berusaha habis-habisan agar emak dapat datang juga menemani saya. Tersentuh hati saya mengenangkan sikap kakak yang selalu mahu memastikan satu-satunya adik perempuannya berasa selamat.

Jam sebelas setengah, ada panggilan daripada adik sepupu yang tinggal di Kuala Lumpur.

Dia memberi jaminan akan membawa emak sehingga ke Seremban dan akan bertolak selepas Zohor. Mereka di kampung dan entah bagaimana tiba-tiba tergerak hati mahu menjenguk emak yang juga ibu susunya. Dia dan adiknya adalah anak susuan emak.

Bukan main riang suara emak, jelas terdengar sewaktu adik sepupu itu menghubungi saya.

Kakak pula menelefon. "Tahu apa emak buat setelah berputus asa tiada yang boleh hantar emak?" tanya kakak.

Rupa-rupanya dalam kecewa dan mati selera, emak mengikis-ngikis kerak nasi sambil makan dan berdoa agar Allah lorongkan jalan supaya dapat juga emak datang ke sisi saya.

Allah mendengar doa emak.

Terima Kasih Atas Peringatan-Mu




Selalunya kita akan mengeluh kerana dilanda musibah. Kita selalu bertanya "mengapa kita"?

Sedar atau tidak, pertanyaan seperti itu sebenarnya seperti mempersoalkan ketentuan Allah dan mencabar kuasa-Nya.

Ada hikmah di sebalik musibah.

Saya sangat yakin dengan itu.

Allah itu terlalu adil. Dia tidak akan mengambil kalau Dia juga tidak memberi.

Kadang-kadang kita lalai. Kita tinggalkan solat kerana mengejar dunia. Kita berpuasa tetapi mata melihat maksiat. Kita bercakap lurus tapi hati kita bengkang-bengkok.

Tapi apa yang Allah bagi kepada kita? Macam-macam. Dia bagi kita rezeki melimpah, beri udara untuk disedut, beri air untuk diminum. Sampaikan kadang-kadang kita terus alpa untuk mengucap syukur.

Kalau kita sakit, itu musibah. Tetapi ada hikmahnya. Kita mula menghargai masa sihat. Kita mula mendekatkan diri kepada-Nya. Kita hafal doa-doa penenang hati. Anak-anak mula bersikap prihatin. Ahli keluarga mula bertanya khabar. Kita sudah mula mengingati mati.

Bukankah itu hikmah yang tidak terhingga baiknya?

Melihat kehidupan bukan hanya dengan mata kasar. Kita perlu melihatnya dari hati.

Terima kasih Ya Allah kerana memberi peringatan. Mudah-mudahan sakit ini adalah jalan penghapus dosa-dosa silam. Mudah-mudahan ringanlah bebanan dosa saya dalam perjalanan menuju Tuhan.

Thursday, December 1, 2011

Mendongak muka langit




Baiknya hati kakak itu.

Berbual-bual dengannya waktu rehat untuk minum pagi jam sepuluh, dia bercerita tentang pembedahan fibroid yang dilakukannya beberapa tahun lalu. Rahimnya dibuang dan akibat daripada itu, dia monopouse.

Saya pernah dengar mengenai wanita itu. Kepayahan hidup membesarkan anak-anak sendirian, kemudian dikhianati suami, barangkali menyebabkan dia menjadi begitu kuat.

Dia memberikan kata-kata semangat kepada saya. Malahan meminta nombor telefon agar mudah untuk dia memberikan salinan panduan dan doa untuk diamalkan.

Orang baik seperti itu, kenapa selalu dikhianati?

Insan terpilih sahaja akan diberikan ujian. Setelah diberikan ujian kesenangan, kita diuji dengan payah.

Mudah-mudahan Allah terus merahmati kakak itu. Baginya masa menangis sudah lama berlalu.

Menangis untuk ujian dunia tidak seberat mana. Jangan nanti kita meraung-raung di dunia sana akibat gunungan dosa yang kita lakukan secara berterusan dan tanpa taubat.

Mendongak muka langit pada musim-musim suram begini, masih ada gumpalan awan cantik yang meredupkan hati.

Tuesday, November 29, 2011

Si Ibu yang mahukan syurga!



Melihat puteri-puteri yang ketinggiannya melebihi saya, kadang-kadang boleh meluruhkan air mata.

Begitu derasnya masa berlalu.

Sudah besar anak-anak, bermakna sudah berusia rupa-rupanya siibu!

Sekarang tibalah giliran kita menggantikan tempat emak-emak kita dahulu.

Anak-anak, meskipun lahir daripada rahim yang sama, adalah manusia-manusia berbeza. Malahan didikan yang sama tidak mampu melahirkan sikap yang serupa.

Sesuatu yang mesti diakui, manusia kembar seiras pun adalah dua individu dengan personaliti bukan serupa.

Seperti yang didialogkan ibu bapa dalam sebuah episod teledrama Nur Kasih, "kita selalu lupa bahawa bukan semua tanaman perlukan jumlah air yang sama. Ada tanaman akan hidup subur dengan jumlah air yang banyak dan ada yang akan mati jika terlebih air..."

Saya ingat betul dengan dialog itu. Sangat mengesankan apabila Adam dan Aidil yang dibesarkan dengan cara didikan yang sama, tidak menjadikan mereka serupa dalam menanggapi hidup dan hala tuju.

Apabila ada lebih daripada seorang anak, daripada jantina yang sama pula; kita dapat melihat beza dengan jelas.

Ada anak yang nampak lembut tetapi keras dan tabah hatinya. Ada yang nampak keras tetapi hatinya penuh belas.

Sama ada beza atau tidak, cinta ibu tetap sama paras. Dalam kapasiti yang tidak berubah. Seperti teguhnya gunung yang tidak mungkin runtuh oleh sejuta puting beliung. Tidak ada turun naiknya seperti graf niaga di bursa saham!

Anak adalah ujian Allah kepada kita. Ujian yang dipinjamkan kerana mereka dan kita adalah milik Allah.

Sesiapa yang bersabar dengan ujian-Nya akan dijanjikan syurga.

Saya mahukan syurga. Maka saya mahu menjadi seorang ibu paling sabar di dunia...

Lelaki: Katakan X Kepada Payung?


Ada satu peraturan baharu yang berjaya mengerutkan dahi saya dengan begitu lama.

Mahasiswa lelaki yang membawa payung akan disaman oleh pengawal keselamatan!

Sekarang musim hujan. Hujannya pula lebat. Kalau payung sudah menjadi "haram" bagi pelajar lelaki, habis mahu pakai apa untuk berlindung daripada hujan?

Daun pisang?

"Peraturan zaman paleolitik atau apa?" Rungut saya.

Tapi itulah yang berlaku di sebuah IPTA yang jauh di sebuah negeri. IPTA yang pernah dianggap universiti sampah kerana kecenderungan mengambil pelajar dengan kelulusan minima.

Ada juga peraturan lain yang agak pelik tetapi masih saya anggap ok.

Contoh: tidak boleh memakai sandal, kasut mesti bertutup. Tidak boleh memakai jeans, apalagi jika jeans itu nampak lusuh. Tidak boleh makan di kantin lelaki dan perempuan.

Kalau universiti pengurusan seperti UUM, memang logik benar peraturan semacam itu. Orang pengurusan mesti dibiasakan kemas.

Di IPTA yang mengharamkan payung bagi lelaki itu, ada sesetengah kursusnya tidak boleh diketatkan dengan peraturan. Mereka bermain dengan cat, dengan benda-benda yang kotor. Orang seni biasanya cepat rimas dengan segala macam aturan melampau. Kreativiti bakal tumpul. Idea pupus jika hati memberontak.

Saya teringat cerita zaman saya di kampus untuk ijazah pertama saya dahulu.

"Ada antara kami yang pakai selipar tandas pergi kuliah. Jeans koyak, ada lelaki berambut panjang, ada yang hanya pakai baju-T lusuh..."

Ya, mungkin itu dahulu. Tidak sesuai lagi dengan era kini.

Tapi lelaki diharamkan bawa payung itu memang peraturan yang sangat lucu.

Kata orang, mungkin pihak universiti mahu menyekat fenomena "pondan" yang semakin leluasa di kampus. Ramai mahasiswa lembut telah dikenakan saman.

Tapi apa kaitan payung dengan fenomena itu?

Lelaki perkasa akan jadi pondankah dengan membawa payung?

Hilangkah kelelakian jika membawa payung?

Kasihan kepada lelaki perkasa yang hanya mahu mengelak kebasahan akibat hujan dengan berpayung.

Satu lagi peraturan sengal yang menyekat minda mahasiswa.

"Barangkali kerana pengarah baharu ini perempuan!" Saya dengar ada siswa yang mengucapkan begitu.

Kan? Saya sudah beritahu dahulu. Perempuan, kalau sudah berada di "makam" tinggi, memang suka macam-macam!

Itu sebab Allah kata, lelaki adalah pemimpin.

Masalahnya, di mana lelaki?

Ekonomi dan Teori...


Saya tidak suka membuang masa dengan pergi ke sesuatu tempat yang jauh hanya untuk acara makan-makan.

Meskipun ia baik untuk proses sosialisasi, namun saya masih menganggapnya tidak praktikal.

Pernah bekerja dengan sektor "business-oriented", saya selalu sinikal dengan acara-acara semacam ini.

Sebenarnya apabila ada pihak tertentu yang mahu mengurangkan jumlah petugas di sesuatu sektor, jauh di dalam hati saya amat setuju. Wang rakyat yang telah dilaburkan bersungguh-sungguh oleh kerajaan sehingga menghasilkan pendapatan, bukan untuk dibazirkan sewenang-wenang.

Teori ekonomi yang diajar di kuliah-kuliah sebenarnya adalah idea yang diambil daripada kisah nabi Yusuf a.s.

Jika kita tidak berjimat sekarang, kita tidak akan mampu menempuh zaman susah yang berada dalam kitaran teori ekonomi.

Saya masih ingat kemewahan melampau sewaktu sepuluh tahun saya masih menjadi tenaga pensyarah di sebuah kolej. Ke sana sini dengan pesawat, mesyuarat yang boleh dibuat di dewan dan bilik yang mewah di kolej, dibawa jauh hingga ada kalanya ke Sarawak.

Kami cukup mewah dengan baju-T, dan segala macam peralatan yang diberikan percuma. Baguslah kebajikan dijaga. Tetapi wang yang mengalir seperti air banjir itu, akan terserap ke bumi juga kala musim kemarau.

Bukan salah pengurusan organisasi. Peruntukan yang diberi wajib dihabiskan. Oleh sebab itu hujung tahun penuh dengan acara-acara bermewah-mewah. Kalau tidak dihabiskan, nanti pihak pengurusan dikatakan tidak bijak mengurus kewangan.

Akibatnya, tibalah zaman meleset persis teori daripada cerita Nabi Yusuf a.s. Dua tahun sebelum saya tamat perkhidmatan di situ, semuanya disekat. Wang sudah tidak ada. Tidak boleh buat itu dan ini. Semua orang yang sudah biasa dimanjakan dengan kemewahan, terkejut dan merungut.

Saya dan geng memang suka. Terlalu suka. Sebab ini bermakna kami tidak perlu keluar selalu dan meninggalkan anak sampai berminggu-minggu. Kalau mesyuarat pun, hanya di tempat yang dekat sahaja. Mudah untuk berulang jika enggan bermalam di hotel.Kuliah tidak perlu diganti sampai berjam-jam. Anak pun gembira ria. Tidak perlu naik kereta sapu ke sekolah dan balik ke rumah tanpa ibu.

Itulah hikmahnya kemelesetan ekonomi. Sesuatu yang pada sangkaan kita buruk, belum tentu buruk semuanya.

Terlalu banyak sistem dan peraturan akan menyebabkan minda beku. Perubahan dasar yang kerap juga salah satu penyebab tenaga kerja menjadi lesu. Anjakan paradigma sewajarnya bukan sekadar ucap-ucap di seminar.

Kita perlu berubah menjadi lebih praktikal. Protokol masih perlu, tapi bukan prioriti.

Keluar makan-makan juga perlu, tapi bukan sekadar untuk mengenyangkan perut!

Monday, November 28, 2011

Tetamu malam dan cebisan cerita


Ahad 27 November, sudah maghrib saya sampai di halaman emak.

Ada beberapa tetamu lelaki dan abang sulung saya di anjung simen hadapan rumah emak sudah beransur-ansur mahu pulang.

Tetapi emak tidak kelihatan.

Bau cat tatkala masuk ke dalam rumah adalah jawapannya. Rupa-rupanya emak baru selesai mengecat dinding salah sebuah bilik air.

Memang mengantuk dan sangat letih tapi saya tetap menunggu emak selesai solat dan mengaji.

Lama berbual dengan emak sambil mengurut kakinya yang katanya kerap kejang sebelum masuk waktu subuh.

"Tapi tak apa sakit pun. Senang untuk bangun solat..." kata emak masih positif, seiring dengan tawanya yang biasa.

Jam sebelas, tiba-tiba telefon emak berbunyi. Emak bercakap-cakap.

"Siapa?" tanya saya.

"Abangcho. Mahu tumpangkan orang tidur..." jawab emak, langsung masuk ke bilik mengusung tilam besar dan alasnya.

Panggilan daripada abang sulung (abang beso = cho)saya rupa-rupanya. Abang setelah pencen sebagai pegawai perisikan tentera, melakukan tugas menyelia pengawal keselamatan di sekolah-sekolah sekitar.

Tidak berapa lama kemudian, abang pun sampai. Saya menjenguk. Ada perempuan dan bayi lelaki.

Kami menyambut tetamu malam. Bayi comel yang baru pandai merangkak sedikit-sedikit. Deman tetapi baik-baik sahaja, tidak menangis atau meragam. Bayi itu antara beberapa bayi "terpilih" yang tidak menangis waktu melihat saya!

Emak menghidangkan makan malam ala kadar. Sementara ibunya makan, keluarga abang dan saya melayani si bayi.

Seorang pun tidak bertanya apa masalahnya sehingga kedua-duanya mahu menumpang tidur di rumah emak.

Sebenarnya kami sudah biasa dengan kehadiran tetamu yang sedang ditimpa susah. Sejak kecil memang begitu. Meskipun hidup bukan sesenang mana, tetapi rumah emak dan ayah sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja menumpang asalkan tidak mengambil kesempatan.

Emak pun tidak bertanya. Cuma adalah sedikit sesi "ice breaking", menanya nama si ibu dan bayi. Kemudian emak yang peramah bercerita seolah-olah sudah lama mengenali tetamu muda itu. Agakan saya, supaya si tetamu tidak berasa kekok berada di rumah dan keluarga yang begitu asing.

Esoknya, suaminya datang. Saya dengar dia memohon maaf sebab terpaksa menyusahkan emak.

Mereka bertiga kemudiannya menaiki bas ke kampung si suami di Baling.

Saya pun bertanya sekadar mahu tahu kepada kakak ipar.

Jawapannya pun sedikit. Tapi cukuplah untuk saya tahu.

Mereka dihalau oleh ibu mertua kerana bergaduh dengan anaknya (adik kepada perempuan muda, yakni ibu si bayi). Suami perempuan itu enggan lagi memberikan wang kepada adik iparnya yang menagih dadah.

Bayi itu demam. Ketiga-tiganya menumpang tidur di pos pengawal (Suaminya seorang pengawal keselamatan). Nyamuk banyak dan bayi itu asyik menangis kerana digigit nyamuk.

Abang berasa sangat belas melihat keadaan si bayi.

Itulah cebisan cerita yang saya dapat. Macam filem P.Ramlee saja, fikir saya.

Ada juga ibu mertua spesis Mak Dara zaman-zaman facebook ini!

Majlis Graduasi Puteri Sulung...





Jam lima setengah pagi saya terjaga. Malam memang kurang lena. Anak dan kakak sepupunya membuat kerja seni mereka hingga lewat malam.

Kepenatan memandu dan keghairahan menunggu esok, membuatkan mata enggan lena.

Tiba di kampus memang lewat sepuluh minit daripada masa jangkaan. Puteri sulung saya melambai daripada kumpulan graduan yang ramai.

Dia di barisan English Language Studies. Memang majoriti perempuan. Ada beberapa rakannya yang mengenali saya, melambai-lambai ceria.

Oleh sebab institusinya Islamik, pengurusan masa memang benar-benar tepat.

Masuk ke dewan, sebahagian besar kerusi sudah penuh.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk para graduan. Diikuti barisan tenaga akademik dan kemudiannya pengurusan utama institusi. Salawat atas Rasullallah mengiringi perarakan masuk ke dewan.

Tidak seperti majlis konvokesyen yang pernah saya hadir, sama ada sebagai graduan atau tetamu; ia dimulakan dengan acara penuh keberkatan.

Surah Luqman dialunkan oleh seorang pensyarah hafiz, namanya Don Daniel Don Biajid. Beliau mengalunkan bacaannya dengan penuh perasaan sehinggakan saya dapat membayangkan seorang bapa sedang memberi pesan demi pesan kepada anaknya dengan penuh kasih sayang.

Saya tersedu sedikit, tetapi cepat menyeka air mata dengan sapu tangan yang dibawa.

Selesai mengaji, beliau terus membacakan doa. Doanya juga sangat menyentuh hati. Sebak hati saya apabila ada ayat dalam doanya menyebut, "kami pasti ya Allah, anak-anak yang hadir dalam majlis ini adalah anak-anak yang soleh dan solehah, Ya Allah. Berkatilah kehidupan mereka Ya Allah..." Beliau mengulang tiga kali, syahdu dan meruntun jiwa.

Selesai majlis konvo, hujan di luar menggantikan panas hangat siang. Saya sangat lapar tetapi melihat kegembiraan anak-anak mengambil gambar di tepian tasik yang sarat bunga kiambang mekar, saya hanya diam menahan.

Rupa-rupanya selama empat hari ini saya asyik berulang alik dari Perak ke Negeri Sembilan. Jumaat ke Perak. Sabtu ke Negeri Sembilan, Ahad kembali ke Perak dan Isnin bertolak semula ke Negeri Sembilan. Hujan lebat, jalan jem, dan saya juga tersesat di bandar Shah Alam kerana mata saya yang kurang mahir mengenal jalan pada waktu malam.

Saya abaikan sakit, penat dan kantuk.

Menepati seperti yang disebut acap kali oleh almarhum bapa mentua; "sayang emak sayang saja..."

Friday, November 25, 2011

Di Luar Duga...


Jam 2.15 petang, telefon berbunyi.

"Tren batal. Bukan delay, tapi batal terus." Suara anak di hujung talian bernada kecewa, cemas dan sedih.

Sepatutnya jam 2.15 bertolak dari Stesen Batu Gajah dan jam 5.15 petang tiba di Stesen Seremban. Ini bukan tren biasa tapi ETS, yang kononnya lebih laju dan moden.

Mutakhir ini memang KTM bermasalah. Daripada kerosakan koc, kebakaran, pembatalan perjalanan sampailah kepada kelewatan melampau.

Kasihan betul anak saya. Dia hampir menangis kalau saya lama bercakap dengannya di telefon.

Ikut perancangan, petang Jumaat selesai kuliah dia pulang ke Seremban. Sabtu pagi ke Shah Alam menjemput kakak sepupunya di sana. Ahad pagi ke majlis konvo kakaknya. Ahad petang ikut saya pulang menjenguk emak di kampung kerana Isnin cuti, cuti Awal Muharam yang jatuh Sabtu dan dibawa ke Isnin.

Anak kemudian membeli tiket tren biasa jam 6 petang. Agak mahal sebab sekali dengan tempat tidur. Cuma masalahnya lewat malam tren akan tiba di KL Sentral. Siapa yang akan menjemput?

Saya memintanya jualkan semula. Dapatlah wangnya kembali tetapi separuh sahaja daripada harga tiket. Dia mahu pula mengikut penumpang-penumpang yang kecewa menaiki bas ke Ipoh, mahu mencari tiket bas ke Seremban. Saya melarang.

"Kalau keluar jam 3, paling lewat jam delapan sampai ke tempat adik," saya mencadangkan sesuatu.

Kalau hujan lebat, memang saya bermasalah besar. Mata saya paling kalah dengan malam dan hujan lebat.

Sekali lagi saya beri jaminan, "saya bawa perlahan..."

Tetapi sebenarnya tidak!

Tiap setengah jam suami menelefon dari luar bilik mesyuarat. Saya hanya kata jalan ok, padahal lori sangat banyak. Hujan sangat lebat saat saya masuk ke sempadan Perak.

Jam 6.10, lampu jalan sudah terpasang. Musim hujan dan mendung, lampu yang diset auto seakan tertipu dengan cuaca.

Langit gelap zulmat seperti perempuan Negro yang berselubung kain hitam. Saya memang langsung tidak nampak jalan. Hanya mengikut garisan putih yang kabur dan berpandukan lampu kereta hadapan.

Jam 6.45 saya tiba. Awal satu jam daripada jangkaan. Memang saya memandu laju dan non-stop. Hujan masih meriah di Seri Iskandar. Nampak anak sedang berbual dengan mak cik dan pak cik tuan rumah di restoran.

Penat dan lapar. Mak cik tuan rumah belanja saya makan nasi goreng pattaya. Sudahlah dia menjaga anak saya, dia belanja saya lagi. Baiknya hati orang ini.

"Sebab ayahnya sudah pesan minta jaga dia. Jadi kami memang ambil tahu ke mana dia pergi..." begitu mereka memberitahu saya.

Dengan muka berminyak saya menunaikan maghrib yang sudah mahu pamit.

KTM, patutlah di media penumpang asyik merungut mengenai perkhidmatannya yang merudum sejak akhir-akhir ini.

Malam, anak angkat menghantar mesej. "Ada berita ETS tergendala. Gangguan elektrik katanya..."

Kalau belum boleh berlari, jangan paksa diri untuk berlari. Bukan sekali dua ada masalah elektrik. Anak pernah mengalami masalah terperangkap dalam ETS selama hampir tiga jam.

Itulah dia perkhidmatan kereta api kita!

Kereta api Tanah Melayu!

Thursday, November 24, 2011

Moh Ngunyah Sirih


Sirih...

Sirih atau nama saintifiknya "Piper Betle" sering digunakan dalam perubatan tradisional masyarakat Melayu.

Sirih boleh menjadikan pemakannya awet muda kerana ia mengandungi bahan aktif seperti flavornoid dan polyphenol yang boleh menegangkan kulit.

Jadi, apa tunggu lagi...Moh kita ngunyah sirih! Tak payah beli krim mahal-mahal dan berbotox-botox.

Ia juga mempunyai sifat antiseptik yang berperanan dalam merawat kanser.

Bau mulut dan badan juga boleh diatasi dengan amalam memakan sirih.

Biasanya, Sirih digemari sebagai kudapan dalam kalangan orang-orang tua. Daun sirih dimakan bersama-sama gambir dan kapur sebagai makanan harian pada waktu lapang. Kadang-kala ia dijadikan hidangan kepada tetamu.Walaupun begitu, dewasa ini bilangan penggemar sirih semakin berkurangan.

Sirih mempunyai nama yang berbeza-beza, antaranya sirih carang, camai, kerekap, serasa, cabe, kengyek atau kerak. Kebiasaannya, pokok sirih ditanam di kampung-kampung. Namun begitu terdapat juga pokok sirih yang tumbuh meliar di kawasan semak-samun. Daun sirih berwarna hijau gelap dan bersaiz kira-kira 15 cm panjang dan 10 cm lebar. Ia juga boleh didapati dengan mudah di pasar, terutamanya di kawasan pedalaman.

Dalam rawatan tradisional, sirih dimakan bersama gambir untuk mengatasi cirit-birit. Daun sirih juga berkesan untuk meredakan sakit gigi. Malah ia juga berkesan untuk melegakan demam panas.

Alahan terhadap udara panas atau makanan-makanan tertentu boleh menyebabkan seluruh badan terasa gatal dan miang serta ditumbuhi bintil-bintil merah dikenali sebagai gelegata. Penyakit ini boleh diatasi dengan menggunakan daun sirih yang dilayur di atas api kemudian disapu pada kulit ketika daun masih panas.  

Daun sirih juga boleh menghilangkan masalah gatal-gatal di bahagian kemaluan, di mana air rebusannya digunakan untuk mencuci di bahagian sulit yang gatal.

Bagi mengubati pendarahan pada hidung , daun sirih digulung dan disumbat ke dalam lubang hidung untuk menghentikan pengaliran darah dari dalam hidung.

Ia juga dijadikan hantaran dalam istiadat perkahwinan orang Melayu.

Sirih juga digunakan dalam upacara menjampi seseorang dalam proses mengubati pesakit. Tapi tak lalu le nak makan sirih tu kalau ada air liur bomoh tu terkena kat sirih,kan? Hehehehe...

Bola Sepak & Sepak Bola


Di sana sini, kemarahan dan kebencian sedang menerawang di angkasa Nusantara.

Aura negatif di mana-mana. Hujan lebat musim tengkujuh pun tidak mampu menghakis debu-debu amarah dan benci yang melekat kuat, mengcengkam hingga ada kalanya jadi luka.

Di laman sosial, penuh caci maki. Komen-komen di blog, penuh muatan provokasi.

Sukan sudah jadi penambah perisa untuk meledakkan merapi!

Kita yang asalnya serumpun, sudah jadi berumpun-rumpun. Yang tidak tahu pun, ikut caci mencaci. Kadang-kadang dengan bahasa yang bukan diajar ibunda, apalagi agama.

Sebetulnya teori fizik mudah menyebut, bola yang kita lantun ke dinding akan melantun semula ke arah si pelontar. Ada timbal baliknya di sini. Majikan rakyat kita ada yang mendera dan membunuh orang mereka. Rakyat mereka yang banyak berdagang di sini, menyamun langsung menyembelih warga kita.

Nampak?

Harus juga diingat, rakyat negara jiran itu memiliki jati diri yang sangat kuat berbanding kita. Sejarah negara mereka yang panjang dan berliku serta dasar pemerintah membentuk keperibadian bangsa. Mereka adalah satu berbanding dengan kita yang masih rencam (meskipun penuh dengan slogan segala macam "satu").

Seperti yang saya sebut, mana-mana bangsa pun ada sisi hitam dan putih. Tidak ada bangsa yang mutlak jahat mahu pun mutlak baik.

Kebencian bukan penyelesaian. Jika kita bermula dengan benci, maka kita akan berakhir juga dengan benci.

Bola sepak atau "sepak bola" bukan arena perang. Sukan tetap sukan dan perlu dilihat dengan minda yang matang. Istilah-istilah seperti "ganyang" sebetulnya membawa pengertian perilaku samseng. Kita mahu "ganyang" sesama sendiri. Tanpa kita sedari, ada sekumpulan orang yang sedang memerhati. Dan yang memerhati itu pula sedang merangka strategi yang bakal menghapuskan kedaulatan kedua-dua negara yang berpaksikan "Islam".

Mengapa kita masih terlalu bodoh dengan terus menuang minyak ke dalam api?

Kita saling bergantungan antara satu sama lain. Rakyat kita memerlukan tenaga buruh daripada negara jiran untuk ikut membangun negara, di samping memberi peluang ekonomi kepada mereka.

Rakyat mereka juga menjadikan bumi emas ini sebagai sumber mencari rezeki, menyuap mulut anak isteri atau anak suami di kampung halaman.

Majoriti leluhur kita berasal dari kepulauan Sumatera atau Jawa. Itu adalah hakikat yang wajib kita akui.

Berhentilah memprovokasi. Ilmu komunikasi ada menyebut, sikap agresif harus ditangani dengan sikap pasif. Lebih baik diam daripada ikut menyerang. Lama-lama nanti, jika tiada yang melawan, mereka akan akur sendiri.

Apabila masing-masing sudah tenang, maka di situlah nanti ada penyelesaian.

Wednesday, November 23, 2011

Kak Mon: Diari Derita Saya


Ramai yang berjasa dalam hidup saya, khususnya saat saya dan anak-anak hidup susah di Kuala Lumpur dua puluh tahun yang lalu.

Antaranya Puan Hajah Maimon Mat Nor dan suaminya.

Kak Mon, demikian panggilan saya kepadanya merupakan kerani di Jabatan Penulisan Kreatif dan Deskriptif Universiti Malaya tahun-tahun 1980-an dahulu. Dia yang menaip tesis saya (waktu itu hanya memakai mesin taip elektronik) sebuah novel kajian mengenai nasib pelarian Vietnam ke Malaysia.

Suami isteri ini iras wajah kecinaan. Bermata sepet, berkulit putih, berbadan agam. Kak Mon memang bising mulutnya, tetapi hatinya ultra baik. Dia paling diingati oleh budak kreatif (panggilan untuk mahasiswa Jabatan Penulisan) sebab sangat suka membantu tidak mengira waktu.

Siang malam, cuti atau tidak; Kak Mon orang yang akan dicari!

Saya barangkali paling banyak kenangan pahit manis dengan Kak Mon. Demi Allah, sampai mati saya tidak akan lupakan budi baik mereka sekeluarga terhadap saya dan anak-anak.

Saya kerap menghubungi beliau, bertanyakan khabar kesihatannya yang pernah terganggu disebabkan serangan kanser tulang. Alhamdulillah, kesihatannya baik dan dia masih aktif mengendalikan aktiviti GAPENA bersama suaminya selepas lama pencen dari UM.

Moga Allah melapangkan hidup Puan Hajah Maimon dan keluarganya.

Di genggaman tangannya penuh dengan cerita hidup saya. Dia adalah diari saya. Saat saya masih bergelar mahasiswa, saat berkahwin, saat diterajang kemelut, saat dikhianati, saat berjuang mencari nafas di tengah kota raya, saat jatuh dan bangun saya dalam kehidupan ini.

Ibu bapa saya sendiri pun tidak mengetahui sedalam-dalamnya derita saya kerana mereka jauh di kampung. Dan saya bijak menyembunyikan kisah duka kami.

Tapi untuk Kak Mon, dia adalah saksi segala kepayahan itu. Air matanya mengalir bersama-sama air mata saya. Air matanya masih mengalir saat saya sudah kering tangisan. Saya masih ingat, kedua-dua bayi saya Kak Mon dan suaminya yang membawa balik ke rumah dari wad Hospital Universiti. Dia jauh di Ampang tetapi selalu dekat untuk menyokong tiang tempat saya bersandar tatkala saya hampir rebah.

Jika dikata orang, kita dapat mengenal sahabat sejati ialah tatkala kita ditimpa susah. Ya, saya punya ramai sahabat yang sanggup mengongsi tetapi Kak Mon menduduki tempat teratas.

Saat melihat saya bahagia delapan tahun yang lalu, matanya berkaca. Pun saya masih diuji dan dialah tempat saya mencurah rasa biarpun melalui telefon. Dan kini, ujian itu seakan berlalu; saya segera memberi laporan kepadanya. Jika saat susah, dia tahu; maka saat gembira juga dia wajib tahu.

Persis yang saya katakan; sampai mati budinya terus dilipat dalam ingatan. Saya tak akan lupakan kebaikannya.

Dia adalah diari derita saya...Puan Hajah Maimon!

Tuesday, November 22, 2011

Menjadi Nakhoda


Ada beberapa kerja yang mesti dibereskan sepanjang minggu ini.

Di pejabat, sunyi. Suasana paling baik untuk melaksanakan kerja berdikit-dikit.

Kak Tumerah menelefon dari lapangan terbang. Dia menunggu pesawat untuk ke Miri. Ada beberapa hal peribadi yang sempat kami kongsi. Maklumlah saya jenis yang sangat sukar untuk mempercayai orang sekitar, setelah melalui pengalaman agak pahit lama dahulu.

Ya, ada kalanya penghijrahan ke tempat baharu begitu mengujakan. Ada kala ia tidak sebagus yang disangka.

Kak Tumerah berbicara tentang bagaimana pentingnya sokongan emosi antara satu sama lain dalam organisasi. Bukan setakat mengatakan "Ya, kami memahami" tetapi turut meminjamkan telinga dan hati.

Dia tahu bagaimana ada sesetengah orang yang sangat fobia dengan bos perempuan (mujur saya ada bos yang ok). Pastinya disebabkan sikap teliti yang akhirnya menjadi "cerewet" bercampur baur pula dengan ketidakstabilan emosi.

Cerewet itu tidak mengapa. Tetapi yang tidak tahan ialah apabila melihat "jelingan tajam" meskipun dari jauh (Kak Tumerah pernah menyebut tentang perihal jelingan itu kepada saya).

Tetapi lama mengenali Kak Tumerah, saya sangat pasti mereka yang menjadi kakitangan di bawahnya cukup bertuah.

Dia lembut dan sangat memahami. Jika boleh, dia akan melaksanakan sesuatu tetapi jika tidak, dia berani untuk menyebut tidak. Dia tidak suka menyusahkan orang bawah apalagi melakukan sesuatu untuk sekadar gahnya nama. Tidak juga mengadu-ngadu perihal orang bawahan kepada orang bawahan yang lain.

Mudah-mudahan Kak Tumerah a.k.a ex-Chef Kohort 7 kami itu terus sukses menjadi nakhoda institusi yang dipimpinnya.

Menjadi nakhoda bukan main payah. Bukan setakat wajib lulus ilmu maritim, bahkan juga tahu "membeli" hati anak kapal. Hati yang mahu dibeli pula bermacam jenis dan kategori. Silap-silap beli, nakhoda pula yang terpaksa makan hati.

Kasihan orang yang terpilih menjadi pemimpin. Berat tanggungjawab seperti sebeban batu besar yang diletakkan di pundak. Salah pimpin, bagaimana mahu menjawab kepada Allah.

Seperti kata Kak Tumerah, "silap penilaian sedikit pun, hidup kita akan hilang berkatnya..."

Sunday, November 20, 2011

Dia bulan dan matahari saya


Pagi ini asyik teringatkan emak.

Selalunya kalau menghantar anak balik ke kampus, langsung menjenguk emak sekejap di kampung. Tapi kali ini tidak sempat sebab ada keperluan anak yang mendesak dan perlukan masa.

Sempat menelefon emak, anak saudara yang menjawab.

"Nanti kejap. Opah ada dalam semak..." kata anak saudara berusia sebelas tahun itu dengan nafas seakan orang berlari.

"Emak buat apa?" tanya saya setelah mendengar suara emak di hujung talian.

"Sedang menebas semak di belakang rumah..." jawapan emak mengharukan saya.

Usia tujuh puluh tiga, dengan tubuhnya yang kecil; semangat emak tidak pernah sekecil itu.

Seorang lagi manusia penuh energi yang pernah saya jumpa selain suami.

Emak bukan tidak pernah sakit tetapi semangatnya tidak pernah mahu mengalah dengan penyakit. Akhirnya penyakit apa pun angkat tangan dan berlalu pergi.

Cuma entah mengapa, emak begitu awas dengan ujian yang saya hadapi sekarang ini. Kebimbangan emak selalu ditutup dengan tawa. Saya tahu emak tidak mahu saya pergi dahulu sebelumnya. Tetapi saya juga tahu, kekuatan hati emak mampu mengatasi apa pun yang bakal datang.

Jika boleh, saya mahu pulang ke sisi emak sekerap mungkin. Meskipun jauh, saya tetap mahu pulang. Melihat emak memberikan saya kekuatan. Melihat emak seperti melihat tayangan kehidupan penuh berliku. Sekarang, emak terlalu menjaga hati saya. Makanya saya juga wajib menjaga hati emak.


Saya tahu doa emak khusus untuk saya sentiasa menerawang di angkasa lewat dhuha atau di sepertiga malam. Seperti doa emak untuk kekasihnya yang telah menemui Tuhan sebelas tahun lalu.

Minggu hadapan, usai konvokesyen puteri sulung saya, dengan izin Allah saya pasti pulang ke sisi emak. Meskipun sebentar, saya tetap mahu pulang.

Sebab emak adalah matahari dan bulan saya.

Di mana-mana pun dia ada.

Dalam raut wajah, juga di hati saya.

Anak...berlarilah!


Sabtu 19 November.

Ada kursus yang wajib dihadiri bermula jam delapan setengah pagi hingga jam empat petang.

Tapi kami perlu tiba ke kampus Seri Iskandar sebelum pejabat tutup.

Bermakna cantiknya, jam sebelas setengah pagi mesti bergerak dari Seremban. 

Bermakna juga saya hanya dapat mendengar taklimat yang sangat informatif itu sehingga jam sebelas. Rugi rasanya sebab maklumat yang diberi memang sangat berguna.

Tetapi anak lebih penting.

Hari ini anak perlu pulang ke kampus untuk kes rayuan penginapan. Dia gagal mendapat tempat di kolej kediaman. Stickernya cukup, pointernya melepasi syarat. Tiada masalah.

Jam empat dua puluh minit kami sampai. Anak mengisi borang rayuan, beratur paling akhir.

Dua puluh minit kemudian dia keluar. Wajahnya tampak kecewa.

"Pak cik tu kata gaji macam ni pun mahu minta duduk dalam..." Dia mengadu.

"Tak apalah. Jangan susah hati, kita cari rumah sewa. Minta kawan adik yang tak dapat rumah, menyewa bersama adik. Lagipun tinggal dua semester saja lagi."

Anak merungut.

" Dulu ada dengar cerita, ada orang tak layak dapat asrama tapi guna orang dalam..." dia melampiaskan rasa.

Saya memujuk.

"Biarkan kalau mereka mahu guna siapa pun. Kalau kita cantas hak orang lain yang kurang bernasib baik daripada kita, keberkatannya akan jadi kurang. Ibu dulu dari sekolah sampai universiti, sampailah bekerja; tidak pernah sekali pun guna orang dalam untuk capai impian. Kita usaha sendiri. Gagal atau tidak, ada sesuatu yang Allah mahu beritahu kepada kita," demikian saya berkata.

Kami mencari ke sana sini. Akhirnya berjaya mendapat tempat untuk adik. Tuan rumah memiliki restoran di tingkat bawah. Tingkat atas megikut cadangannya mahu menempatkan pelajar-pelajar wanita menjelang Januari 2012. Ada enam bilik dengan kapasiti dua orang sebilik, RM100 sekepala.

Masalahnya rumah atas restoran itu belum siap sepenuhnya. Lantainya penuh debu, tiada sebarang kelengkapan apa pun. Kipas siling pun belum berpasang.

Tetapi dek kasihankan adik, mereka mengizinkan adik menyewa bilik paling hadapan. Kami mula mencari tikar dan peralatan lain. Tuan rumah mencuci bilik, meminjamkan kipas meja dan toto. Suami mencuci tandas, menyapu sawang dan debu.

Kata tuan rumah, mereka akan melengkapkan bilik itu secara beransur-ansur.

Oleh kerana adik bersendirian, sewaan mula RM200. Ada juga seorang bibik, pekerja restoran yang duduk di bilik belakang. Jadilah untuk meneman adik.

Maka beribu-ribulah pesanan saya. Sampaikan ke perkara melintas jalan, menyendal pintu, hal-hal keselamatan dan makan.

Saya beritahu anak, jangan bimbang mengenai apa pun. Tugas mereka hanya belajar. Biar kami berkereta buruk dan kecil atau langsung tidak berpeluang berdarmawisata, biar tidak berganti baju baharu. Kami akan berusaha menambah rezeki asalkan dapat membiayai pengajian mereka sepenuhnya.

"Kalau ibu tidak sempat menikmati kesenangan macam orang lain sebab asyik membiayai anak?"

Pada saya, itu pun tidak mengapa. Melunaskan tanggungjawab itu prioriti. Nanti akan ditanya oleh Allah. Kalau sempat, sempatlah. Kalau tidak pun, penting sangatkah kesenangan dunia itu jika kita sudah berada di barzakh?

"Harap-harap ibu sempat menikmati kesenangan macam orang lain juga, kan ibu?"

Itu namanya takdir. Itu juga namanya rezeki. Jangan terlalu mengejar dunia yang makin dikejar makin kuat dia berlari. Kalau kita sudah tiada di dunia, hanya doa anak yang kita damba. Ladang itik, duit banyak, rumah besar atau kemegahan apa pun bukan dambaan kita lagi.

Pejuang-pejuang agama, para pendakwah yang bertebaran mengajak manusia ke jalan Allah; rugikah mereka?

Di mata manusia, mungkin kita melihat mereka dengan penuh rasa rugi. Tapi di mata-Nya, mereka sangat beruntung.

Samalah saat saya berada di restoran milik tuan rumah adik. Saya melihat dengan mata berkaca, sebuah keluarga yang punya anak istimewa. Barangkali anak itu menghidap autisme atau spastik. Sudah remaja anak itu.

Saya katakan kepada anak saya.

"Mahu lihat siapa penghuni syurga? Itu penghuni syurga. Berbahagialah ibu bapa kepada penghuni syurga itu jika mereka redho..."

Sabar sekali si bapa menyantuni si anak, menyuap makanan ke mulut si anak yang barangkali sudah berusia belasan tahun.

Allah memilih ibu bapa itu dengan ujian seorang anak istimewa. Kalau kita berasa bahawa betapa ruginya menjadi ibu bapa kepada seorang anak istimewa; maka kitalah orang yang rugi itu.

Bersedia berlapang dada dengan kehidupan kita adalah ubat paling baik.

Adik belajar banyak perkara dua hari ini. Dia juga akan mula berdikari.

Saya pun kena berlapang dada. Menyerahkan adik di bawah lindungan Allah.

Lewat petang Ahad, kami pulang ke Seremban dalam hujan yang lebat, di luar dan di hati.

Di Seri Iskandar, hujan juga lebat. Adik terkurung di kamar barunya.

Thursday, November 17, 2011

Air dan botolnya


Ada satu tabiat yang membezakan pelajar Melayu, India dan Cina.

Lama dahulu saya sudah perasan. Di kolej, di sekolah dan rupa-rupanya di IPG juga.

Waktu mengawas peperiksaan paling mudah untuk melihat perbezaan ini.

Jika unit yang berada di kelas itu semuanya berketurunan Cina, kita akan lihat botol-botol air berada di sisi meja. Semua membawa botol air. Perhatikan pula saiz botol-botol itu. Saiznya besar-besar, malahan ada yang sudah usang tetapi mereka tidak malu untuk membawanya.

Jika mengawas pelajar dari unit yang majoritinya Melayu dan India, atau secara totalnya daripada Melayu dan India; perhatikan di sisi meja. Hanya sebilangan kecil yang membawa botol air. Saiz botol juga kecil sekitar muatan 500ml.

Struktur molekul air terdiri daripada dua bahagian iaitu Hidrogen dan Oksigen. Minda yang cerdas sangat bergantung kepada tidak atau cukupnya bekalan kedua-dua unsur ini di dalam tubuh kita.

70 peratus kandungan badan kita terdiri daripada air.

Apabila kita mengalami dehidrasi, badan dan minda kita juga turut stres.

Ramai yang tidak tahu bahawa ubat segala penyakit sebenarnya bermula daripada air. Semua masalah akan selesai jika sejak awal kita minum air secukupnya.

Saya pernah bertanya kepada pelajar, mengapa tidak gemar membawa air ke kelas. Jawapannya kadangkala tidak logik iaitu lupa! Atau ada juga yang menjawab, malas! Dan sebilangan kecil mendakwa, beg sudah tidak ada ruang untuk meletakkan botol air.

Saya juga meminta pendapat anak. Oleh sebab mereka juga memiliki sikap yang sama dengan saya, saya cepat memahami mengapa mereka enggan membawa botol air yang besar semasa kuliah.

Anak membawa dua botol air muatan 500ml. Satu diletakkan dalam beg dan satu lagi di tangan. Rakan-rakan sekuliah tidak membawa bekalan air. Apabila haus, mereka akan meminta daripada anak.

Ada satu masalah besar! Mereka minum dengan mulut di muncung botol!

Saya dan anak-anak memang ada satu perangai yang sama. Kami"geli" untuk minum lagi di botol yang sama! Kesimpulannya, saya dan anak memang sangat keberatan untuk berkongsi "bekas mulut" dengan sesiapa sahaja kecuali jika bekas itu bekas emak.

Biasanya anak akan berkata, "tak apalah, ambil terus...", dengan harapan satu lagi botol yang dsimpannya di dalam beg tidak diminta oleh sesiapa.

Walau bagaimanapun, jika mereka minum tanpa "kena" muncung botol; masih tidak mengapa.

Begitu juga jika minum di straw yang sama atau berkongsi sudu!

Sekali lagi, tidak mengapa jika saya minum bekas emak dan anak saya juga tidak kisah jika minum bekas saya!

Perangai yang pelik, bukan? Susah jadinya kalau tiba-tiba terdapat situasi mendesak yang perlukan keterbukaan untuk berkongsi...

Benda-benda seperti itu nampak kecil tetapi penting.

Tidak tahulah macam mana saya dan anak boleh jadi seperti itu...

Monday, November 14, 2011

Hidayah: Kompas Dalam Belantara Kehidupan



"Apa kabar? Ratna sihat?" Tanya Ketua Jabatan saya.

"Ya, Alhamdulillah" Jawab saya diiring senyum terima kasih.

Pasti yang ditanya itu kesihatan tubuh badan saya, bukan yang lagi satu.

Apakah itu?

Kita selalu ditanya tentang kesihatan tubuh badan kita, tetapi amat jarang kita ditanya dan bertanyakan kepada diri kita sendiri tentang kesihatan iman.

Mudah-mudahan Allah menganugerahi kita kedua-dua kesihatan itu.

Jam lima lima belas minit, saya sudah ada di kereta. Menekuni bait-bait ceramah ustaz di IKIM.fm. Saya berhenti di bahu jalan mencatat isi yang menarik.

Ustaz menyebut tentang sesuatu yang pernah saya ajar saat memberi kuliah tentang komunikasi satu ketika dahulu. Ia berkaitan dengan fasa kehidupan manusia iaitu dari alam roh, rahim, dunia, barzakh/sempadan,dan akhirat.

Dunia merupakan fasa paling kritikal. Di fasa ini juga penentu kepada kehidupan kita di fasa seterusnya. Dunia umpama belantara dan kita adalah warga akhirat yang sedang kembara di dunia. Saat kembara pasti kita memerlukan kompas. Jika bekalan makanan banyak sekali pun tetapi tiada kompas, tiada gunanya juga.

Apakah "kompas" kita itu?

Kompas kita itu ialah hidayah. Hidayah juga disebut sebagai hadiah daripada Allah. Sekurang-kurangnya tujuh belas kali dalam sehari kita meminta hidayah melalui bacaan dalam surah Al-Fatihah.

Amat berdosa jika kita tidak meminta hidayah daripada-Nya kerana bukankah berdosa jika kita meninggalkan al-Fatihah dalam solat?

Ustaz menyebut bahawa ada lima jenis atau peringkat hidayah iaitu hidayah tabiee, pancaindera (qawas), akal, agama/Islam dan hidayah taufiq.

Hidayah tabiee ini merupakan sesuatu yang natural dan tiada campur tangan manusia. Contohnya bayi yang lahir tidak perlu diajar untuk mencari susu ibu. Anak penyu yang menetas, secara semula jadi segera menuju ke laut, benih yang tumbuh, pucuknya akan segera mencari cahaya. Akar pokok pula menuju ke punca air.

Saya tertarik dengan ulasan ustaz berkaitan hidayah akal dan agama. Akal diumpamakan seperti kipas yang ligat berpusing tetapi mesti melekat di dinding atau siling. Dinding dan siling itu ialah agama. Akal tidak boleh diberi autoriti untuk menentukan hukum halal haram.

Sama-samalah kita berdoa agar iman kita tidak tercabut saat sakaratul maut.

Jika lori itu membawa muatan pasir, tatkala bertembung/ berlanggar dengan sesuatu yang lain, yang keluar daripadanya adalah pasir.

Begitu juga jika lori yang membawa sayur. Jika berlaku perlanggaran pasti yang keluar bertebaran ialah sayur juga.

Samalah halnya dengan kita. Jika setiap hari kita memenuhi hati dengan iman, maka saat bertembung dengan malaikat maut dan bertempur pula dengan hasutan iblis; yang keluar daripada kita ialah iman melalui syahadah.

Muda Selalu



Hari ketiga saya mengawas peperiksaan.

Jam delapan pagi saya mesti berada di bilik peperiksaan. Jam delapan setengah peperiksaan bermula. Buru-buru saya mendaki tangga ke tingkat tiga bangunan usang itu.

Aduhai, saya sepatutnya berada di bilik itu tepat jam delapan. Saya sudah terlewat dua minit, sebabnya saya masih terpinga-pinga mencari ketua saya di unit peperiksaan.

Sudah ada seorang pensyarah senior yang akan bersama saya mengawas peperiksaan di bilik itu.

Dalam keseganan kerana lewat, saya menyapa, "Morning, Puan. Sorry I'm late"

Dia senyum manis dan lembut.

"Please wait outside..." katanya, masih bernada lembut.

Saya menyangkakan dia mengarahkan pelajar lain supaya menunggu di luar. Saya pun memasang tag nama dan mohon untuk membantu, "Give me that papers..."

"I call you before 8.30. But now, please wait outside..." masih lembut dan manis.

Baru saya perasankan sesuatu!

"Puan, I'm also an invigilator..."

Dia terkejut langsung mohon maaf.

"I think you are the KPLI candidate...I'm so sorry. How come you look so young?"

Kembang sekejap hidung saya yang sudah sedia berkembang!

"My family and friend called me Young (Yang). That's why I'm always look young!" Gurau saya. Mujur dia memahami gurauan bodoh saya itu.

"From which department?" Soalnya.

"Malay Studies..."

Dia lagi terkejut apabila saya maklumkan bahawa saya sudah menghampiri empat puluh enam dan punya anak gadis berusia dua puluh satu tahun.

Sebenarnya tidak perlu terkejut. Saya berkahwin di usia hujung dua puluh tiga, dan di hujung dua puluh empat saya sudah punya anak seorang.

Ada seorang kawan sekelas saya, berkahwin saat menuntut di luar negara, punya anak berderet tahun dan yang paling tua sudah dua puluh empat.

Cuma barangkali trend zaman moden ini yang serasi dengan perkahwinan lewat, maka ada wanita seusia saya masih punya anak-anak kecil berusia setahun.

Cerita saya disangkakan "kakak" anak memang sudah biasa. Apalagi jika saya hanya memakai seluar trek dan bersandal, juga tanpa sebarang solekan.

Ada seorang tauke kedai gambar di Kuala Pilah menanya anak bongsu saya, "yang tadi tu kakak awak ke? Muka sama, senyum pun sama. Selalu gaduh tak masa kecik-kecik?"

Bengang betul anak saya. Lalu cerita tersebut dijadikannya komik dengan garapan yang sangat lucu. Saya tak henti ketawa membaca komik yang dilukis anak.

Sejak kerap benar disangkakan "kakak" anak, saya akan memakai jubah, bertumit tinggi dan membawa tas tangan jika melepak bersama anak dan kawan-kawannya. Elemen-elemen itu akan menjadikan saya nampak sedikit matang dan ketua-tuaan.

Seorang kawan juga pernah mengirim sms, "suami akak ingat Yang student KPLI..." Saya menumpang kereta kawan saya dan suaminya untuk pergi ke kereta saya. Saya memarkir agak jauh. Saya fikirkan suaminya tahu bahawa saya adalah kawan muda isterinya itu.

Apa pun, terima kasih kepada emak yang menurunkan gen awet muda kepada anak-anaknya. Tiada bahan kosmetik apa pun, tiada juga sebarang amalan.

Kalau betul saya nampak muda tidak sepadan usia, hanya ucap terima kasih kepada Allah.

Memanglah hati berbunga gembira jika dikatakan nampak muda. Tetapi kekurangannya ialah kita selalu kurang dihormati kerana dianggap "muda" ilmu dan pengalaman.

Kawan-kawan muda saya saat di kolej dan sekolah juga barangkali memberikan aura muda mereka kepada saya. Begitu juga dengan anak-anak saya dan kawan-kawan mereka yang selalu berbicara tentang apa sahaja topik dunia remaja mereka dengan "mak cik pendek sporting" ini.

Sebenarnya jika diteliti betul-betul, muka saya bukanlah muda. Sudah ada kedutan di dahi. Pipi pun tidak tegang lagi.

Sebetulnya saya tidak bersolek atau berfesyen. Itu sebabnya saya tidak nampak tua sangat.

Saya sukakan komik, juga filem korea. Saya juga suka menyanyi lagu-lagu kontemporari.

Tetapi saya tidak gemar langsung mendengar Hot.fm atau Fly.fm. Saya memilih Ikim.fm dan Sinar.fm. Ertinya saya bukan berjiwa muda secara total.

Mudah-mudahan Allah memberikan kehidupan yang baik kepada kita tidak kira kita berwajah muda atau tua. Wajah muda atau tua bukan ukuran untuk ke syurga.